Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 12

12

HEY, Anne! Sinilah!” Suara Zainah atau nama glamournya Jenna, kedengaran memanggil ketika dia menyusuri koridor di kolej kediaman. Siswi itu adalah rakan sekelasnya.

Panggilannya itu membuatkan langkah Annessa terhenti. Dia menoleh ke belakang dan melihat Zainah berdiri di muka pintu biliknya.

“Kau cari siapa kat sini?”

“Err... entahlah! Tiba-tiba aje aku terasa nak melawat kolej ni.”

“Kau ni memang peliklah, Anne,” gerutu Zainah sambil ketawa. “Marilah masuk bilik aku. Boleh jugak kita bergosip.”

“Eh, kau ni Jenna... dah terpengaruh dengan cerita Gossip Girls tu, ke?”

Zainah ketawa.

“Bagus jugak idea kau tu. Apa kata kalau lepas ni kita form groups untuk bergosip?” Zainah segera menariknya masuk ke dalam bilik. Mereka duduk di birai katil. “Eh Anne, kalau kau nak tau, gosip pertama hari ni ialah tentang kau!”

Annessa kerut kening. “Apa pulak aku?”

“Siapa jejaka kacak yang temankan kau semasa kat kafe tengah hari tadi? Dah tentu kami kenal Wan, tapi si kacak yang seorang lagi tu, siapa?”

Annessa terdiam seketika. Dia terbayangkan wajah Tengku Najib yang sentiasa mencari-cari ruang untuk berbual dengannya di kafe tadi, cuma dia yang yang malas hendak melayan.

“Bukan main lagi kau, ya, Anne. Nampak aje macam pendiam tapi ramai peminat. Diam-diam berisi kau ni!”

“Kau ni, Jenna, janganlah buat spekulasi yang bukan-bukan. Siswa tu hanya kawan Wan. Siapa entah namanya, aku pun tak tau.”

“Tengku Najib, kan?” Zainah bangkit lalu menuju ke meja tulis teman sebiliknya yang terletak di tepi tingkap. Sebuah bingkai foto diambil lalu dihulurkan pada Annessa. “Ni gambar dia. Baik-baik Anne, Tengku Najib ni dah ada buah hati. Kebetulan pulak buah hatinya, teman sebilik aku.”

Mata Annessa meneliti foto yang dihulurkan Zainah ke arahnya. Di dalam foto berlatarbelakangkan sebuah banglo di tepi tasik itu, kelihatan Tengku Najib berdiri segak di samping seorang lelaki kacak. Entah mengapa, bulu roma Annessa meremang apabila melihat panorama banglo tepi tasik dan lelaki kacak yang berdiri di samping Tengku Najib itu.

SEJAK Adeela menghilang, erti tenang bagaikan sudah tercabut dari kehidupan Annessa. Dia begitu sukar hendak melelapkan matanya di malam hari. Dan, kalaupun tertidur mimpi ngeri sentiasa menemani malamnya.

Dia gelisah di atas katilnya. Foto yang dilihatnya di bilik Zainah siang tadi ternyata mengganggu emosinya. Dia tidak berminat dengan wajah Tengku Najib yang dikatakan ‘Romeo UiTM’ itu, sebaliknya lebih berminat pada lelaki kacak yang agak berusia yang berdiri di sisi Tengku Najib. Dia seolah-olah pernah melihat lelaki itu... tapi di mana?

Dan, siapakah namanya?

“Jenna, siapa lelaki ni?” soalnya sambil menuding jari telunjuknya ke dada foto itu.

“Pak cik Tengku Najib, tapi aku tak tahu namanya. Handsomekan? Kenapa? Kau berminat?” jawab Zainah siap menyindir lagi.

Siapa lelaki tu, ya? Dan, kenapa aku rasa gerun tatkala melihat banglo dalam foto itu?

HAI, dah sarapan, ke? Seorang aje? Wan mana?”

Eh, mamat ni... banyaknya soalan. Annessa menyengih. Dia seolah-olah dapat merasakan bahawa anak muda itu pasti mencarinya lagi.

Melihatkan senyuman yang terukir di bibirnya, Tengku Najib semakin berani. “Boleh I duduk kat sini?”

“Kerusi tu hak awam. I tak ada hak nak melarang.”

Tanpa segan silu lagi, Tengku Najib duduk di depannya. Matanya menyorot ke arah pinggan kecil di depan Annessa.

“Makan kuih aje? Jaga badan ke? Eh, kalau you nak makan apa-apa... ambil ajelah. I belanja.”

“Tak payahlah. Pagi-pagi ni seketul kuih pun dah cukup.” Annessa menjawab. Walau dia kurang selesa dilihat berdua-duaan dengan kekasih Kak Natasya, teman sebilik Zainah, tapi dia tidak mahu menghalau jejaka itu pergi. Ada persoalan yang menyesak di benaknya; persoalan yang perlu dirungkaikan segera.

“Anne... Anne, Anne!” Tengku Najib menyebut namanya bertalu-talu.

“Kenapa? Kenapa dan kenapa?”

“I suka nama tu... Anne!”

Annessa senyum. “Terima kasih.”

“I jugak sukakan orangnya. Maksud I, orang yang bernama Anne.” Tengku Najib mula bermain mata dengannya.

“Kat UiTM ni ramai perempuan yang bernama Anne. Anne yang mana satu?”

“Bukan Anne yang lain, tapi Anne yang berada di depan I sekarang.”

“Oh, I am flattered. Tapi kalau tak silap I, you dah ada special girlfriend kan?”

“Selagi belum ada perempuan yang berdiri di sisi I sebagai seorang isteri, I masih berpeluang memilih gadis yang terbaik di antara yang baik.” Tengku Najib menjawab. Yakin.

Annessa ketawa kecil. Dia nampak Zainah dan beberapa orang teman sekelasnya yang duduk di suatu sudut, tertoleh-toleh ke arahnya dan Tengku Najib. Agaknya Zainah dah siap tubuhkan Kelab Gosip, bisik hatinya. Mungkinkah aku dan Tengku Najib kini menjadi topik panas Jenna and the gang?

“Apa I nak panggil you, ye?”

“Jib!”

“Err... Jib, you ada seorang pak cik, kan? Siapa nama dia?”

“Eh, kenapa you nak tau nama pak cik I? You ni buat I jealouslah, Anne.”

“Apa pulak nak jealousdengan pak cik sendiri?”

“Eh, jangan cakap macam tu. Uncle I tu masih bujang lagi, dan dia sedang mencari-cari calon yang sesuai untuk dijadikan isterinya.” Sahut Tengku Najib.

“Berapa umur uncle you tu?”

“46.”

“Dah tua-tua macam tu pun belum kahwin lagi? Uncle you tu memilih sangat kut?” Annessa mengutuk.

“Hey, manisnya mulut kutuk uncle kesayangan I, ye.”

Sorry. Eh, siapa nama uncle you yang bujang terlajak tu?”

“Mulut you ni memang tak ada insurans!” getus Tengku Najib sambil memicingkan matanya ke arah Annessa. “Tengku Amirul.”

“Tengku Amirul?” Dada Annessa bagaikan hendak pecah tatkala mendengar nama itu.

“Tulah nama uncle I. Kenapa you nampak terkejut?”

“Err... tak ada apa-apa.” Dia ketawa kecil untuk menyembunyikan gelisah di hatinya.

“Hubungan I dengan uncle sangat rapat. Anne, apa kata kalau I kenalkan you dengan dia hujung minggu ni?” Tiba-tiba Tengku Najib bersuara.

“Err... sebenarnya I nak balik ke Melaka hujung minggu ni. Tapi, tengok dululah ye.” Annessa segera menjawab. Nafasnya terasa sesak. Nama Tengku Amirul benar-benar mencantas ketenangannya.

ANNESSA melangkah laju meninggalkan ruang kafe yang terasa sangat sesak itu. Dia menuju ke arah skuter merah jambu miliknya. Setelah mendengar nama Tengku Amirul tadi, ruang kafe dan juga seluruh kawasan UiTM terasa mengepung dan melemaskannya. Dia harus pergi segera dari situ.

“Anne!”

Langkahnya terhenti apabila mendengar namanya dipanggil. Rupa-rupanya Zakuan yang memanggil.

“Kenapa, Wan?”

“Aku tak suka kau rapat dengan Najib.”

“Apa hak kau nak halang aku? Aku boleh berkawan dengan sesiapa pun yang aku suka.” Balas Annessa. Sengit.

“Dia tu kaki perempuan, Anne. Aku takut kau dikecewakan nanti.”

“Jangan risaulah, Wan. Aku tahu jaga diri.” Annessa sakit hati kerana Zakuan melambatkannya perjalanannya.

“Aku ingatkan kau lain. Tapi kau sama aje dengan Dee...”

Mata Annessa mencerun ke arah Zakuan.

“Teruskan kata-kata kau, Wan. Aku sama aje dengan siapa? Deela?” Tiba-tiba Annessa menerpa ke arah Zakuan lalu mencecak kolar baju jejaka itu. “Kenapa kau cakap macam tu, Wan? Kenapa? Kau nak menghina adik aku?”

“Err... maaf, Anne. Maaf! Aku tak bermaksud...” Zakuan tergagap-gagap kerana terkejut melihat perubahan sikap Annessa.

“Anne, kenapa ni? Anne!”

Dan, Annessa hanya melepaskan kolar baju Zakuan setelah ditenangkan oleh Tengku Najib.

MEREKA duduk mengadap tasik yang berolak lembut itu. Agak lama juga mereka berdiam diri di situ, bagaikan dua buah monumen kaku.

“Anne, kalau you ada masalah ceritalah dengan I.” Getus Tengku Najib setelah bosan mendiamkan diri.

Annessa hanya mampu ketawa kecil. “I memang ada masalah. Tapi, kita ni baru aje kenal dan I rasa tak sesuai kalau I cepat-cepat buraikan semua masalah I pada you.”

“Tapi, I rasa macam dah kenal lama dengan you.” Tengku Najib bijak bermain kata. Dan, Annessa tidak mahu tenggelam dalam kata-kata manis jejaka itu.

“Mustahil! You kenal Kak Tasya lebih lama daripada you kenal dengan I.” Sindirnya.

“I dah break dengan Tasya.”

“Huh? Tapi, kenapa? Hopefully bukan sebab I.”

“Kan I dah kata dengan you, selagi seorang perempuan yang terbaik di antara yang baik belum berdiri di sisi I sebagai isteri, I masih berpeluang untuk buat pilihan. You tak payahlah tanya kenapa I putuskan hubungan I dengan Tasya.” Tengku Najib menoleh gadis di sisinya. Entah mengapa, Annessa bagaikan magnet yang seolah-olah sentiasa menariknya agar mendekat. Tidurnya juga sudah tidak lena lagi apabila wajah Annessa sering muncul dalam mimpinya.

“Sorry.” Getus Annessa.

“Anne, I serius nak temukan you dengan uncle I hujung minggu ni.”

Annessa senyum. “I akan bagi you jawapan sebelum hujung minggu tiba.”

“Terima kasih, Anne.”

Annessa merenung ke arah sehelai daun mati yang gugur lalu teroleng-oleng di dada tasik. Masih diingatnya cerita mama tentang seekor semut kecil di atas sehelai daun yang dihanyutkan arus sungai. Dia dan Adeela berasak-asak melontarkan soalan kepada mama hingga mama lelah menjawab soalan-soalan mereka. Itulah antara kenangan manis yang dikongsinya bersama Adeela.

Tiba-tiba dada tasik yang tadinya berolak lembut, berkocak hebat. Dia terkaku di tempat duduknya. Dari kocakan air itu perlahan-lahan muncul kepala manusia – kepala Adeela yang berlumuran darah.

“Anne, tolong aku, Anne! Tolong!!” Setelah mengucapkan kata-kata itu, kepala manusia itu tenggelam semula ke dasar. Dan, air yang berkocak hebat tadi tiba-tiba saja tenang semula.

“Deela!” Annessa menjerit.

“Anne, kenapa ni?” Suara Tengku Najib di sisinya menyedarkan Annessa.

Dia membuang pandang ke dada tasik yang tenang. Dia tahu semua yang dilihatnya tadi hanyalah khayalannya saja; khayalan yang muncul untuk memberi petunjuk kepadanya.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.