Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 4

Sehingga jam 6.00 petang urusan di pejabat Tan Sri Halim selesai. Pembentangan kertas kerja dan perbincangan berjalan dalam jalinan silaturahim yang baik.

“Benar kata awak Nureen,” kata Dwen dalam perjalanan pulang ke pejabat.

“Apa dia encik?”

“Saya memang perlu belajar dari orang yang berpengalaman. Ijazah saja tak cukup untuk menggerakkan sebuah syarikat. Terima kasih Nureen. Nasib baik saya ada pembantu seperti awak.”

Nureen menerima pujian itu dengan wajah malu.

“Untuk membalas jasa awak ni, jom kita makan dulu sebelum balik. Saya belanja,” kata Dwen, jujur.

“Eh, tak apalah Encik Dwen. Itu memang tugas saya. Tak perlulah nak balas. Saya dah dibayar gaji setiap bulan untuk buat kerja,” balas Nureen.

“Tak apalah. Saya ni ikhlas. Bagilah peluang saya jadi Romeo awak petang ni,” desak Dwen.

Nureen tersenyum senang. Akhirnya ajakan itu terpaksa dipenuhi. Mereka masuk ke dalam kereta yang dipandu Pak Nordin.

“Awak nak makan kat mana? Hotel? Warong? Restoren?” tanya Dwen selepas mereka duduk dengan selesa.

“Saya ikut ke mana Encik Dwen bawa. Saya tak memilih sangat, asal halal dan boleh kenyang,” jawab Nureen.

Dwen termenung berfikir.

“Pak Nordin tahu warong mana yang sediakan makanan yang sedap?” Dwen menoleh kepada Pak Nordin.

“Tak tahu encik. Saya ni jarang makan kat luar. Pada saya masakan isteri saya yang tersedap di dunia,” jawab Pak Nordin, tulus.

“Untunglah ada isteri yang pandai masak kan? Awak pandai masak tak Nureen?” Dwen berpaling pula kepada Nureen.

“Masak air dan telur dadar tu saya tahulah. Itupun selalu hangus!” jawab Nureen dengan ketawa.

“Awak ni dah ada boy friend atau tunang tak?” tanya Dwen lagi.

“Kenapa pula? Apa kena mengena dengan hal ni?”Ketawa Nureen terhenti.

“Awak tak jawab soalan saya, sekarang awak nak soal saya pulak?”

“Sebab soalan encik tak berkaitan langsung dengan topik kita,” jawab Nureen, menyengih untuk cuba menutup kegugupan.

“Siapa kata tak ada kaitan. Kalau awak dah ada boy friend atau tunang, saya nak jumpa dia. Saya nak suruh dia fikir banyak kali sebelum berkahwin dengan awak. Atau dia hantar awak pergi kelas memasak dulu sebelum kahwin,” kata Dwen, bersungguh-sungguh.

Pak Nordin ketawa menyeringai. Nureen hanya menyengih-nyengih.

“Kita nak ke mana ni encik?” tanya Pak Nordin.

“Ermm… kita ke Kampung Selayang Pandang. Kawan saya kata, ada sebuah kedai makan yang ada masakan asam pedas yang sedap.Saya nak rasa. Pak Nordin tahu tempat tu?”

Pak Nordin berfikir seketika.

“Mungkin yang belakang Stesen Minyak Shell tu agaknya.”

“Benar, di situlah.”

“Tapi tempat tu…” Pak Nordin terhenti dan dia teragak-agak.

“Tak sesuai untuk saya?” tanya Dwen. Dia seperti dapat mengagak apa yang ada dalam fikiran pemandunya itu.

“Pak Nordin, saya ni jenis tak memilih. Saya tak kisah pasal tempat janji makanannya sedap. Ayuh! Jangan lengah-lengah lagi. Perut saya dah lapar ni,” kata Dwen menghilangkan keraguan di hati Pak Nordin.

Pak Nordin tidak bertangguh lagi. Dia segera menukar gear dan memandu ke arah yang dikatakan.

Setelah dua kali tersalah jalan dan berpusing-pusing mencari, akhirnya mereka sampai ke Kedai Makan Dila. Gambar semangkuk asam pedas dan beberapa menu lain menarik hati siapa yang memandangnya.

“Nah, inilah dia encik. Dah sampai kita,” kata Pak Nordin.

Ketika mereka sampai, kedai itu masih belum dikunjungi ramai pelanggan. Masih banyak meja yang kosong. Dwen membuka kot dan tali lehernya. Dia rasa dia perlu makan dengan santai.

Kemudian dia turun, diikuti oleh Nureen.

“Pak Nordin, marilah sekali,” ajak Dwen ketika melihat lelaki itu tidak bergerak dari tempat duduknya.

“Tak apalah encik. Encik pergilah dengan Cik Nureen, biar saya tunggu di sini,” jawab Pak Nordin, penuh hormat.

“Pak Nordin, tak tertelan saya kalau Pak Nordin tak ikut. Takkan saya boleh makan sedangkan Pak Nordin duduk menunggu saya di sini. Marilah. Janganlah segan dengan saya.”

“Tapi encik…”

“Sebab saya bos saya tak boleh makan dengan pemandu saya? Pak Nordin, saya ni bukan jenis manusia yang suka membeza-bezakan darjat. Kita sama saja. Yang membezakan kita hanya harta saya. Tapi kalau mati, saya juga bawa kain putih macam Pak Nordin. Jangan malukan saya Pak Nordin,” potong Dwen. Dia membuka pintu dan menarik tangan Pak Nordin.

Pak Nordin turun dengan rasa sebak dan terharu. Akhirnya dengan segala berat hati dia akur. Kebaikan budi Dwen sangat menggetarkan hatinya.

Mereka duduk dengan selesa. Sekeping menu diteliti.

“Wah, semua makanan kegemaran saya ada di sini,” kata Dwen sambil menelan air liur. Tidak lama, seorang pelayan datang mengambil pesanan. Dwen memesan asam pedas ikan keli, kangkung goreng belacan, udang goreng dan sambal sotong. Kemudian dia juga memesan bubur kacang dengan durian sebagai makanan pencuci

“Banyaknya encik order? Boleh habis ke?” tanya Nureen, ragu-ragu.

“Kalau tak habis, kita bungkus bawa balik. Awak tak payah makan mi segera!” kata Dwen selamba.

Nureen senyum.

Telefon bimbitnya berdering. Dengan cepat Dwen keluarkan dari poketnya. Dia melihat nama yang tertera di skrin. Tidak lama bibirnya tersenyum. Dengan senang hati dia menjawap panggilan itu.

“Hai, jejaka Malaya! Awak di mana?”

“Hai, Qalesya! Saya di sebuah kedai makan di Selayang.Sedang menunggu asam pedas masak. Awak nak makan dengan saya? Marilah.”

“Awak dengan siapa?”

“Dengan Pak Nordin dan Nureen.”

Diam. Lama suara Qalesya di hujung talian tidak kedengaran.

“Qalesya, ada apa awak telefon saya ni? Ada projek baik?’ tanya Dwen, dengan ketawa yang sengaja dibuat-buat.

“Ermm… tadi saya ingat nak ajak awak susi di Restoren Jepun yang baru di Berjaya Times tu. Awak dah makan, tak apalah,” jawab Qalesya dengan suara lemah, kecewa.

“Ya ke? Kalau saya belum makan pun, mungkin saya tak akan pergi.”

“Kenapa? Awak dah tak sudi makan dengan saya?”

“Bukan tak sudi makan dengan awak, tapi saya tak pandai makan makanan Jepun tu.Dah nama saya pun Jejaka Malaya. Saya ni original Melayu. Makan masakan Melayu je,” jawab Dwen. Kali ini dia ketawa betul-betul. Kali ini ketawanya tidak dibuat-buat.

Tidak lama, talian diputuskan.

“Orang Melayu dah semakin lupa masakan Melayu,” komen Dwen dengan senyuman sinis.

Nureen ikut tersenyum. Tetapi senyumannya bukan kerana kata-kata Dwen itu.

“Ni, yang awak tersenyum ni kenapa pula? Salah ke apa yang saya cakap?” tanya Dwen, selepas dia berpaling dan melihat senyuman menguntum di bibir pembantu peribadinya itu.

“Cakap encik tu memang benar.Tapi, yang saya senyum ni sebab encik ni memang Romeo juga. Macam-macam nama yang dah saya dengar. Tadi Melisa. Ini Qalesya. Wah! Semua nama hebat dan cantik. Wajah mereka tentu cantik juga,” jawab Nureen, masih tersenyum.

“Itu yang saya hairan. Yang rapat dengan saya semua nama yang hebat, tapi bukan nama Melayu kan? Saya suka orang Melayu yang bernama Melayu.”

“Mana nak cari orang letak nama Bedah, Esah, Tipah lagi sekarang encik. Itu nama kuno, kata mereka,” kata Pak Nordin, ikut tersenyum.

“Saya suka nama yang macam tu, Pak Nordin.”

“Sebab tu, encik tak kahwin sampai sekarang?” tanya Nureen, ingin menduga.

Dwen termenung seketika. Tidak ada jawapan untuk soalan Nureen itu. Dia bukan memilih sangat. Tetapi setakat ini yang ditemuinya adalah yang langsung tidak memenuhi cita rasanya.

“Awak pula, kenapa tak kahwin lagi?” tanya Dwen pula.

“Saya pun belum jumpa jodoh.”

“Awak tak cari, macam mana nak jumpa?” kata Dwen.

Nureen hanya menyengih. Dia tidak berminat untuk berbincang hal jodoh. Ada seribu duka di sebalik topik itu. Dia tidak mahu mengingatinya lagi.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.