7
“DEELA...
Leya, dah siap ke?” Sofea melaung dari ruang tamu, memanggil anak-anaknya.
Kepalanya berdenyut-denyut. Entah kenapa? Mungkin
disebabkan masalah yang sedang membelenggu hidupnya kini. Pagi itu dia rasa
malas sangat hendak bangun dari tidur. Tetapi dipaksakan juga mengenangkan
dirinya yang harus ke tempat kerja dan anak-anak yang hendak ke sekolah.
Dia tidak berdaya hendak menyediakan apa-apa pun yang
dapat dijamah oleh anak-anaknya awal pagi itu. Kadangkala dia rasa bersalah
juga kerana sebagai seorang ibu, dia seolah-olah telah gagal untuk menjalankan
tanggung jawabnya dengan sempurna. Namun, apa boleh buat! Dia adalah wanita bekerja
yang sibuk. Dia bukannya suri rumah sepenuh masa. Setakat ini anak-anak
memahami situasinya.
“Kenapa ni, ma? Mama tak sihat ke?” soal Adeela yang
sudah lengkap berpakaian sekolah. Aleya yang menyusul di belakangnya turut
risau melihatkan keadaan ibu mereka yang tersandar di kusyen sambil
memicit-micit kepala.
“Mama pening kepalalah.” Rintih Sofea. Sejurus kemudian,
telefonnya berbunyi. “Ai, siapa pulaklah tu? Pagi-pagi buta dah kacau orang.
Tolong jawab, Deela.”
Telefon kecil itu berpindah tangan. Adeela segera
memekapkan telefon itu ke telinganya.
“Hello, siapa
ni? Amir?”
“Amir? Mintak mama!” Telefon kecil itu berpindah tangan
semula. “Hai, Amir! I pening kepalalah. You kat mana ni? Hah, kat depan rumah?”
Sofea agak terkejut apabila mendengar kata-kata Tengku
Amirul yang dia sekarang berada betul-betul di depan rumahnya. Dia bangkit lalu
menuju ke pintu. Anak-anaknya menurut dari belakang. Mereka nampak kereta lelaki
itu di luar pagar.
Sofea bergegas mendapatkan Tengku Amirul. Lelaki itu
tersenyum manis ke arahnya.
“Dah makan ubat?”
“Belum lagi. Amir, I nak minta tolong sikit, boleh tak?
Tolong hantar anak-anak I ke sekolah. I rasa tak laratlah nak memandu.” Pinta
Sofea.
“Boleh, apa salahnya.” Tengku Amirul terus saja
bersetuju. Sofea lantas mengarahkan Adeela dan Aleya agar masuk ke kereta Tengku
Amirul.
“Terima kasih, Amir,” ucap Sofea.
Tengku Amirul mengangguk. “Jangan lupa makan ubat.” Pesannya
sebelum memecut keretanya menuju ke sekolah Adeela dan juga Aleya.
TENGKU AMIRUL perasan pandangan kurang senang yang dilemparkan oleh
Adeela yang duduk di tempat duduk belakang itu, tetapi dia tidak
mengendahkannya. Dia terus memandu dengan tenang menuju ke destinasi.
Walaupun Adeela menunjukkan emosi kurang senang dengannya
tetapi tidak begitu halnya dengan Aleya. Anak bongsu Sofea itu begitu galak
berbual dengannya.
“Betul ke uncle
dah lama kawan dengan mama?” soal Aleya ingin tahu.
Tengku Amirul menoleh ke arah gadis cilik di sebelahnya
lalu mengangguk. “Ya, kalau Yaya nak tau, uncle
dan mama Yaya dah lama kenal. Kami kenal sejak masih bergelar student dulu lagi.”
“Uncle dan mama
kawan baik?”
Tengku Amirul ketawa kecil. “Macam tulah lebih kurang.”
Getusnya sambil menoleh ke arah Adeela melalui cermin pandang belakang. Dia
nampak wajah Adeela yang muram.
“Mama cantik tak masa muda-muda dulu, uncle?” soal Aleya lagi.
“Yaya!” Adeela mendengus. Dia tidak suka pertanyaan yang
dilemparkan oleh adiknya kepada Tengku Amirul.
Tengku Amirul ketawa. Dia amat senang dengan sikap
peramah yang ditunjukkan oleh Aleya itu.
“Ya, mama Yaya sangat cantik persis macam Kak Deela di
belakang tu!” usik Tengku Amirul sambil melirik lagi ke arah Adeela di tempat
duduk belakang. Wajah Adeela ternyata masam mencuka. “Yaya, uncle nak tanya sikit boleh tak?”
“Ala uncle
ni... tanya ajelah.” Aleya bertingkah dengan agak manja.
“Kak Deela tu dah ada boyfriend
ke?”
Aleya mengekeh. “Kenapa? Uncle minat Kak Deela ke?”
“Yaya!” Adeela mendengus.
Tengku Amirul tergelak besar. “Bukan macam tu. Unclesaja aje nak tau.”
“Yaya tak tau. Kak Deela mana suka berkongsi cerita
dengan Yaya. Dia asyik kongsi cerita dengan Kak Anne aje.”
“Kak Anne?” soal Tengku Amirul. Dia tahu Sofea mempunyai
sepasang anak kembar tetapi dia belum pernah diperkenalkan dengan mereka.
Inilah kali pertama dia berpeluang bertemu muka dengan dua daripada tiga orang
anak Sofea. Dia mengintai lagi wajah Adeela dan terfikir bagaimanakah rupa
pasangan kembarnya. “Kak Anne tu siapa?”
“La... Kak Anne tu adalah pasangan kembar Kak Deela. Mama
tak pernah cerita kat uncleke?”
Tengku Amirul tergelak kecil. “Ada! Uncle hanya nak kepastian aje. Hmm... rupa Kak Anne tu sebijik
macam rupa Kak Deela ke?”
“Uncle rasa
macam mana?” Aleya galak menduga.
“Kalau kembar seiras, mestilah mengongsi wajah yang sama.
Betul tak?” Tengku Amirul menyahut sambil melirikkan matanya semula ke tempat
duduk belakang. Dilihatnya Adeela masam mencuka. Walaupun berwajah masam begitu
tapi kecantikan Adeela tetap tidak terjejas. Sebagai gadis muda, wajah Adeela
masih lagi fresh! Segar mata
memandang.
“He... he... he... uncle
fikirlah sendiri!” getus Aleya sambil tergelak kecil. “Err... uncle! Tolong turunkan Leya kat depan
pagar sekolah tu. Okey ya, uncle, terima
kasih.” Ucap Aleya sebelum turun dari
perut kereta. Dalam rancak berbual, tanpa disedari mereka telah pun sampai di
depan sekolah Aleya.
“Sama-sama.” Kata Tengku Amirul sambil menoleh Adeela
yang membatukan diri di tempat duduk belakang. “Hai, princess, tak nak duduk di depan ni ke?”
Adeela memberikan jelingan tajamnya ke arah Tengku Amirul.
Permintaan Tengku Amirul itu tidak diendahkannya. Tengku Amirul tidak berkecil
hati dengan sikap kasar yang ditonjolkan oleh anak gadis Sofea itu sebaliknya
hanya tergelak kecil.
“Nampaknya kenalah kita jadi pemandu tuan puteri hari ni,
yek!” gerutunya sambil menghalakan pula keretanya ke sekolah Adeela.
Tengku Amirul bagaikan mati kutu. Kalau tadi ada Aleya
yang memeriahkan suasana di dalam keretanya, kini kemeriahan itu tiba-tiba saja
lenyap. Adeela hanya mematung di tempat duduk belakang. Perjalanan ke Sekolah
Menengah Seksyen 11, dirasakan panjang dan membosankan.
“Kenapa Deela diam aje? Tak sukakan uncle ke?” Tengku Amirul masih cuba melenturkan hati gadis yang
muncung itu.
“Kan dah jelas, memang saya tak sukakan awak!” Adeela
mendengus.
Tengku Amirul menyengih. Ada juga suara dia ni. Ingatkan
bisu tadi, desis hatinya.
“Ya, saya nampak dengan jelas kebencian di hati Deela tu.
Tapi kenapa Deela tak sukakan saya?”
Adeela mendengus. “Ah, dah baling batu sembunyi tangan
pulak!”
Tengku Amirul kerut kening. “Saya tak fahamlah. Apa
maksud Deela?”
“Sejauh mana hubungan awak dengan mama saya?”
“Kami hanya...”
“Bekas kekasih? Kawan baik? Boleh ke kami percaya dengan
cakap awak ni?” soal Adeela bertalu-talu. Gelaran uncle untuk Amir lesap entah ke mana. Tiada langsung rasa hormat di
hatinya terhadap lelaki yang jauh lebih berusia daripadanya itu. Ketika itu
rasa marah menguasai hatinya.
“Kami sekeluarga bahagia sebelum awak muncul dalam hidup
kami. Kami ada mama yang baik dan penyayang. Kami ada ada papa yang menjadi
pujaan. Tapi sekarang semuanya dah musnah disebabkan awak!” Suara Adeela
memenuhi ruang kereta.
“Apa yang Deela cakap ni? Kenapa tuduh uncle yang bukan-bukan? Ya, uncle mengaku dulu uncle dan mama Deela adalah pasangan kekasih. Tapi tu kisah lama.
Kisah yang dah basi. Ditakdirkan kami jumpa semula setelah sedemikian lama
berpisah. Tapi kami berjumpa semula sebagai kawan. Tu aje!”
“Kalau sebagai kawan takkanlah sampai mama dan papa boleh
bercerai-berai?”
Tengku Amirul mengeluh.
“Takkan Deela nak dengar uncle bersumpah? Tuduhan Deela tu tak berasas sama sekali.
Percayalah Deela, uncle bukanlah satu
ancaman. Mungkin mereka ada masalah mereka sendiri yang kita semua tak tahu.”
Adeela mendengus. Dia melangkah keluar dari kereta Tengku
Amirul tanpa peduli untuk mengucapkan terima kasih.
TENGKU AMIRUL menunggu sehingga kelibat Adeela menghilang di sebalik
tembok sekolah, kemudian berpatah balik ke rumah Sofea. Di tepi jalan, dia
sempat beli dua bungkus lontong yang menjadi kegemaran bekas kekasihnya itu.
“Buat susah-susah aje,” ujar Sofea ketika mereka sedang
menikmati hidangan lontong serta teh-O di suatu sudut kecil bersebelahan tempat
letak kereta.
Tengku Amirul tersenyum. Apalah susahnya. Dia ikhlas
membantu teman yang tidak berapa sihat itu.
“Betul ke you tak nak ke klinik? Kalau nak, I boleh
hantarkan.” Tengku Amirul menawarkan jasa baiknya.
“Takpelah... I boleh pergi sendiri. Bukannya jauh sangat
pun.”
“Orang tak sudi, takkan nak paksa kan?” Tengku Amirul
seolah berjauh hati.
“Janganlah merajuk. I tak retilah nak pujuk orang tua
yang merajuk ni.” Kata Sofea sambil tergelak kecil.
Tengku Amirul turut ketawa. Sambil menikmati teh-O nipis
dan lontong, matanya melirik ke arah halaman kecil yang tidak terjaga. Beberapa
batang pokok bunga di dalam pasu kelihatan layu dan kurus.
Dia tidak mengendahkan panorama yang kurang menarik itu
lalu menoleh pula ke arah Sofea di depannya. Wanita itu masih kelihatan cantik
walaupun dalam keadaan yang kurang sihat. Hmm... panorama macam ni barulah
seronok nak pandang, hatinya mula menggatal.
“Macam mana sikap anak-anak I terhadap you tadi?” soal
Sofea.
Tengku Amirul tergelak kecil. “I senang sangat dengan Yaya.
Dia tu cute sangat. Dahlah cute, mulutnya... aduhai...”
“Macam bertih digoreng?” Sofea segera menyampuk.
Tengku Amirul mengangguk laju. Mereka sama-sama ketawa.
“Anak-anak you comel dan cantik sama macam mama mereka.”
Melambung pujian yang terkeluar dari bibir lelaki itu. Sofea tersenyum bangga.
“Adeela pulak?”
“Deela? Agak garang. Dia macam tak sukakan I. Tapi don’t worry, I tak kisah.”
Sofea kerut kening. “Kenapa you cakap macam tu terhadap
dia?”
“Mungkin dia ingat I ni adalah satu ancaman. Entahlah!
Tapi yang nyata, dia tak sukakan I.” Tengku Amirul mengadu kepada Sofea tentang
sikap Adeela.
ADEELA menghempaskan beg sandangnya ke meja. Wajahnya
masam mencuka. Dia benci dengan Tengku Amirul. Baginya, lelaki itu samalah
seperti ibu tirinya, Nani, perosak! Dia tidak percaya bahawa hubungan Tengku
Amirul dengan mamanya hanyalah satu kisah silam atau sejarah. Dia akan
menentang habis-habisan kalau mamanya mahu berkahwin dengan lelaki itu. Dia
tidak sudi menerima Tengku Amirul sebagai bakal bapa tirinya sebagaimana dia
benci menelan hakikat bahawa Nani kini adalah ibu tirinya.
Suraya dan Umaira menghampirinya ketika dia sedang galak melayan
perasaannya.
“Siapa yang hantar kau tadi, Deela?” soal Umaira.
“Manusialah! Takkan hantu pulak.” Desisnya.
“Boleh tahan... handsome!”
tingkah Suraya pula. “Pak sedara engkau ke, Deela? Bolehlah perkenalkan dengan
kami.”
“Bukanlah! Pak sedara aku semuanya kat kampung. Dan, pak
sedara aku semuanya dah kahwin.”
“Habis tu, siapa?”
“Entah! Malaslah nak cerita.” Adeela mula bosan.
Umaira dan Suraya saling berpandangan. Hairan mereka
dengan sikap Adeela yang muram dan agak perengus pagi itu. Biasanya gadis itu happy go lucky orangnya. Kenapakah
Adeela tidak gembira? Mungkinkah kerana krisis yang melanda keluarganya
sekarang?
“Anne apa cerita? Dia seronok tak kat sekolah baru?”
Umaira yang agak rapat dengan Annessa menyoal.
“Entah! Aku tak tau.”
“Takkan kau tak ada jumpa dia? Dia kan kakak kembar kau?”
“Hey, boleh tak kalau kau orang berdua ni diam? Boleh tak
kalau kau orang ni tak ganggu aku? Aku ni tengah serabut jadi janganlah kau
orang tambah serabut dalam kepala aku ni!” Adeela membentak.
Umaira dan Suraya saling berpandangan. Akhirnya mereka
berlalu meninggalkan Adeela untuk bersendirian melayan perasaannya.