Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 5

5

TAK tidur lagi, Deela?” tegur Sofea ke arah Adeela yang masih berada di ruang tamu.

“Belum lagi, ma. Mata tak ngatuk lagi. Perut pulak meragam.”

“Deela sakit perut? Teruk ke?”

“Tak adalah teruk sangat. Baru tiga kali Deela lawat tandas.” Adeela tergelak sendiri. “Mama tak payahlah risau. Sekarang ni dah okey sikit. Agaknya tummy Deela ni dah kosong.”

“Deela makan lauk apa tadi?” Sofea menyoal sambil menyimpan rasa bersalah dalam hati.

Dek sibuk dengan kerjaya, dia tidak ada masa untuk menyediakan hidangan yang sihat dan berkhasiat untuk anak-anaknya. Pandai-pandai merekalah agar tidak kebulur. Ketika di sekolah, mereka akan makan di kantin. Sementara untuk makan malam pula, biasanya mereka akan beli bungkus sahaja. 

“Agaknya Pak Tam tertumpahkan cili dalam sambal kelinya,” Sahut Adeela. “Mama dah makan?”

Sofea terbayangkan wajah Zikri. Dia juga teringatkan kata-kata Zikri yang mahu dia memikirkan kemungkinan untuk mereka rujuk semula agar anak-anak tidak bersepah. Ah! Tak mungkin dia kembali ke dalam dakapan Zikri setelah lelaki itu sanggup menyuapnya dengan madu tanpa kerelaannya. 

“Dah.” Dia menjawab. 

“Makan dengan siapa?”

“Err... kenapa Deela sibuk-sibuk tanya ni?”

Adeela ketawa kecil. “Deela tau mama makan dengan siapa. Dengan papa kan? Mama dan papa nak berbaik semula ke?” 

“Mana Deela tau? Papa report kat Deela ke?” 

Adeela geleng kepala. “Deela dapat mesej daripada Anne tadi. Dialah yang bagitau. Ma, tak boleh ke kalau mama dan papa berbaik semula?” 

“Deela, walaupun kami dah berpisah tapi kami masih lagi berhubung sebagai kawan.” Sofea menjelaskan. 

“Maksud Deela, tak boleh ke kalau kita hidup seperti satu keluarga macam dulu?”

Sofea terhenyak di kusyen. Dia memandang lurus ke arah Adeela. Jika dibandingkan dengan kembarnya, Annessa, Adeela lebih agresif ketika menyuarakan isi hatinya.

“Mama faham perasaan Deela. Tapi antara mama dan papa dah berakhir. Papa dah ada orang baru dalam hidupnya. Deela tahukan yang tak lama lagi papa akan menimang cahayamata? Mama dah fikir masak-masak sebelum buat keputusan untuk berpisah dengannya.

Masa buat keputusan tu mama ingatkan papa Deela takkan berkeras untuk pisahkan Deela, Anne dan Yaya. Mama dah cuba sedaya upaya untuk pujuk dia agar biarkan kamu tiga beradik berada di sisi mama. Tapi dia berkeras jugak. Mama tak tahu nak buat macam mana. Papa Deela sendiri yang pilih Anne untuk tinggal dengan dia. Anne pulak langsung tak membantah. Mungkin dia fikirkan kebajikan Deela dan Yaya juga.”

Bersungguh Sofea menerangkan kemelut itu kepada Adeela. Memang sukar hendak menerangkan hal itu kepada anak-anak yang terpaksa berpisah dek perceraian ibu bapa mereka. Dalam kes Adeela ini lebih teruk kerana dia terpaksa dipisahkan dengan kakak kembarnya. 

“Mama tahu semua ni sukar untuk Deela dan juga Anne. Tapi kami tak pernah halang Deela jumpa Anne bila-bila aje asalkan bukan masa sekolah. Tengah hari tadi pun Deela jumpa Anne kan?” 

“Tanpa Anne kat rumah ni, macam ada sesuatu yang hilang. Selalunya waktu-waktu macam ni kami berdua saling bertukar-tukar cerita.” Ada kesayuan dalam nada suara Adeela. 

“Mama faham perasaan Deela. Mama pun rindukan Anne. Rasa macam dia ada aje kat rumah ni.” 

“Bohong! Sejak bila mama faham perasaan kami? Mama selalu balik lambat. Macamlah kerja mama tu lebih penting daripada kami, anak-anak mama ni!” Suara Adeela tiba-tiba sahaja berubah menjadi kasar. “Papa pun sama aje. Kalau dia sayangkan kami ni, tentu dia takkan kahwin dengan perempuan lain.”

Setelah meluahkan isi hatinya, Adeela mula menangis. Apabila berada dalam situasi penuh emosi begitu, Sofea terasa hendak mengepakkan sayap dan terbang saja meninggalkan rumah dan juga segala masalah yang membelenggu. Namun, sebagai manusia biasa dia harus berdepan dengan masalahnya. 

Dia membiarkan Adeela menangis. Lebih baik kalau menangis begitu daripada memendam perasaan seperti Annessa. Sebagai ibu, Sofea juga turut terkenangkan Annessa. Bagaimanakah Annessa setelah berpisah daripada adik-adiknya? 

“Dah puas nangis?” soalnya ketika melihat Adeela yang mengesat airmatanya.

Adeela tidak menjawab. Hanya dengusan kasar yang terluah dari bibirnya. 

“Deela, mama minta maaf kalau Deela terseksa. Mama tak pernah minta untuk bercerai dengan papa Deela. Tapi kadangkala takdir mengatasi segalanya. Mungkin ada kesalahan mama pada keluarga kita sampai hal ni terjadi. Tapi cuba Deela fikir, ibu mana yang sanggup lihat anaknya menangis dan menderita? Mama pun tak sanggup tengok Deela berpisah dengan Anne. Tapi mama tak diberikan sebarang pilihan oleh papa.” 

“Papa yang bersalah sebab pisahkan kami!” Adeela bersuara dengan nada yang agak serak. Kemarahan jelas terpapar di wajahnya. 

Di saat-saat begitu apalah yang termampu dilakukan oleh Sofea selain hanya mendiamkan diri.

 

SOFEA letih. Letih yang teramat. Dia tidak kisah kalau rasa letih itu disebabkan oleh timbunan kerja atau masalah di pejabatnya. Tetapi dia cukup tidak tahan kalau rasa letih itu berpunca daripada masalah di dalam rumahnya sendiri. 

Kesedihan dan kedukaan bagaikan menyelubungi seluruh keluarganya. Ianya bagaikan bayang-bayang hitam yang menakut dan menggerunkan. Perpisahan ini terlalu menyakitkan. Air mata Adeela, Annessa dan Aleya adalah buktinya.

Tangannya kiam ke dada. Dia cuba menilai sekepal hati yang sedang berdegup di dalamnya. Benarkah tuduhan Zikri bahawa perceraian itulah sebenarnya yang diinginkan oleh Sofea?

Ya! Dia mengaku tidak pernah melupakan Tengku Amirul walaupun dia telah menjadi seorang isteri dan ibu. Pemuda itu adalah cinta pertamanya yang tidak kesampaian. Mereka terputus hubungan setelah Tengku Amirul tiba-tiba saja berangkat ke luar negara untuk meneruskan pengajiannya di sana.

Dia tidak menyangka begitu sudahnya hubungan mereka. Dia yang ketika itu sudah mengimpikan masa depan yang muluk-muluk dengan Tengku Amirul, menjadi hilang daya. Dia kecewa dan menderita.

Ketika dia sedang dihenyak duka, Zikri muncul dalam hidupnya. Mulanya menghulur salam persahabatan. Tetapi kemudiannya mencurahkan isi hati yang terpendam.

“Dah lama I sukakan you, Fea. Tapi I tak berani potong jalan Amir sebab dia kawan baik I.” Begitulah luahan Zikri setelah mereka semakin rapat. “Ada Amir hubungi you selepas dia berangkat ke UK?”

Sofea menggeleng. Dia juga hairan kenapa Tengku Amirul menyepikan diri setelah berangkat keluar negara. Mungkinkah dia sudah bertemu dengan pengganti seorang Sofea di sana?

Mungkinkah hatinya tiba-tiba terpesona dengan gadis Inggeris yang bermata hazel atau biru dan berambut perang lantas terlupakan kewujudan gadis kuning langsat yang rona matanya senada dengan rambutnya yang hitam berkilat ini?

Kata orang, cinta sepasang remaja adalah cinta monyet. Apakah Tengku Amirul tidak serius menjalinkan hubungan dengannya selama ini? Apakah Tengku Amirul anggap cintanya dengan Sofea adalah sekadar cinta monyet?

Argh! Seksanya!!!

“Tak apalah! Agaknya dia sedang sesuaikan dirinya di sana. Mungkin tak lama lagi dia akan hubungi you.” Komen Zikri.

“Kenapa you cakap macam tu?”

Zikri jongket bahu. “I agak aje. You kat sini janganlah sedih sangat. I tengok you dah berubah betul sejak Amir pergi ni. Badan you pun dah kurus kering. Jangan ikutkan hati sangat, Fea. You kena tumpukan perhatian pada pengajian you jugak. Jangan kerana terlalu memikirkan tentang Amir, you kantoi dalam exam akhir nanti.”

Zikri sebagai seorang kawan segera mengingatkannya. Dari situlah dia mula rapat dengan Zikri. Akhirnya hubungan itu terus berkembang sehinggalah hatinya terbuka untuk menerima lamaran Zikri. Rumah tangga mereka bahagia dengan kehadiran tiga orang puteri yang cantik.

Walaupun dia sangat bahagia dengan suami dan anak-anaknya, tapi entah kenapa dia tidak pernah melupai cinta pertamanya. Kadangkala wajah Tengku Amirul masih menyapa ke jiwanya terutamanya di malam-malam yang sepi.

Hubungan mereka bagaikan tidak selesai. Dia masih tertanya-tanya kenapakah Tengku Amirul meninggalkan dirinya tanpa khabar berita? Dan, selagi Tengku Amirul tidak muncul dengan jawapan kepada persoalannya itu, dia merasakan Tengku Amirul masih lagi berhutang dengannya.

 

FEA! Sofea Ilhami?”

Sofea yang sedang makan tengah hari dengan beberapa orang teman sekerja di sebuah restoran, terkejut apabila namanya ditegur. Dia segera angkat muka. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat siapa yang berdiri di depannya ketika itu.

Untuk beberapa ketika, lidahnya kelu untuk berkata-kata. Memori ditinggalkan tanpa khabar berita oleh orang tersayang bagaikan menyentap ke jiwanya lalu merobek semula luka yang sudah sembuh itu. 

“Takkan dah lupa? I Amir.”

Dia mengangguk. “Ah, Tengku Amirul rupanya. Apa khabar?”

Tengku Amirul senyum. “Baik. You?”

“Macam yang you lihat ni, sihat!” 

“Siapa tu Kak Fea? Takkan tak nak kenalkan dengan kami?” Suara Effa, wartawan pelatih dari UiTM Shah Alam yang duduk di sisinya itu segera menyoal. 

“Okey semua, kenalkan ni kawan lama Kak Fea masa masih menuntut di ITM dulu. Namanya Tengku Amirul. Kami dah lama tak jumpa lepas dia pergi sambung belajar keluar negara. Sekarang ni tiba-tiba aje muncul kat depan mata!” kata Sofea sambil menjeling ke arah Tengku Tengku Amirul yang tersengih-sengih bagai kerang busuk. 

“Boleh I join you all?”  

“Boleh, apa salahnya. Silakanlah duduk. Kat meja ni semuanya perempuan, seronok juga kalau ada seorang lelaki handsome temankan. Betul tak, Kak Fea? ” Pelawa Effa sambil melemparkan senyum penuh bermaknanya kepada Sofea. 

Sofea tidak menjawab. Tengku Amirul pula dengan selamba mengambil tempat di sisi Sofea. 

“You makin cantik, Fea.” Tengku Amirul memuji dengan perlahan agar pujiannya tidak didengari oleh mereka yang lain di meja itu. 

“Tak payahlah nak puji-puji. I dah tak makan puji sekarang ni,” desis Sofea. Sebenarnya dia tidak selesa di sisi Tengku Amirul. Kalau boleh, dia mahu segera meninggalkan restoran itu dan juga Tengku Amirul. Dia menoleh jam di lengannya. “Hey, korang... tak nak masuk pejabat ke?” dia menyoal teman-temannya yang sedang sibuk bergosip hal pejabat. 

Masing-masing menoleh jam di lengan. Barulah mereka sedar tentang masa yang berlalu. Sofea segera menoleh ke arah Tengku Amirul di sisinya.

Sorry, Amir... kita orang ni kena balik ke pejabat.” Dia berkata. 

“Boleh bagi I contact number you?” pinta Tengku Amirul.

Sofea kerut kening. “You nak buat apa? Tak payahlah!”

“Ala, Fea... apa salahnya? Kita kan kawan lama. Kalau you sudi, I ingat nak jumpa youlah. Banyak benda yang nak I bicarakan dengan you. Lagipun bukannya senang dapat jumpa balik dengan teman lama macam ni.” 

“Betul cakap Encik Amir tu, Kak Fea. Apa salahnya bagi nombor telefon kat kawan lama.” Effa yang bermulut murai itu segera menyokong Tengku Amirul ketika Sofea agak keberatan hendak memberikan nombor telefonnya. 

“Tak payahlah berencik-encik dengan saya ni, dik. Panggil nama aje dah le. Kalau tak pun panggil aje abang, lagi mesra.” Tingkah Tengku Amirul. “Macam mana, Fea? Still tak nak bagi nombor telefon?” 

“Okeylah! Ni nombor telefon office I.” Akhirnya Sofea menghulurkan nombor telefon pejabatnya. Tengku Amirul pula segera menyeluk sakunya lalu mengeluarkan sekeping kad kecil lalu dihulurkan kepada Sofea. 

Dari situlah bertautnya semula hubungan yang telah terputus sedemikian lama. 

Ah! Akukah yang bersalah kerana telah terleka dengan kemunculan semula Tengku Amirul dalam hidupku? Akukah yang bersalah kerana telah menjentik cemburu ke jiwa Zikri? Tapi Zikri pun bersalah juga. Kalau dia benar-benar mencintaiku masakan semudah itu dia menjalin hubungan dengan perempuan lain sehingga sanggup pula menikahinya. 

Sofea mengeluh panjang. Dia merebahkan kepalanya ke bantal dan cuba membuang jauh-jauh wajah Tengku Amirul daripada ruang ingatannya.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.