Dengan
hati yang berat dan sebal, Dwen terpaksa akur juga pada permintaan Datuk Haris
dan Datin Rodziah untuk pergi makan malam di rumah Tan Sri Halim. Air mukanya
memang langsung tidak ceria. Masam.
“Kenapa
dengan Dwen ni? Jangan tunjuk muka masam tu pada mereka,” kata Datin Rodziah.
“Dwen
tak akan berpura-pura manis. Dwen tak
akan berlakon suka pada benda yang Dwen tak suka. Jadi, mama kena terima
keadaan Dwen ni,” jawab Dwen, selamba.
“Dwen,
cuba faham apa yang kami nak buat ni untuk masa depan Dwen,” celah Datuk Haris.
“Papa,
ini bukan untuk masa depan Dwen tapi untuk bisnes papa. Dwen akan digadai pada
keluarga itu. Ini strategi bisnes!” balas Dwen, sedikit kasar.
“Kenapa
susah sangat Dwen nak faham hajat kami ni?” Datin Rodziah merengus.
“Sebab
mama dan papa pun susah nak faham hati Dwen. Hal nikah kahwin ni, kalau boleh
biar Dwen fikir sendiri.Dahlah hal-hal
yang lain semua Dwen ikut telunjuk mama.”
“Dwen
ada pilihan sendiri? Siapa? Gadis-gadis gedik yang selalu keluar dengan Dwen tu
ke yang Dwen nak jadikan isteri?” Datin Rodziah semakin rasa tercabar. Pantang kalau
ada yang cuba melawan kehendaknya.
“Gadis
gedik mana?”
“Dwen
ingat mama tak tahu dengan siapa Dwen berkawan?Semua girlfriend Dwen tu mama tak berkenan langsung!”
Dwen
terdiam. Susah untuk dia menafikan hubungannya
dengan gadis-gadis yang dikatakan mamanya itu. Susah juga untuk menyatakan
bahawa semua gadis itu bukan citarasanya!
Perjalanan
itu menjadi sepi. Semua diam melayan fikiran masing-masing. Ternyata ada perang
dingin dalam kereta itu. Pak Nordin menjeling dari cermin. Dia simpati dengan Dwen.
Kereta yang
dipandu oleh Pak Nordin sampai di hadapan sebuah banglo mewah di Bukit
Antarabangsa. Hati Dwen maklum, di situ tinggal ramai hartawan dan jutawan
Malaysia. Di situ kawasan datuk dan datin, tan sri dan puan sri.Aduh! Dia rasa semakin tidak selesa untuk bernafas.
Pintu
pagar berukir emas terbuka menyambut kedatangan mereka.Seorang pengawal keselamatan juga berdiri dengan tabik
hormat. Dwen rasa kesian dengan lelaki bangsa asing itu. Seolah-olah dia
dibayar gaji untuk memberi tabik kepada setiap tetamu rumah itu.
Tuan
rumah suami isteri keluar terkedek-kedek keluar. Seperti sketsa biasa, dengan
ketawa riang mereka berpelukan dan saling bertanya khabar.
“Terima
kasih kerana sudi datang Datuk Haris,” kata Tan Sri Halim, mesra berbasa basi.
“I yang
patut berterima kasih kerana you sudi menjemput,” balas Datuk Haris, ketawa
mengekek.
“Sudi-sudilah
masuk ke pondok kami, datin.” Puan Sri Norlaila menarik tangan Datin Rodziah
dengan ketawa juga.
“Mak ai!
Kalau macam ni puan sri kata pondok, rumah kami akan dipanggil rebanlah ya,”
balas Datin Rodziah, ikut ketawa. Hilai tawa mereka pecah bergema,
berderai-derai.
Hati Dwen
rasa mual. Ketawa mereka menyakitkan hati. Plastik. Itu yang ada dalam hatinya.
“Dwen, how
are you? Diam je ni, kenapa?”Tiba-tiba
Puan Sri Norlaila menoleh kepada Dwen.
“Alhamdulillah,
sihat saja puan sri,” balas Dwen, cuba tersenyum tetapi tidak menjadi.
“Muram
je. Ada masalah ke?” tanya Puan Sri Norlaila lagi.
“Dia
penat sikit. Balik dari ofis terus kami ajak ke sini,” kata Datuk Haris cuba
menutup kebenaran.
“Anak
muda mesti ada stamina yang kuat. Mesti bersemangat,” kata Tan Sri Halim pula
Dwen membalas kata-kata itu dengan senyuman yang sangat hambar. Langsung tidak
ada seri.
Mereka
duduk di ruang makan. Sekali tengok perhiasannya macam dalam istana. Semuanya
bersalut warna emas. Dwen mendongak ke
atas. Lampu-lampu yang bergantungan itu bernilai puluhan ribu setiap satu.Dia menoleh pula ke dinding. Gambar-gambar keluarga dalam
frame yang juga berbingkai emas.
Alangkah mewahnya!
Entah
kenapa, Dwen rasa rimas dalam kemewahan itu.
“Tan
sri, puan sri, maafkan saya. Saya keluar sekejap. Ada barang tertinggal kat
kereta,” kata Dwen sambil bangun. Tanpa menunggu jawapan mereka, dia terus
berjalan ke pintu besar.
Sampai
di luar, dia menarik nafas lega. Segera kakinya dihayun ke arah kereta.
“Ada
apa Dwen?” tanya Pak Nordin yang duduk di bangku yang ada di halaman itu.
“Tak
ada apa? Saya rimas di dalam.”
“Aik?
Kan ada aircond?”
“Hati
saya ni yang rimas.”
Pak
Nordin terdiam. Senyumnya juga ditahan. Dia tahu bos kecilnya itu dalam keadaan
yang amat tertekan. Dia sudah mendengar pertengkaran kecil dalam kereta tadi.
Untungnya jadi pemandu, semua perbualan boleh didengar tanpa perlu mengintip.
Semua kerenah keluarga itu ada dalam koceknya!
“Pak
Nordin, kita kena cepat cari jalan,” kata Dwen menatap wajah Pak Nordin dengan
mata yang penuh harap.
“Jalan
apa? Kalau setakat dalam KL ni saya tahulah. Di luar KL, kenalah pakai GPRS.”
“Pak
Nordin! Saya serius ni. Janganlah bergurau,” kata Dwen.
“Yalah.
Saya pun serius juga.”
“Jalan
yang saya maksudkan itu ialah jalan nak keluar dari…”
Sebelum
sempat Dwen menghabiskan ayatnya, pintu pagar automatik itu terbuka.Sebuah kereta spot memasuki halaman. Pemandunya,
seorang gadis berambut perang.
Hati
Dwen berdebar. Matanya dan mata Pak Nordin bertemu.
“Karina?”
tanya Pak Nordin.
Dwen
mengangkat bahu. Dia memang belum pernah berjumpa dengan gadis Karina. Dia
tidak pernah kenal.
“Hai,
Dwen!” Gadis itu turun kereta dan berjalan ke arahnya dengan senyuman.
Dwen
membalas sapaan itu dengan anggukan. Bibirnya hanya tersenyum, sinis.
“Kenapa
you tak masuk? Kenapa duduk kat luar ni? Ini siapa?”
“Saya
dah masuk tadi. Rimas kat dalam. Saja ambil angin kat luar ni. Ini Pak Nordin,
pemandu kami.” Semua soalan Karina dijawab sekali gus.
Wajah
gadis itu berubah serta merta. Dia merenung tajam ke arah Pak Nordin.
“Mari
masuk. Tempat you bukan bersama seorang pemandu,” kata Karina menarik tangan
Dwen.
Hati
Dwen tercalar.
“Awak
ni siapa? Saya tak kenal awak. Kenapa awak nak kontrol saya pula?” tanya Dwen,
sedikit marah.
“Dwen, you
tak kenal I? atau you buat tak kenal?”
“Memang I
tak kenal. You muncul macam puting beliung, tanpa salam.Sergah macam tu je.”
“I
Karina. Karina Tan Sri Halim. I bakal isteri you. You datang ke sini hari ni
kan atas urusan perkahwinan kita,” jawab gadis berambut perang yang mengenalkan
dirinya sebagai Karina itu.
Dwen
tersenyum, mencebik. Wajah Karina berubah.
“Karina,”
kata Dwen kepada Pak Nordin sambil mencebik.
“Eh,
marilah masuk,” ajak Karina sekali lagi.Kali ini sedikit keras dan memaksa.
“Pergilah
Dwen. Tak baik biarkan orang tunggu.” Pak Nordin berbisik perlahan.
Akhirnya
Dwen mengekori Karina dengan langkah berat.
“Ha, dah
sampai pun Karina,” kata Puan Sri Norlaila tersenyum-senyum.
Karina
segera bersalaman dengan Datin Rodziah dan Datuk Haris.
“Apa
khabar uncle, untie?” sapanya dengan mesra.
“Baik.
Baik. Kami ni setakat ini, masih lagi sihat walafiat. Karina macam mana? Sejak
balik ke Malaysia ni, dapat tak sesuaikan diri dengan cuaca di sini?” tanya
Datin Rodziah pula.
“Sekarang
dah hampir setahun. Dah okey sikit. Masa baru-baru balik dulu, Karina tak tahan
sangat. Dah biasa sejuk. Tiba-tiba di sini panas. Nak keluar rumah pun takut. Duduk
dalam rumah je,” jawab Karina.
Mereka ketawa.
Dwen tidak. Baginya, cerita itu tak kelakar langsung. Mual adalah. Macamlah dia
tak pernah hidup di Negara Eropah. Menyampah kalau Melayu lupa diri macam Karina
ini. Dwen merungut dalam hati.
“Patutlah
Dwen minta diri nak keluar, rupanya dia nak tunggu Karina di luar. Hai, belum
apa-apa dah tunjuk romantik anak-anak kita ni, datuk,” kata Tan Sri Halim
dengan gelak besar.
Gelak Tan
Sri Halim disambut oleh gelak yang lain-lainnya. Suara Datin Rodziah
mengekek-ngekek.
Hati Dwen
semakin menyampah. Denyutnya semakin menyakitkan. Dia menjeling ke arah Karina
yang berseluar ketat itu. Dengan rambut yang diperangkan dan baju yang singkat
serta salutan make-up tebal itu, Dwen rasa dia langsung tidak menepati apa yang
dicarinya.
Gadis Karina
tersenyum-senyum. Dwen pula masam mencuka.
Di meja
makan, perbualan bersulam gurauan,
sindiran dan gelak ketawa. Dwen hanya makan apa yang dihidang tanpa selera. Dia
mencuit lauk pauk itu sekadar mengambil hati tuan rumah. Tidak ada satupun menu
yang ada itu menambat hatinya.
Rasanya,
makan di rumah Pak Nordin hasil air tangan Mak Timah lebih enak dan sedap!