Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 47

47

DARI jauh dia nampak Idris sudahpun sampai dan sedang rancak berbual dengan kakak kembarnya. Adeela tidak terus melangkah masuk ke ruang restoran, sebaliknya memakukan matanya ke arah mereka berdua. Dia nampak Idris berkata sesuatu, dan Annessa ketawa. Mesra. Kemudian, giliran Annessa pula bercakap, Idris kelihatan tekun mendengarnya.

Entah mengapa hatinya terasa lain macam sahaja tatkala melihat panorama yang sedang tertayang jelas di ruang matanya itu. Pasangan yang kini sedang duduk semeja di restoran itu baginya sama cantik, sama padan. Kedua-duanya juga sedang melakar masa depan yang cerah – Annessa kini bergelar siswi di UiTM, Shah Alam, sementara Idris pula bergelar siswa di Universiti al-Azhar, Mesir. Mereka pasangan yang sekufu.

Sedangkan aku?

Dia segera menoleh ke dalam dirinya sendiri. Walaupun wajahnya mungkin seiras dengan wajah kakak kembarnya, tetapi laluan hidup yang sedang mereka susuri sebenarnya amat jauh bezanya. Annessa tidak perlu menyimpan memori hitam di dalam kotak fikirannya, sementara dia pula sehingga kini terpaksa memamah derita jiwa sebagai mangsa kes culik. Annessa memiliki masa depan yang cerah dan gemilang setelah tamat pengajiannya nanti, sementara dia pula sedang teraba-raba mencari arah.

Tidak ada apa-apa yang istimewa untuk aku persembahkan padamu, Abang Id. Tapi, kalau kau memilih Anne, kau seolah-olah sudah memiliki dunia ini kerana Anne adalah seorang gadis yang amat istimewa. Tiada orang lain yang lebih mengenali Anne, Abang Id, kecuali aku... adik kembarnya sendiri.

Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah masuk lalu mendekati Annessa dan Idris.

“Eh, Abang Id dah sampai? Sorrylah ye, tadi Deela jumpa kawan.” Lunak suara Adeela kedengaran menyapa Idris. Annessa perasan, liuk tubuh adik kembarnya itu juga lebih lembut daripada biasa. Bibir Adeela yang disalut gincu Silky Girl pula asyik meleret senyum.

“Deela jumpa kawan?” Idris kedengaran menyoal. Matanya dipakukan ke arah Adeela.

“Emm... kawan masa sekolah dulu. Abang Id sihat?”

“Sihat. Kalau tak sihat, tak sampailah abang kemari.”

“Emak sihat?”

“Emak sihat. Dia kirim salam pada Deela dan jugak Anne.”

“Waalaikumussalam.” Sahut Annessa dan Adeela hampir serentak.

“Eh, tak order makanan lagi? Abang Id tak lapar ke?”

Idris ketawa kecil. “Abang Id dan Kak Anne kenalah tunggu Deela sampai dulu sebelum order makanan. Deela nak makan apa?”

“Oit, tanya Deela aje ke?” Annessa menyampuk.

“Oops, Deela dan Anne nak makan apa? Order aje, hari ni saya belanja.”

Annessa dan Adeela saling berpandangan. Bibir kedua-duanya mengulum senyum.

SEPERTI yang telah dijanjikan dengan anak-anaknya, Sofea pulang awal ke rumah petang itu. Aleya masih di sekolah agama dan hanya akan pulang ke rumah pada pukul 5.10 petang nanti. Sambil menunggu ketibaan anak-anak gadisnya dan juga tetamu mereka untuk semalam, Idris, dia meringankan tangannya mengemas meja makan dan juga ruang tamu.

Setelah selesai mengemas, dia melabuhkan punggung di kusyen untuk berehat. Telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk. Dengan gerakan malas dia mencapai telefon kecil itu untuk melihat siapakah yang menghantar mesej kepadanya. Kemudian dia mengeluh perlahan. Sejak pagi tadi sahaja sudah lima mesej diterimanya daripada bekas suaminya. Semua mesej itu bernada merayu. Kenapa dengan kau ni, Zik? Dah gila talak ke? Dulu kau jugak yang mencipta sengketa dalam rumah tangga kita dengan menuduh aku dengan tuduhan yang bukan-bukan, kemudian kau tergamak pula berkahwin lain di luar pengetahuanku.

Dengan rasa muak, dibacanya juga mesej daripada Zikri.

Fea, kenapa you senyap aje? Please, balaslah mesej I ni.

Zik

Dia malas hendak membalasnya. Biarlah Zikri tertunggu-tunggu. Biarlah lelaki itu melayan angaunya sendiri. Rayulah... aku takkan cair dengan rayuanmu, Zik. Pintu hatiku sudah tertutup kemas untukmu dan mungkin juga untuk semua lelaki. Sebagai seorang wanita, tidak semudah itu untuk aku bercinta lagi setelah apa yang aku alami. Seksa akibat rumah tangga yang musnah juga masih menghantui diriku. Aku bukanlah seperti lelaki yang mudah mencanai cinta dengan perempuan lain sebaik sahaja melihat kekurangan pasangannya.

Dulu kau pernah menghamparkan alasan kesibukanku sebagai petugas media untuk menghalalkan tindakanmu bernikah satu lagi. Dan sekarang, apakah kebobrokan yang kau nampak dalam diri isterimu hingga kau tega merayu-rayu cinta bekas isterimu ini?

Kesian kau, Nani! Tapi janganlah kau risau, aku tak akan menempatkan diriku sebagai perampas suami perempuan lain. Apatah lagi kau kini sudah mempunyai seorang anak kecil hasil perkongsian hidupmu dengan Zikri.

Ketukan di muka pintu menandakan anak-anaknya sudah pulang. Dia segera membukakan pintu untuk mereka.

“Apa khabar, aunty?” Idris menyapa.

“Baik. Jemputlah masuk.”

“Terima kasih.” Sahut Idris. Segan juga dia kerana terpaksa menumpang bermalam di rumah yang kesemua penghuninya terdiri daripada kaum Hawa itu. Tetapi, untuk semalam aje. Dia menyedapkan hatinya.

“Selesakanlah diri, Id. Jangan risau, kami sekeluarga tak makan orang.” Getus Sofea ketika dilihatnya Idris agak gugup. Kata-katanya disambut dengan derai tawa.

“Betul kata mama tu, Abang Id. Kami tak makan orang, tapi suka dera orang.”

“Deela... amboi!” Sofea memotong. “Emm... Id, kalau Id perlukan apa-apa... jangan malu-malu, minta aje pada Deela.”

“Betul tu, Abang Id. Deela kan dah jadi pembantu rumah sekarang ni!” tingkah Adeela sambil tersenyum.

Idris diam. Begitu juga dengan Annessa.

“Err... Deela jadi pembantu di rumah ni untuk sementara waktu aje. Okeylah ye, aunty nak solat Asar dulu.” Sofea segera meminta diri untuk berlalu ke biliknya.

ADEELA sedang menjamu Idris dengan agar-agar santan yang dibuatnya sendiri. Annessa pula mengambil tempat di depan peti televisyen sambil mencuri-curi dengar perbualan di antara adiknya dengan pemuda itu.

Setelah berdepan dengan Idris, dia dapat rasa bahawa jejaka itu adalah seorang yang baik dan memang ikhlas terhadap Adeela. Hilang sudah rasa ragu-ragunya terhadap Idris selama ini. Walaupun Adeela dan Idris masih lagi muda dan perjalanan hidup mereka juga masih jauh, tetapi dia tidak akan menghalang hubungan mereka lagi. Mungkin jejaka itu adalah pilihan yang paling tepat untuk Adeela, hatinya berbisik.

“Anne, kenapa duduk sorang-sorang kat situ? Marilah sini.” Suara Adeela kedengaran memanggilnya.

“Nanti ada orang tuduh kita ni kacau daun pulak.” Dia menyahut, enggan bangkit dari kusyen.

“Hek eleh, jangan banyak songellah. Mari sini!” gesa Adeela.

Annessa bangkit, menuju ke meja makan. Idris memandangnya sambil tersenyum.

“Jemput minum, Anne.” Pelawa jejaka itu.

“Nak minumlah ni. Sedap tak agar-agar santan tu, Id?”

“Hmm... sedap.”

“Air tangan Deela, tu. Pandaikan dia?”

Idris mengangguk.

“Deela buat agar-agar tu khas untuk awak, jadi makanlah banyak sikit ye.” Sambung Annessa lagi sambil menjeling ke arah adiknya.

“Anne!” Adeela terjerit. Sepantas kilat jari-jarinya mencubit lengan kanan Annessa.

“Adoi, sakitlah! Macam semut api.”

“Dah, tak payah nak puji-puji sokmo. Makan ajelah.” Getus Adeela sambil tersenyum malu setelah menerima pujian daripada kedua-dua orang yang sangat disayanginya.

MALAM semakin larut. Namun, Adeela masih juga belum berjaya melelapkan matanya. Dua wajah berlegar-legar mengambil tempat di ruang fikirannya. Baik Annessa mahupun Idris, dia menyayangi kedua-duanya. Dia cukup pasti bahawa mereka berdua juga amat menyayangi dirinya.

“Semasa abang berada di luar bumi Malaysia pun abang tak pernah lupakan Deela. Kenangan bersama Deela ketika kita di kampung dulu selalu menemani abang.” Begitulah luahan Idris ketika mereka berkesempatan berbual berdua-duaan di ruang tamu tadi.

“Takkan tak ada perempuan yang lebih cantik daripada Deela kat universiti abang tu?” Dia menyoal, sengaja menduga.

Idris ketawa. “Apa pulak tak adanya? Dah tentulah ada. Bezanya, Deela istimewa, mereka tak. Tu aje.”

Adeela mengekel, merah mukanya menahan malu.

“Abang Id anggap Deela ni macam adik sendiri, kan?”

Mata Idris menikam tepat ke wajahnya. Lunak renungannya menikam hingga ke dasar hati.

“Tak naklah anggap Deela macam adik sendiri.”

“Kenapa?”

“Pada abang, Deela ekstra istimewa.” Idris berterus-terang dengannya.

Deela ekstra istimewa, perkataan itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa Idris menyimpan perasaan yang mendalam terhadap dirinya. Tapi bang, apalah istimewanya Deelamu ini? Perempuan bernama Adeela ini sentiasa diekori memori silam yang hitam dan menyakitkan.

Seorang lelaki seistimewa abang seharusnya ditemani oleh perempuan seistimewa Annessa! Ye, betul tu! Abang dengan Annessa barulah boleh dipanggil pasangan yang ideal.

Dia menoleh ke arah kakak kembar yang sudah tertidur pulas di atas katil bujangnya. Siapakah yang hadir dalam mimpimu, Anne? Apakah Tengku Najib? Tapi Anne, wajarkah kau meneruskan hubunganmu dengan anak saudara kepada lelaki yang sudah mencemarkan maruah diriku? Tidak Anne, aku takkan benarkan perkara itu terjadi. Langkah mayatku dulu! Aku lebih sanggup melepaskan Idris untuk dipersembahkan kepadamu daripada melihat kau menerima cinta Tengku Najib.

Dia tersenyum sendiri di bawah limpahan cahaya lampu bilik tidur yang sama-samar. Aku harus satukan Anne dan Idris sebagai pasangan kekasih, hatinya berbisik dalam ketegasan yang padu.

Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.