Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 19

19

KETIKA Annessa sampai di rumah, dilihatnya Adeela sedang mengangkat pakaian di jemuran. Adik bongsu mereka, Aleya, tidak kelihatan. Mungkin sedang menonton televisyen di ruang tamu ataupun berkurung di biliknya untuk menyiapkan kerja sekolah yang dibekalkan guru. Dia membunyikan hon skuternya. Adeela menoleh lalu melemparkan senyum ke arahnya.

“Rajinnya kau, Deela,” dia memuji sambil melabuhkan punggungnya di atas bangku batu. Beg sandangnya pula diletakkan di sisi.

“Eleh... tak payahlah puji-puji.” Adeela menjawab.

“Apa salahnya? Memang betul pun, Deela rajin.”

“Daripada duduk termenung aje kat depan tv tu, aku buatlah apa-apa yang patut kat rumah ni.” Adeela yang sudah selesai mengangkat semua pakaian di jemuran, menghampiri Annessa lalu turut duduk di atas bangku batu.

“Lambat kau balik, Anne? Ada kelas ke petang ni?”

Annessa mengangguk. “Kelas aku habis jam 3.00 petang tadi. Lepas tu aku ke padang, tengok Najib berlatih ragbi. Tiga minggu lagi team dia akan mula bertanding.”

“Oh, temankan buah hati berlatih ragbi rupanya. Patutlah balik lambat. Aku tunggu kau balik macam tunggu buah nangka yang tak gugur.”

Annessa ketawa. “Apasal tunggu aku balik pulak?”

“Sebab petang ni aku ada buat bubur kacang kesukaan kau.”

“Oh, iye ke? Rajinnya kau, Deela.” Dia memuji lagi.

“Kan aku dah cakap tadi, daripada aku duduk menung sana menung sini, baik aku buat apa-apa yang patut kat rumah ni. Kau lainlah! Kau kan harapan papa dan mama. Kau kan idola Yaya. Aku... hmmm... aku dah tak ada masa depan.”

Spontan Annessa menoleh ke arah adiknya. Tangannya hinggap ke paha Adeela. Hatinya lirih mendengarkan kata-kata yang baru terluah dari mulut kembarnya itu.

“Janganlah cakap macam tu, Deela. Jangan cepat putus asa. Aku sedih bila dengar kau cakap macam tu. Kalau kau nak, kau boleh sambung pelajaran kau yang terbengkalai dulu. Ambil balik STPM dan pilih apa-apa aje kursus yang kau nak di IPTA. Kalau tak dapat tempat di IPTA, melambak pusat pengajian swasta sekarang ni. Aku yakin kau pasti dapat tempat di mana-mana.” Dia melontarkan kata-kata semangat ke arah Adeela.

“Kau tengoklah keadaan aku sekarang, Anne. Fikiran aku ni dah kacau. Macam mana aku nak hadap pelajaran, buku, assignment dan segala bagai tu? Macam mana aku nak hadap orang luar?” Itulah alasan yang sering terkeluar dari mulut Adeela kalau ada orang yang menggalakkannya bergaul atau berhadapan dengan dunia luar.

“Aku ni dah rosak, Anne. Dah rosak! Siapa yang nak kawan dengan aku?” Dan, air mata mula melurut dari takungannya lalu meleleh di pipi.

“Deela, jangan cakap macam ni, dik. Bukan kau yang merosakkan diri kau. Sebaliknya kau yang jadi mangsa dalam hal ni. Aku yakin tak ada sesiapa pun yang pandang hina pada kau. Percayalah cakap aku ni, Deela.” Annessa cuba sedaya upaya untuk menahan air matanya daripada menitis.

“Dah! Aku tak mahu dengar lagi walau sepatah pun kata-kata negatif terkeluar dari mulut kau. Deela, kalau kau nak... kau boleh jadi apa aje yang kau nak jadi. Kalau kau nak, kau boleh dapat apa aje yang kau inginkan. Semuanya terpulanglah pada pemikiran kau, sama ada kau nak ataupun tak nak.” Dia menyambung sambil merenung tepat ke mata Adeela. “Okey, sekarang ni kau nak ke tak nak?”

“Tengoklah!” Adeela menjawab longlai.

Annessa hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Dahlah tu... jom! Aku tak nak berdebat dengan kau lagi. Sekarang ni aku nak makan bubur kacang yang kau buat tu.” Dia mencapai beg sandangnya lalu menarik tangan Adeela untuk memaksa adik kembarnya itu berdiri. “Jangan banyak berfikir tau!” dia mencuit hidung Adeela yang mancung, persis hidungnya juga.

“Okeylah, wahai kakak yang tersayang.” Segarit senyum terukir di bibir Adeela.

Mereka berdua melangkah masuk ke ruang tamu. Betul sangkaan Annessa, Aleya sedang tekun menonton televisyen. Tubuhnya terperonyok di kusyen. Sebijik macam orang malas.

“Yaya, cuba duduk elok-elok.” Tegur Annessa. Dalam pada itu kakinya melangkah terus ke meja makan.

Adeela segera mengangkat tudung saji. Tanpa disuruh-suruh dia menyendukkan bubur kacang ke dalam mangkuk berwarna hijau lalu dihulurkannya ke arah Annessa.

“Sedap tak bubur kacang aku, Anne?” Dia bertanya sebaik sahaja sesudu bubur kacang hijau masuk ke mulut Annessa.

“Hmm... boleh tahan. Sedap!” Dia memuji dengan penuh keikhlasan. Bukan sekadar hendak mengambil hati Adeela.

“Aku ambil resepi ni dari majalah yang mama selalu bawa balik tu. Malam ni aku nak try buat kek cawan pulak. Kalau jadi nanti, esok kau bolehlah bawa ke kampus. Bagi kawan-kawan kau rasa kek cawan aku, okey tak Anne?”

Annessa mengangguk pantas. “Boleh, apa salahnya.”

Adeela ketawa kecil. Annessa senyum mengulum. Dalam pada itu matanya ralit memandang wajah si adik yang tadinya suram kusam, tiba-tiba sahaja berubah menjadi bersemangat tatkala bercerita tentang hobi barunya iaitu mencuba resepi yang diambil dari majalah.

“Kenapa kau pandang aku macam tu? Makanlah!”

Annessa ketawa. “Okey, aku makanlah ni. Dinner nanti macam mana? Kau masak jugak ke?”

“Ala... tak payah dinnerlah malam ni Kak Anne. Makan bubur kacang cicah roti Kak Deela ni pun dah cukup.” Aleya yang baru menyertai mereka di meja makan bersuara. “Malam ni Yaya tak nak makan. Membazir aje kalau Kak Anne masak nasi nanti. Tapi tak taulah dengan Kak Deela.”

“Kak Deela tak nak makan. Kenyang.”

“Kalau macam tu aku pun tak nak makan jugak. Nak jaga body!” Annessa segera menyahut. Selamat aku... tak payah masak malam ni, getus hatinya lalu segera teringatkan assignment yang baru sahaja diberikan oleh Puan Aliza petang tadi.

“Adoyai, bodydah macam gitar, dah!” bidas Aleya.

“Dik oi, sementara body macam gitar nilah kita kena maintain, kena jaga. Kalau dah jadi tong deram nanti hemmph... baru menyesal tak sudah. Kalau bodydah naik, susah nak turun dik!”

“Eleh, taulah... Kak Anne tak nak buah hati pengarang jantung Kak Anne tu larikan?” usik Aleya sambil tergelak nakal. “Dia kan anak orang kaya... anak kerabat. Bukan senang nak kenal dengan anak Tengku ni, betul tak?”

“Uik, mulut! Nak kena lumur dengan cili ke? Keluarga Abang Jib tu manalah kaya sangat pun, biasa-biasa aje.”

Aleya ketawa. “Janganlah marah, Kak Anne. Yaya gurau-gurau aje.”

“Tak mau gurau macam tu lagi.” Tingkah Annessa sambil menoleh ke arah Adeela. Dilihatnya wajah Adeela yang tadinya sudah mula bersemangat dan ceria, tiba-tiba kembali mendung.

Cemburukah Adeela terhadap hubungan aku dengan Tengku Najib? Atau, dia tidak suka aku rapat dengan jejaka itu kerana status Tengku Najib sebagai anak saudara kepada lelaki yang telah menculik, mengurung dan merosakkan kegadisannya dahulu?

Aduh! Bukan niatku hendak mengguris hatimu duhai adikku.

Macam mana kalau memang betul Adeela tidak dapat menerima kehadiran Tengku Najib dalam keluarga ini sebagaimana mama tidak setuju aku terus berhubung dengan jejaka itu? Sanggupkah aku memutuskan ikatan ‘hati’ yang sudah mula terjalin ini?

Aduh!

“Deela, kenapa diam aje ni?”

“Kak Deela jealouslah tu. Kak Anne dah ada buah hati, sedangkan Kak Deela tak ada lagi.”

Lancang sungguh mulut Aleya. Menuturkan kata-kata yang bisa mengguris sekepal hati yang sudahpun tercedera. Malah, kecederaannya bukan sedikit. Terlalu banyak hingga sampai ke tahap mustahil untuk disembuhkan sepenuhnya.

“Yaya!” Annessa bersuara. Agak kuat.

“Tak adalah! Siapa kata Kak Deela jealous? Kalau Anne dah ada boyfriend, teruskanlah. Kalau Anne nak kahwin dulu pun, apa salahnya? Kak Deela pun bukannya teringin nak melangkah bendul.” Ujar Adeela.

“Betul Kak Deela tak jealous?”Aleya menduga.

“Betul.”

Okay, I am done here. Yaya gi mandi dulu ye.” Getus Aleya sambil berlari menuju ke biliknya.

“Yaya, cuba jangan lari. Jatuh nanti!” Annessa mengingatkan. Kemudian, matanya beralih semula ke wajah Adeela. Dia membuka mulutnya seolah-olah ingin melontar pertanyaan ke arah gadis itu. Tetapi, entah mengapa dia menelan semula segala pertanyaan itu.

Sabarlah... masanya masih belum sesuai. Hatinya berbisik. Dan, segala pertanyaan yang tidak mampu diluahkan oleh bibirnya itu semakin memberatkan akal fikirannya.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.