Datin
Rodziah rasa macam nak menangis. Berita
yang baru diterima dari Karina, sangat mencabar perasaannya. Dia tidak percaya
kalau Dwen akan berbuat begitu. Dwen telah membelakangi dia dalam membuat
keputusan sebesar itu.
Ketika
itu dia dan Datuk Haris berada di PWTC kerana bertemu beberapa orang rakan
dalam perniagaan IT.
“You
kenapa? Tiba-tiba saja macam orang melihat hantu. Tiba-tiba termenung macam
ni?”
“Anak
kita bang.”
“Siapa?
Asyraf? Juliana?”
“Dwen.”
“Kenapa
dengan anak bongsu awak tu? Dia dah balik? Dah mula bekerja ke? Lega hati saya
kalau dia dah ada. Banyak projek IT perlukan pemantauan dia,” kata Datuk Haris
dengan wajah ceria lega.
“Dia
dah kahwin?” Datin Rodziah menjawab tanpa menoleh.
“Apa
yang awak merepek ni? Tan Sri Halim tak cakap apa-apa pun masa saya main golf
dengan dia semalam?”
“Sebab
anak awak tu tak kahwin dengan anak dia.”
“Habis,
kalau bukan dengan Karina Dwen kahwin dengan siapa?” Wajah Datuk Haris mula
berubah. Matanya menatap wajah Datin Rodziah dan menanti jawapan dari bibir
isterinya itu.
“Itu
yang saya tak tahu. Karina baru call. Dwen dah bawa isterinya ke ofis dan
kenalkan kepada semua staf. Kenapa dia tak cakap dengan kita?”
Datuk
Haris termenung sambil mengetap bibir. Tiba-tiba marahnya muncul dan memuncak. Kalau
Dwen ada di hadapannya, mahu muka Dwen ditumbuknya sampai pecah.
“Biadap
sungguh!” kata Datuk Haris separuh berbisik. Dia tidak mahu ada yang mendengarnya.
“Habis,
apa kita nak buat sekarang?”
“Ini
semua awak punya pasal. Awak yang pandai-pandai nak singkatkan tempoh yang saya
beri. Saya beri enam bulan, awak pandai-pandai beri dia sebulan sahaja. Entah
gadis macam mana yang diangkut buat isteri tu!”
“Yalah.
Kalau salah semuanya saya. Kalau betul semuanya awak. Saya terimalah kesalahan
saya. Tapi, sekarang bukan masanya nak bertekak. Apa kita nak buat sekarang?
Apa kita nak jawab dengan tan sri?” Suara Datin Rodziah meninggi.
Datuk
Haris termenung. Matanya terkebil-kebil bingung. Memang macam ayam berak kapur
rupanya!
“Call dia suruh balik.
Suruh bawa balik bini dia tu!”
“Eee... saya tak nak
jumpa gadis tu. Kalau awak nak jumpa, awak call sendiri.”
“Jangan degil sangat.
Degil tu tak selesaikan masalah,” kata Datuk Haris. Hatinya mula bercelaru. Dia
tidak terfikir Dwen akan berjaya mencari isteri pilihannya. Dwen itu sejak dari
kecil memang lain dari anak-anaknya yang lain. Suka menyendiri dan sukakan
perkara yang lain dari kesukaan mereka sekeluarga. Dia tidak ramai kawan, apa
lagi kawan wanita. Ia berbeza dengan Asyraf, anak sulungnya yang suka enjoy dan
dikelilingi teman wanita.
Datin Rodziah pula teringat kata-kata Dwen.
Dia akan madukan Karina. Tak mungkin. Dia tidak akan setuju. Puan Sri Norlaila
juga pasti tidak setuju.
Datin Rodziah tidak
mahu bercakap dengan Dwen. Hatinya sakit sangat. Rasa terhiris dan pecih. Anak
bertuah itu sudah memalukannya. Lebih baik dia menyampaikan pesan kepada
Nureen, PA Dwen.
“Awak beritahu bos
awak, suruh dia balik ke rumah kami malam ni. Penting!”
Itu pesan yang
diucapkan. Lepas itu, dengan cepat dia meletakkan telefon.
Dwen menerima pesanan
itu dengan senyum. Dia tahu, mamanya mesti sudah menerima khabar itu dari
Karina.
“Mama suruh abang balik
ke sana malam ni. Sayang dah bersedia?” tanya Dwen ketika mereka dalam
perjalanan pulang dari ofis.
“Kenapa? Akan ada
puting beliung ke di sana?”
“Sayang takut kalau ada
puting beliung dan guruh?”
Andika tersenyum. Dalam
senyuman itu, ada juga rasa seram dan berdebar. Maklum, akan bertemu mertua
yang memang tidak pernah dikenali. Orang kaya pula tu. Entah apa yang akan
terjadi nanti.
“Saya dah jadi isteri
abang. Apapun yang tiba, saya akan tetap di belakang abang. Selagi abang tak
lafazkan talak, selagi itu saya tak akan berganjak.
Dwen rasa bahagia.
“Tapi, saya cuma
bimbang abang yang berubah dan menyerah kalah,” kata Andika perlahan.
“Apa alasan sayang nak
meragui abang?”
“Sebab kita tak
bercinta. Tak ada apa-apa perasaan pun dalam hati abang selain ingin melepaskan
diri dari Karina,” jawab Karina. Dia tunduk tidak menoleh.
Dwen mencuri pandang.
Andika memang isterinya yang tidak pernah dicintai dan disayangi. Pertemuan
mereka amat singkat. Dia ada sebab yang kuat untuk menjadikan Andika isterinya.
Memang benar dia terdesak kerana ingin larikan diri dari Karina. Selain itu,
dia juga ingin selamatkan Andika dari ancaman bekas bapa tirinya. Yang lebih
penting ialah takdir dan jodoh yang ALLAH tetapkan.
“Sayang, memang benar
kata-kata sayang tu.” Dwen terus memandu. Matanya tertumpu ke jalan raya.
“Kan betul apa yang
saya kata? Saya tahu apa sebab sebenar abang kahwin dengan saya. Jadi, saya tak
letakkan harapan yang tinggi pada abang. Satu hari kalau abang jumpa orang yang
abang cintai, saya rela.” Suara Andika kedengaran sebak.
“Rela apa?”
“Rela untuk dilepaskan
atau dimadu,” jawab Andika. Matanya dilepaskan ke jalan raya. Debu-debu yang
berterbangan itu adalah seperti nasib dirinya. Sangat ringan dan mudah
bertaburan.
Dwen pula mendengar
kata-kata itu dengan senyuman. Dia tidak mahu membela diri. Biarkan Andika
membuat hukuman sendiri. Dia sendiri tidak tahu bagaimana rasa orang jatuh
cinta kerana selama ini, dia tak pernah jatuh cinta. Namun, dia rasa hatinya
sedang mengalami satu perubahan yang sangat mengasyikkan.
Adakah itu cinta?
Mereka sampai di
Apartment Mutiara Tanjung dengan selamat. Selepas pintu dibuka, Andika segera
berlari ke bilik. Dwen kehairanan.
“Kenapa sayang? Sakit
perut ke?”
“Tak ada, kita dah
lambat untuk solat asar. Cepat imam! Jangan berlengah lagi. Tunaikan tanggungjawab
anda!” Suara Andika kedengaran sayup dari arah bilik.
Dwen terteleng-teleng. Kemudian
tersenyum.
“Alhamdulillah, syukur
pada-MU ya ALLAH!” bisik Dwen dengan rasa syukur dan sebak.
Dia ikut berlari, masuk
ke biliknya dan mencapai tuala terus pula ke bilik air. Dia perlu mandi. Tidak
selesa untuk mengerjakan solat dengan tubuh yang melekit berpeluh.
Ketika dia keluar dari
bilik air dengan wuduk yang sempurna, Andika sudah sedia dengan hamparan sejadah.
Tanpa berlengah, Dwen
berdiri tegap bersemangat menyerah diri kepada ALLAH dengan membawa Andika
sebagai makmumnya!
Malam itu, mereka melangkah
ke banglo Datuk Haris dengan dada yang lapang dan jiwa yang tenang.
“Apa jadi pun, sayang
jangan susah hati. Biar abang yang jawab. Sayang diam saja,” pesan Dwen ketika
kaki mereka masuk ke ruang tamu yang mewah itu.
Andika angguk patuh.
Hatinya memang berdebar-debar. Maklum, pertama kali akan berdepan dengan
mertua. Namun dia akan reda dengan apa yang akan berlaku dan akan ikut perintah
Dwen.
“Oh! Anak bertuah mama
dah sampai ya!” Datin Rodziah turun dari tingkat atas dengan senyum menyindir.
Di belakangnya adalah Datuk Haris yang masam mencuka.
Dwen dapat rasakan
suasana ‘panas’ dalam rumah itu. Dia segera menarik tangan Andikan dan
menggenggamnya erat. Tidak mahu dilepaskan lagi tangan itu. Dapat dirasakan ada
getaran kecil pada tangan Andika yang sejuk itu.
Datin Rodziah dan Datuk
Haris duduk di sofa. Mata mereka merenung tajam ke arah Andika. Setiap inci
wajah itu dinilai dengan senyum sinis.
Dwen segera mendekat
dan ingin bersalaman. Namun salamnya tidak disambut. Malah dia terus diserang
bertubi-tubi.
“Apa yang kau buat ni
Dwen? Kau ingat kau dah besar ya, sebab itu kau dah pandai nak belakangkan
kami. Kau buat sesuka hati kau. Kau buat kami ni macam tak wujud dalam hidup
kau!” tengking Datuk Haris, kuat.
“Papa, saya minta
maaf.”
“Minta maaf? Cukup
untuk menyapu malu yang kau beri ni?” balas Datuk Haris lagi.
“Dwen, kenapa buat kami
macam ni? Bernikah tak beritahu. Suka-suka buat kami malu!” kata Datin Rodziah
pula.
Dwen diam. Dia rasa
tidak perlu menjawap dan mempertahankan diri ketika itu. Berdiam diri itu lebih
baik. Mereka tidak akan mendengar penerangannya. Mereka akan tetap
menyalahkannya. Biarlah. Dia tidak membawa minyak untuk disimbahkan pada api!