Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 51

51

GULAI ayam kampung sudah siap sebelanga. Begitu juga dengan goreng taugeh, sambal belacan dan ulam-ulaman, semuanya sudah tersedia. Menunggu masa sahaja hendak dihidangkan. Sementara menunggu mereka berkumpul untuk makan tengah hari, Sofea masuk berehat di bilik yang dikhaskan untuk dia dan anak-anaknya oleh tuan rumah.

Dia terkejut apabila melihat Adeela bersendirian di bilik itu. Selepas memberi salam dan salamnya bersambut, dia melangkah masuk.

“Kenapa Deela tak ikut mereka ke sungai?” soal Sofea sebaik punggungnya mencecah tilam.

“Deela pening kepala,” sahut Adeela. Matanya diarahkan ke luar tingkap, merenung kejauhan.

“Tiba-tiba aje pening?”

Adeela memalingkan badannya, mengadap ke arah Sofea. “Kenapa? Mama tak percaya ke?”

“Err... dah makan ubat?”

“Dah.”

“Dah lama ke mereka bertiga keluar?”

“Adalah dalam setengah jam tadi. Mama dan emak masak apa kat dapur tu? Riuh aje bunyinya?” soal Adeela sambil menyertai mamanya, duduk di birai katil.

“Gulai ayam kampung.”

“Wah, mesti sedap!” Wajah Adeela kelihatan bercahaya. “Dah siap masak ke, ma?”

“Dah, kenapa?

“Deela rasa laparlah. Deela makan dululah, ya.” Kata Adeela sambil melangkah pantas meninggalkan Sofea lalu menuju ke dapur. Seketika kemudian, kedengaran suara anak gadis itu meminta nasi dan gulai daripada Mak Miah tanpa rasa malu mahupun canggung.

Sofea termangu. Betul ke Deela ni pening kepala, soalnya dalam hati.

“Mak, sedapnya mak masak! Terima kasih mak, sebab sudi masakkan gulai ayam kampung ni. Selalunya kita orang makan ayam bodoh ataupun ayam pencen aje, mak.” Riuh suara Adeela memuji Mak Miah. Mak Miah ketawa lebat mendengar Adeela memanggil ayam daging, ‘ayam bodoh’.

“Takkanlah tak ada seekor pun ayam kampung kat Shah Alam tu? Mak tak percayalah.” Suara Mak Miah kedengaran menjawab.

“Memanglah ada, mak. Tipulah kalau Deela cakap tak ada seekor pun ayam kampung kat sana, tapi susah sikit nak cari. Kena pergi ke pasar. Yang paling mudah jumpa ialah ayam bodoh, kat pasaraya, pasar tani, dan kat kedai-kedai ada banyak jual. Ayam pencen pun senang jugak jumpa, cari aje kat pasar tani, mesti ada.” Adeela berceloteh sambil tangannya ligat menggaul nasi bersama kuah gulai.

“Yelah tu! Deela makan banyak-banyak tau. Mak masak gulai ayam kampung ni pun khas untuk Deela.”

“Terima kasih, mak. Sayang mak!”

Sofea terus menelinga perbualan mereka dari tempatnya berdiri. Dia cukup terasa apabila terdengar ucapan ‘sayang mak’ yang diluahkan Adeela ke arah Mak Miah, sedangkan dia sebagai ibu kandung sudah lama tidak mendengar ucapan ‘sayang mama’ terlontar dari bibir anak-anak kembarnya.

BUNYI air sungai yang melompati batu-batu licin, kicauan burung-burung yang hinggap di dahan-dahan pokok serta desiran daun-daun ditiup angin seumpama muzik semulajadi yang mendamaikan jiwa. Suasana di situ redup dan sejuk kerana diteduhi kanopi pokok-pokok hutan yang menjulang tinggi.

Aleya awal-awal lagi sudah berada di antara bongkah-bongkah batu di tebing sungai jernih itu, memerhatikan anak-anak ikan yang berenang-renang riang di celah-celah batu.

“Kat mana pertama kali awak jumpa Deela dulu?” soal Annessa. Kalau boleh dia mahu segera melihat tempat pertama kali Idris terjumpa Adeela supaya mereka kemudiannya boleh cepat-cepat meninggalkan tebing sungai itu. Dia tidak selesa berlama-lamaan dengan Idris tanpa Adeela bersama.

Idris menudingkan jarinya ke arah banir pokok dan sebongkah batu besar, tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Mereka berdua mengatur langkah ke situ.

“Di sinilah tempat saya jumpa Deela dulu,” kata Idris.

Matanya dipakukan ke arah tanah berpasir serta berbatu-batu kecil itu. Di matanya seolah-olah tertayang semula peristiwa lampau, tatkala pertama kali matanya melihat seorang gadis sedang terbaring dalam keadaan pakaian rabak di sana-sini, sedang menderita kesakitan, ketakutan dan merayu agar dirinya diselamatkan.

Mengenangkan itu hati Idris mendidih. Perasaan marah dan geram bercampur-baur apabila mengenangkan betapa Adeela pernah diperlakukan seumpama seekor haiwan yang tidak mempunyai perasaan. Dia menggenggam buku limanya.

“Jadi, di sinilah awak temui Deela?” Suara Annessa menyedarkan Idris daripada lamunannya.

Dia menoleh ke arah gadis itu lalu angguk. Entah mengapa, seirasnya Annessa dengan gadis yang pernah diselamatkannya dahulu, membuatkan hatinya jadi tidak menentu tatkala menatap wajah itu.

“Hey, kenapa awak tenung saya macam tu?” Annessa menyergah.

“Err... okeylah, saya tinggalkan awak kat sini dulu, ya. Kalau ada apa-apa, awak panggil ajelah, ya.” Idris tergesa-gesa berlalu meninggalkan Annessa sebelum gadis itu sempat memberikan sebarang reaksi.

Sebaik sahaja Idris berlalu, Annessa mengeluarkan kamera digital rona merah jambu yang saiznya lebih kecil daripada telapak tangan dari perut beg sandangnya. Dia segera merakamkan kawasan itu dari pelbagai sudut. Setelah itu, dia menghampiri bongkah batu besar itu lalu dengan mata yang dipejamkan dia mengusapnya perlahan-lahan...

“TOLONGLAH saya, Mak Tijah. Saya dah tak tahan lagi. Saya harus keluar dari sini malam ni jugak, kalau tak...”

“Kalau tak, kenapa, Deela?”

“Saya akan bunuh diri! Tolonglah saya, Mak Tijah, saya dah tak sanggup terkurung di sini lagi dan jadi habuan nafsu binatang tu setiap malam. Saya dah tak sanggup!” Dengan air mata yang berjuraian, Adeela meminta simpati daripada orang gaji yang pernah berjanji untuk membantunya melarikan diri dari neraka itu. Tetapi sehingga kini, Mak Tijah masih enggan mengotakan janjinya kerana terlalu takut pada majikannya.

“Bunuh diri? Hey, Deela... bunuh diri tu berdosa besar, tak cium bau syurga tau!” Pembantu rumah itu sempat berceramah agama padanya.

Dia juih bibir. “Mak Tijah yang bersubahat dengan orang yang sekarang ni mengurung saya dan memperlakukan saya seperti isterinya walaupun saya ni bukanlah isterinya yang sah, bagaimana pulak? Tak berdosa besar bersekongkol dengan orang macam tu? Tak berdosa ke makan minum dari gaji yang dihulurkan oleh majikan yang kejam macam dia tu?”

Dia nampak Mak Tijah kelihatan serba-salah. Mungkin dia takut kerana tindakannya bersubahat dengan perlakuan jenayah adalah salah di sisi undang-undang dan dia boleh didakwa.

Dia menerpa ke arah meja lalu mencapai pisau yang tadinya digunakan Mak Tijah untuk memotong sayur. Hujung pisau itu dihalakan ke batang lehernya.

“Masya-ALLAH Deela, jangan! Jangan Deela!!!” Mak Tijah menjerit, kalut. Tangannya digoyang-goyangkan ke arah Adeela.

“Mak Tijah kena tolong saya keluar dari sini malam ni jugak. Kalau tak...” Dia menikam hujung mata pisau itu rapat ke lehernya, terasa sakit, perit dan darah meleleh keluar dari punca luka.

Mak Tijah semakin pucat.

“Baiklah, malam ni Mak Tijah akan bantu Deela keluar dari sini. Tolonglah letak balik pisau tu, Deela.” Pinta Mak Tijah.

DIA menunggu ketibaan malam dengan dada yang penuh debaran. Ada dua sebab kenapa dia berasa tidak tenteram setiap kali malam menjelma. Yang pertamanya adalah kerana dia cukup pasti Tengku Amirul akan mengunjungi bilik tidurnya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengannya, tanpa kerelaan dirinya. Dan sebab yang kedua ialah, malam itu Mak Tijah telah berjanji untuk membantunya melepaskan diri dari banglo yang semakin hari semakin menghimpit kewarasannya itu. Dia harus keluar dari situ dengan kadar segera. Kalau tidak, dia mungkin akan mencari jalan untuk menamatkan riwayatnya sendiri. Atau, dia mungkin akan jadi gila. Oleh itu, sementara dia masih waras dan boleh berfikir, dia harus segera bertindak.

Tok! Tok! Tok!!

Pintu biliknya kedengaran diketuk dari luar. Tengku Amirul tidak pernah peduli untuk mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik tidurnya. Itu tentu Mak Tijah, fikirnya.

Dia yang sudah berdandan kemas untuk ke meja makan, segera menuju ke muka pintu. Sebaik pintu terkuak, dia terkejut apabila melihat Tengku Amirul berdiri tegak memandangnya. Seulas senyuman terukir di bibir lelaki itu.

“Sayang nampak cantik malam ni.” Puji lelaki itu sambil merenungnya rakus dari hujung kaki ke hujung rambut. Setiap hari dirinya ditelanjangi oleh renungan lelaki itu, yang seolah-olah tidak pernah jemu memandangnya.

Dia menggetap bibir. Geram. Meluat. Dan, di antara rasa geram serta meluat itu melekat perasaan gerun yang melaut.

“Mari turun makan, sayang,” kata Tengku Amirul sambil cuba mencapai lengannya. Tindakan spontannya ialah menarik lengannya dari digenggam lelaki itu, menonjolkan tanda protes.

Selalunya penampar lelaki itu akan hinggap ke wajahnya kalau dia berani menolak setiap keinginannya. Tetapi, malam itu Tengku Amirul tersenyum cuma.

“Saya dah berjanji dengan diri saya sendiri untuk tak akan meletak tangan ke tubuh perempuan yang akan menjadi isteri saya beberapa hari lagi.” Getus Tengku Amirul sambil tersenyum penuh makna ke arahnya.

Dia membeliakkan matanya. “Apa maksud kau?”

“Kalau sayang nak tahu, saya ingin memiliki sayang secara sah. Maksudnya, saya mahu jadikan sayang sebagai isteri saya. Untuk merealisasikan impian saya tu, saya dah aturkan pernikahan kita dia sempadan Thai. Lepas tu kita akan berangkat keluar negara dan menetap di sana. Sayang belum pernah keluar negara kan? Semuanya dah diatur dengan rapi. Jangan risau, saya akan menyayangi sayang sepenuh hati saya.”

“Kau ingat kau boleh larikan aku ke sempadan macam tu aje tanpa dikesan polis?”

“Kenapa tak? Selama ni pun mereka tak pernah menjejaki sayang sampai ke mari kan? Ala sayang, kalau ada duit semuanya boleh direalisasikan. Tak gitu, sayang?”

“Kau ingat aku sudi bersuamikan syaitan macam kau? Jangan haraplah!” Adeela menjerit. Kata-kata Tengku Amirul tadi yang ingin menikahinya di sempadan Siam sebelum melarikannya keluar negara amat menghentam jiwanya.

Dia terbayangkan keluarganya, terutama kakak kembarnya, Annessa. Dia terdesak, tersepit. Dia tidak mahu dipisahkan terus daripada mereka semua. Kalau dia tidak berjaya melarikan dirinya dari banglo itu malam ini, dia lebih rela mati sahaja. Ya, mati!

Mengenangkan perpisahan secara total daripada keluarganya membuatkan dia jadi berani. Dia mengadap Tengku Amirul lalu mencekak kolar baju lelaki itu. Membuntang matanya merenung Tengku Amirul.

“Keluarkanlah aku dari sini, binatang. Aku nak jumpa keluarga aku!!!” Dia meraung sekuat-kuat hatinya.

Tindakan spontan lelaki itu ialah mengangkat tinggi tangan kanannya seolah ingin melayangkan penampar ke pipi Adeela. Tiba-tiba dia seolah-olah teringatkan sesuatu, dia menjatuhkan semula tangannya.

“Tengku, hidangan dah sedia kat bawah.” Suara Mak Tijah kedengaran.

Kedengaran dengusan dari mulut lelaki itu. Matanya ditalakan ke arah Mak Tijah.

“Awak tanya perempuan ni, Mak Tijah, dia nak temankan saya makan ke tak malam ni?” Selepas menuturkan kata-kata itu, Tengku Amirul terus beredar meninggalkan Adeela.

Sebaik sahaja lelaki itu berlalu, Adeela terus memeluk Mak Tijah dengan deraian air mata.

“Mak Tijah kena tolong saya lari dari sini malam ni jugak!” bisiknya ke telinga pembantu rumah itu.

“Deela jangan risau. Mak Tijah dah uruskan semuanya. Tapi satu aje Mak Tijah mintak, Deela jangan buat Tengku marah lagi macam tadi. Layan dia baik-baik malam ni kalau nak rancangan kita berjaya.” Kemudian Mak Tijah membisikkan sesuatu ke telinga Adeela, sudah tentulah membisikkan rancangan untuk Adeela melarikan diri dari banglo itu, yang telah siap diaturnya.

Adeela mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda faham.

“Sekarang Deela kemaskan diri Deela dan temankan Tengku Amir makan kat bawah. Mak Tijah turun dulu, ya.”

“Jangan lupa janji Mak Tijah ya.” Getus Adeela, penuh mengharap.

Pembantu rumah yang sudah beberapa langkah meninggalkannya itu, berpaling semua ke belakang. Ada segarit senyum terukir di bibir Mak Tijah, seolah-olah hendak meyakinkan Adeela yang sangat terdesak itu.

“BETUL ke Abang Id sukakan Kak Deela?” Aleya yang duduk di atas sebongkah batu besar sambil menjuntai kakinya mencecah sungai, melontarkan pertanyaan ke arah Idris yang duduk di sisinya.

Idris mengangguk. “Ya, abang sukakan Kak Deela.” Akuinya. “Yaya rasa abang ada harapan tak dengan Kak Deela?”

“Dah tentu. Kak Deela pun tak ada boyfriend lagi.” Sahut Aleya pantas sambil menjungkitkan ibu jarinya ke atas membawa maksud bagus.

“Yahoo!” Idris bereaksi perlahan. Dia takut kalau-kalau mengganggu konsentrasi Annessa yang tadi dilihatnya berkelakuan aneh di tempat Adeela ditemui terbaring dahulu.

“Eh, mana Kak Anne?”

Idris menoleh ke belakang, mencari-cari kelibat Annessa. Gadis itu tidak kelihatan di mana-mana. Dia bergegas mencari Annessa di lokasi gadis itu ditinggalkannya tadi. Tiba-tiba, langkahnya terhenti. Kakinya bagaikan terpaku ke tanah tatkala melihat keadaan Annessa yang terbaring betul-betul di tempat dia menemukan adik kembar gadis itu dahulu. Untuk beberapa ketika dia teringatkan filem thriller, Taking Lives, lakonan Angelina Jolie, yang membawa watak seorang detektif wanita yang sanggup melakukan perkara-perkara pelik di antaranya ialah tidur di dalam kubur mangsa bunuh, dalam usahanya untuk mencari visi bagi menyelesaikan sesebuah kes jenayah.

Annessa terbaring lurus dengan matanya dipejamkan. Kesempatan tu digunakan oleh Idris untuk mengamat-amati wajah Annessa. Subhanallah, seiras benar dengan adik kembarnya, Adeela. Kalau tidak berhati-hati memandang, pasti ada yang terkeliru. Hatinya berbisik.

Tiba-tiba, Annessa membuka matanya. Pandangan kedua-duanya bersabung. Terburu-buru Annessa bangun.

“Saya ganggu awak ke? Maaflah.” Tingkah Idris.

Annessa tidak menjawab. Mendung menyaluti seraut wajahnya.


Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.