3
ANNESSA sudah mampu menerima sebuah hakikat terhadap perpisahan yang dipaksakan ke
atas dirinya dan juga Adeela. Memang perit pada mulanya. Namun, lama-kelamaan
dia semakin pandai mengunyah kenyataan walaupun kadangkala kenyataan itu
sepahit jadam.
Dia dan
Adeela harus berpisah. Itu adalah syarat yang telah diberikan oleh Zikri untuk
melepaskan Sofea daripada sebuah ikatan. Dia dan Adeela harus berkorban supaya
adik mereka, Aleya, yang masih perlukan kasih sayang seorang ibu, tidak
dipisahkan daripada Sofea.
Ya!
Perceraian itu membuatkan mereka menderita. Perpisahan itu membuatkan mereka
sengsara.
“Kalau
ditakdirkan aku berkahwin nanti, aku takkan bercerai dengan suami aku walau
apapun alasannya. Aku tak nak anak-anak aku nanti terima nasib macam kita.”
Begitulah luahan rasa Adeela beberapa hari selepas papa dan mama mereka disahkan
bercerai.
Annessa
hanya mampu tergelak. Perceraian papa dan mama membuatkan mereka berdua jadi
fobia terhadap ikatan yang dipanggil perkahwinan. Apa gunanya berkahwin kalau
kemudiannya terpaksa mengambil keputusan untuk bercerai? Yang lebih menderita
adalah anak-anak seperti dia, Adeela dan juga Aleya.
Orang dewasa
tidak pernah terfikir impak perceraian itu terhadap emosi anak-anak. Mereka lebih
menurut kata hati. Mudah cuci tangan atas kesilapan yang telah mereka lakukan
dan kemudiannya meneruskan hidup bagai tiada apa-apa pun yang berlaku.
“Macam mana
kalau suami kau pukul kau setiap hari? Sanggup ke kau bertahan semata-mata kau
takut bercerai dengan dia?” duga Annessa. Sengaja mahu melihat reaksi kembarnya.
“Kau ni pun
satu, Anne! Takkan aku nak cari suami kaki pukul pulak? Kalau nak cari suami
pun, carilah orang yang baik-baik.”
“Manalah
tahu! Kata orang, cinta tu buta.” Tukas Annessa. Ketika itu dia sempat
membayangkan wajah papanya. Zikri baginya adalah seorang lelaki yang paling
baik di dunia ini, replika seorang bapa yang hebat. Romantis, penyayang, amat
mengambil berat dan tidak pernah lupa pada tanggung jawabnya sebagai seorang
ketua keluarga.
Tetapi,
kenapa lelaki seperti papanya juga tidak boleh dipercayai?
“Cinta tu
tak buta, Anne. Cuma orang yang sedang bercinta tu yang sengaja membutakan mata
hati mereka.” Adeela pantas menjawab. Jawapan jiwang karatnya itu membuatkan
mereka berdua terkekeh-kekeh di restoran makanan segera tersebut.
“Jadi kau
rasa selama ni, mama sengaja membutakan mata hatinya terhadap papa?” soal
Annessa.
Adeela
jongket bahu. “Aku tak tahu apa masalah mereka berdua. Mereka saling
tuduh-menuduh. Aku tak tahu mana satu nak percaya. Nak percaya mama ke, nak
percaya papa? Apa pandangan kau, Anne?”
“Aku rasa
papa yang bersalah. Papa kahwin satu lagi tanpa pengetahuan mama, tu jelas kan?
Tapi tuduhan papa terhadap mama tak tentu asas kebenarannya.”
“Entahlah
papa, tu! Senang-senang aje dia tuduh mama angaukan lelaki lain. Apa buktinya?”
ujar Adeela sebelum mengeluh panjang. “Anne, macam mana perempuan tu?”
Annessa
menarik muka masam. Dia tahu ‘perempuan’ mana yang dimaksudkan oleh Adeela.
Sudah tentulah perempuan yang menjadi dalang sehingga terpisahnya papa dan mama
mereka.
“Ceritalah
sikit kat aku. Cantik ke orangnya sampaikan papa sanggup berlaku curang pada
mama?”
Annessa
membayangkan wajah Nani. Perempuan yang dikahwini oleh papanya itu memang masih
muda. Tapi kalau hendak dibandingkan dengan mamanya, Sofea jauh lebih cantik
daripada Nani.
Dia sendiri
tertanya-tanya apakah kriteria yang ada dalam diri Nani sehingga papanya
sanggup menduakan mama? Baginya, manusia ketiga itu tiada kelebihannya.
Satu-satu kelebihannya ialah dia sentiasa ada di rumah untuk menyambut
kepulangan papa dari tempat kerja saban petang.
“Malaslah!
Layan ayam goreng spicy ni lebih baik
daripada mengumpat dia.” Annessa mengambil keputusan untuk tidak memberikan
apa-apa komen tentang manusia ketiga yang tiba-tiba hadir dalam hidup mereka
sekeluarga.
ANNESSA melangkah lesu masuk ke rumah. Perceraian di antara papa dan mamanya
memberikan tekanan yang hebat kepada perasaannya. Lebih teruk lagi kerana dia
terpaksa berpisah dengan kembarnya, Adeela.
Dia terfikir
apakah Adeela yang tinggal bersama mama dan Aleya sudah sampai ke Shah Alam?
Mungkin dia masih lagi dalam perjalanan, desis hatinya. Ketika mereka berpisah
tadi, komuter yang sepatutnya dinaiki oleh kembarnya itu masih belum tiba.
“Mama macam
mana?” Dia bertanya ketika mereka melangkah ke platform untuk menunggu komuter.
“Macam biasa
aje. Hari-hari sibuk dengan kerja. Tapi aku rasa mama pun macam kita jugak...
stres!”
“Mama selalu
ke balik lambat?”
“Macam tulah
nampaknya. Aku rasa mama sengaja nak tenggelamkan segala masalah dengan
menyibukkan diri di tempat kerja.”
“Kalau macam
tu, baik kau balik cepat sebelum Yaya pulang dari sekolah. Kesian dia
sorang-sorang kat rumah nanti. Makan malam ni macam mana?” Annessa nampak
prihatin.
“Macam
biasa. Aku tapau kat gerai Pak Tam. Hai, nampaknya hidup aku dan Yaya tak
berubah langsung, Anne. Yang berubah hanyalah ketiadaan kau. Life kau pulak macam mana?”
Annessa
mengeluh panjang lalu menangkis kenangan terhadap Adeela apabila melihat
kelibat Nani yang kebetulan melintas di depannya. Ibu tirinya itu sedang
mengandung lima bulan. Perutnya telah jelas kelihatan. Tiba-tiba dia jadi benci
dan muak melihat wajah orang ketiga yang menjadi punca perpisahan di antara
papa dan mamanya itu.
Perempuan
itu bagaikan berita duka dalam keluarga mereka. Dia bagaikan utusan yang telah
meruntuhkan sebuah rumah tangga. Annessa benci memandang wajah orang yang telah
memisahkan dia daripada Adeela.
“Deela apa
khabar, Anne? Dia sihat?” soal Nani sambil melabuhkan punggungnya di sofa.
Tangan kanannya mengusap-usap perutnya yang sudah mula membonjol.
Annessa
menarik nafas panjang. Dia malas hendak menjawab soalan ibu tirinya itu. Kalau
diikutkan kebencian yang meraja di hatinya, mahu saja dia melontarkan segala
sumpah seranahnya pada Nani. Namun, baik papa mahupun mama, tidak pernah
mendidiknya supaya menjadi seorang yang kurang ajar.
“Anne?”
“Deela
okey.”
“Baguslah.”
Tukas Nani sebelum mendiamkan diri. Sejak Annessa tinggal sebumbung dengannya,
dia tidak banyak bercakap dengan anak gadis suaminya itu. Dia hanya bercakap
perkara yang penting-penting sahaja. Mungkin dia takut kalau-kalau kata-kata
yang akan terkeluar dari mulutnya bisa melukakan hati Annessa.
“Papa Anne
balik lambat hari ni. Kalau Anne lapar, makanlah dulu, ye. Nasi dan lauk ada kat
dapur.” Kata Nani sebelum melangkah masuk ke bilik.
Annessa
diam. Dia termenung jauh mengenangkan nasib diri. Sesungguhnya dia sunyi dan juga
sedih. Dek perceraian itu, dia terlontar ke daerah lain. Dia bukan sahaja
terpaksa berpisah dengan mama, Adeela dan Aleya tetapi terpaksa juga berpindah
sekolah. Dia harus menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran yang baru.
Semua itu memberikan tekanan yang hebat pada dirinya. Jika dibandingkan dengan
dirinya, Adeela lebih bernasib baik. Sekurang-kurangnya, Adeela masih tinggal
di rumah yang sama dan belajar di sekolah yang sama.
Tiba-tiba
dia mencemburui Adeela. Kenapa bukan Adeela yang dipilih papa?
TANPA diketahui oleh sesiapa, Sofea sedang menikmati hidangan makan malam dengan
lelaki yang baru saja beberapa minggu lalu melafazkan talak kepadanya di
mahkamah syariah. Tujuannya bertemu Zikri bukanlah untuk rujuk semula. Tetapi
dia mahu membincangkan tentang kebajikan anak-anak terutamanya tentang Annessa
dan Adeela, kembar yang telah terpisah dek perceraian mereka berdua.
Kalau dahulu,
setiap kali pertemuan mereka pasti dicemari oleh pertelingkahan. Ada-ada saja
yang tidak kena. Ada-ada saja hal yang menimbulkan syak wasangka. Anehnya,
pertemuan kali itu berjalan lancar.
Mereka
saling berbalas senyum sebelum bertanya khabar.
“You sihat?”
soal Zikri ke arah bekas isterinya.
“Kalau I
sakit, takkan I dapat jumpa you malam ni.”
“Aik, lain
macam aje bunyinya?”
Sofea
tergelak kecil. Sudah cukup lama rasanya Zikri tidak melihat Sofea ketawa
begitu. Mungkin agaknya perceraian mereka telah melepaskan Sofea daripada
belenggu ikatan yang tidak membahagiakannya. Lalu kini, setelah dia berjaya
memulas kunci kebebasannya, dia mampu untuk ketawa semula.
“Tak apa ke
you balik lambat malam ni?” soal Zikri.
“Deela dan Yaya
dah biasa macam ni. Budak-budak tu tak kisah pun pasal makan. Selalunya Deela
beli bungkus aje.” Sofea terdiam beberapa ketika. Mungkin dia rasa bersalah
kerana membiarkan anak-anaknya makan nasi bungkus setiap malam.
“Err... Anne
macam mana? Boleh ke dia sesuaikan diri di rumah you?”
Zikri
senyum. “Jangan risau. Anne seorang yang tabah. Malah, dia lebih tabah daripada
Deela. Tulah sebabnya I pilih dia.”
“Tapi Zik, I
rasa kita dah tak berlaku adil pada Anne dan juga Deela. Mereka bersaudara
kembar. Kita pulak pisahkan mereka.”
Suasana
bertukar menjadi sebak. Sofea menyeka air mata yang menubir ke tebing matanya. Zikri
mencapai jari-jemari Sofea, cuba menenangkannya.
“Jangan
macam ni, Fea. Kita dah capai keputusan. Anne pun tak menolak untuk tinggal
dengan I. Sekiranya Anne tolak cadangan untuk tinggal dengan I dulu, dah
tentulah I tak sekejam tu untuk paksa dia. Lagipun mereka berdua boleh jumpa
bila-bila masa aje asalkan tak mengganggu waktu persekolahan mereka.”
“Betul ke
Anne baik-baik aje?” Sofea meminta kepastian.
Zikri
mengangguk. “Dia perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan persekitaran baru.
Tapi percayalah cakap I, Anne baik-baik aje.”
Hati Sofea
akhirnya tenang sendiri setelah mendengar pengakuan Zikri itu. Dia segera
menghabiskan nasi ayam di pinggannya sehingga licin. Yang ditinggalkan hanyalah
tulang-belulang.
Zikri juga
sudah menghabiskan nasi goreng ayam yang dipesannya. Dia mengambil kesempatan
itu untuk menatap wajah Sofea. Perempuan yang pernah berdiri di sisinya sebagai
isteri selama 18 belas tahun itu, masih menawan. Daya tarikannya masih utuh.
Ketika
lamarannya diterima oleh Sofea dahulu, dia telah berikrar kepada dirinya
sendiri untuk membahagiakan perempuan itu. Tetapi, entah di mana silapnya hubungan
yang dahulunya hangat membara akhirnya bertukar menjadi tawar dan kemudiannya
disulami oleh syak wasangka.
“Fea, you
tak terfikir ke... antara kita ni masih ada masa lagi?” tukasnya tiba-tiba.
Mata Sofea
memandangnya dengan penuh tanda tanya.
“Apa maksud
you?”
“Dalam
tempoh edah ini, kita kan masih boleh rujuk.” Cadang Zikri.
“Rujuk?”
Zikri
angguk. “You tahu kan I masih sayangkan you? Kalau kita rujuk semula...”
“Zikri!”
Sofea mendesis.
“Fea, kalau
kita rujuk semula masalah Anne dan Deela akan selesai.”
Sofea
bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Semudah itu Zikri hendak
menyelesaikan masalah? Mula-mula cerai dan rampas Annessa daripadanya. Dan
kemudian hendak rujuk semula dengan alasan untuk menyatukan kembali Annessa
dengan adik kembarnya, Adeela. Gurauan apakah ini?
“Jangan bagi
jawapan you sekarang. You balik dan fikirkan dulu cadangan I, ni.” Zikri bijak
memujuk.