Gulai siput daun kadok.
Syerif mendengar menu itu dengan rasa kelakar. Dia seperti tidak percaya anak
orang kaya seperti Dwen sukakan masakan kampung itu.
“Jadi, kau nak jadi Tun
Nila?” tanya Syerif dengan senyum sinis.
Dwen terpinga-pinga
mengingati siapa Tun Nila itu? Lama juga, baru dia teringat pada kata-kata Pak
Nordin mengenai anak raja yang bernama Tun Nila.
“Susah ke nak jadi
dia?”
“Kalau kau pergi cari
di kampung-kampung, memang senang dapat. Tapi kalau kau cari di bandar, memang
tak adalah.”
“Nak cari apa ni?”
tanya Mak Cik Ruslina yang keluar dengan menatang sepinggan kuih.
“Dwen ni, mak. Nak cari
isteri yang pandai masak gulai siput daun kadok.” Syerif ketawa mengekek.
Mak Cik Ruslina ikut menyengih.
Dia rasa ia sebuah gurauan.
“Ini serius. Aku tak
bergurau. Yang kau ni ketawa, kenapa?” Dwen melorotkan matanya kepada Syerif.
Ketawa Syerif terhenti.
Dia bimbang hati Dwen terguris lagi.
“Dwen, biar betul ni...”
kata Mak Cik Ruslina pula.
“Betul mak cik.”
“Dwen makan gulai siput
ke? Sejak bila?”
“Sejak saya bercuti di
kampung Pak Nordin di Kelantan. Sedap. Tak puas rasanya,” jawab Dwen sambil
mengunyah nasi lemak dengan selera.
“Gulai siput daun
kadok...tak ramai yang tahu. Mak cik sendiri pun tak pernah makan dan tak tahu
nak masak,” kata Mak Cik Ruslina dengan jujur.
“Sebab itulah ia
menjadi satu pencarian yang sangat mencabar, mak cik. Saya dah nekad, hanya akan
kahwin dengan orang yang pandai masak makanan kegemaran saya tu.”
Suasana sepi. Mak Cik Ruslina
tunduk termenung. Syerif pula tidak berani memberi komen.
“Dwen nak mulakan dari
mana?” tanya Mak Cik Ruslina.
“Saya nak mulakan
dengan Karina.”
“Siapa pula Karina tu?”
Lalu Dwen menceritakan mula
wujudnya gadis bernama Karina itu. Menungan Mak Cik Ruslina bersambung.
“Mak cik rasa keadaan
akan menjadi bertambah kusut nanti. Sudah pasti anak tan sri seperti dia tak pandai
nak buat semua tu,” kata Mak Cik Ruslina dengan segala sangsi.
“Itu yang saya nak,”
balas Dwen dengan senyuman.
“Kenapa pula?”
“Kerana saya memang tak
berkenan langsung dengan dia. Saya tak nak jadi barang dagangan mama dan papa
saya, mak cik. Saya akan berikan syarat ni. Kalau dia gagal, maknanya saya tak
perlu nak kahwin dengan dia kan?”
Mak Cik Ruslina angguk.
Syerif masih berdiam diri. Sukar untuk dia memberikan komen.
“Macam mana kalau dia
minta tempoh untuk belajar?”
“Tak. Tak ada tempoh. Saya
nak yang pandai semula jadi. Saya kata masak, terus dia masak dan masakan itu
sedap macam masakan Mak Timah di kampung tu,” jawab Dwen dengan cepat.
“Minah-minah rock yang lain
tu nak diuji juga?” tanya Syerif pula.
“Oh! Tidak. Itu hanya
habiskan beras je. Aku dah tahu jawapannya. Selepas Karina gagal, baru aku akan
mulakan pencarian. Pak Nordin akan jadi jurinya.”
Syerif tergelak besar. Hampir
menyembur nasi lemak yang sedang dikunyahnya.
“Aku rasa kau ni dah
terpengaruh dengan rancangan realiti di tv tu?”
“Taklah. Ini saja cara
aku nak cari isteri yang pandai masak.”
“Tapi, takkan masak gulai
siput saja? Masakan yang lain-lainnya?” tanya Syerif pula.
“Kalau menu yang susah tu
dia dapat buat, sudah tentu yang lain-lainnya macam kacang saja kan? Betul tak
mak cik?” tanya Dwen berpaling kepada
Mak Cik Ruslina.
Mak Cik Ruslina angguk
setuju. Namun hatinya masih teragak-agak untuk menyokong seratus peratus. Dia masih
nampak ada cabaran dan dugaan yang sedang terhampar luas di hadapan anak muda
itu.
“Mak cik tahu tak restoren
mana yang ada jual masakan siput di KL ni?”
“Entahlah. Mak cik ni
jenis yang tak suka makan kat luar. Tapi ada dengar, kawan-kawan kata kat
Restoren Rebung milik chef terkenal tu,” kata Mak Cik Ruslina.
“Saya nak restoren yang
kecil dan tidak tersohor.”
“Apa pula muslihat kau
kali ini?” Syerif menoleh dengan hairan. Perangai Dwen sejak akhir-akhir ni
semakin pelik.
“Ini ujian pertama
untuk Karina.” Dwen tersenyum-senyum. Di matanya terbayang wajah kelat anak
gadis Tan Sri Halim itu.
“Dwen, kenapa kau tak
suka sangat dengan Karina tu? Bukankah dia kaya. Dah tentu dia terpelajar dan
cantik. Apa lagi yang tak kena?” tanya Syerif, menduga.
“Itu bukan pakej yang
aku cari. Aku cari isteri yang boleh jadi pengurus rumah tangga. Maknanya semuanya
dia uruskan sendiri. Bukan jadi pengarah yang kerjanya mengarah saja.”
“Aduh, pening kepala
aku dengan kau ni!” Syerif menepuk dahi.
“Kenapa pulak? Kau tu
bila pula nak kahwin? Asyik pening dengan aku, kau apa hal?” Dwen ketawa segar.
“Aku tengah kumpul
duit. Selagi aku tak hantar mak dan ayah aku ke Mekah, aku tak akan kahwin. Itu
janji aku,” kata Syerif.
Dwen terdiam. Dia kagum
dengan pendirian Syerif. Sayangnya dia tidak
ada peluang untuk berikrar begitu. Datuk Haris dan Datin Rodziah orang berduit.
Kalau mereka mahu ke Mekah, setiap bulan pun mereka mampu.
“Bagus hajat kau tu.
Tak apalah aku tunggu kau dengan sabar,” kata Dwen.
“Nak tunggu aku kenapa?”
tanya Syerif, menatap wajah Dwen dengan hairan.
“Nasi minyak kau!” Dwen
ketawa.
“Aku rasa aku kena
makan nasi gulai siput kau dulu lagi baik. Aku pun belum pernah makan sebelum
ni. Sedap sangatkah?”
“Sedap. Dulu aku geli
tengok siput. Tak sangka, sekarang aku jadi kemaruk. Tapi, siput di KL dan di
Kelantan tak sama.”
“Tak sama macam mana?”
“Memang tak sama. Sebab
di Kelantan siput sawah. Di KL ni banyak siput sungai atau siput laut,” celah
Mak Cik Ruslina.
“Aku masih tak faham.”
Syerif menepuk dahi.
“Apa yang susah sangat
kau nak faham. Eh, apa yang kau tak faham?” tanya Dwen dengan ketawa.
“Yalah. Macam mana
budak bandar macam kau ni boleh sukakan siput tu?”
Istilah budak bandar membuatkan
ketawa Dwen semakin berdekah-dekah. Mak Cik Ruslina dan Syerif saling
berpandangan. Mereka kurang faham dengan maksud ketawa itu.
“Yang itu, aku tak ada
jawapannya. Mungkin sebab ALLAH memang dah tetapkan seleraku memang selera
kampung. Jadi, kalau dapat isteri budak kampung pun aku tak kisah. Janji ia ada
pakej seperti yang aku nak,” kata Dwen, cuba menutup rasa keliru di hati
kedua-dua beranak yang ada di hadapannya.
Selesai bersarapan, Dwen minta diri untuk
pulang.
“Jangan lupa datang
jenguk kami ya Dwen,” pesan Mak Cik Ruslina ketika Dwen bersalam dengannya.
“Mak cik dah macam mak
saya. Mana boleh saya lupakan mak cik dan rumah ini. Nanti kalau saya dah dapat
gadis yang saya cari tu, saya akan bawa jumpa mak cik.” Dwen menyarung kasut
dan meninggalkan rumah yang sangat disenanginya itu.
Mak Cik Ruslina hanya
membalas dengan senyum dan menghantar Dwen dengan lambaian.
Ketika Dwen sampai di
rumah, suasana rumah sudah sepi. Kereta mamanya sudah tidak ada di garaj.
‘Mungkin papa ke kelab
atau pergi main golf. Mama? Mungkin ke salon atau perjumpaan persatuan. Hmm... ini
aktiviti orang kaya. Dan aku? Anak orang kaya yang akan tidur!’
Dia bersiul senang. Perutnya
yang kenyang, menyebabkan matanya mungkin senang diajak tidur. Sekali-sekala
dapat tidur siang macam itu, alangkah nikmatnya!
Dia menyalin baju.
Semasa berjalan ke
katil, dia ternampak sebuah majalah yang sudah lama dibeli tetapi belum dibacanya.
Dia mencapainya dan membawa bersama ke katil. Ada banyak cerita. Dia membaca
seperti robot. Helai demi helai hanya tajuknya yang dibaca. Satu pun tidak
menarik minatnya. Ketika itu, akalnya tidak mampu memfokus.
Akhirnya dia
mencampakkan majalah itu. Dia cuba lelapkan mata. Lima minit kemudian percubaan
itu berjaya.