Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 18

Dwen memandu ke rumah Pak Nordin. Selain untuk menghantar asam pedas dan tomyan yang dibeli, dia juga ingin berbincang dengan Pak Nordin mengenai tindakan seterusnya.

“Buat apalah Dwen susah-susah ni. Kami dah siap makan pun,” kata Pak Nordin ketika menyambut Dwen di muka pintu.

“Simpan sajalah. Esok Mak Siah tak payah masak,” jawab Dwen selamba.

“Dwen pergi kedai De’Tomyam?”

Angguk.

“Dengan siapa?”

“Dengan bakal isteri saya.”

“Karina Tan Sri Halim?”

Angguk lagi.

Pak Nordin diam termenung. Wajahnya nampak keliru. Boleh pulak Karina ikut Dwen pergi makan di restoren biasa macam tu?

“Dila kirim salam,” kata Dwen sambil berpaling ke arah Pak Nordin.

Pak Nordin menjawab salam itu. Dia masih termenung.

“Apa akal kita sekarang Pak Nordin?”

“Akal apa pulak?”

“Saya dah makin tak berkenan dengan budak tu. Saya bimbang lama sikit lagi saya akan termuntah.” Dwen mencebik. Semua yang berlaku diceritakan.

“Dwen dah tahu tempat tu bukan citarasa dia, tapi Dwen bawa juga dia ke sana. Buat apa? Dah sekarang sakit hati sendiri,” kata Pak Nordin dengan ketawa geli hati. Wajah Dwen yang masam kelat itu mencuit hatinya.

“Saya tak buat semua tu tanpa muslihat, Pak Nordin.”

“Muslihat? Nak jadi macam Siti Muslihat yang ditemui oleh Tun Nila itu. Hmm... cuba beritahu saya, apa muslihat Dwen itu?”

“Saya nak uji selera dan citarasa dia. Sekarang saya dah tahu siapa dia. Kertas ujian yang pertama dia dah gagal. Tapi saya dah tahu pada kertas-kertas seterusnya pun sama. Dia akan gagal. Jadi saya tak nak buang masa saya.”

Pak Nordin faham maksud kata-kata Dwen itu.

“Kalau macam tu, beri saja kata putus pada dia. Jangan biarkan kes tertangguh,” balas Pak Nordin.

“Kat sini saya ada masalah. Apa alasan yang saya nak berikan kepada Datin Rodziah dan Datuk Haris tu?”

“Terus terang saja. Kata Dwen tak suka. Beritahu mereka, antara Dwen dan Karina tak ada kimia. Kalau dah tak ada kimia, tak akan aman hidup berumah tangga.”

Dwen tergelak lama. Kata-kata Pak Nordin sangat lucu.

“Kenapa Dwen ketawa? Salahkah apa yang saya cakap?” tanya Pak Nordin terpinga-pinga mencari silapnya.

“Semuanya betul. Tak ada silap. Saya cuma rasa lucu pada perkataan ‘kimia’ tu. Selalu dengar orang cakap ‘chemistry’,” balas Dwen, masih ketawa. Pak Nordin ikut ketawa.

“Pak Nordin ni pencinta Bahasa Melayu. Selagi ada perkataan yang boleh guna, gunalah. Asal tak cakap bahasa orang lain. Bahasa Jiwa Bangsa,” kata Pak Nordin mendabik dada. Ketawa Dwen bersambung.

“Papa dan mama saya tak faham hal ni, Pak Nordin. Lagipun, saya memang dah minta tempoh. Kalau dalam masa terdekat ni, saya dapat cari gadis pilihan hati saya maka ada alasan saya nak menolak Karina. Kalau tidak, kenalah saya duduk sereban dengan ayam Belanda tu!” rungut Dwen.

Kali ini ketawa Pak Nordin semakin galak. Begitu juga dengan Dwen.

“Ketawa tu ketawa juga Pak Nordin, tapi kena cari jalan ni. Saya cemas dah ni.”

Wajah Dwen berubah risau. Serta merta wajah Pak Nordin ikut berubah. Dia mula bersimpati dengan Dwen. Benar-benar majikannya itu tidak suka kepada pilihan mama dan papanya.

“Gadis-gadis yang pernah Dwen berkawan tu, tak ada ke yang berkenan di hati?” tanya Pak Nordin.

“Semuanya sama dengan Karina tu Pak Nordin. Berlagak. Sombong dan angkuh. Tak ada yang lemah lembut dan pandai masak.”

Wajah Pak Nordin berkerut. Tidak lama, dia menoleh kepada Dwen dengan senyum girang.

“Saya ada idea!”

Dwen kerdipkan mata, memberi izin kepada Pak Nordin untuk meluahkan ideanya. Dia ikut teruja.

“Apa kata kalau kita kumpul semua gadis-gadis peminat Dwen itu pada satu majlis. Kita uji mereka. Kita buat kuiz ke. Mungkin dalam ramai-ramai tu ada yang sesuai,” kata Pak Nordin, tersenyum.

Dwen diam berfikir. Lama. Dia menimbang-nimbang buah fikiran itu. Akhirnya, dia rasa ada benarnya kata Pak Nordin itu. Mungkin dia perlu buat satu saringan secara resmi untuk memilih calon isterinya.

“Baiklah. Nanti saya aturkan pertemuan dengan mereka. Wah, rasa macam putera raja nak pilih isterilah pulak. Melampau tak idea ni kalau orang tahu. Pak Nordin?”

“Eh, apa pulak. Tengok kat tv pun sekarang ada program memilih menantu. Itu lagilah, seluruh dunia orang boleh tengok. Siap ada undian lagi!” Pak Nordin tergelak.

“Tapi, saya masih kena berdepan dengan datuk dan datin tu. Apa yang saya nak beritahu mereka.”

Pak Nordin menggaru kepala. Memang itu Dwen kena cari jalan sendiri. Akalnya tidak sampai untuk berfikir hingga ke situ.

“Apa kata kita tak payah beritahu mereka,” kata Dwen.

“Kalau mereka dapat tahu dari orang lain, macam mana?”

Dwen berfikir sejenak. Kalau mama dan papanya dapat tahu dari orang lain, akan lebih keruhlah suasana.

“Kalau macam tu, kena beritahu juga. Nanti saya fikirkan cara nak beritahu mereka. Kalau macam tu, saya balik dululah Pak Nordin. Kita jumpa di ofis esok,” kata Dwen sambil bangun dan berjalan ke pintu.

Pak Nordin menghantarnya sampai keliabt kereta Dwen hilang dari pandangan.

“Kenapa dengan bos kecik abang tu datang malam-malam ni, bang?” tanya Mak Siah, dari belakang Pak Nordin.

“Dia belikan asam pedas dan tomyan ni untuk kita.” Pak Nordin menghulurkan bungkusan yang ada di atas meja.

“Baik betul bos kecik abang tu ya. Jarang ada bos nak ambil berat pasal drebar. Apa lagi nak datang berkunjung rumah buruk macam rumah kita ni,” kata Mak Siah.

“Memang dia ni lain dari yang lain. Dengan adik beradik dia yang lain pun dia memang tak sama. Dengan Datuk Haris, lagi jauh beza perangainya. Kadang-kadang saya tak rasa yang saya ni drebar kalau ada bersama dia. Dia ajak minum dan makan bersama. Kadang-kadang dia marah kalau saya pakai unifom.”

“Kenapa pulak?”

“Sebab katanya, kerana baju itu membezakan darjat kita. Walhal manusia itu sama saja di sisi ALLAH.”

Mak Siah diam terharu. Ingatkan dalam drama dan filem atau dalam novel sahaja ada manusia yang macam ni, rupa-rupanya ia memang wujud di alam nyata.

“Abang nak makan ke asam pedas ni?”

“Ish! Abang dah kenyang. Simpan untuk lauk kita esok sajalah.”

“Kalau macam tu, saya simpan dalam peti dululah. Esok tinggal panaskan kalau nak makan,” kata Mak Siah sambil berlalu dari situ. Baru beberapa langkah, Pak Nordin memanggilnya.

“Yah, awak ada kenal mana-mana anak gadis yang pandai masak masakan kampung tak?”

“Abang nak buat apa pulak?” Mak Siah menoleh.

“Ada ke tidak?”

“Zaman sekarang ni bang, anak gadis dah belajar tinggi-tinggi dan bekerja. Mana ada yang nak masuk ke dapur lagi. Kalau ada pun mereka lebih suka masak menu orang putih atau masakan moden. Tapi, kenapa bang?”

“Bos kecik saya tu tengah nak cari bini. Dia pulak tak nak orang kaya. Tak nak anak datuk. Tak nak yang pangkat besar. Dia nak cari yang pandai masak dan mengemas rumah. Terutama kalau pandai masak masakan kampung. Terutama lagi, kalau pandai masak gulai siput daun kaduk,” jawab Pak Nordin, menyengih.

“Ai! Berapa banyak terutama ni?” Mak Siah ikut menyengih. Dia rasa pelik dengan kemahuan Dwen itu.

“Gulai siput daun kaduk... kalau kat kampung kita, hanya anak dara Pak Said tu yang serba pandai. Kalau memasak, memang saya pun kalah,” sambung Mak Siah lagi.

“Mak pun ada cakap macam tu. Itu yang dia sibuk nak cari Puteri tu.”

“Nak cari kat mana? Bukankah Puteri dah ikut mak dia balik ke Indonesia tu?”

“Mak dah dapatkan alamatnya. Cuma Dwen ni ada masalah sikit. Datuk dan datin nak jodohkan dia dengan anak Tan Sri Halim. Dwen pula tak suka. Dia sedang mencari-cari alasan untuk menolak jodoh tu,” jawap Pak Nordin.

Mak Siah terdiam. Celaru fikirannya memikirkan cerita yang baru didengarnya itu. Alangkah bertuah gadis yang dapat menjadi isteri bos kecik suaminya itu!


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.