Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 2

Hari Isnin.

Dwen ke pejabat seperti biasa. Di rumah, suasana masih sepi kerana mama dan papanya ke luar negeri atas urusan bisnes. Adik beradik yang lain sudah ada keluarga masing-masing. Jadi pertemuan hanya berlaku sekali sekala ketika masing-masing tidak sibuk sahaja.

“Sementara kami tak ada, Dwen uruskan syarikat dengan baik. Hanya kepada kamu, papa letakkan seluruh kepercayaan.”

Itu amanat papanya Datuk Haris sebelum berangkat.

“Mama berat nak tinggalkan rumah dan Dwen sendirian. Tapi mama terpaksa kerana papa tak boleh dibiarkan pergi sendiri. Dia dah tak sekuat dulu,” jawap Datin Rodziah.

“Mama, pergilah. Dwen dah dewasa. Pandailah Dwen jaga diri Dwen ni.”

“Itulah, kalaulah Dwen ni dah kahwin taklah mama risau sangat.Bila Dwen nak bawa menantu ke rumah ni?”

“Nantilah Dwen order untuk mama.”

“Apa dia?”

“Menantu. Kata nak suruh bawa balik.Kenalah order dulu,” jawab Dwen sambil mengekek. Dia sangat suka kalau dapat mengusik mamanya. Datin Rodziah mencubit pipi Dwen dengan manja.Kemudian dia membalas cubitan itu dengan sebuah ciuman di pipi Datin Rodziah.

Dia tersenyum-senyum. Mamanya masih anggap dia macam budak kecil. Bimbangnya melampau-lampau. Walhal dia sudah 28 tahun. Sudah matang untuk jaga diri sendiri. Kalau ada jodoh, memang sudah patut berkahwin dan ada rumah tangga sendiri.

Dwen sampai di pejabat dan kakinya terus melangkah ke tangga. Dia tidak mahu naik lif. Dia sengaja mencari ruang untuk bersenam. Ofisnya di tingkat 2. Tidaklah tinggi sangat. Lalu tanpa segan dia menapak anak tangga dengan tenang. Biar berpeluh sikit tidak apa kerana nanti dia akan duduk seharian dalam penghawa dingin.

Sampai di tingkat 2, dia berdiri lama di hadapan pintu biliknya. Tanda nama Ridhwan Haris, Penolong Pengarah di renungnya lama.

‘Betul ke ni bilik aku?’ bisik hatinya.

“Selamat pagi Encik Ridhwan. Apa yang direnung tu?” sapa Nureen, Setiausaha merangkap PA dan merangkap sahabatnya.

“Saya sedang tengok nama saya ni. Betul ke saya ni pemilik bilik ini,” jawab Dwen dengan senyuman.

“Eh, kenapa tiba-tiba tak percaya dengan nama sendiri ni?”

“Tak adalah. Rasa janggal dengan nama dan jawatan ni. Bukankah bagus kalau saya bukan anak tuan punya syarikat ini dan saya hanya pekerja biasa saja.”

“Laa… orang semua berebut nak duduk di bilik ni. Semua berangan-angan nak jadi anak Datuk dan pegang jawatan Penolong Pengarah. Encik Dwen pula dok berangan nak jadi kuli biasa. Terbalik sungguh,” kata Nureen sambil ketawa, perlahan.

Dwen diam. Fikirannya memang tersumbat dengan berbagai teori. Kalaulah dia bukan anak Datuk Haris, mungkin biliknya tidak secantik itu. Dia akan bebas bergaul dengan siapa sahaja tanpa mengikut aturan protokol yang dibuat oleh papanya.

Ketika dia termangu-mangu mengira itu, telefonnya berdering dari kocek seluar. Dia segera membuka pintu biliknya sebelum menjawab panggilan.

“Dwen dah sampai ofis?” Suara Datuk Haris menyapa di hujung talian.

“Dah, papa. Baru duduk di kerusi empuk yang papa beli ni.Papa dan mama sihat ke pagi ni?” balas Dwen dengan ketawa, ceria.

“Kami sihat. Baru lepas sarapan. Dwen dah sarapan?”

“Belum lagi. Kejap lagilah Dwen sarapan di kafetaria.”

“Dwen, masuk ke bilik papa dan ambil fail projek Taman Bukit Tamu. Berikan kepada Mr. Chin untuk tindakan lanjut. Lepas tu, Dwen ke pejabat Tan Sri Halim. Ada meeting di sana petang ni,” kata Datuk Haris memberi arahan.

“Papa, kenapa Dwen yang kena pergi? Bukankah itu kerja Encik Ghazali. Biarlah dia yang pergi. Nanti dia kata kita tak percayakan dia pulak. Dia tu orang dah lama kerja dengan kita. Dia tahu nak buat keputusan, papa.”

“Dwen, papa dah cakap dengan Ghazali suruh bawa Dwen. Bukan masalah tak percaya, tapi papa nak Dwen kenal semua syarikat yang terlibat dengan kita. Papa nak Dwen belajar dengan banyak ilmu dari Ghazali. Dwen kena buat kalau Dwen nak berjaya!” tegas Datuk Haris. Suara itu tinggi hingga Dwen rasa tidak selesa.

Ketika meletakkan gagang, dia merengus perlahan. Bukan kepada Datuk Haris tetapi kepada kerja yang terpaksa dibuat itu.

Nureen masuk dengan sebuah fail.

“Encik Dwen, kenapa?” Nureen perasan wajah Dwen muram kelat.

“Awak tahu tentang meeting di pejabat Tan Sri Halim petang ni?”

Nureen angguk. Memang dia sudah masukkan dalam jadual kerja Dwen minggu lepas lagi ketika Datuk Haris menghubunginya.

“Kenapa saya kena pergi? Tak cukupkah ENcik Ghazali sorang?”

“Datuk nak Encik Dwen belajar,” jawab Nureen dengan tenang. Dia tahu angin bosnya kurang baik sekarang.

Come on Nureen, saya ni ada Sarjana Muda Kelas Pertama, Jurusan Perniagaan. Saya bukan masuk ke syarikat ini kerana saya ni anak Datuk Haris tetapi saya masuk dengan kelulusan saya. Jadi saya rasa saya tak perlu belajar lagi. Dah cukup semua ilmu yang saya bawa,” balas Dwen mencelikkan mata kepada Nureen.

Nureen tidak melatah. Dia tersenyum membiarkan angin anak bongsu Datuk Haris itu terlepas melalui kemarahannya. Dia tunduk diam. Dia membiarkan telinganya mendengar semua rungutan dengan sabar.

“Nureen, apa pendapat awak?”Tiba-tiba Dwen rasa dia bercakap sendirian. Dia meratah lagi wajah Nureen dengan mata tenang menagih simpati.

“Encik nak saya berkata jujur?”

Angguk.

“Encik patut pergi.Ini satu peluang untuk encik.”

“Kenapa awak kata macam tu?” Dwen keliru dengan jawapan Nureen.

“Sebab, ini masanya encik jumpa orang-orang yang hebat.Ini peluang untuk encik menuntut ilmu. Saya tahu encik ada ijazah. Tapi ilmu dari pengalaman itu penting. Ijazah encik adalah teori. Praktikalnya, adalah pengalaman. Encik belum ada pengalaman,” jawab Nureen cuba beranikan diri.

Dwen terkebil-kebil.

“Encik terus berada di tempat yang tinggi tanpa perlu bersusah payah. Jadi encik tak ada pengalaman untuk menangani masalah. Saya minta maaf kalau pendapat saya encik tak suka.Tapi saya berkata jujur dan benar, ” jawab Nureen, dengan cuak.

Dwen semakin hilang kata-kata.Dia seperti tersedar dari mimpi. Pen yang ada di atas meja dipusing-pusing.Fikirannya ikut berputar ligat. Antara rasa hatinya dan kata-kata Nureen. Antara ijazah dan pengalaman.

“Encik marah?” Nureen menduga. Selama setahun dia bekerja dengan lelaki itu, dia belum pernah diminta nasihat.Sekarang dia berkata jujur. Dalam semua hal, bosnya itu belum mampu kendalikan syarikat. Kalaulah tidak ada pegawai-pegawai kanan yang setia di sekelilingnya, sudah pasti tunggang langgang jadinya.

“Tak. Saya tak marah. Cuma saya tak suka,” jawab Dwen tanpa menoleh.

“Marah dengan tak suka tu lain ke?”

“Dah tentulah lain. Ejaannya saja tak sama.” Dwen membidas. Kali ini dia mendongak dan merenung Nureen.

Nureen tersengih-sengih dengan lawak bodoh bosnya itu.

“Saya tak marah awak tapi saya tak suka nak pergi. Macam mana nak buat ya?”

“Yang itu saya tak tahu nak selesaikan.Mungkin encik kena call Datuk dan maklumkan hal ni pada dia. Ini urusan anak-beranak.Saya orang luar tak berani campur!” kata Nureen dengan ketawa.

“Kalau saya cakap dengan papa saya, lebih baik saya bunuh diri!” Dwen juga ikut ketawa. Akhirnya dia rasa kacau bilau dalam kepalanya hilang. Benarlah kata orang, ketawa adalah terapi yang terbaik untuk mengubati tekanan.

“Kalau tak ada apa, saya keluar dulu,” kata Nureen sebelum ketawa Dwen usai. Dia berjalan ke arah pintu.

“Awak kena ikut saya petang nanti,” kata Dwen sebelum tangan Nureen memegang tombol pintu.

“Bila yang saya tak ikut encik.Dah tentu kerja saya ni ikut ke mana bos pergi,” balas Nureen dengan cepat.

“Ada tempat yang awak tak pernah ikut. Jangan nak temberang.”

“Ke mana?”

“Ke tandas. Bila awak ikut saya ke sana?” gurau Dwen dengan ketawa galak.

Nureen ikut ketawa. Namun ketika itu dia rasa macam nak terkam dan cekik bosnya. Sejak awal, dia kenal lelaki itu sebagai bos yang sempoi dan suka bergurau dan buat lawak. Perangainya agak berbeza dengan papanya Datuk Haris yang sentiasa serius dan menjaga wibawa.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.