Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 16

Lepas maghrib, Dwen bersiap-siap. Temu janjinya dengan Karina akan ditunaikan malam itu. Ujian pertama untuk gadis anak Tan Sri Halim itu akan bermula malam ini. Jika ia lulus, akan ada saringan kedua pula.

Dwen tersenyum-senyum. Teringat kata-kata Syerif – macam rancangan realiti di tv.

Ketika membuka pintu, dia terserempak dengan Datuk Haris dan Datin Rodziah yang tersembul di pintu.

“Nak ke mana ni?” tanya Datuk Haris.

“Nak keluar sekejap, papa.”

“Dengan siapa? Dengan gadis-gadis gedik itu ke?” Datin Rodziah pula mencelah. Matanya meneliti Dwen dari atas ke bawah. Dwen bertopi, berseluar jeans dan berkemeja T. Sangat selekeh. Memang tak berkenan langsung.

“Saya ada temu janji makan malam dengan bakal menantu mama tu,” jawab Dwen sambil menyarung kasut.

“Dengan Karina?”

Dwen angguk dengan senyuman yang dibuat-buat. Seperti sedang mengejek Datin Rodziah pun ada.

“Pakai macam ni?” Mata Datin Rodziah melorot tajam.

“Apa salahnya? Bukannya nak makan kat hotel lima bintang pun!” Dwen menjawab selamba.

“Habis, kamu nak bawa dia makan di mana?” Suara Datin Rodziah melengking kuat. Dia seperti orang tersedak.

“Di kedai mamak atau di warung tepi jalan.”

“Dwen! Tolong jangan buat mama malu,” kata Datin Rodziah separuh merayu. Matanya tepat mencari simpati di dalam mata Dwen.

“Dia kena belajar sesuaikan diri dengan semua tu. Dia kena belajar hidup susah,” jawab Dwen, semakin selamba. Dia segera melangkah tanpa menoleh lagi. Dia mahu bertindak dengan caranya. Kalau boleh dia tidak mahu hatinya diracuni dengan kehendak mama dan papanya yang dirasakan sangat duniawi itu.

Dia tidak boleh tunduk kepada kehendak orang lain. Dia perlu tegas. Itu yang dipasak dalam dirinya ketika itu!

Sebenarnya dia belum memutuskan untuk membawa Karina ke restoren mana. Dia masih tercari-cari. Kepalanya ligat berfikir.

‘Baik bawa dia makan asam pedas di Selayang Pandang. Nak tengok dia tahan pedas ke tidak.’

Sedang dia berfikir-fikir itu, telefonnya berdering. Dia tahu itu mesti Karina.

“You ada kat mana?” tanya Karina, tanpa salam.

“Saya dalam perjalanan. Awak tunggu saja. Nanti saya datang ambil awak,” jawab Dwen dengan tersenyum-senyum.

“Okey, saya tunggu. Jangan lambat sangat sebab saya dah lapar ni,” kata Karina. Talian diputuskan.

Dwen memandu sambil bersiul mengikuti irama lagu ‘Angin Malam’ nyanyian Broery Marantika. Dia tahu dia kena tenangkan hati. Sekejap lagi, perang kecil akan meletus dan dia kena bersedia dengan baju kalis peluru.

Setengah jam, dia masuk ke kawasan Bukit Antarabangsa. Walaupun baru sekali datang ke banglo Tan Sri Halim, rasanya dia tidak akan sesat. Mata fikirnya sangat tajam. Sekejap sahaja, keretanya sudah berada betul-betul di hadapan pagar. Dan pintu pagar itu segera terbuka. Dwen terus memandu masuk.

Karina segera keluar.

“Ya ALLAH, dia nak pergi makan ke nak pergi majlis perkahwinan ni?” tanya Dwen sambil menepuk dahi. Karina bergaun labuh hitam bersulam labuci dan manik-manik berjuraian. Memang sangat cantik. Tetapi temanya langsung tidak kena dengan tempat yang akan mereka pergi.

“Kita nak dinner di mana? You dah booking ke?” tanya Karina selepas duduk dengan selesa.

“Tak payah booking. Kita terjah saja.”

“Kalau tak ada tempat macam mana?”

“Kalau tak ada, kita cari tempat lain,” jawab Dwen dengan tenang dan selamba. Dia terus memandu. Lagu-lagu Broery Marantika masih mengiringi perjalanan itu. Sekali-sekala dia menjeling ke arah Karina yang asyik membetulkan bajunya.

Dwen membelok ke kanan.

“You nak pergi hotel mana sebenarnya ni?” tanya Karina, mula curiga.

“Siapa kata saya nak ke hotel?” Dwen menoleh.

“Habis, kalau bukan ke hotel kita nak ke mana?”

“Kita pergi makan. Awak ikut sahaja,” jawab Dwen sambil tersenyum. Dia tahu kegelisahan mula tumbuh di hati Karina. Dia membiarkan. Siulannya semakin nakal.

Tidak lama dia berhentikan kereta di hadapan Restoren D’ Chief Tomyam Seafood, di Selayang Pandang. Tempat yang dia selalu datang dengan Pak Nordin.

“Dah sampai,” kata Dwen mematikan enjin kereta.

Karina tertoleh-toleh.

“Mana hotelnya?”

“Hotel apa?”

“Habis, kita nak dinner kat mana?”

“Tu! Kat restoren tu!” tunjuk Dwen ke arah restoren yang penuh dengan pelanggan.

“Hah? You nak suruh I makan kat sini? You...”

“Apa salahnya. Makanan kat sini halal dan sedap. Saya dengan Pak Nordin selalu makan di sini. Asam pedasnya sangat istimewa,” potong Dwen sebelum Karina terus merungut.

“Jadi? You nak samakan I dengan Pak Nordin?”

“Manusia itu sama saja di sisi ALLAH. Darjat keturunan tu hanya ciptaan manusia,” jawab Dwen sedikit meninggi.

“I tak nak makan kat sini. Ini bukan tempat I. Tempat ni kotor dan tak sesuai dengan I,” kata Karina ikut meninggikan suara.

Hati Dwen mula tercabar. Separuh dari markah yang hendak diberikan terpaksa ditolak. Karina tidak malu menunjukkan belangnya. Namun, dia sudah bersedia.

“Awak nak ke tidak, terpulang pada awak. Tapi, saya tak akan pergi ke tempat lain kerana saya nak makan asam pedas ikan pari. Hanya kat sini paling sedap,” kata Dwen.

“Kalau macam tu, awak hantar saya balik. Biar saya mati kelaparang tak apa, tapi saya tak akan makan di tempat yang macam ni.”

“Saya akan hantar selepas saya makan. Kalau awak tak nak makan, awak tunggulah di sini. Saya makan dulu,” kata Dwen, berjalan ke arah restoren.

“Dwen!” jerit Karina. Namun, Dwen tidak menoleh. Dia sengaja berbuat begitu.

Dia mencari tempat duduk dan duduk dengan selesa.

Tidak lama, Karina datang mendekati meja.

“You nak hantar I balik ke tidak ni?” Karina berdiri sambil bercekak pinggang.

“Awak tak faham apa yang saya cakap? Kan saya kata saya lapar dan saya nak makan dulu. Nanti lepas saya makan, saya hantar awak balik,” jawab Dwen dengan senyuman.

“You dah mungkir janji. You janji nak dinner dengan I.”

“Bila pula saya mungkir. Sekarang saya bawa awak untuk makan kan? Awak yang tak makan. Tak apalah, saya boleh makan sendiri.”

Dwen menjeling wajah Karina yang masam. Akhirnya dia menarik kerusi dan duduk. Dwen tersenyum menang. Dia lalu melambai seorang pelayan.

“You jangan ingat I duduk sebab nak makan. I geli nak makan tempat macam ni. I cuma nak tunggu you makan. I nak tengok selera selekeh you ni. I nak...”

“Cukuplah Karina! Kalau awak tak nak makan, tak usah menghina tempat ni, okey!” tengking Dwen, dengan keras.

“Dila!” panggil Dwen tanpa mempedulikan Karina. Seorang gadis pelayan menoleh ketika mendengar namanya dipanggil. Dia datang dengan senyuman manisnya.

“Abang Dwen! Nak makan apa hari ni?” tanya gadis yang dipanggil Dila tadi.

“Macam biasa.”

“Untuk dua orang?” tanya Dila sambil menoleh kepada Karina.

“Tak. Untuk abang sorang saja. Dia ni puasa,” balas Dwen, memperli.

Mendengar kata-kata Dwen itu, Dila ketawa mengekek. Wajah Karina pula merah padam. Nampak macam dia ingin menerkam Dwen kalau diberi peluang.

“Abang nak minum apa?” tanya Dila lagi.

“Macam biasa juga,” jawab Dwen dengan ketawa. Dila ikut ketawa dan berjalan untuk menghantar pesanan ke dapur.

“Wah, bukan main lagi you ni kalau bercakap dengan gadis ya. Patutlah you suka datang ke sini, ada pelayan cantik. Saja nak menggatal. Lepas tu kata, masakannya sedap.” Karina berleter.

“Jaga mulut awak ya! Awak ni siapa nak atur hidup saya?”

“Helo, you tak sedar ke yang I  ni bakal isteri you?” tanya Karina menjengilkan mata.

Dwen membiarkan. Selepas juadah yang dipesan sampai, dia makan dengan selamba. Langsung dia tidak mempelawa Karina dan langsung dia tidak menoleh. Seolah-olah Karina tidak wujud di hadapannya.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.