Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 38

38

ANNESSA tergolong dalam kategori orang yang bertuah kerana rumahnya terletak tidak jauh dari tempat dia menuntut ilmu. Dia tidak perlu menyewa rumah seperti kebanyakan teman-temannya yang lain, jadi di situ sahaja dia sudah dapat berjimat. Dia juga lebih senang tinggal bersama-sama dengan keluarganya. Sekurang-kurangnya mereka saling menjaga kebajikan antara satu sama lain. Dia tidak dapat membayangkan dirinya berjauhan daripada mereka terutamanya dengan Adeela. Dahulu, ketika Adeela ‘hilang seketika’ dari kehidupannya, dia sering dihantui oleh mimpi-mimpi ngeri hingga dia tidak sanggup memikirkan perpisahan untuk kedua kalinya.

Bagaimana kalau Adeela sudah berkahwin? Atau, aku yang berkahwin? Sudah tentulah ketika itu kami akan hidup terpisah kerana ada tanggung jawab dengan suami dan keluarga masing-masing. Bagaimanakah agaknya keadaan kami ketika itu? Mampukah kami hidup terpisah sedangkan selama ini kami telah mengongsi rahim yang sama dan membesar bersama-sama?

Argh, kenapa aku perlu berfikir sejauh itu?

Gerimis yang mula menyimbah bumi membuatkan dia memperlahankan kelajuan skuternya walaupun ada penunggang lain yang memecut laju semata-mata untuk mengelakkan diri daripada basah ditimpa hujan. Walaupun tayar skuternya masih baru dan bunganya pun masih penuh, tetapi dia tidak sanggup mengambil risiko menunggang laju di jalanraya yang sudah mula licin disimbah gerimis.

Angin yang bertiup kencang pula membadai deretan pokok yang sengaja ditanam di tepi-tepi jalan serta meniup dedaunan kering ke arah jalanraya. Annessa berdoa dalam hati supaya angin kencang itu tidak bertukar menjadi ribut atau puting beliung, dan gerimis janganlah hendaknya berubah menjadi hujan lebat. Dia masih sempat sampai ke kampusnya dalam keadaan tubuh yang kering kalau setakat disimbah gerimis begini.

Sebuah kereta hitam yang tadinya berhenti di bahu jalan, secara tiba-tiba sahaja bergerak masuk ke arah jalanraya dan menghimpit hingga ke tengah.

Thud!

“ALLAH!” Annessa sempat menjerit ketika skuternya tidak sempat mengelak daripada menghentam sisi kanan belakang kereta tersebut. Skuternya rebah dan dia turut rebah bersama-sama dengan skuternya di atas aspal.

Dia tidak dapat berfikir apa-apa ketika itu dek terlalu terkejut. Tangan kanan dan sikunya terasa perit dan sakit kesan hentakan yang agak kuat. Untuk seketika dia terbaring di tepi skuternya yang rebah dan terkial-kial mengimbangkan badan untuk bangun.

Dia nampak seorang lelaki berbaju merah tua melompat keluar dari kereta hitam tadi lalu segera berlari ke arah belakang, berdiri di atas garisan putih sambil memberikan isyarat tangan ke arah deretan kenderaan di belakang untuk memaklumkan mereka tentang kemalangan yang baru sahaja berlaku.

“Apa tunggu lagi! Cepatlah bangun!!!” Lelaki itu berpaling, menyergahnya yang masih menggigil akibat terkejut.

Dia terkial-kial bangun lalu terus menuju ke tepi jalan untuk menyelamatkan dirinya. Dengan pertolongan seorang penunggang motosikal lain yang melalui kawasan tersebut, skuternya segera ditolak ke tepi.

Rasa ngilu dan lenguh di lengan kanan membuatkan dia menujahkan pandangannya ke situ. Lengan bajunya yang sebelah kanak terkoyak sedikit. Ada kesan kulit melecet dan calar balar. Pedih! Darah mula terbit di kawasan yang melecet.

Cuai! Tak guna punya orang!!! Gerutu hatinya ke arah lelaki yang berlari-lari anak ke arah tempat dia berdiri di tepi jalan.

“Awak okey?” soal lelaki itu.

“Okey kepala otak awak!” semburnya ke arah lelaki itu. Dia tidak pernah menuturkan perkataan sekasar itu kepada orang lain selain daripada Tengku Amirul, syaitan bertopengkan manusia itu, tetapi hari ini... pagi ini, ada pengecualiannya.

Lelaki itu terkedu, merenungnya tepat ke mata dan kemudian tersenyum nipis.

“Saya minta maaf. Kemalangan dah nak berlaku, nak buat macam mana?” getus lelaki itu.

Annessa seperti hendak menangis. Tubuhnya terasa lenguh dan sakit-sakit akibat hentakan di atas jalanraya tadi. Mujurlah ketika dia jatuh tadi, tidak ada kenderaan yang mengekorinya rapat di belakang, kalau tidak sudah tentu dia akan dilenyek oleh kenderaan tersebut. Silap haribulan, arwah aku ni, hatinya berbisik. Ya ALLAH terima kasih, KAU masih bagi aku bernafas di bumiMU ini.

Tapi, adoi... sakitnya! Dan, sakitnya hati!!!

“Eh, awak ni tak tahu guna cermin sisi ke hah? Awak ingat jalanraya ini mak bapak awak punya ke, ikut suka hati awak aje? Nak masuk... nak himpit ke tengah, main masuk dan himpit aje tanpa pedulikan nyawa orang yang bawa motor macam kami ni?” Dia meluahkan kemarahannya kepada pemuda itu.

“Err... saya nak cepat tadi...”

“Eh, senang aje engkau ni! Engkau seorang aje ke nak cepat dalam dunia ni?” jerit Annessa. Air matanya sudah mula meleleh.

“Okey, saya mengaku semuanya salah saya. Sorry ye. Macam nilah, saya hantar awak ke klinik yang berdekatan, boleh tak?” Pemuda itu menawarkan jasa baiknya.

Annessa menoleh ke arah tangan dan sikunya yang melecet. Tidaklah teruk sangat kecederaannya. Cuma kecedereaan emosi dan rasa terkejutnya sahaja yang masih belum hilang.

“Tak payah! Saya tengah kejar masa ni.”

Lelaki itu tersenyum. Dia beralih pula ke arah skuter Annessa lalu memeriksanya. Tiada apa-apa kerosakan yang dikesan mata kasarnya.

“Okey, dik, kalau tak nak ke klinik tak apa. Abang bagi duit ye, in case kalau nak klinik nanti.” Lelaki itu mengeluarkan dompet duitnya lalu menghulurkan dua keping duit kertas RM50 lalu dihulurkan ke arah Annessa. “Abang minta maaf sekali lagi. Please... please maafkan abang.”

Banyaklah kau punya abang, gerutu hati Annessa sambil menggetap bibirnya. Geram, sakit hati. Lelaki berbaju maroon ini ternyata telah merosakkan moodnya pagi ini. Mood yang kalau pagi-pagi lagi sudah tercalar, pasti akan mengekorinya hingga ke peghujung hari.

“Ambillah duit ni, dik, untuk beli ubat.” Desak lelaki itu lagi.

“RM100 tak cukup!”

Lelaki itu kerut kening. “Jadi berapa agaknya baru cukup?”

“RM500.”

“RM500? Hui, banyaknya... untuk melecet sikit-sikit macam tu? Melecet macam tu kalau bubuh minyak gamat pun boleh baiklah!” gerutu lelaki itu yang terkejut mendengar Annessa meminta pampasan sebanyak RM500 untuk kecederaannya.

Hati Annessa yang sudah panas semakin menggelegak.

“Hey, sedapnya mulut tu bercakap, melecet sikit-sikit awak kata? Emosi saya, mood saya yang awak dah rosakkan ni awak tak kira? Kalau awak nak tau, pagi-pagi lagi awak dah rosakkan mood dan jugak emosi saya. Ni... tengok tangan saya ni menggigil lagi sebab terkejut tau tak!”

Suara Annessa melengking kuat sebagaimana angin yang bertiup semakin kencang.

“Nak bayar ke tak?”

“Err... saya tak bawa duit sebanyak tu. Hmm... saya bagi awak RM150 dululah ye. Yang lain tu, saya hutang dulu, esok lusa saya bayar.” Lelaki itu mengeluarkan sekeping duit kertas RM50 lagi dari dalam dompetnya lalu kesemua duit itu dihulurkan ke arah Annessa.

Kali ini Annessa mengambil duit yang dihulurkan ke arahnya tanpa banyak soal jawab. Dia kemudian memeriksa skuternya dengan lelaki berbaju maroon itu masih berdiri rapat di sisinya.

“Tak rosak pun...”

“Tak tanya pun!” hentak Annessa.

“Err... saya Reza. Macam mana saya nak bayar hutang saya nanti ye? Boleh awak bagi nombor telefon tak?”

“Tak payahlah susah-susah. Cukuplah awak dah menyusahkan saya pagi ni!” Masih merajuk, masih geram, marah!

“Eh, janganlah macam tu. I swear... esok saya bayar.”

Banyaklah kau punya swear, gerutu hati Annessa. Matanya beralih ke arah bekas berisi kek cawan Adeela, mujur ketat penutupnya.Kalau tidak alamat bertaburanlah kek-kek itu tadi, umpama dedaunan kering yang berselerakan ditiup angin kencang di atas jalanraya. Syukur, bisik hatinya.

“Eh, tepilah!” sergahnya ke arah leaki yang baru memperkenalkan dirinya sebagai Reza tadi. Lelaki itu menjarakkan dirinya.

“Nama awak siapa? Boleh tak awak bagi nombor telefon, susahlah saya nak hubungi awak nanti kalau tak ada nombor telefon.” Desak Tengku Reza lagi.

“Kalau boleh saya tak nak jumpa awak lagi, tau tak!” tingkah Annessa, kasar. Dia menghidupkan enjin skuternya.

“Siku awak berdarah tu. Kejap ye, saya ambil tisu kat dalam kereta.” Getus Tengku Reza sambil bergegas ke keretanya. Sebelum sempat dia mencapai kotak tisu, dia terdengar skuter itu sudah bergerak meninggalkannya.

Dia membaling semula kotak tisu itu ke dalam kereta lalu berlari ke tempat duduk pemandu. Enjin kereta segera dihidupkan dan keretanya meluncur perlahan-lahan di jalanraya, mengekori skuter yang ditunggang Annessa.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.