Semua ahli panel sudah
berkumpul di bilik pengarah. Mesyuarat penting akan diadakan. Masing-masing
serius. Di tangan mereka ada pen dan buku catitan.
“Terima kasih kerana
semua sahabat saya sudi bekerjasama dengan saya dalam misi ini. Minta maaf
kerana terpaksa babitkan kalian dalam misi peribadi ini. Sebenarnya, tanpa
kalian, saya tak tahu nak buat apa,” ucap Dwen membuka bicara.
“Kami ikhlas nak tolong
bos,” kata Nureen.
“Apalah sangat
pertolongan ini berbanding kebaikan bos kepada kami,” kata Pak Nordin pula.
“Pak Nordin, Nureen,
Syerif, boleh tak kita buat urusan santai dan anak beranak saja. Misi ni kita
anggap misi keluarga. Jangan nak hormat saya sebagai bos. Buat biasa-biasa
saja,” kata Dwen.
Semua angguk.
“Kita mulakan dengan
agenda kita hari ini iaitu menentukan tugas juri dalam pemilihan itu. Saya harap
semua setuju dengan cadangan saya. Saya akan lantik ikut kehendak saya dan tak
ada bantahan.”
Dwen meneliti setiap wajah.
Semuanya sedang menunggu.
“Pak Nordin saya lantik
sebagai juri budi bahasa dan kesopanan. Nureen sebagai juri kecantikan dan
ilmu. Dan kau Rif, aku nak lantik kau sebagai juri masakan dan kelasakan. Semua
markah akan dikira oleh Pak Nordin selaku ketua juri.”
“Alamak! Masak memasak
ni aku tak reti sangat,” sanggah Syerif menggaru kepala.
“Bukan nak suruh kau
masak. Bukan juga nak suruh mereka masak. Hanya nak suruh kau tanya apa masakan
yang mereka suka dan kalau mereka tahu cara nak memasaknya, itu satu bonus.”
“Kelasakan tu pula
macam mana?”
“Kau tanyalah apa aktiviti
lasak yang mereka suka. Apa-apa soalan yang berkaitan dengan kegiatan lasak,”
jawab Dwen dengan senyuman.
“Macam saya ni, nak
nilai kecantikan yang macam mana?” tanya Nureen pula.
“Saya tak nak
kecantikan yang tipu. Yang ditempek dengan make-up dan segala benda palsu. Gigi
palsu tu okeylah, sebab tak kan kita nak suruh dia datang rompong kan?” Dwen berkata
selamba.
Mereka semua ketawa. Suasana
mula santai.
“Yang ilmu tu pulak,
awak ujilah dengan soalan-soalan pengetahuan am. Saya nak bakal isteri saya
cantik dan berilmu. Bukan hanya cantik rupa tapi akal, kosong!” sambung Dwen
lagi.
“Dwen, saya ni nak buat
apa pulak?” tanya Pak Nordin pula.
“Pak Nordin, tolong
nilai budi bahasa mereka ketika bercakap. Bahasa yang mereka guna. Juga tingkah
laku mereka yang tertib. Saya nak isteri yang sopan dan menghormati adab dan
tata susila kita sebagai orang Melayu.”
Pak Nordin angguk perlahan.
Dia rasa dia faham apa yang Dwen kehendaki.
“Lagi satu Nureen. Kecantikan
yang awak kena tengok juga ialah cara mereka berpakaian. Jangan bagi markah
kepada mereka yang pakai baju tak cukup kain. Tak bertudung tak apa, tapi baju
biar sopan.”
Tiba-tiba ketawa Syerif
pecah.
“Hei bro! Aku ingat kau
ni belajar kat luar negara, otak kau dah kena tawan dengan mat saleh tu. Aku
ingat kau ni berjiwa rock. Rupanya, kau ni lebih berjiwa kampung dari aku yang
tinggal di kampung!” kata Syerif. Dwen ketawa.
“Masa aku memang banyak
habis kat luar negara, tapi aku belum curang pada adap sopan bangsaku. Sebab tu
aku nak buat program ni. Aku nak cari isteri yang benar-benar Melayu dari
hujung kaki hingga hujung rambut. Aku tak nak yang plastik!”
Pak Nordin tersenyum
bangga. Nureen juga rasa kagum. Syerif pula, rasa macam hendak bangun dan peluk
Dwen sebagai tanda senang hatinya.
“Encik Dwen, boleh saya
minta sesuatu dari encik?”
“Apa dia, mintalah.
Asal awak jangan minta saya kahwin dengan awak, sudahlah!” gurau Dwen, sengaja
menyakat Nureen.
“Loyar buruk!” Nureen
mencebik.
Ketika itu suasana
dirasakan sangat mesra dan ceria. Ketawa Dwen pecah berdekah. Hatinya sangat senang
kalau dapat menyakat Nureen.
“Kata nak minta, apa
dia?” tanya Dwen, masih ketawa.
“Saya nak minta tambah
pekerja. Kita perlukan seorang urusetia untuk bertugas di meja hadapan. Kerja
tu sepatutnya kerja saya. Tapi dah saya dilantik menjadi juri, kenalah cari orang
lain yang buat,” jawab Nureen. Wajah Dwen direnung, minta persetujuan.
“Betul juga kata awak.
Tapi, siapa yang kita nak lantik. Saya tak nak ramai sangat yang tahu mengenai
projek ni. Saya nak orang yang boleh dipercayai saja,” balas Dwen pula.
“Saya cadangkan Nora. Dia
memang boleh kita percaya. Dia kawan baik saya dan saya tahu sikapnya,” usul
Nureen pula.
Lama Dwen berdiam diri.
Tidak lama dia angguk sebagai tanda setuju.
Ketika mesyuarat kecil
itu usai, telefon Dwen berdering panjang. Nureen dan Syerif segera meninggalkan
bilik itu. Yang tinggal hanya Pak Nordin kerana Dwen memberi isyarat supaya tunggu.
“Mama nak jumpa Dwen
malam ni. Balik cepat ya,” kata Datin Rodziah dengan suara mesra di hujung
talian.
“Ada apa mama?” Dwen
sedikit cuak.
“Mama nak bincang pasal
kamu dan Karina.”
Wajah Dwen berubah
kelat. Namun dia tetap berjanji untuk balik awal seperti yang diminta. Hajatnya
untuk singgah minum teh di kedai mamak bersama Pak Nordin dibatalkan.
“Datin Rodziah dah tak
sabar nak bermenantu!” bisik Dwen kepada Pak Nordin ketika talian dimatikan.
Pak Nordin menyengih. Dia
tahu, Dwen pasti akan berdepan dengan leteran Datin Rodziah malam nanti.
“Saya mesti beri alasan
yang kukuh untuk melengahkan majlis itu, Pak Nordin.”
“Mahukah dia terima
alasan Dwen? Kalau dia tak terima, macam mana?”
“Saya akan lari dari
rumah!” jawab Dwen, bersungguh-sungguh.
Namun Pak Nordin anggap
Dwen hanya bergurau. Dia ketawa. Sungguh lucu ketika membayangkan Dwen lari
dari rumah gara-gara tidak mahu dipaksa berkahwin dengan Karina.
“Betul Pak Nordin. Kali
ni saya takkan benarkan mama dan papa saya buat keputusan untuk masa depan
saya. Saya akan berjuang. Dah letih saya ikut cakap mereka. Semua perkara dah
saya ikut. Cuma kali ini, saya akan bertegas,” kata Dwen, semakin
bersungguh-sungguh.
Kali ini Pak Nordin
terdiam. Dia dapat rasakan urusan
keluarga itu bertambah kusut.
“Saya harap dapat cari
calon isteri dengan segera. Tolong saya Pak Nordin. Saya tak berkenan sangat
dengan Karina tu. Entahlah. Saya tak tahu kenapa, tapi memang tak boleh!”
Hati Pak Nordin ditawan
simpati. Namun, apalah yang mampu dibuat untuk menolong. Hanya doa yang mampu
dipohon agar Dwen mampu berdepan dengan segala dugaan itu.
Malam itu, selepas
selesai mandi Dwen turun ke ruang tamu dengan perasaan yang berbaur resah.
Datuk Haris dan Datin Rodziah sedang menonton rancangan dokumentari di tv.
“Ada apa mama?” tanya
Dwen tidak mahu berlengah.
Datin Rodziah menoleh. Dia
tersenyum melihat kepolosan Dwen ketika itu.
“Karina beritahu mama,
Dwen nak adakan high-tea untuk kenalkan dia kepada kawan-kawan Dwen. Mama suka
sangat. Akhirnya Dwen tahu menghargai Karina,” kata Datin Rodziah dengan sebuah
senyuman tanda gembira.
“Ma, high tea tu bukan
untuk dia seorang. Dan bukan juga untuk kenalkan dia sebagai bakal isteri Dwen,”
balas Dwen cuba kuatkan diri.
“Habis tu untuk siapa
lagi?” Mata Datin Rodziah melorot ke arah Dwen.
Dwen rasa dia sudah
bersedia berdepan dengan lorotan mata mamanya itu.
“Untuk semua teman wanita
saya.”
“Hah? Dwen, apa ni?”
Datin Rodziah tersentap.
“Mama, disebabkan ramai
yang nak jadi isteri saya, saya terpaksa buat macam ni. Mereka akan diuji dan
dinilai dari berbagai sudut. Kalau mereka berjaya, baru mereka layak jadi isteri
saya,” jawab Dwen, berhati-hati.
“Jadi, Dwen masukkan
Karina dalam senarai pilihan itu? No! Mama tak setuju. Karina tak layak dan
bersaing dengan gadis lain. Dia tak setaraf dengan gadis-gadis yang Dwen
calonkan itu. Dia yang terbaik!”
“Terbaik buat mama,
tapi bukan untuk saya. Dia perlu lalui ujian dulu.”
“Kalau dia gagal dengan
ujian gila Dwen tu?”
“Kalau dia gagal, dia
tersingkir dan Dwen tak akan kahwin dengan dia,” jawab Dwen semakin tegas dan
berani.
“Abang! Tengoklah perangai
anak jantan abang ni!” Datin Rodziah menoleh kepada Datuk Haris yang sejak tadi
hanya diam mendengar dan matanya masih tertumpu kepada kaca tv.
“Biarlah dia buat ujian
apapun. Kalau itu yang dia nak. Tapi, keputusan kita tetap sama. Dia mesti
berkahwin dengan Karina. Hidup atau mati. Titik. Tak ada bantahan!” kata Datuk Haris
tanpa menoleh. Suaranya juga kasar seperti guruh yang berdentum di langit.
Dwen menarik nafas. Dia
cuba bertenang. Dia tetapkan hati pada iktikad
yang satu.