Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 43

43

KERETA jenis BMW itu menjalar megah menuju ke pintu masuk UiTM. Sofea yang duduk di sebelah bekas suaminya cuba sedaya upaya untuk kelihatan normal di mata anak-anaknya. Namun hanya TUHAN sahaja yang tahu betapa hebatnya debaran menyentap dada. Dan, dia bukanlah sekuat manapun untuk berdepan dengan situasi sebegitu.

Sepatutnya aku tolak aje cadangan Zikri untuk makan tengah hari bersama ni, bisik hatinya. Tetapi apalah dayanya kerana dia kini telahpun terperangkap di dalam kereta mewah itu bersama lelaki yang pernah mengasihinya, kemudian meracuninya pula dengan racun yang berbisa.

Argh, alangkah ironinya tatkala mengenangkan bahawa suatu ketika dahulu mereka pernah mengecap nikmat kasih yang menggebu-gebu tetapi kini semua yang pernah dikecapi itu menghilang entah ke mana. Kehadiran anak-anak sahajalah yang membuktikan bahawa suatu masa dahulu dia dan Zikri pernah bersatu.

Dan, ada satu penyebab lagi mengapa dia menggelisah di tempat duduknya.

“Tempat ni benar-benar meninggalkan nostalgia pada dia berdua kan, Fea? Sepatutnya dulu lagi kita ke sini... maksud I sebelum kita berdua berce...”

“Zik! Stop it, please. Yang dah lepas tu biarkanlah berlalu. I tak nak kenang apa-apa lagi.” Cepat-cepat dia bersuara. Ketegasan nada suaranya membuatkan Zikri terdiam.

Pun begitu, mana mungkin dia dan Zikri melupakan tempat pertama kali mereka bertentang mata. Semakin kereta mewah itu mendaki bukit menuju ke destinasinya, semakin terang dan jelas setiap memori yang pernah mereka kongsi bersama. Walaupun kini banyak bangunan lain telah didirikan di kawasan itu untuk menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah tetapi bangunan Menara yang menjadi mercu tanda UiTM itu masih utuh di tempatnya.

“Papa dan mama dulu pernah belajar kat sini kan?” Aleya menyoal.

“Ye, betul tu, Yaya. Nilah tempat pertama kali papa bertentang mata dengan mama.” Zikri menjawab sambil menjeling ke arah perempuan yang duduk di sisinya. Sofea nampak tertekan.

Dalam diam dia menilai wajah bekas isterinya itu. Walaupun usianya semakin bertambah tetapi Sofea masih kekal cantik dan memikat. Kalau dia sudah mempunyai pengganti Sofea, kenapakah perempuan itu masih menyendiri?

“Hui, romantiknya! Ceritalah kat mana papa selalu dating dengan mama? Kat library ke?” sakat Aleya lagi tanpa mempedulikan gelodak di jiwa mamanya.

Zikri ketawa kecil.

“Nantilah... bila freenanti papa cerita ye. Hah, tu pun Anne!” Dia segera mengambil jalan selamat untuk tidak terus mencurah garam ke luka yang pernah diguriskannya di hati Sofea.

SEBAIK sahaja dia melangkah masuk ke perut kereta, dia sudah tahu yang dirinya akan dihujani pelbagai soalan oleh seluruh ahli keluarganya. Jadi terpaksalah dia menceritakan juga kepada mereka bagaimana dia boleh terlibat dalam kemalangan pagi tadi.

“Nasib baiklah tak teruk. Nak ke klinik dulu tak?” Sofea menyoal.

“Tak payahlah, ma. Melecet sikit aje ni. Lagipun petang ni... jam 2.00, ada kelas.”

“Ya ALLAH, risaunya hati mama.” Sofea mengurut-ngurut dadanya.

“Anne nak pakai kereta ke? Kalau nak, papa boleh usahakan.” Zikri tiba-tiba bersuara.

Installment setiap bulan siapa yang nak bayar? You?” Sofea menerjah.

“Kalau I yang uruskan, I lah yang bayar. Kenapa, you ingat I tak mampu ke?”

“Orang rumah you tak bising ke nanti kalau you belikan kereta untuk Anne?”

“Bukannya I guna duit dia pun. I guna duit I sendirilah! Buat apa pulak dia nak bising?”

Bibit-bibit pertengkaran yang mula muncul itu membuatkan mereka tiga beradik yang duduk di tempat duduk belakang, menjadi gelisah. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Pa, buat masa ni Anne belum perlukan kereta. Lagipun bukannya jauh sangat pun UiTM ni dengan rumah.” Annessa segera mencelah untuk meredakan pertengkaran di antara papa dan mama mereka itu.

Setelah mendengar kata-katanya itu barulah pertengkaran di antara Sofea dengan Zikri terhenti.

Take-5! Annessa memberi isyarat tangan ke arah adik-adiknya. Adeela dan Aleya tersengih-sengih.

SETELAH kata sepakat diperolehi, Restoran OnlyMee yang terletak di SACC Mall, Shah Alam, dituju. Sofea dan Zikri berjalan di hadapan sementara ketiga-tiga orang puteri mereka pula mengekori rapat di belakang.

“You masih macam dulu jugak, Fea.” Getus Zikri sambil menjeling sekilas ke arah perempuan yang dahulu pernah bertakhta penuh di hatinya.

“Macam mana tu?”

“Masih cantik, anggun bergaya.” Zikri memuji, ikhlas.

“Terima kasih ajelah di atas pujian you tu, Encik Zikri.” Sahut Sofea dengan bibir yang tercebik sedikit. Apa gunanya cantik, anggun dan bergaya kalau kau tetap mahu berlaku curang, Zik? Gerutunya dalam hati.

“I puji you ni, seikhlas hati I tau.”

“Ye, I tau.” Getus Sofea.

Mengekori rapat di belakang, Annessa, Adeela dan Aleya memerhatikan reaksi papa dan mama mereka itu dengan pelbagai tanda tangan di hati masing-masing.

“Kenapa papa bersusah-payah turun ke Shah Alam hari ni agaknya, Deela?” soal Annessa.

Adeela jungkit bahu. “Manalah aku tahu. Agaknya papa nak tayang kereta baru dia tu pada kita semua tak?”

Annessa enggan mempercayai kata-kata Adeela. Papa bukan begitu orangnya, hatinya berbisik.

“Agaknya papa nak berbaik-baik semula dengan mama.” Aleya muncul dengan ideanya.

“Berbaik-baik macam mana tu? Bukankah papa dan mama dah berpisah?” Adeela kerut kening.

“Ah, agaknya papa dah rindukan kita bertiga tak? Ala, tak payahlah kita fikir panjang-panjang. Baik kita nikmati aje saat-saat begini yang bukannya selalu datang dalam hidup kita.” Annessa segera menjernihkan suasana.

“Kan best kalau selalu begini,” tingkah Aleya seolah-olah orang yang sedang bermimpi.

Annessa menoleh ke arah adiknya itu. Perasaan simpati membuak-buak di dadanya. Aleya sudah tentu mendambakan saat-saat begini, iaitu papa dan mama berada bersama-sama mereka.

“Anne, nanti kau temankan aku beli tudung kat PKNS, ye.” Adeela kemudiannya bersuara, agak perlahan.

Annessa menoleh ke arah kembarnya itu. “Beli tudung? Boleh aku tahu untuk apa?”

“Petang esok kan Abang Id nak datang...” Wajah Adeela sudah kemerah-merahan menahan rasa.

“Jadi kau nak pakai tudung tu untuk dia?” Annessa menghentak pertanyaan itu kerana Adeela sama sepertinya, tidak pernah bertudung.

“Err... apa salahnya?”

Hebat juga penangan kau terhadap adik aku ye, Idris, gerutu hatinya.

“Deela, kalau nak tutup aurat pun biarlah niat kita ikhlas kerana ALLAH. Bukannya kau nak tutup aurat hanya kerana seorang lelaki.”

“Apa salahnya? Hukum menutup aurat tu sendiri wajib kan?” Adeela meninggikan suaranya.

Annessa menelan air liurnya. “Ye, betul kata kau tu. Nanti lepas kita makan, aku temankan kau beli tudung tu ye,” pujuknya.

“Terima kasih.”

“Kau ada jumpa tuala putih milik Jib tu tak?”

Sorry, aku tak nampak pun tuala tu.” Adeela menjawab, selamba.

“Pelik pulak aku memikirkan manalah perginya tuala tu. Hmmm... tak apalah, nanti kat PKNS aku boleh belikan tuala yang baru untuk ganti yang dah hilang tu.” Annessa merancang. Adeela hanya menjelingnya dengan ekor mata.

“Asyik bercakap aje kat belakang tu. Kita dah sampai ni, tak nak masuk ke?” Kedengaran suara Sofea menegur anak-anak gadisnya.

“Ye, ma!” Annessa dan Adeela menyahut, hampir serentak.

Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.