6
MUNGKIN pada sesetengah perempuan, kehamilan sengaja dijadikan
alasan untuk memanjakan diri ataupun menjadi malas. Namun, Nani bukanlah
tergolong dalam kategori perempuan sebegitu walaupun dia sedang mengandungkan
anak sulungnya. Telah menjadi rutin hariannya untuk bangun dari tidur seawal
jam 5.30 pagi. Usai solat Subuh, dia akan terus menuju ke dapur.
Juadah untuk sarapan sudah tersedia di atas meja. Pagi
itu, Nani goreng bihun putih yang sepantas kilat menjadi hidangan sarapan
kegemaran Annessa.
Suasana di meja makan agak sunyi dan kaku. Baik Zikri,
Nani mahupun Annessa, tidak banyak berbual. Mungkin Nani masih terasa hati
dengan Zikri yang telah pulang lambat ke rumah malam tadi semata-mata hendak
makan malam dengan jandanya.
Annessa tidak mengendahkan perang dingin di antara papa
dan ibu tirinya itu. Laju saja dia menyuap bihun ke mulutnya.
“Dah, Anne? Jom kita pergi.” Kata Zikri setelah
menghabiskan Nescafenya.
Annessa mengangguk. Dia meninggalkan meja makan lalu
menuju ke muka pintu. Setelah menyarung stoking dan kasut sekolahnya, dia terus
menuju ke kereta papanya dan menunggu Zikri di situ.
“Kenapa dengan awak pagi ni? Macam orang tak ada mood aje saya tengok?” Zikri menyoal
Nani yang menghantarnya hingga ke muka pintu. “Takkan dengan Fea pun awak nak
cemburu?” tekan Zikri.
“Tak cemburu kata abang? Abang bagitaulah saya siapa
perempuan kat dunia ni yang tak cemburu bila suaminya keluar makan malam dengan
bekas isterinya?” Wajah Nani masam mencuka.
Zikri hanya menggeleng. “Jangan awak semakkan minda awak
tu dengan syak wasangka. Tak boleh ke bersangka baik dengan saya? Awak kena
faham Nani, antara saya dengan Fea masih ada penghubung iaitu anak-anak.”
“Kan semuanya dah selesai masa kat mahkamah syariah
dulu?”
“Mana ada selesainya? Ya, urusan perceraian, pembahagian
harta sepencarian dan pemberian nafkah untuk anak-anak memanglah pada asasnya
nampak dah selesai. Tapi masih ada benda-benda lain yang perlu kami bincangkan
terutamanya tentang emosi anak-anak.”
“Bang, saya sebagai isteri abang sekarang ni rasa tak
senang hati bila dengar abang jumpa dengan Kak Fea di luar tu. Bang, sekarang
ni dia masih dalam edah dan bila-bila masa aje boleh rujuk dengan abang!” Nani
membentak.
“Dahlah, jangan asyik fikir yang bukan-bukan. Tenangkan
diri awak tu. Awak dah lupa pesan doktor supaya jaga emosi dalam masa
mengandung, ni.” Zikri menasihati Nani selembut mungkin.
“Bang, saya tak rela kalau bermadu dengan Kak Fea!” Air
mata Nani merembes.
“Ya, saya faham perasaan awak. Macam nilah yang Sofea
rasa agaknya bila dia dapat tahu yang saya dah nikah satu lagi dulu. Tapi awak
janganlah risau Nani, saya takkan ulang kesilapan saya yang dulu tu.”
“Jadi maksud abang, saya ni adalah satu kesilapan?”
jerkah Nani. Wajahnya jelas nampak kecewa.
Zikri bungkam. Dia sudah terlepas cakap dan tidak tahu
bagaimana hendak menjawab soalan Nani itu.
“Pa, cepatlah! Kita dah lambat ni.” Panggilan daripada
Annessa menjadi penyelamat.
“Nani, abang pergi dulu.” Kata Zikri.
Nani menyeka airmatanya lalu segera menghulurkan
tangannya ke arah Zikri. Tangan suaminya disalam lalu dicium.
“Saya minta maaf kalau dah terkasar bahasa dengan abang,”
ujar Nani.
Setitis air matanya yang jatuh ke tangan Zikri, menyentuh
hati lelaki itu. Dia mengusap rambut lebat isterinya.
“Jangan terlalu banyak fikir. Abang sayangkan Nani,” kata
Zikri sebelum berlalu ke kereta.
ANNESSA hanya memandang dari jauh. Dia bukan hanya memandang
kosong, malah turut menilai situasi itu. Dalam diam, dia membandingkan ibu
kandung dengan ibu tirinya. Kalau hendak dibandingkan dari segi paras rupa dan
gaya, memanglah Sofea tidak pernah kalah di tangan Nani. Namun, dia cukup pasti
ada sesuatu yang istimewa dalam diri Nani sehingga papanya terpikat.
“Kenapa dengan mak cik tu, pa?” korek Annessa ke arah Zikri
yang sedang memandu.
Zikri ketawa. “Tak ada apa-apalah, Anne. Jangan risau.
Perempuan hamil memang macam tu, kuat berprasangka.”
“Prasangka? Dia tak percayakan papa ke? Malam tadi kan
papa balik lambat, papa ke mana sebenarnya?”
“Ah, papa tak ke mana pun. Cuma jumpa mama kejap. Ada hal
sikit yang kami perlu bincangkan.”
“Papa jumpa mama? Mama macam mana? Sihat ke?” soal
Annessa bertalu-talu.
“Jangan risau. Mama Anne sihat. Tapi dia risaukan tentang
Anne dan Deela. Tulah yang kami bincangkan malam tadi.” Terang Zikri. “Hujung
minggu ni papa nak bawa mak cik pulang ke kampungnya. Sebenarnya papa teringin
nak bawa Anne sekali. Bolehlah kenal dengan nenek dan datuk tiri Anne. Tapi, kalau
Anne tak nak ikut pun tak apa. Anne boleh balik ke Shah Alam jumpa adik-adik.”
“Nantilah Anne fikirkan dulu. Pa, Anne ada satu soalan
nak tanya papa ni...”
Zikri menoleh anak gadis di sisinya. “Apa dia?”
“Kenapa papa pilih Anne untuk tinggal dengan papa?”
“Betul Anne nak tau jawapannya?” soal Zikri. Annessa
mengangguk. “Papa pilih Anne sebab papa tengok di antara kamu tiga beradik,
Anne yang paling tabah. Mungkin sebab Anne anak sulung maka Anne yang paling
tabah.”
Begitulah pengakuan Zikri. Annessa tidak tahu sama ada
dia patut berbangga ataupun tidak dengan kenyataan bernada pujian yang
diluahkan oleh papanya itu.