16
“ANNE, kenapa you menung aje? Jangan
risau, I janji... pagi-pagi esok I akan hantar you balik. Lagipun bahaya kalau
memandu dalam keadaan hujan lebat macam ni,” pujuk Tengku Najib, risau melihat
keadaan Annessa yang asyik berdiam diri.
Annessa tidak
menjawab. Dia menyelak langsir tebal, lalu merenung ke luar. Malam yang
membukat dengan siraman hujan lebat itu sesekali diterangi kilat yang sabung-menyabung.
“I rasa you
tentu penat setelah puas menyiasat sekitar banglo ni siang tadi. Jumpa barang
kes yang sedang you cari tu?” Tengku Najib sempat menyindir temannya itu.
“Apa yang
you merepekkan ni? Barang kes apa? You ingat I ni Nancy Drew ke?”
“You tak nak
jadi Nancy Drew? Kalau macam tu you jadi Gadis Bond aje, nak ke?” Tengku Najib
menyeringaikan giginya.
“Isy!”
Annessa terjerit. Pantas jemarinya mengutil lengan pemuda yang hanya berbaju T
putih lengan pendek dan berseluar sukan itu.
“Adoi,
sakitnya!”
Mata
kedua-duanya bertaut. Ada senyum tersungging di bibir. Dan, ada getar menyapa
jiwa remaja. Tengku Najib terasa seolah-olah ingin mendakap tubuh gadis di
depannya ketika itu.
“Jom, I
hantar you naik ke bilik.” Getus Tengku Najib pantas setelah dia berjaya
mengawal dirinya daripada memaut tubuh Annessa ke dalam dakapannya. Mujurlah
tidak semudah itu dia dikalahkan oleh syaitan bertanduk yang sentiasa mahu
menyesatkan manusia.
Mereka
mendaki tangga. Tengku Najib menemani Annessa hingga ke depan pintu bilik
tidurnya. Langkahnya terhenti di luar bilik itu.
“Selamat
malam, Anne. Jumpa lagi esok,” getus anak muda itu lalu berpaling. Namun
sebelum sempat dia melangkah pergi, Annessa menarik lengannya. “Kenapa, Anne?”
“I rasa
seramlah nak tidur dalam bilik tu sorang-sorang.”
Tengku Najib
ketawa. “You ni, apa yang nak ditakutkan? Takkan you nak I temankan you, kut?”
Annessa
senyum malu. “Bukan tu maksud I. Tapi... hmmm... tak apalah, Jib. Selamat
malam.”
“You tidur,
tau. Jangan meronda sekitar banglo ni pulak.” Ingat Tengku Najib sebelum
meninggalkan Annessa.
ANNESSA dapat rasa sesuatu yang buruk akan berlaku terhadap dirinya malam itu.
Oleh itu, dia bertekad untuk terus berjaga hingga ke pagi. Dia menuang kopi
pekat dari dalam termos ke dalam mug lalu meneguknya perlahan-lahan dengan
harapan agar kopi itu akan membantunya untuk terus berjaga. Kemudian, dia
mencapai novel Tajdid Cinta karya
Dyza Ainun yang diambil dari bilik bacaan Tengku Amirul lalu mula membacanya.
Daripada duduk di sebuah kerusi, dia beralih pula ke katil. Dia berjaya
menghabiskan beberapa bab sebelum matanya mula layu.
Ya, ALLAH
kenapa ngantuk sangat ni, getus hatinya dan terasa seolah-olah hendak menopang
kelopak matanya dengan kayu supaya tidak terkatup. Dia menguap beberapa kali,
meneguk lagi kopi pekat hingga perutnya terasa penuh.
Dia menguap
sekali lagi dan langsung tidak menyedari novel yang dipegangnya sudah terlepas
dari genggaman.
“ANNE, lari Anne! Lari!!”
Dia menoleh
ke belakang. Silau lampu dari kereta yang mengekorinya sejak tadi itu ternyata
memedihkan matanya. Otaknya segera menyampaikan mesej bahaya. Tanpa berfikir
panjang lagi dia segera angkat langkah seribu, namun segala-galanya telah
terlewat apabila kereta mini itu terus meluru ke arahnya lalu menggeselnya
hingga dia terhumban ke tepi parit, cukup untuk mencederakannya.
Dia cuba
merangkak untuk melarikan dirinya daripada bahaya yang mendatang itu. Tiba-tiba,
dia lihat seorang lelaki keluar dari kereta itu lalu menghampirinya. Dari
limpahan neon yang menerangi jalan, dia kenal siapa lelaki itu – Tengku Amirul!
Dia cuba
melawan ketika lelaki itu hendak mencempung tubuhnya, tapi sekuat manalah
dayanya.
“Kenapa kau
buat aku macam ni, hah? Lepaskan aku! Lepaskan aku, binatang!” Dia menjerit dan
meraung.
Tengku
Amirul tidak mengendahkan jeritan dan raungannya. Lelaki itu bertindak pantas,
menghempaskannya ke tempat duduk belakang Mini Coopernya, mengikat kedua-dua
belah kaki dan tangannya sebelum melekatkan plaster ke mulutnya. Kemudian,
kereta itu dipecut laju entah ke mana.
Dia dapat
merasakan dirinya dilarikan jauh oleh penculiknya kerana perjalanan yang agak
panjang sebelum kereta itu berhenti. Kemudian, pintu kereta terbuka dan seorang
lelaki merenungnya dengan renungan yang agak aneh.
“Tengku, apa
semua ni?”
“Kau diam,
Sudin. Angkat budak ni ke bilik belakang. Hati-hati jangan sampai Mak Tijah
nampak.” Tengku Amirul memberikan arahannya kepada lelaki yang dipanggil Sudin.
Lelaki itu
kelihatan teragak-agak. “Tapi perbuatan ni salah, Tengku!”
“Hey, kau
jangan banyak cakap. Ingat sikit ye, kau tu kuli aku aje. Jadi, buat aje apa yang
aku suruh!”
“Err...
baiklah.”
Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya ketika lelaki itu hendak mencempung tubuhnya.
Tetapi, lelaki itu bagaikan seekor anjing suruhan yang sangat setia pada
tuannya. Dia dibawa keluar, mungkin ke bahagian belakang banglo. Dia dapat
mendengar bunyi angin, cengkerik serta burung pungguk. Kulitnya juga disapa
oleh angin dingin.
Kemudian,
dia terdengar bunyi pintu dibuka dan dan ditutup, sebelum mendapati dirinya
berada di dalam sebuah ruang dengan batu-batu terjal mengepungnya. Bilik itu
agak suram kerana hanya ada sebuah lampu yang menyala, juga dingin walau tanpa
pendingin hawa.
Tengku
Amirul tersengih ketika mengarahkan tangannya digari pada kepala katil oleh
orang suruhannya. Dan, dia makin ngeri apabila melihat orang suruhan lelaki itu
menghulurkan sebatang jarum suntikan kepada tuannya.
“Jangan
risau, sayang. Kau takkan apa-apa. Aku cuma mahu tenangkan kau aje.” Bisik
Tengku Amirul ke telinganya sebelum menusukkan mata jarum suntikan itu ke
lengan kanannya.
Pandangannya
berbinar-binar ketika ubat yang dimasukkan secara paksa ke vena darahnya itu
mula memberikan kesan. Dia rasa mengantuk yang teramat sangat. Walaupun dia
cuba melawan rasa mengantuk itu, tetapi akhirnya dia terlena juga.
“ANNE... bangun, Anne! Bangun! Lari
Anne!”
Annessa yang
terkejut mendengar bisikan ke telinganya itu, tersedar dari lenanya. Dadanya
bergemuruh dengan debaran ketika mendengar bunyi tapak kaki menghampiri
biliknya dan berhenti betul-betul di depan pintu. Dia menunggu. Beberapa ketika
kemudian, dia terdengar bunyi tapak kaki itu berlalu meninggalkan biliknya.
Ingatannya
menerawang ke arah mimpinya tadi. Dia cukup pasti Adeela pernah dibawa ke sebuah
bilik misteri di belakang banglo itu. Mungkin Tengku Amirul simpan kunci bilik
tu dalam bilik tidurnya, hatinya berbisik.
Aku lakukan
semua ni untuk kau, Deela, kata hatinya sambil melangkah keluar dari biliknya
menuju ke bilik tidur Tengku Amirul. Dia agak terkejut bercampur gembira
apabila mendapati pintu bilik itu terbuka luas. Dia menjengah dan mendapati
Tengku Amirul tiada di biliknya. Kemudian, dia terdengar suara lelaki itu di
tingkat bawah sedang mengarahkan Mak Tijah untuk menyediakan nasi lemak untuk
hidangan sarapan pagi mereka.
Dia segera
masuk ke dalam bilik tidur itu dan ternampak seberkas kunci tersangkut di
dinding. Tanpa berfikir panjang, terus dicapainya kunci itu lalu tergesa-gesa keluar
dari situ.
Walaupun
sedar yang dirinya sedang berdepan dengan bahaya, namun dia harus berani
bertindak. Demi adiknya, Adeela, dia sanggup berkorban nyawa. Mungkin Deela
terkurung di bilik tu selama ni, desis hatinya. Sebagai kakak kembar pada
Adeela, hatinya tersayat apabila membayangkan pelbagai perkara buruk yang
mungkin telah dilakukan oleh Tengku Amirul terhadap adiknya.
Dia
menyelinap keluar dan menyusuri kaki lima banglo untuk menuju ke bilik misteri
itu. Perbuatan Tengku Amirul harus dibongkar malam ini juga. Lelaki itu tidak
boleh terlepas lagi.
Agak lama
juga dia berusaha untuk memadankan kunci yang sesuai dengan pintu bilik yang
bermangga itu. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya membuka
pintu itu. Dia terpaksa menuruni tangga yang menghala ke sebuah bilik rahsia
yang cuma diterangi oleh lampu bermentol bulat.
Ya ALLAH
selamatkanlah aku, hatinya berbisik. Bantulah aku mencari adikku. Hatinya
terus-terusan berbisik tatkala matanya tertancap ke arah sebuah katil bujang di
sudut bilik itu.
“LEPASKAN aku, binatang!” Dia bagaikan
dapat mendengar Adeela menjerit dan meraung.
“Lepaskan
kau?” Tengku Amirul ketawa berdekah. “Setelah aku bersusah-payah bawa kau
kemari, takkan aku nak lepaskan kau macam tu aje?”
“Kau ni
bukan manusia tau tak, tapi syaitan!”
“Kau
cakaplah ikut sedap mulut kau. Yang penting, kau sekarang ni dah jadi milik
aku, faham!”
“Tolonglah...
tolong lepaskan aku.” Kemudian, dia terdengar pula Adeela merayu-rayu agar dirinya
dikasihani dan dilepaskan.
Namun,
segala rayuannya itu tidak diendahkan Tengku Amirul. Selepas memuaskan
keinginannya, Adeela ditinggalkan dengan tangan bergari pada kepala katil.
Hari
berganti hari, dan bulan berganti bulan. Adeela sudah mula berputus asa. Dia
yang pada mulanya bagaikan seekor kijang liar, kini sudah lunak...
selunak-lunaknya.
Melihatkan
keadaan dirinya yang sudah mula lunak itu, Tengku Amirul semakin berlembut
dengannya. Dia dibawa keluar dari bilik belakang itu lalu ditempatkan di dalam
banglo mewah miliknya. Dia dilayan bagaikan permaisuri di situ. Segala
keperluannya disediakan oleh Mak Tijah. Dia juga dibenarkan bergerak bebas di
dalam banglo itu, tetapi dilarang keras daripada melangkah keluar.
“Mak Tijah,
saya rasa... saya hamil.” Adeela sengaja mereka cerita dengan harapan agar
pembantu rumah itu akan bersimpati dan membantunya melarikan diri dari banglo
itu. Dek kerana terkejut dengan berita itu, Mak Tijah yang hendak menyendukkan
nasi lemak ke pinggan Adeela, tertuang nasi ke atas meja.
“Ya ALLAH,
Deela. Betul ke?”
Adeela
angguk. Tiba-tiba dia mencapai tangan Mak Tijah. “Tolonglah saya, Mak Tijah.
Saya harus keluar dari sini. Saya dah tak sanggup lagi, Mak Tijah. Binatang tu
mungkin akan bunuh bayi yang sedang saya kandung ni.”
Mereka
saling bertangisan.
“Mak Tijah
akan cuba usahakan. Deela jangan risau.” Getus Mak Tijah sambil memujuk Adeela
untuk menyuap nasi lemaknya.