Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 24

Pak Nordin membelek kertas di tangannya. Ada beberapa soalan mengenai kesopanan dan budi bahasa yang sudah dicatat.

“Soalan pertama saya, apa pandangan anda mengenai kahwin? Adakah perlu?” tanya Pak Nordin.

Melisa segera angkat tangan. Pak Nordin membenarkan dia menjawab.

“Soalan apa ni? Kalau dah diadakan majlis memilih bakal isteri macam ni, sudah tentulah kahwin itu perlu,” kata Melisa, kasar. Pak Nordin merenung kepada Melisa. Dia angguk dengan senyum.

Kemudian Qalesya mengangkat tangan. Pak Nordin angguk lagi, memberi izin.

“Kahwin itu perlu. Sebab walau semoden mana pun kita, kita masih terikat dengan adat dan hukum. Sementara lelaki dan wanita itu saling memerlukan. Betul tak encik juri?” tanya Qalesya dengan senyum juga.

“Bijak juga budak ni?” bisik Nureen kepada Pak Nordin.

Pak Nordin mencatat.

Kemudian seorang demi seorang menjawab dengan jawapan yang berlainan tetapi hampir sama maksudnya. Nampaknya mereka setuju dengan ikatan sebuah perkahwinan

“Kahwin itu sunnah nabi. Jadi memang ia perlu,” jawap Hayati sebagai peserta terakhir.

Pak Nordin menukar soalan. “Perlukah seorang isteri itu taat kepada suaminya? Perlukah semua keputusan dibuat oleh suami dan isteri hanya perlu ikut?”

Dengan cepat Julie Hanan mengangkat tangan.

“Tidak. Isteri bukan kuli suami,” kata Julie Hanan.

“Tapi, suami adalah raja dalam sesebuah rumah tangga. Apa akan jadi pada kuasa seorang raja yang tidak dihormati oleh rakyatnya?” Pak Nordin cuba menduga hujah Julie Hanan.

“Oho! Itu fatwa zaman dulu-dulu. Zaman ini, siapa berpangkat dan ada duit dialah yang berkuasa. Tak kiralah dia isteri atau suami.” Julie Hanan tersenyum bangga dengan jawapannya.

“Tak ada istilah raja lagi dalam rumah tangga moden, encik juri oi!” celah Narita.

“Apa salahnya kalau suami menjadi rakyat jelata dan isteri menjadi pemerintah. Sekali sekala kena ubah corak dan cara,” kata Maisara pula.

“Pada pendapat saya, isteri tak harus mengalah kepada kuasa suami. Kahwin bukan bermakna kita nak jadi hamba abdi suami! Betul tak kawan-kawan?” tanya Dayana.

“Betul!” Sambut peserta yang lain.

Pak Nordin diam memerhati.

“Boleh saya tanya encik juri pulak?” tanya Qalesya sambil angkat tangan.

“Tanyalah.” Pak Nordin menjawab dengan senyum.

“Apa pulak pendapat encik juri mengenai hal ini? Adakah kami dikahwini untuk jadi abdi suami atau menjadi tebusan?” tanya Qalesya dengan lantang.

Pak Nordin tenang sahaja. Dia menoleh kepada Dwen. Dengan senyum, Dwen kerdipkan mata.

“Pada pendapat saya, Islam memang mengangkat martabat kaum wanita. Wanita bernama isteri amat tinggi darjatnya. Namun, Islam juga menetapkan syurga seorang isteri adalah di bawah tapak kaki suami.”

“Itu pendapat yang terlalu tak adil untuk isteri. Habis, kalau suami macam hantu adakah isteri kena ikut dan taat?”

“Ya. Selagi tak melanggar hukum ALLAH dan undang-undang negara.”

“Misalnya?”

“Misalnya kalau suami suruh jual dadah. Atau suami tak bagi tutup aurat. Atau suami suruh melacur dan banyak lagi. Isteri tak patut taat,” jawab Pak Nordin. Matanya melirik ke arah Qalesya.

“Boleh saya tanya awak satu soalan?” tanya Pak Nordin pula.

Qalesya angguk, perlahan.

“Kalau awak terpilih sebagai calon isteri Encik Dwen, mahukah awak mengubah diri awak atas perintah dia?”

“Mengubah macam mana?”

“Hmm... misalnya kalau diminta menutup aurat dan berpakaian sopan?”

Qalesya tidak segera menjawab. Dia berpaling kepada peserta yang lain.

“Apa pendapat kawan-kawan? Adakah kita kena berubah imej dan penampilan kita hanya kerana seorang lelaki?” tanya Qalesya.

“Tidak sama sekali! Walaupun selepas kahwin, I nak terus jadi diri I. Kalau sekarang I macam ni, lepas kahwin pun tetap macam ni,” kata Narita.

“I pun. Tak ada maknanya nak berubah kerana orang lain. I ada seorang mak cik. Lepas kahwin dia tukar cara hidup dan penampilannya. Dia tutup aurat termasuk muka dan tangan. Nak tahu apa jadi? Suami dia tinggalkan dia dan pergi kahwin perempuan lain!” kata Melisa sambil mencebik.

“Cik Hayati, apa pula pandangan anda? Sejak tadi saya nampak anda diam saja?” Pak Nordin sengaja memberi peluang kepada gadis yang mempunyai penampilan yang berbeza itu.

“Sebaiknya, kita tak perlu nak berubah kerana orang lain. Tetapi, tidak salah kita berubah kerana taatkan suami. Mungkin dari langkah pertama itu, kita akan mendapat rahmat ALLAH dan menjadi isteri yang solehah,” jawab Hayati dengan tertib sopan.

Pak Nordin tersenyum puas. Entah kenapa, dia rasa Hayati calon yang layak untuk Dwen.

Selepas itu, Pak Nordin menyerahkan pula kepada Nureen dan Syerif untuk menyoal. Agenda soal jawab itu berjalan dengan baik. Semua soalan dijawab dengan baik walaupun ada jawapannya amat tidak disenangi oleh juri.

“Awak semua suka aktiviti lasak tak?” tanya Syerif.

Enie Ros mengangkat tangan. Syerif angguk membenarkan dia menjawab.

“Saya sangat suka. Hujung minggu, saya lebih banyak habiskan masa di gym atau ikut kawan-kawan mendaki gunung,” jawab Enie Ros.

“Anda tak main golf? Biasanya itu cara orang-orang kaya keluarkan peluh,” tanya Syerif pula.

“Tak semua. Saya paling tak suka golf dan saya rasa tempat tu sangat membosankan. Daripada saya pukul bola dan tunggu, lebih baik saya kayuh basikal atau berjogging.”

“I suka main golf. Kalau boleh setiap hari I nak ke padang golf,” jawab Dayana dengan cepat.

“Kenapa?”

“Seperti yang encik juri kata tadi, ia lambang sukan orang kaya. Jadi, ia sesuai dengan jiwa I.” Dayana tersenyum bangga. Matanya menjeling ke arah Enie Ros. Mereka saling menjeling.

“I suka aktiviti bermotor. I ada 3 buah motor besar dan I adalah ahli seumur hidup sukan bermotor itu,” kata Maisara pula.

Syerif meneliti personaliti Maisara. Langsung tidak ada ciri-ciri gadis lasak. Dia nampak lemah lembut dan seksi dengan gaun merah jambunya.

“Encik juri, perlukah aktiviti lasak untuk seorang isteri?” tanya Narita yang sejak tadi mendengar semua jawapan rakan-rakannya.

“Yalah... soalan dah makin merepek-repek pulak. Kami ni dah haus dan lapar encik juri oi!” sokong Melisa. Yang lain-lain bertepok tangan, menyokong. Hanya Hayati yang tersenyum memerhati.

Syerif menyengih. Dia membiarkan tepokan itu memenuhi ruang. Dia memberi masa mereka rasa gembira kerana dapat mengenakannya!

“Encik juri, boleh jawab?” tanya Julia Hanan, menyengih-nyengih.

“Soalan saya ada sebabnya. Saya tak buat soalan merepek-repek. Memang seorang isteri tu perlu sedikit lasak. Kalau tak lasak, macam mana nak uruskan rumah tangga. Nak kemas, nak masak, nak jaga anak. Nanti nak dukung anak pun tak kuat,” jawab Syerif.

“Encik juri, tolonglah. Bukan kami yang nak kena buat semua tu!” kata Narita.

“Sejak lahir, kami semua tak pernah buat semua tu. Bukan kerja kami. Tak ada maknanya kahwin anak datuk, kalau semua tu nak kena buat sendiri,” sokong Melisa.

Tepokan bergemuruh.

“Habis, siapa yang nak kena buat?” tanya Syerif lagi, sengaja buat bodoh.

“Orang gaji atau pembantu rumah atau maid. Mereka yang akan buat semua kerja rumah. We are queen. Jadi, perintah saja,” kata Julia Hanan dengan kuat.

Syerif tersengih-sengih. Dia tidak berhajat untuk menyoal lagi. Walaupun awalnya, dia mencatat beberapa soalan yan glebih mencabar. Semua jawapan yang dikehendaki Dwen sudah didengar. Dia berharap Dwen sudah ada keputusan dalam pemilihannya.

“Cik Nureen, silakan.” Syerif berpaling kepada Nureen.

Nureen bersedia. Dia semakin selamba dan tenang.

“Di mana tempat shopping yang paling anda suka pergi? Pasar malam? Atau Jalan Tuanku Abdul Rahman,” tanya Nureen, sengaja menghangatkan suasana.

“Come on cik juri! Awak ni sengaja nak jatuhkan maruah kami ke apa? Kami semua ni anak VIP. Tak mainlah pasar malam. Tempat-tempat seperti Jalan TAR tu hanya layak untuk orang-orang macam awak!” Qalesya bangun dan separuh menjerit.

“Betullah! Entah siapa yang beri kuasa dia jadi juri tak tahulah. Muka macam ni, nak buat penilaian atas kita? Kan girls?” Dayana bangun. Wajahnya merah padam. Ternyata, dia disokong padu oleh peserta yang ada kerana selepas itu, tepokan gemuruh kedengaran lagi.

Mereka merenung tajam ke arah Nureen!


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.