Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 10

10

KALAU beberapa bulan lalu, hidupnya ditemani bunyi bising kenderaan dan suara manusia, kini ianya digantikan oleh deruan ombak dan desiran angin. Perubahan itu terjadi kerana dia mengikut papa dan ibu tirinya berpindah ke daerah ini – Daerah Pengkalan Balak di Melaka. Papanya yang telah dinaikkan pangkat bertugas di Bandar Melaka. Kebetulan pula, orang tua ibu tirinya mengusahakan chalet di Pengkalan Balak. Pada hari-hari biasa, chalet itu sunyi tanpa pengunjung. Tapi ketika Hujung Minggu ataupun semasa cuti sekolah, hampir kesemua chalet itu akan dipenuhi. Bantuannya juga diperlukan untuk menguruskan chalet-chalet tersebut.

Annessa ingin sekali membenci ibu tirinya, yang kini dipanggil Mak Nani itu, tapi dia tidak mampu berbuat begitu kerana Mak Nani melayannya dengan baik. Malah, Mak Nani telah memberikannya seorang adik lelaki yang kini telahpun berusia dua bulan.

Begitu juga dengan datuk dan nenek tirinya, dia teringin membenci mereka. Namun, ianya tidak menjadi kenyataan kerana semua orang di Pengkalan Balak melayannya dengan baik. Pernah sekali dia menjemput Adeela dan Aleya untuk berkunjung ke Pengkalan Balak, namun dirinya yang ditempelak. Cukuplah sekali itu! Dia tidak berani lagi mengajak mereka ke daerah ini. Dia sanggup naik ke Shah Alam untuk bertemu dengan adik-adiknya seperti yang telah dijanjikannya dengan Adeela dalam perbualan telefon mereka pada awal malam tadi.

Dua tiga hari ini, cuaca di Melaka agak panas. Annessa susah hendak tidur kalau pendingin hawa tidak terpasang. Begitu juga dengan malam ini, hangatnya sampai ke malam.

Annessa menggelisah di atas katilnya. Hawa panas dan cerita yang disampaikan Adeela padanya lewat panggilan telefonnya tadi, benar-benar mengganggu emosinya. Walaupun dia tidak pernah bersua muka dengan Tengku Amirul, tapi perasaan bencinya membuak-buak terhadap lelaki itu. Mungkin beginilah perasaan Adeela pada lelaki tu, hatinya berbisik.

Sesungguhnya sebagai pasangan kembar seiras, mereka kadangkala berkongsi perasaan juga emosi. Kesakitan Adeela, kadang-kadang dia juga dapat merasainya. Begitu juga dengan kesedihan dan kegembiraan adik kembarnya itu; dia dapat merasainya.

Setelah puas menggelisah di atas katil, akhirnya rasa kantuk bergayut juga di matanya. Manusia perlu tidur untuk merehatkan tubuh setelah penat bekerja di siang hari tadi. Namun, tatkala melangkah dari alam sedar ke alam tidak sedar ketika sedang tidur, kita seolah-olah sedang meneroka sebuah dunia yang agak misteri. Cuba bayangkan... ketika tidur, kita tinggalkan kehidupan sedar kita dan memasuki satu dunia yang lain. Kadangkala kita diburu mimpi ketika tidur. Mimpi yang pelbagai – ada yang menyenangkan dan ada yang menakutkan! Kadangkala, ada orang yang tidur terus, dalam erti kata lain tidur dan tidak bangun-bangun lagi. Jadi awas, ketika anda hendak tidur berjaga-jagalah kerana ada kemungkinan anda akan ditidurkan terus!

Annessa kelihatan semakin nyenyak. Namun, tiada siapa yang tahu bahawa dia kini telah memasuki satu dunia yang lain – dunia yang misteri. Dalam tidurnya, dia rasa seolah-olah sedang menghayun langkah pantas meninggalkan mama yang menyeru-nyeru di belakangnya. Hatinya panas, menggelegak. Dia langsung tidak berpaling memandang mama. Dia cukup sakit hati dengan mama.

Dia menghayun langkah mengikut gerak kakinya. Dan, tanpa disedarinya dia semakin jauh dari rumah. Ketika itulah ketakutan mula bergayut di hatinya. Dia dapat merasakan sebuah kereta yang entah siapa di dalamnya, mengekorinya rapat di belakang. Dia cuba lari tapi telah terlambat apabila kereta itu meluru ke arahnya cukup untuk menggesel tubuhnya hingga jatuh ke tepi parit.

Tulangnya terasa seakan retak. Dia nampak lelaki yang memandu kereta itu meluru keluar ke arahnya. Dia kenal lelaki itu. Waduh, lelaki itu adalah lelaki yang paling dibencinya. Dia mahu segera bangkit dan lari dari situ. Tapi, dalam keadaan dirinya yang masih terkejut dan cedera, dia tidak mampu berbuat apa-apa ketika tubuhnya dicempung dan dimasukkan ke dalam perut kereta. Tidak cukup dengan itu, mulutnya ditekap dengan pita pelekat sementara kaki dan tangannya diikat kemas sebelum kereta itu menderu membawanya entah ke mana.

Dia cuba meronta untuk melepaskan dirinya, tapi segalanya hanya sia-sia. Tubuhnya semakin lemah, tidak berdaya. Kini, dia hanya berserah kepada takdir untuk datang dan menyelamatkannya. Dalam situasi yang gawat itu dia terbayangkan satu wajah – kembarnya, Adeela.

“Deela... Deela, tolong... selamatkan aku! Deela!”

“Deela!!!” Annessa menjerit kuat membuatkan Zikri menerpa masuk ke biliknya untuk mengejutkannya daripada sebuah mimpi ngeri.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.