Pagi itu, selepas bersarapan
dan bersiap-siap untuk ke ofis Dwen menerima panggilan telefon dari mamanya.
Andika masih di dapur, mengemas pinggan mangkuk.
“Sayang, mama baru
call. Dia ajak kita balik tinggal dengan dia. Apa pendapat sayang?” Dwen muncul
di dapur.
“Betulkah bang? Alhamdulillah...
akhirnya ALLAH perkenankan doa saya,” jawab Andika dengan senang hati.
“Sayang setuju?” Wajah Dwen ceria.
“Perkara baik, buat apa
nak bantah. Bila dia nak kita pindah ke sana?”
“Hari ini juga.”
“Baiklah, lepas ni saya
kemaskan kain baju kita.” Andika meneruskan kerja. Dwen pula masih berdiri dan
kebingungan.
“Sayang...”
Andika menoleh.
“Kenapa baby?” tanya
Andika, bergurau.
Dwen diam. Langsung
tidak tersenyum dengan gurauan Andika itu.
Dengan cepat Andika
mengesat tangannya dan mendekati Dwen.
“Abang, maafkan saya.
Ada apa ni?”
“Abang rasa pelik.
Kenapa tiba-tiba mama berubah? Macam ada yang tak kena. Abang rasa macam ada
muslihat,” jawab Dwen. Dia memang cuak dan keliru. Dia kenal siapa mamanya.
Kalau dia tidak suka, maknanya memang begitulah selamanya.
“Abang, jangan
berprasangka buruk. Hati manusia ni milik ALLAH. Bila-bila masa akan berubah
dengan izin-NYA,” kata Andika dengan tenang. Dia cuba melindungi rasa.
Dwen mengeluh. Dia cuba
memujuk hati agar tidak curiga. Mungkin benar seperti kata Andika, mamanya
sudah berubah.
Sebenarnya, apa yang
ada dalam fikiran Dwen itu sama seperti apa yang ada dalam fikiran Andika.
Namun seboleh-bolehnya dia cuba menutup perasaannya. Dia tidak mahu Dwen
renggang dengan kelaurganya.
‘Mesti ada muslihat.
Aku kena berhati-hati.’ Itu yang terdetik dalam fikiran Andika.
Andika mengemas masa
yang perlu. Pakaiannya tidak banyak.
“Tak payah bawa baju
banyak-banyak. Anggap kita bertandang saja kat rumah mama tu. Hujung minggu
kita balik ke sini. Ini rumah abang. Abang lebih suka di sini,” kata Dwen
ketika melihat Andika melipat baju.
Andika senyum. Dia
faham apa yang ada dalam hati suaminya.
Dengan hanya sebuah beg
besar, mereka tiba di pintu rumah Datuk Haris ketika hampir waktu maghrib.
“Wah! Dah sampai anak
menantu mama!” Datin Rodziah keluar menyambut dengan lagak yang tersangat
mesra. Dia memeluk Andika.
“Ratna apa khabar?”
tanya Datin Rodziah ketika melepaskan
pelukannya.
Andika menoleh kepada
Dwen. Dia rasa janggal. Dwen mengenyitkan mata dengan senyuman menguntum di
bibir.
“B... baik, mama.”
“Marilah masuk. Bilik
untuk kamu berdua dah pun mak suruh bibik kemaskan,” kata Datin Rodziah lagi.
“Terima kasih kerana
mama sudi terima isteri saya,” kata Dwen pula.
“Ish! Isteri Dwen kan
menantu mama. Maafkan mama kerana kata-kata mama hari tu. Mama tahu Dwen
cintakan Ratna dan mama tak dapat nak halang cinta itu lagi. Tak apalah. Kita
lupakan apa yang berlaku tu. Kita mulakan hidup baru,” kata Datin Rodziah lagi.
Dwen menarik tangan
Andika dan berjalan ke arah bilik yang dikatakan.
Wajah Datin Rodziah
kelat. Dia memujuk hati agar bertenang.
‘Biarkan... masih ada
masa untuk kerjakan dia. Dia dah masuk perangkap dan akan mati dalam perangkap
ini nanti,’ bisik hati Datin Rodziah. Dia melangkah ke dapur, mencari Bik Ijah.
Dia perlu memberi arahan baru kepada pembantu rumahnya itu.
“Bik, mari sini saya
nak cakap,” panggil Datik Rodziah sambil punggungnya dilabuhkan ke kerusi.
Bik Ijah patuh
mendekat.
“Mulai hari ni, bik tak
payah masak. Bik buat kerja-kerja lain saja.”
“Kenapa? Adakah masakan
bibik tak sedap?” Bik Ijah berwajah bimbang.
“Bukan itu. Saya nak
menantu saya yang masak untuk keluarga ini. Biar dia rasa susah nak uruskan
makan minum orang dalam rumah ni,” jawab Datin Rodziah.
Bik Ijah angguk.
Hatinya kurang senang. Kerja-kerja di dapur sudah menjadi tugasnya dan dia
sangat sukakannya. Tiba-tiba, ruang dapur tempat dia bertugas itu akan
diberikan kepada orang lain.
“Bik, bik tolong saya
boleh?”
“Ada apa datin?”
Datin Rodziah
membisikkan sesuatu ke telinga Bik Ijah.
Wajah Bik Ijah segera
berubah. Matanya melorot ke arah Datin Rodziah.
“Bolehkan bik?”
“Tapi datin...”
“Bukannya susah. Bibik
hanya sepahkan dapur ini. Setiap hari biar dia kena bersihkan. Tumpahkan apa
saja di lantai. Kain baju pun bibik jangan cuci dan gosok. Biar dia buat
semuanya. Saya nak dia kepenatan. Bik buatlah sampai dia susah sikit.”
Bik Ijah tunduk
termenung. Dia serba salah untuk melakukan kerja-kerja yang dianggap keji itu.
Dia orang yang taat kepada ALLAH. Solat lima waktu sehari semalam, tidak pernah
ditinggalkan. Sekarang, dia diajak bersekongkol menganiaya orang.
Datin Rodziah berlalu
dengan senyum.
‘Ya ALLAH, berikan aku
petunjuk-MU,’ doa Bik Ijah dalam hati. Dia kembali menyambung kerjanya yang
terhenti tadi. Fikirannya memang sudah bersawang kesal.
Dwen berpuas hati
dengan bilik yang disediakan oleh mamanya. Bilik itu lebih besar dari biliknya
sendiri di tingkat bawah.
“Abang! Janganlah buat
macam ni. Mama belum habis cakap, kita dah tinggalkan dia. Bukankah kurang ajar
namanya tu!” kata Andika.
“Abang gembira sangat.
Abang macam tak percaya dengan apa yang mama cakap tu!”
Andika tunduk. Dia
tidak tersenyum.
“Sayang, kenapa ni?”
“Entahlah bang. Saya
tak nak cepat gembira. Ini baru permulaan.”
“Abang faham.
Harap-harap mama ikhlas.” Dwen segera mematikan wasangka yang belum reda.
“Lagi satu, macam mana
mama boleh panggil saya Ratna? Dari mana dia dapat nama tu? Abang beritahu
dia?”
“Tak. Mama tak pernah
tanya nama sayang dengan abang.”
“Jadi, dari mana dia
tahu nama tu dan panggil saya dengan nama tu?”
Mereka diam berfikir.
“Mungkin Pak Nordin
atau Nureen.” Dwen menyeluk saku seluarnya. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya.
Tidak lama kedengaran dia menyoal Nureen soalan yang Andika tanyakan kepadanya.
Tidak lama, Dwen
mematikan talian dengan senyuman senang.
“Apa yang abang senyum-senyum
ni?” Andika kehairanan.
“Nora yang beritahu
Karina tentang Ratna tu.”
“Tapi kenapa Nora mesti
bohong?”
“Dia syak Karina nak
main bomoh,” jawab Dwen, masih tersenyum.
Andika ikut tersenyum.
“Takkanlah Karina yang
moden tu akan berfikiran kolot macam tu,” kata Andika.
“Dendam buat orang
hilang akal. Dahlah, biarlah Ratna itu wujud di rumah ini. Biarlah mama dan
Karina panggil sayang dengan nama tu. Jom kita solat dulu. Nanti kita turun ke
bawah. Abang akan tunjukkan ofis sayang yang baru.”
“Ofis?” Andika
berpaling.
“Ya. Sayang pasti suka
dengan ofis baru ni.”
Dwen masuk ke bilik air
untuk berwuduk. Andika masih terpinga-pinga dan berfikir.
“Dah, cepat makmum.
Imam dah siap ni!” kata Dwen ketika keluar dari bilik air dengan muka yang
basah dek wuduk.
Andika diam tidak
berganjak. Kemudian dia tersipu malu.
“Sayang, kenapa?”
“Saya bercuti. Cuti
wajib yang diberi ALLAH. Abang tak ada makmum untuk seminggu ini. Sekian.”
Andika menjawab tanpa menoleh kepada Dwen. Lelaki itu baru dikenalinya.
Kemudian baru pula berkongsi katil dan bilik dengannya. Cerita pasal perempuan
juga perlu dikongsi dengan lelaki itu.
Dwen mula faham. Dia
tidak menyoal lagi kerana dia sendiri pun malu untuk menyentuh hal yang sangat
peribadi itu.