Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 42

42

JARUM jam menuding ke angka 12.30 tengah hari. Kelas untuk pagi itu telah tamat dan akan disambung semula pada jam 2.00 petang nanti. Selalunya di antara ruang waktu itu, Annessa akan pulang ke rumah untuk menjenguk adik-adiknya. Dia lebih risaukan Adeela daripada Aleya yang mungkin kesepian kerana terpaksa berkurung di rumah. Tetapi tengah hari itu dia rasa liat hendak pulang lalu mengekori teman-teman sekelasnya menuju ke kafe untuk mengisi perut.

Hujan telah lama berhenti. Matahari mula menguak mendung dan menyuluh bumi dengan sinarnya yang gemilang.

“Anne!” Tiba-tiba Annessa terdengar namanya dipanggil seseorang sebaik sahaja dia melangkah masuk ke perut kafe. Dia menoleh. Matanya bertentangan dengan mata Pak Lah, pengurus kafe itu.

Mereka berbalas senyum

“Ye, Pak Lah?”

“Pak Lah dah rasa cup cake yang awak bawa tu. Boleh tahan, sedap. Esok bolehlah letak kat kaunter.” Pak Lah memulakan bicara.

Cup cake tu adik saya yang buat, Pak Lah. Nanti saya tanya dia dulu ye.”

“Okey, boleh aje.” Kata lelaki itu sebelum berlalu untuk meneruskan rutin hariannya yang semakin sibuk menjelang tengah hari.

Annessa duduk di sisi Zainah sementara Bazira, teman yang berasal dari Terengganu dan Fiona, gadis Negeri di Bawah Bayu, sudah beratur untuk mengambil makanan masing-masing.

“Malam ni jangan lupa tengok sambungan Pretty Little Liars, tau. Aku paling suka tengok Aria tu, cantik,” kata Zainah yang sudah kemaruk dengan drama bersiri itu.

Annessa hanya ketawa. Dia hanya menonton siri itu kalau berkesempatan. Tetapi dia perhatikan siri itu mendapat tempat di hati adik bongsunya, Aleya. Walaupun siri itu bersiaran agak lewat, Aleya tetap bertegas untuk berada di depan peti televisyen untuk menonton rancangan kegemarannya itu. Seringkali juga adiknya itu akan ditegur dan dimarahi oleh mama mereka, tetapi Aleya hanya akan memekakkan telinganya.

“Adik aku sukalah tengok cerita tu. Aku temankan dia aje sekali-sekala.” Getusnya sambil menoleh jam di lengannya. Fikirannya ketika itu lebih tertumpu ke arah Tengku Najib. Sehingga kini pemuda itu masih belum berusaha menghubunginya.

“Kau tak nak makan ke?”

Annesssa menggeleng. “Aku tak ada seleralah.”

“Kenapa kau ni? Aku tengok macam orang risau aje?”

Matanya merenung tepat ke wajah Zainah. “Macam manalah aku tak risau, Jenna. Hari ni aku asyik bad luck aje. Pagi-pagi lagi dah terlanggar buntut kereta orang. Badan aku sebelah kanan ni masih lenguh-lenguh lagi. Lepas tu...” Kata-katanya terhenti setakat di situ tetapi di dalam hati dia menyambung: “Lepas tu Jib pulak menyepikan dirinya sampai sekarang. Jo kata dia accident dan aku penyebabnya. Macam manalah aku tak risau dibuatnya, Jenna?”

Dia menghempas keluh.

“Sabarlah, anggap aje semua tu dugaan. Lain kali kau harus lebih berhati-hati. Kalau tak pun kau suruh aje Jib jemput kau kat rumah setiap pagi. Dia kan ada kereta.”

“Ah, malaslah aku nak menyusahkan dia!”

Zainah ketawa kecil. “Bila lagi kau nak menyusahkan dia, Anne? Nilah masanya! Masa dia tengah tergila-gilakan kau ni. Aku rasa dia pun tak kisah kalau setiap hari terpaksa jemput kau kat rumah dan setiap hari terpaksa hantar kau balik. Entah-entah dia lagi suka kut, sebab dapat jumpa kau selalu.”

“Aku takkan buat macam tu! Lagipun aku dengan Jib hanya kawan biasa aje. Aku cuma concern aje sebab dia belum call aku lagi.” Dia terlepas cakap.

“Oh, tulah sebab sebenar kenapa kau macam orang yang hilang mood aje hari ni ye?” tingkah Zainah membuatkan dia hanya mampu mendiamkan dirinya. “Kalau dia tak call kau, kaulah yang harus call dia.” Zainah mencadangkan.

“Aku dah calltadi, tapi bapa saudara dia yang jawab.”

Zainah kerut kening. “Kata bapa saudara dia dalam penjara?”

“Dia ada bapa saudara yang lain kut. Entahlah... aku pun tak tahu, tapi lelaki yang jawab panggilan aku tadi mengaku dia bapa saudara Jib.”

Bulat mata Zainah memandangnya. Annessa menarik nafas dalam-dalam. Walaupun hubungannya agak rapat dengan Tengku Najib, tetapi masih banyak perkara yang belum diketahuinya tentang jejaka itu, keluarganya... kehidupannya, impian masa depannya, bla bla bla...

“Anne, kau tau kan yang Kak Tasya, ex-girl Jib tu sekarang ni dah seminggu menjadi teman serumah aku?” Suara Zainah kedengaran serius. Annessa mengangguk. “Aku tengok dia tu lain macam sikitlah, Anne.”

“Kenapa pulak?”

“Dia asyik nak korek rahsia kau dengan Jib aje.”

“Iye? Apa yang dia tanya pada kau?”

“Yelah, dia nak tahu sejauh mana hubungan kau dengan Jib.”

“Habis tu, kau jawab apa?”

“Yang macam kau selalu cakap dengan akulah, kau dengan Jib hanya kawan biasa aje.”

Annessa mengurut dadanya, lega mendengar jawapan Zainah itu.

“Nasib baik. Kalau dia tanya, kau jawab aje macam tu. Memang pun aku dengan Jib hanya teman biasa, tak lebih daripada tu.” Annessa bersuara.

“Aku rasa dia masih syokkan Tengku Najib tulah, Anne. Kalau tak, kenapa dia selalu menyibuk nak tahu setakat mana hubungan kau dengan Jib?’ Zainah tampil dengan pandangannya.

Annessa jungkit bahu. “Lantak dialah! Aku malas nak fikir.”

Seketika kemudian Bazira dan Fiona kembali semula ke meja dengan menatang tray masing-masing. Annessa menoleh ke arah tray kedua-dua orang temannya itu. Bazira memilih untuk makan bihun sup dan teh ais sementara Fiona pula memilih sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng berlada dan sayur bayam masak air.

“Jom Anne, turn kita pulak!” panggil Zainah yang sudah pun bangun.

Ketika itulah telefonnya berbunyi. Dia segera memekapkan telefon itu ke telinganya.

“Assalamualaikum, papa,” ucapnya kepada lelaki di hujung talian. Dia tidak menyangka akan mendapat panggilan daripada papanya tengah hari ini.

“Papa, mama, Deela dan Yaya dalam perjalanan nak ke UiTM ni. Kami nak jemput Anne. Kita sekeluarga lunch sama-sama hari ni, ye. Info papa lokasi Anne.” Suara papanya kedengaran cukup ceria.

Dia terkaku seketika.

“Anne!” suara papanya kedengaran lagi.

“Okey, pa! Anne dengar.” Dia segera memberikan lokasi untuk memudahkan papanya menjemputnya nanti. Selepas menamatkan perbualan dengan papanya dia menoleh ke arah Zainah. “Jenna, aku minta diri dulu. Family aku dah plan nak lunch bersama tengah hari ni.” Dia memberitahu.

“Wah, makan besarlah kau nampaknya. Patutlah tadi asyik takde selera aje, rupa-rupanya nak makan besar.” Spontan Zainah bersuara sambil tertawa.

“Bye.” Annessa segera mencapai back-packnya lalu berjalan pantas meninggalkan perut kafe itu.

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.