22
ADEELA mengekori langkah Annessa menuju ke bilik. Mereka masih
mengongsi bilik yang sama. Pun begitu dinding bilik yang dahulunya pink, sudah bertukar warna ke biru cair.
Kebanyakan perabot di bilik itu juga telah ditukar baru bagi membangkitkan
suasana yang lebih moden dan terkini. Sebenarnya idea untuk menukar perabot di
bilik itu terkeluar dari bibir mama mereka juga. Sofea memberi alasan tidak
mahu Adeela terkenangkan peristiwa silam, apabila ditanya Annessa tujuannya
hendak menukar warna cat serta kebanyakan perabot di rumah mereka.
Sesungguhnya
peristiwa penculikan Adeela itu terlalu pahit kalau difikir-fikirkan semula
serta membangkitkan rasa bersalah di hati semua orang yang terlibat. Mama
dihempuk rasa bersalah yang teramat sangat kerana tidak pernah mahu mendengar
aduan yang diluahkan Adeela terhadap lelaki bernama Tengku Amirul. Walau Adeela
beberapa kali mengadu kepadanya tentang perlakuan Tengku Amirul yang
seolah-olah cuba menggodanya, namun dipandang ringan sahaja oleh mama. Malah
mama sampai sanggup menuduh Adeela mereka-reka cerita memburuk-burukkan lelaki
itu kerana tidak menyukainya.
Papa juga
tidak dapat melarikan dirinya daripada dibelit rasa bersalah. Papa menyalahkan
dirinya yang telah menduakan mama sehingga keluarga mereka yang dahulunya
bersatu, akhirnya berpecah-belah.
Walaupun
hanya Adeela yang diculik, tetapi impak kejadian itu turut membuatkan mereka
sekeluarga merana. Tetapi syukurlah segala-galanya kini telah selesai. Dalang
di sebalik kejadian itu telahpun disabitkan bersalah dan kini sedang menjalani
hukuman penjara yang panjang. Kalau boleh mereka sekeluarga mahu melihat Tengku
Amirul serta rakan subahatnya, Pak Sudin, mereput di sebalik tirai besi.
“Betul ke
kau nak buat kek cawan malam ni, Deela?”
“Eh,
iyelah... takkan nak tipu pulak. Lepas Maghrib nanti aku start projeklah. Esok kau bolehlah bawa ke kampus bagi kawan-kawan
rasa.”
“Boleh
aje. Tak ada masalah. Member-member aku tu memang suka kalau dapat makan freeni.” Annessa menjawab sambil
melabuhkan punggung di birai katil.
Adeela
duduk di katil bersebelahan. Dia memandang lurus ke arah Annessa yang sedang
membuka zip beg sandangnya. Ralit matanya memerhatikan bagaimana Annessa
mengepit sehelai tuala putih dari perut beg lalu diletakkan di atas katil.
“Kenapa,
Anne?”
“Tak ada
apa-apalah. Jib... dia suruh aku basuh tuala busuk dia ni. Macamlah aku ni
orang gaji dia.” Annessa mencemik.
Adeela
ketawa kecil. “Kena basuh asing, pakai tangan. Manalah tau kalau-kalau dia ada
panau ke... kurap ke...”
“Eeeiii...
kau ni, Deela. Buat aku geli aje nak usik tuala ni!” protes Annessa.
Wajah
Adeela berubah serius. “Aku boleh tolong basuhkan bagi pihak kau. Macam mana?”
“Isy, tak
payah. Biar aku aje yang basuh tuala ni. Kau tak payah susah-susah. Lagipun kau
kan ada projek buat kek cawan lepas Maghrib ni? Thanks anyway, Deela.” Annessa segera menjawab kerana tidak mahu
membebankan kembarnya. Adeela hanya tersenyum mengulum mendengar jawapan yang
meluncur keluar dari bibirnya.
Annessa bingkas
bangun. Sudah sampai masanya untuk dia berhenti berbual dan menuju ke bilik
mandi pula. Selepas Maghrib nanti dia mahu fokus menyiapkan satu assignment yang dibekalkan oleh
pensyarahnya. Dia tidak lupa mencapai tuala milik Tengku Najib sebelum berlalu
ke bilik air.
SEBAGAI seorang kakak sulung, lebih-lebih setelah keluarganya pernah
berdepan dengan suatu tragedi yang sama sekali tidak diduga, membuatkan Annessa
menjadi manusia yang lebih berhati-hati. Selepas mencampakkan tuala Good Morning ke dalam bakul pakaian
kotor yang terletak di luar bilik air, dia segera memeriksa semua tingkap dan
pintu rumahnya. Dia ingin pastikan semuanya sudah dikunci rapat. Kerana
sebarang kealpaan ataupun kelalaian akan mendedahkan dirinya juga adik-adiknya
dengan bahaya yang tidak diketahui bila dan ketikanya.
Sesuatu
perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan kita itu memang menggusarkan
hati kalau difikir-fikirkan secara mendalam. Salah satu contohnya ialah
kejadian kemalangan ataupun bahaya. Di malam kejadian culik itu, dia cukup
pasti Adeela yang merajuk dengan mama melangkah keluar dari rumah tanpa
memikirkan ada bahaya yang sedang menantinya di luar sana. Kalaulah Adeela tahu
bahawa satu perangkap sudah dipasang oleh Tengku Amirul, walau semarah manapun
dia dengan mama pasti dia tidak akan melangkah keluar dari rumah mereka awal
malam itu.
Malangnya,
bahaya yang sedang menantinya di luar sana sengaja disembunyikan daripada
pengetahuan Adeela membuatkan dia tega melangkah keluar dari rumah.
Trauma
akibat insiden itulah yang membuatkan tahap berhati-hati Annessa meningkat
dengan kadar dua kali ganda. Dia dapat merasakan bahawa mama mereka juga
mengongsi trauma yang sama dengannya. Kadang-kadang dia terbangun dari tidur
ketika jarum jam menuding ke angka 3.00 pagi dan terlihat mamanya sedang
memeriksa sama ada pintu atau tingkap di rumah mereka berkunci ataupun tidak.
Dia tidak
tahu bagaimanakah tahap trauma yang ditanggung Adeela. Dia tidak pernah melihat
kembarnya itu terbangun di malam hari untuk sekadar memeriksa tingkap dan pintu
rumah mereka berkunci ataupun tidak.
Mungkin
betul kata Doktor Asmira, pakar kaunseling yang merawat Adeela selepas kejadian
itu dahulu bahawa Adeela sudah sembuh dari trauma tersebut dan fikirannya
kembali stabil. Mungkin juga Adeela sudah rasa selamat setelah
penculik-penculiknya dihumbankan ke penjara.
Adeela
mungkin sudah dapat menarik nafas lega dan menjalani kehidupannya seperti
biasa. Tapi aku...? Kenapa aku perlu berkeliling sebanyak dua kali sekadar
untuk memeriksa sama ada semua tingkap dan pintu di rumahku ini sudah berkunci
ataupun belum?
Perasaan
was-was sengaja didatangkan oleh syaitan untuk mengganggu fikiran manusia.
Annessa memeriksa pintu belakang sebelum mengambil keputusan untuk mandi. Dia
segera menuju ke bilik air. Sambil mandi nanti boleh basuh sekali tuala masam
si Jib, hatinya merencana. Tetapi, ketika dia menoleh ke arah bakul pakaian
kotor di tepi bilik air dilihatnya tuala itu sudah tidak kelihatan.
Eh, bukan
ke tadi aku letak tuala tu dalam bakul ni? Mana pulak perginya? Hantu mana
pulak yang berkenan dengan tuala masam tu? Hatinya menggerutu. Dia
menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Nape Kak
Anne?” soal Aleya yang kebetulan berada di dapur.
“Err...
Yaya ada tak nampak tuala putih yang Kak Anne letak dalam bakul ni tadi?”
“Tuala
putih? Tak nampak pun.”
“Hmm...
tak apalah. Agaknya tertinggal dalam bilik.” Getus Annessa perlahan. Apa kena
dengan aku ni? Tadi aku rasa aku dah letak tuala tu dalam bakul ni, masakan itu
hanya khayalan aku aje? Hatinya bermonolog.
Ah, mandi
dululah. Maghrib pun dah nak masuk ni. Agaknya tuala tu ada dalam bilik. Dia
cuba menyedapkan hatinya sendiri.