Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 11

11

Beberapa bulan kemudian...

SEMALAM telah lama ditinggalkan. Semalam yang membekas dengan penderitaan. Semalam yang teramat perit untuk dikenang. Semalam yang kalau boleh hendak dipadamkan kewujudannya dari dada kalendar. Namun, itu sudah tentu mustahil dilakukan. Kerana semalam adalah sejarah. Dan, sejarah akan kekal di tempatnya walau ia sejarah luka mahupun duka.

Telah hampir dua minggu Annessa berada di Shah Alam setelah mendapat tempat untuk melanjutkan pengajiannya ke UiTM. Dia akan mengikut jejak langkah mamanya dengan mengambil bidang Sebaran Am di UiTM, Shah Alam. Dia juga bercita-cita untuk menjadikan Journalismsebagai kursus majornya kelak; juga sama seperti mamanya.

Dia sendiri tidak tahu apa yang menyebabkannya memilih kursus itu. Mungkin kerana dia memiliki jiwa seorang wartawan seperti mamanya. Juga mungkin kerana dia mahu menyiasat tentang misteri kehilangan kembarnya, Adeela, yang masih gagal ditemui sehingga kini.

Dia kecewa sebenarnya. Kecewa yang amat sangat! Malah, kadangkala dia rasa pihak berkuasa seolah-olah gagal menjalankan tugas mereka untuk mengesan di manakah kembarnya menghilang. Pelbagai spekulasi dikeluarkan; daripada kes penculikan juga lari dari rumah.

Tidak! Mustahil Adeela lari dari rumah, hatinya seringkali berbisik. Timbul pula spekulasi Adeela mungkin diculik dan disembunyikan penculiknya. Tapi, kalau diculik, apakah motifnya? Mereka juga tidak menerima sebarang ugutan meminta wang daripada para penculik kalau benarlah Adeela diculik. Kemudian, setelah sekian lama mencari dan Adeela tidak ditemui juga, pihak berkuasa telah tampil dan menasihatkan mereka sekeluarga agar tidak lagi mengharap dan meredai saja pemergian Adeela.

Namun, bagi Annessa, adik kembarnya masih belum mati. Kalau benarlah Adeela sudah mati, di manakah mayatnya? Dia mahu melihat mayat Adeela dulu sebelum percaya yang adik kembarnya sudah pergi mengadap ILAHI.

KALAU melihatkan penerimaan mamanya yang agak dingin, mahu saja dia memohon untuk tinggal di kolej kediaman. Namun, dia tidak akan berbuat begitu kecuali kalau mama tergamak menghalaunya keluar. Kenangannya bersama Adeela sentiasa berlegar-legar di rumah itu.

Dia seolah terbayangkan setiap detik yang pernah dikongsinya bersama Adeela di setiap sudut, di setiap pelosok. Ketika di dapur, dia teringat bagaimana mereka pernah berebut makanan. Ketika di ruang tamu saling berebut remote control televisyen. Di bilik tidur pula, saling berkongsi cerita.

Malah, terkadangkala, dia terasa-rasa kehadiran Adeela di sisinya. Ada ketika-ketikanya, dia seolah-olah terhidu bau minyak wangi kesukaan Adeela. Dan, semua itu membenihkan lirih di jiwanya.

Di manakah kau, Deela? Di mana? Muncullah kau, Deela. Muncullah! Benarkanlah aku melihat kau... walau untuk kali yang terakhir.

“Oh, ada orang rupanya rumah ni! Ingatkan tak ada tadi!”

Sergahan yang dilontarkan Sofea itu membuatkan Annessa yang duduk di dalam gelap, terkejut.

“Hey, Anne! Apa yang kau buat dalam gelap ni, hah?” sembur Sofea dengan wajah yang mencuka. “Dah Maghrib pun tak reti-reti nak pasang lampu. Berapa kali nak mama ingatkan, hah?”

Dia hanya berdiam diri. Tidak guna bertekak dengan Sofea. Dia tahu mamanya sengaja mencari pasal dengannya untuk dijadikan modal bagi mengenyahkannya dari situ. Oleh kerana tidak mahu dirinya dihalau, dia mengambil sikap berdiam diri saja.

Dia tidak tahu kenapa mama membencinya sejak Adeela menghilang entah ke mana. Mungkin mama diekori rasa bersalah terhadap Adeela tatkala menatap wajah Annessa. Bukankah dia dan Adeela mempunyai wajah yang seiras? Terkadangkala, mama tersasul dengan memanggilnya ‘Deela’.

Dia hanya memandang mamanya yang melangkah longlai masuk ke bilik. Sejak kehilangan Adeela, Sofea bagaikan sudah hilang daya untuk terus hidup. Sofea menderita kerana merasakan dialah yang wajar dipersalahkan dek kehilangan Adeela. Kalau diikutkan Annessalah yang menelan penderitaan yang lebih daripada semua orang kerana Adeela adalah pasangan kembarnya.

“Kak Anne janganlah kecil hati dengan mama, ya.” Aleya memujuk.

“Tak adalah.”

“Mama kita kan tak sihat. Yaya takut Kak Anne tak tahan dengan mama dan ambil keputusan untuk tinggal di kolej ataupun rumah sewa. Nanti tinggal Yaya sorang-sorang kat rumah ni.”

Annessa menahan air matanya daripada tumpah. Dia lalu memeluk erat-erat tubuh Aleya. Kini, setelah Adeela ‘pergi’, Aleya keseorangan.

HATI Zakuan terlonjak gembira apabila melihat kemunculan gadis berambut separas bahu itu di kafe. Tanpa membuang masa lagi, dia terus menatang bihun sup dan teh aisnya menuju ke meja yang diduduki gadis itu.

“Assalamualaikum. Boleh aku duduk sini?” Dan, tanpa menunggu lampu hijau daripada Annessa, jejaka itu dengan muka tidak tahu malu terus duduk di depannya.

Dia tetap melemparkan senyumannya ke arah Annessa walau gadis itu malas membalasnya. Dia bertekad untuk memenangi hati Annessa yang diminatinya sejak di tingkatan lima lagi.

ANNESSA memandang jejaka tidak tahu malu di depannya itu dengan hati yang bengkak. Mamat ni memang menyakitkan hati. Banyak meja yang kosong, tapi depan aku jugak dia nak duduk. Hatinya menggerutu.

“Mi kari tu sedap tak, Anne? Boleh aku rasa sikit?”

“Hey, apa ni?” Annessa segera menjauhkan mangkuk mi karinya daripada jangkauan Zakuan.

“Ala, aku nak rasa sikit pun tak boleh?”

“Kalau kau nak duduk kat sini, tolong jangan ganggu aku!” Dia memberikan amarannya.

Zakuan angkat tangan. “Aku minta maaf. Tapi, kau ni dah sombonglah. Kau tak macam Anne yang aku kenal semasa di sekolah menengah dulu.”

“Wan, dulu lain sekarang lain, okey. Untuk makluman kau, aku nak tumpukan perhatian pada pelajaran aku dulu. Masanya belum sampai untuk aku bercinta dengan kau atau sesiapa pun juga.”

Zakuan ternyata tidak dapat menahan rasa kecewanya. “Tak apalah, Anne. Aku harap satu hari nanti hati kau akan terbuka untuk terima aku.”

“Insya-ALLAH,” sahut Annessa lalu meneruskan suapannya yang terhenti. “Wan, aku ada hal nak tanya kau ni...”

“Hal apa?”

“Kau ada terserempak dengan Deela pada malam yang sama sebelum dia hilang tu kan?”

Zakuan angguk. “Memang betul. Tapi aku tak ada kaitan dengan kehilangannya. Malam tu, dalam pukul 8.00 ke 8.30 aku keluar untuk beli alat tulis. Masa tulah aku terserempak buat kali terakhir dengan Deela.”

“Aku tak tuduh pun kau ada kaitan dengan kehilangannya. Aku cuma nak tau bagaimana keadaan Deela masa tu?”

“Dia okey aje. Cuma...”

“Cuma apa?”

“Dia tak pernah cakap manja-manja dengan aku selama ni. Tapi malam tu sikap dia agak ganjil sikit. Dia siap suruh aku bawa dia dan Yaya tengok wayang.” Zakuan bercerita. “Kau jealous ke, Anne?” soal Zakuan ketika melihat Annessa berdiam diri.

Jealous? Hmm... langsung tak!” getus Annessa sambil meneruskan suapannya.

“Kau rasa Deela...”

“Shhh... perbincangan kita tentang Deela dah tamat di sini. Jangan sebut apa-apa lagi!” Pintas Annessa membuatkan Zakuan terdiam.

Tanpa disedari oleh Zakuan, Annessa sedang ligat berfikir. Dia tahu kenapa Adeela bersikap manja dengan Zakuan. Ianya semata-mata hendak menimbulkan cemburu di hati Tengku Amirul. Walaupun lelaki itu terlepas setelah tampil membawa alibinya sendiri, tapi Annessa dapat merasakan bahawa Tengku Amirul adalah dalang sebenar di sebalik kejadian.

Tapi, bagaimana dia hendak mengaitkan lelaki itu dengan kehilangan adik kembarnya? Sedangkan mama pula tidak pernah mahu memberi kerjasama padanya. Malah, nama lelaki itu bagaikan telah terpadam dari memori mama sejak Adeela hilang.

WAN, kat sini kau rupanya ya! Enak-enak makan dengan...”

Annessa yang tunak merenung mangkuk mi karinya tersentak apabila satu suara menyapa Zakuan. Dia segera angkat muka dan mata keduanya pun bertaut.

“...dengan perempuan cantik.” Jejaka itu tersenyum-senyum ke arahnya.

Zakuan ketawa kecil. “Sorrylah, Jib. Duduklah kat sini! Mari aku kenalkan kau dengan kawan aku, Anne. Anne, kenalkan ni... Najib, Tengku Najib.”

“Hai.”

Annessa hanya tersenyum hambar. Walau Tengku Najib kelihatan berminat untuk terus berbual dengannya, Annessa pula lebih banyak berdiam diri.

WAN, Anne tu tak sukakan aku ke?” Tengku Najib menyoal Zakuan setelah Annessa berlalu.

“Dia memang macam tu, pendiam sikit.”

“Aku rasa aku dah jatuh cintalah, Wan.”

“Dengan siapa?”

“Dengan siapa lagi... dengan kawan kau tulah, Anne!”

“Eh, engkau ni, Jib. Kau dah terlambat. Anne tu aku yang punya.”

Tengku Najib memicingkan matanya. “Kenapa kau cakap macam tu? Kau dah kahwin ke dengan dia?”

“Belum.”

“Dia tunang kau?”

“Tak!”

“Habis tu, macam mana kau boleh kata dia kau punya? Sorrylah kawan, uncle aku kata sekarang ni zaman ‘BMW’... Best Man Wins. Okey, Wan, aku chiao dulu!” Selesai berkata begitu, Tengku Najib mencapai beg galasnya lalu melangkah laju meninggalkan Zakuan yang termangu-mangu.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.