Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 15

15

YO, Jib!” laung Tengku Amirul sebaik saja pintu terkuak. Dia yang menjangka akan berdepan dengan anak saudaranya, terkejut besar tatkala melihat siapakah gerangannya yang membuka daun pintu.

Untuk beberapa ketika, mata kedua-duanya saling bertaut. Bertatapan!

“Silakan masuk, Tengku.” Annessa menyisih ke tepi untuk membenarkan lelaki itu melangkah masuk.

Tengku Amirul bagaikan orang tolol, mengikut saja. Dia lalu menghampiri Tengku Najib yang duduk di depan televisyen. Dalam pada itu, matanya tidak putus-putus memandang Annessa.

Uncle, ni Anne... kawan Jib.” Tengku Najib bersuara.

Tengku Amirul angguk. “Apa khabar, Anne?”

“Baik. Tengku?”

“Err... saya sihat.” Tengku Amirul mencapai jus oren yang terhidang lalu meneguknya rakus. Tekaknya menjadi kering setelah terlihat Annessa.

Tengku Najib meneliti wajah bapa saudaranya dan tertanya-tanya kenapakah lelaki itu seolah-olah gugup berdepan dengan Annessa.

PETANG semakin larut. Matahari telah condong ke Barat. Oleh kerana Tengku Amirul bertegas supaya Tengku Najib dan Annessa menikmati hidangan makan malam bersamanya, terpaksalah mereka berdua menangguhkan kepulangan ke Shah Alam. Annessa juga enggan pulang sebelum berjaya mendapatkan kunci sebuah bilik di belakang banglo yang berpintu coklat. Dia mahu melihat apakah yang berada dalam bilik itu.

“Anne, jom kita keluar!” Lalu Tengku Najib menarik tangan Annessa.

“Jib, jangan bawa Anne ke tasik. Semalam hujan lebat. Tasik agak bahaya.” Tengku Amirul sempat mengingatkan.

Annessa senyum. Baiknya hati kau memberikan nasihat tu, desis hatinya. Bukan aku tak tahu kau sebenarnya hanya berpura-pura menjadi manusia yang baik di depan anak saudara kau. Sememangnya kau manusia yang hipokrit. Hmm... bolehkah kau dipanggil manusia? Atau, kau sebenarnya lebih layak digelar binatang, Tengku Amirul?

“Jib sayang, apa kata kalau you minta kunci Mini Cooper uncle you tu, dan bawa I bersiar-siar sekitar ladang ni?” Dia mencadangkan semata-mata untuk melihat reaksi Tengku Amirul.

“Boleh Jib pinjam kunci kereta tu, uncle?” Tengku Najib pantas bertanya. Panggilan ‘sayang’ yang terkeluar dari mulut Annessa seketika tadi membuatkan dia bersemangat.

Uncle pun tak ingat kat mana uncle letak kunci kereta, tu. Sorry ye, Anne.” Kemudian dia menoleh ke arah anak saudaranya. “Jib, siapa benarkan Jib bawa orang lain ke garaj tanpa permission uncle?” Marah lagaknya.

“Janganlah salahkan Jib, Tengku. Lagipun apalah salahnya dia tunjukkan pada saya koleksi kereta mewah milik Tengku tu? Bukannya saya nak curi pun! Atau, ada benda yang Tengku cuba sembunyikan?” Annessa bersuara. Lancang!

“Anne! Kenapa you cakap macam tu pada uncle, hah?” Tengku Najib memintas. Dia jelas teramat marah dan malu dengan sikap yang ditonjolkan oleh Annessa di depan bapa saudara kesayangannya.

“Dahlah, jom kita keluar. I am so sorry, uncle.” Dia segera menarik tangan gadis lancang itu lalu mereka melangkah keluar, ke laman banglo yang agak luas.

“Lepaskan tangan I, lah! Eeii... sakitlah, Jib!” Annessa mendengus lalu menarik tangannya yang dicengkam ketat oleh Tengku Najib.

“Anne, kenapa you bersikap macam tu pada uncleAmir?” Mata Tengku Najib mencerlung ke arah Annessa.

Annessa mendiamkan diri. Wajahnya muncung saja.

Mereka kemudiannya duduk di bangku batu untuk cuba mencari secebis ketenangan. Tengku Najib tertanya-tanya dalam hati tatkala melihat sikap Annessa yang tiba-tiba saja berubah daripada seorang gadis yang agak pendiam kepada lancang bersuara terutamanya terhadap UncleAmirnya. Namun, selancang mana pun Annessa, tidaklah sampai Tengku Najib membencinya.

“Anne, sorry ye. Sakit ke tangan you?” Anak muda itu melembutkan suaranya lalu cuba mencapai lengan si gadis. Annessa membiarkan lengan kanannya diurut lembut.

“Tengok, merah tangan I!” Annessa pura-pura marah.

“Cinta I pada you lagi merah!” goda Tengku Najib.

“Belum pun kenal I dua tiga hari, you dah sebut pasal cinta. Murahnya cinta you!”

Tengku Najib terkerisin. Terkena dia! “Mula-mula kenal dengan you dulu, I ingatkan you seorang yang pendiam, rupa-rupanya tak. Kalah budak-budak yang ambil course Law tu.” Komennya.

“Jadi sekarang you dah tak sukakan I lah, ye? Dah benci?” Annessa menduga.

Tengku Najib geleng kepala. “Siapa kata I benci? Semakin sayang adalah!” Dan, dia terdiam seketika. “Tapi sikap you yang agak kasar pada Uncle Amir buat I jadi pelik. Kenapa you macam tak sukakan dia aje, Anne?”

Aku bukan sekadar tak sukakan lelaki tu, tapi perasaanku terhadapnya sudah membuak ke tahap benci. Jib, sanggupkah kau menelan hakikat bahawa bapa saudara yang kau sanjung dan sayang selama ini adalah dalang di sebalik kehilangan adik kembarku? Buat masa sekarang aku masih belum dapat membuktikan penglibatan Tengku Amirul, tapi aku cukup pasti tak lama lagi segala-galanya akan terbongkar. Kehadiranku kemari seumpama bom jangka yang tertanam di dada lelaki itu; yang menunggu masa saja untuk meletup. Annessa bermonolog.

“Jib, semua tu sangkaan you aje. Sebenarnya I tak ada masalah pun dengan uncle you tu.” Annessa melunakkan suaranya.

Annessa menoleh jejaka di sisinya, dan mata kedua-dua remaja itu bertaut. Mereka terus berbual dengan mesra.

TANPA disedari baik oleh Annessa mahupun Tengku Najib, sepasang mata sedang galak mengintip setiap perlakuan mereka. Kemesraan mereka berdua membenihkan cemburu yang membuak di dada si pengintip.

“Tengku panggil saya?”

Tengku Amirul berpaling lalu menoleh ke arah Pak Sudin. Lelaki itu adalah orang suruhan yang paling dipercayainya.

“Kau dah buat apa yang aku suruh?”

“Dah, Tengku. Saya dah pancitkan tayar depan kereta Jib. Tapi macam mana kalau Jib nak pinjam kereta Tengku nanti?”

“Kau ingat aku akan benarkan?” getus Tengku Amirul sambil menalakan renungan tajamnya ke arah Annessa yang masih berada di laman banglo. Apakah kau juga seliar kijang dara bernama Adeela tu, Anne? Hatinya tertanya-tanya.

TAPI Jib dah janji dengan aunty Sofea nak hantar Anne pulang hari ni jugak!” Tengku Najib kelihatan kecewa apabila Tengku Amirul tidak membenarkannya meminjam kereta untuk menghantar Annessa pulang. Tayar ganti pula semuanya rosak.

“Tidur sini ajelah, Jib. Esok barulah hantar Anne balik. Lagipun hujan lebat kat luar tu. Kalau apa-apa terjadi dalam perjalanan nanti, kan susah. Apa yang nak dirisaukan sangat, suruhlah Anne telefon mamanya dan bagitau akan bermalam kat sini.” Dia sudah bersedia dengan alasan yang kukuh untuk mempastikan Annessa tidak keluar dari banglonya malam itu.

KETIKA Tengku Najib sedang berbual dengan bapa saudaranya di ruang tamu, Annessa pula berada di bilik bacaan. Bilik itu menempatkan deretan buku-buku yang bersusun kemas di dalam almari kaca. Dia langsung tidak berminat dengan buku-buku daripada pelbagai genre itu. Sebaliknya dia lebih berminat menyelongkar laci meja untuk mencari kunci bilik misteri yang mungkin disembunyikan Tengku Amirul di situ.

“Apa yang awak cari, Anne?”

Annessa yang sedang menyelongkar sebuah kotak besar, terkejut apabila ditegur oleh Tengku Amirul. Dia langsung tidak menyedari bahawa lelaki itu sudah lama tercegat di pintu sambil memerhatikan setiap pergerakannya.

“Err... cari novel-novel lama.” Annessa beralasan.

“Semua novel ada kat atas rak. Awak cari ajelah kat situ. Tak payahlah susah-susah selongkar kotak macam ni.” Mata Tengku Amirul merenung tajam ke wajah Annessa.

Annessa tidak tahu bagaimanakah reaksi yang perlu ditonjolkannya ketika disindir begitu. Dia segera mencapai sebuah buku dari atas rak lalu duduk di sofa.

“Takkan awak nak berkurung aje di sini dan biarkan Jib sendirian kat luar tu? Marilah, Mak Tijah dah hidangkan kopi kat bawah.”

Annessa tidak menolak pelawaan Tengku Amirul itu apatah lagi kunci yang dicarinya tiada di bilik bacaan itu.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.