Ketika sedang membaca
sebuah majalah di ruang tamu, Dwen mendapat panggilan dari Nureen. Petang itu,
Nureen dan Nora ingin menemuinya. Mereka akan datang ke rumah. Mustahak sangat
katanya. Antara hidup dan mati. Itu istilah orang sekarang untuk perkara yang
sangat penting.
“Andika, masak lebih
sikit ya. Cik Nureen akan makan malam di sini petang ini,” kata Dwen. Andika
yang sedang menyidai kain, menoleh. Dia gugup seketika. Apa tidaknya, itulah
pertama kali dia berkomunikasi dengan Dwen tanpa nota.
Dek kerana terkejut dan
gugup, sehelai kain di tangan Andika terjatuh. Dia segera membongkok dan mengambilnya.
“B...baik Encik Dwen,”
kata Andika sambil mengirai kain yang terjatuh tadi.
Mata Dwen terpandang
pada kain yang ada di tangan Andika. Dia rasa malu pada dirinya sendiri dan
pada Andika juga. Seluar dalamnya!
Dengan cepat Dwen
meninggalkan Andika. Dia bimbang Andika akan lebih malu kalau dia sedar apa
yang dipegangnya.
“Aduh, malunya aku...”
kata Dwen sambil menepuk dahi selepas keluar dari situ. Tidak lama, dia ketawa
menutup mulut.
Majalah yang tadi
diletakkan di atas meja diambil semula dan dia kembali menyambung bacaannya. Namun,
mindanya tidak mampu memberi fokus kepada apa yang dibacanya. Wajah Andika yang
manis tiba-tiba meniti ruang mata. Senyum Andika tiba-tiba membuatkan hatinya
berdebar.
Dia meletakkan majalah
sekali lagi. Kemudian dia berjalan ke dapur.
“Encik nak minum ke?”
tanya Andika yang kebetulan sedang membuka peti sejuk dan mengeluarkan lauk dan
sayur.
“Ermmm... boleh juga,” jawab
Dwen. Dia menahan getar hati. Dia duduk di meja dan mengadap ke arah Andika. Sudah tiba masanya
dia mendekati Andika tanpa gugup. Andika akan jadi isterinya.
“Sejuk ke panas?”
“Apa-apa pun boleh.”
“Ada ke air tu? Rasanya
tak ada stok di rumah ni,” kata Andika, tersenyum memperli.
“Air apa?” Dwen
kebingungan.
“Air apa-apa pun boleh,”
jawab Andika dengan selamba.
Dwen rasa terkena. Pandai
juga Andika bergurau. Tiba-tiba bibirnya menguntum senyum. Dia rasa sangat bahagia.
Lalu dia merenung wajah Andika yang lembut. Dia meneliti keayuan Andika dengan mata
hatinya. Sungguh sempurna ciptaan ALLAH yang ada depan matanya.
“Pandai awak bergurau
ya! Pandai awak kenakan saya,” kata Dwen cuba mesrakan diri. Hati Dwen semakin
lega. Gugupnya segera hilang.
Andika tersenyum
simpul. Tangannya terus menyiang sayur pucuk paku tanpa mempedulikan mata Dwen
yang sedang merenungnya.
“Andika, awak nak masak apa ni?”
“Kerabu pucuk paku. Daging
masak kicap dan ikan singgang. Sambal belacan kelmarin tu ada lagi. Encik ada
nak tambah apa-apa lagi?” Andika menoleh kepada Dwen. Ketika itu mata mereka bertembung.
“Tak ada. Cukuplah tu. Cuma...”
“Kenapa?”
Dwen tidak segera
menjawab. Sebaliknya matanya tetap merenung Andika. Tidak beralih dan tidak
berkelip. Alangkah istimewanya gadis Andika itu pada pandangan matanya.
“Encik, kenapa tenung
saya macam ni?”
“Boleh tak kalau awak
berhenti berencik-encik dengan saya? Tak lama lagi kita akan kahwin. Kita akan
hidup sebagai suami isteri. Sebagai mak dan ayah. Insya-ALLAH, sebagai atuk dan
nenek. Takkan awak asyik nak berencik-encik saja sampai ke tua,” jawab Dwen,
lancar.
Andika menoleh.
wajahnya cuak.
“Habis, saya nak
panggil apa?”
“Panggillah apa saja.
Abang ke, baby ke. Sayang ke... Dwen ke... Asal jangan encik.”
Tiba-tiba ketawa Andika
pecah memenuhi ruang. Mengekek-ngekek.
“Kenapa pula awak
ketawa?” tanya Dwen dengan curiga.
“Dah besar gajah macam
ni nak dipanggil baby? Aduii...” Andika masih ketawa. Tetapi dia segera menutup
mulutnya.
Akhirnya Dwen faham
kenapa Andika ketawa. Dan tiba-tiba dia ikut rasa lucu dengan kata-kata Andika.
Dia ikut ketawa. Berdekah-dekah.
“Tak sangka, awak ni
pandai melawak,” kata Dwen selepas ketawanya reda. Hatinya semakin tertarik. Bertambah
satu lagi perkara dalam pakej yang ada dalam diri Andika.
Andika tersengih-sengih.
“Boleh saya tolong awak
di dapur ni?” tanya Dwen.
“Tak payahlah. Ini kerja
orang perempuan. Encik pergi duduk di luar. Tengok TV ke. Baca majalah ke. Apa-apalah.
Janji encik jangan duduk di dapur ni. Biar saya buat sorang, lebih cepat dan selesa,”
jawab Andika.
“Andika, kan saya dah
kata. Jangan berencik-encik dengan saya.” Dwen mengetap bibir. Dia berpura-pura
marah dan merajuk.
“M... maafkan saya,
b... baby...” Andika gugup dan gerun melihat wajah marah Dwen itu.
Dwen tersenyum senang. Telinganya
rasa sejuk mendengar panggilan itu keluar dari mulut Andika.
“Baby, hmmm sedap juga
panggilan tu. Macam mesra saja bibir awak menyebutnya, kan?”
Andika ketawa. Kali ini
tidaklah kuat seperti tadi. Hanya ketawa perlahan, kerana dia sendiri rasa lucu
dengan panggilan itu.
“Tapi, tadi awak kata
awak geli nak panggil orang sebesar gajah ni baby. Kenapa sekarang awak nak
panggil pulak?” tanya Dwen.
“Apa salahnya kan? Baby
gajah...” Andika ketawa lagi.
Dwen menarik sebatang
pucuk paku dan membalingnya kepada Andika. Andika membaling semula.
“Baby, tolong keluar
ya. Saya nak masak ni.”
“Baiklah sayang. Bi
tunggu kat luar ya!” balas Dwen sambil mengenyit mata.
“Gatal!” gerutu Andika
sambil meneruskan kerjanya. Bibirnya masih menguntum senyuman. Entah kenapa,
hatinya rasa gembira dan bahagia. Sudah lama dia tidak tersenyum dan ketawa. Sejak
ayahnya meninggal, dia rasa seperti ayahnya membawa semua kebahagiaannya. Dia terpaksa
melalui liku-liku hidup, sendirian.
‘Yie, ayah tahu kamu
anak yang baik. Kamu anak yang kuat. Usah rasa sedih lagi. Kamu dah lulus semua
ujian ALLAH. Sekarang, kamu akan diberi rahmat untuk kemenanganmu itu.’ Andika
seperti mendengar suara ayahnya. Tangannya berhenti bekerja. Dia mendongak ke
langit. Dia pejamkan mata dan menghadiahkan surah al-Fatihah kepada arwah
ayahnya.
Satu jam sahaja, semua menu
siap dimasak. Andika segera ke bilik kecil di belakang untuk mandi dan
menunaikan solat asar. Biasanya sebelum balik, itu yang dilakukan.
Dwen pula masih di
ruang tamu. Dia bukan membaca majalah. Tidak juga menonton TV. Tetapi dia
tertidur pulas. Tertidur dengan senyum yang masih menguntum di bibir!
Salam diberi berulang-kali.
Pintu juga diketuk acap kali. Lama Nureen, Nora dan Pak Nordin menunggu di luar
pintu.
“Agaknya dia tak ada di
rumah tak?” kata Nureen kepada Pak Nordin.
“Kita dah janji nak
datang. Takkan dia keluar. Lagipun, keretanya ada di bawah tadi,” balas Pak
Nordin pula. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari kocek. Dia cuba menghubungi
Dwen. Namun beberapa kali dicuba, tetap tidak berjawab.
“Biar saya cuba call
Mek Yie pula,” kata Pak Nordin.
“Siapa Mek Yie?” tanya Nureen
dengan hairan.
Pak Nordin tidak
menjawab. Sebaliknya dia tersenyum dan terus menekan nombor Andika. Deringan juga
terbiar sepi. Tidak bersambut.
“Dua-dua tak jawab panggilan
telefon. Apa dah jadi ni?” Pak Nordin mula panik.
“Kita tunggu sekejap
lagi. Kalau mereka tak juga buka pintu, kita panggil security. Mesti ada
sesuatu dah berlaku,” kata Nureen. Nora angguk setuju.
Sedang mereka termangu-mangu
berfikir, telefon bimbit Pak Nordin berdering.
“Pokdeng! Dah sampai
ke?” Suara Andika menyentuh telinga Pak Nordin.
“Dah lama dah. Tak ada
orang buka pintu. Kau ada kat mana Mek... ” Pak Nordin tidak jadi menyebut nama
itu. Dia teringat pesanan Mek Yie yang tidak suka nama itu dipanggil lagi.
“Tunggu sekejap ya.
Saya baru habis solat.”
Tidak lama, Andika
muncul membuka pintu. Dia masih bertelekung. Dia bersalaman dengan Nureen dan
Nora dengan penuh hormat sopan.
“Dwen mana?” tanya Pak
Nordin.
“Tu!” tunjuk Andika ke
arah sofa. Mereka semua menoleh ke arah yang ditunjuk. Dwen tidur lena dengan
alunan dengkuran kecil.
“Tidur rupanya. Patutlah
tak dengar pintu diketuk dan salam diberi,” kata Pak Nordin. Dia segera menepuk-nepuk
tubuh Dwen untuk mengejutkannya.
Dwen membuka mata. Kemudian
dia bingkas kerana terkejut.
“Eh, dah sampai. Macam
mana Pak Nordin masuk?” tanya Dwen sambil menenyeh matanya.