Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 54

54

JARUM jam melepasi angka 3.30 petang. Di rumah sekerat batu sekerat papan itu, kesibukannya makin terasa. Di dapur, seperiuk lagi bubur kacang hijau campur durian sudah siap dimasak. Aromanya memenuhi segenap ruang di rumah itu. Serambi pula sudah mula menerima tetamu walaupun tidaklah seramai mana. Suara mereka berbual dan bergelak ketawa menyelusup masuk sehingga ke ruang kamar.

Rasa yang menekan ruang perasaan. Debar yang mencengkam. Gelisah yang mula bercakaran. Annessa hanya mendiamkan diri, namun jelas dia juga turut merasakan apa yang kini dirasai oleh adik kembarnya.

“Takkan kita nak bertapa dalam bilik ni aje, Deela?” Annessa terpaksa juga menghentak soal pada Adeela yang sejak dari tadi asyik memakukan matanya ke arah serumpun pohon Lipstick Palm yang menghiasi laman.

“Anne, kau dapat rasa tak apa yang sedang aku rasakan sekarang?” Enggan mengalihkan matanya dari pokok palma yang batangnya berwarna merah gincu, Adeela membalas soalan kakak kembarnya dengan sebaris soalan juga.

Sudah tentu aku dapat rasai apa yang sedang kau rasakan, Deela. Hati Annessa berbisik.

“Rasa apa pulak ni?” Dia berpura-pura tidak memahaminya.

“Aku rasa tak sedap hatilah, Anne. Kenapa agaknya ya, tiba-tiba aje ramai orang datang kat rumah ni?”

“Manalah aku tau. Agaknya mereka nak jumpa kaulah tu. Kan kau dah lama tinggalkan kampung ni.” Sahut Annessa. Hatinya mula dipagut bimbang.

“Tapi aku tak nak jumpa mereka, Anne. Aku datang kemari sebab nak luangkan masa dengan Abang Id sekeluarga. Kenapa mereka tu datang menyibuk pulak?” Suara Adeela kedengaran kasar. Dia menuju ke katil lalu menghempaskan tubuhnya di situ.

“Kau ajelah keluar. Aku nak tidur.” Itulah kata putusnya.

Annessa kerut kening. “Takkan orang ramai-ramai ni kau nak tidur pulak?”

“Ah, peduli apa aku!” Adeela menonjolkan kedegilannya.

Annessa hanya mampu menggelengkan kepalanya. Oleh kerana tidak mampu memujuk Adeela agar keluar dari bilik itu, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Adeela.

“Anne!” Panggilan Adeela membuatkan langkahnya terhenti. Dia berpaling ke belakang. “Baju kurung Pahang yang kau pakai tu, baju baru ke?”

Annessa tidak menjawab. Hanya seulas senyuman tersungging di bibirnya.

“Kau tak nak keluar ke ni?” Sekali lagi soalan itu ditanya Annessa.

“Malas!”

“Kalau mereka tanyakan kau nanti, apa aku nak jawab?”

“Ala... kau bagi ajelah alasan apa-apa pun. Aku tak kisah.”

“Hmmm... kau ni kan, degil!” Annessa menggumam. Marah.

“DERIS, kek ni nak letak kat mana? Opps... sorry!

Annessa yang melangkah keluar dari kamar, hampir-hampir sahaja dirempuh oleh seseorang. Mata mereka bertatapan. Pemuda yang hampir merempuhnya itu, tersenyum. Idris melangkah menghampiri mereka.

“Ini ke birthday girl tu, Deris?” soal Nazri sambil menghulurkan kotak yang siap diikat reben merah di atasnya ke arah Idris.

“Sebelum aku jawab soalan kau tu Naz, mari sini aku kenalkan kau dengan kakak kembar Deela, Annessa. Anne, kenalkan ya, ni Nazri, kawan satu sekolah saya merangkap bf saya. Kalau nak tahu, si Naz ni kaki pancing.”

“Oh iye?”

“Iye, betul tu! Okeylah Deris, aku ke serambi dulu.” Nazri melangkah pantas meninggalkan mereka berdua.

“Dia mana?” Idris menyoal tentang Adeela. Jari telunjuk Annessa pantas menuding ke arah pintu kamar yang tertutup rapat. “Dia dah siap ke?”

Annessa terpaksa menggelengkan kepalanya.

“Dia tak nak keluar bilik.” Adunya pada jejaka itu.

“Deela tak nak keluar bilik? Kenapa?” soal Idris, jelas kelihatan risau. Annessa menggeleng lagi. “Awak pujuklah dia,” pintanya.

“Saya dah cuba, tapi dia tetap tak nak keluar.”

“Habis tu, apa kita nak buat, ya?”

“Nampaknya awak terpaksalah berterus-terang dengan dia.” Annessa memberikan cadangannya.

“Kalau saya berterus-terang dengan dia, hilanglah kejutannya.” Getus Idris sambil tersenyum sumbing. Annessa juih bibir.

“Tak apalah, kejap lagi saya akan minta mama panggil Deela keluar dari bilik.”

Idris mengangguk laju. “Bagus jugak tu. Kalau mama awak yang pujuk, saya pasti dia akan lembut hati. By the way, dia buat apa kat dalam bilik tu?”

“Tidur.”

Idris ketawa kecil.

“Kek tu khas untuk Deela aje ke?”

“Oleh sebab awak berkongsi tarikh lahir yang sama dengan dia, jadi separuh kek ni untuk awak dan separuh lagi untuk Deela. Yang tak boleh kongsi, cuma cincin aje.”

“Tu saya tahulah! Takkan cincin tu pun saya nak kongsi dengan dia.” Getus Annessa sambil menahan tawa. Suara Idris kedengaran lucu di telinganya.

“Manalah tahu...”

“Isy, cukup-cukuplah tu.” Pantas Annessa memotong kata-kata jejaka itu. “For your info, Mister Idris, I tak jealous pun kalau tak dapat cincin tu. In fact kalau adalah orang yang terhegeh-hegeh nak hulur kat I apa-apa cincin, cincin merisik ke... cincin tunang ke, bukan senang-senang aje I nak ambik, coz I masih belum bersedia untuk sebuah ikatan. Buat masa ni dan beberapa tahun lagi, I nak menikmati kebebasan I. I nak jadi macam burung-burung yang terbang bebas di angkasa, so that I boleh terbang ke mana aje yang I nak pergi, tanpa larangan daripada sesiapa. Faham?”

“Okey, I am sorry. Just joking, hope you don’t mind, my future sister in law.”Gurau Idris.Redup matanya hinggap ke wajah Annessa.

Annessa membeliakkan matanya. “Selagi cincin belah rotan you tu belum tersarung di jari adik I, janganlah berangan lebih-lebih pulak, ya.” Dia menyindir, sengit.

SUDAH hampir 15 minit mamanya berada di dalam bilik dalam usaha memujuk Adeela supaya keluar. Annessa yang berdiri di luar, tidak pasti sama ada dia harus mengetuk daun pintu itu ataupun sebaliknya. Akhirnya, dia memberanikan diri untuk mengetuk pintu.

Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke bilik itu, dia terpegun melihat penampilan adik kembarnya. Adeela kelihatan anggun dengan kebaya labuh rona hijau pucuk pisang tersarung di tubuhnya yang tinggi lampai.

“Anne, okey tak aku pakai baju ni?” tukasnya sebaik sahaja melihat kemunculan Annessa di ruang yang sama.

Annessa menegakkan ibu jari kanannya, menunjukkan isyarat ‘bagus’.

“Aku tak pernah tengok pun baju ni?” soal Annessa sambil melabuhkan punggungnya di birai katil. Sementara itu, matanya mengawasi kembarnya yang sedang menggayakan kebaya hijau itu di depan cermin. Adeela yang tadinya tidak bersemangat, tiba-tiba sahaja bertukar menjadi ceria.

Satu persoalan menyinggah di benaknya, sudahkah mama menerangkan hal yang sebenarnya kepada Adeela?

“Baju ni pemberian emak untuk aku semasa aku menumpang di rumah ni dulu. Aku tengok ada lagi tergantung dalam almari, jadi aku pun pakailah.” Adeela menerangkan asal usul baju itu.

“Hmm... eloklah tu! Berseri-seri kau pakai baju ni, Deela. Betul tak, ma?”

Sofea mengangguk dan senyum. Dia mengakui kecantikan kedua-dua orang anak kembarnya itu. Sebagai ibu, dia cukup bangga kerana telah melahirkan mereka pada hari yang sama, tarikh yang sama, walaupun dia terpaksa menanggung kesusahan dua kali ganda lebihnya daripada wanita yang hanya membawa seorang anak di dalam kandungannya.

“Dah lama mereka tunggu kita kat serambi tu. Jom kita keluar.” Sofea bangkit dari kerusi lalu mencapai tangan Adeela.

Ketika itulah irama Winter Sonata daripada telefon bimbit Annessa kedengaran berbunyi.

“Mama dan Deela keluarlah dulu, ya. Anne nak jawab panggilan ni kejap,” ujar Annessa. Matanya dan Adeela bersabung beberapa ketika. Dia tidak mengendahkan renungan aneh yang dilemparkan Adeela ke arahnya itu, sebaliknya bergerak pantas ke tepi tingkap untuk menjawab panggilan daripada Tengku Najib.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Lega hatinya setelah dapat mendengar suara jejaka itu. Pun begitu, hatinya panas kerana sikap jejaka itu yang menyepikan dirinya, langsung tidak mahu membalas panggilan telefon mahupun SMSnya.

“You ke mana, hah? Ingat pulak nak telefon I?” Dia menghentak suara, bagai seorang isteri yang memarahi suaminya.

Kedengaran Tengku Najib ketawa. “Aik, marah?”

“Mestilah! I risau sebab sehari dua ni you membisu seribu bahasa. Jo kata you accident, betul ke?”

“Jo cakap macam tu?” Terkejut bunyinya.

“Iye, dia cakap dengan I... you accident. Teruk ke?”

“Pandai-pandai aje Jo, ni. You jangan percaya cakap dialah.”

“Betul ni?”

“Betul! Eh, Anne, I nak jumpa you malam ni, boleh tak?”

“Hmm... tak bolehlah, Jib. I tak ada kat Shah Alam sekarang ni.”

“Balik Melaka ke?”

“Tak adalah. I, mama dan adik-adik I ada kat Kuala Selangor. Kami melawat keluarga angkat Deela di sini.”

“Oh, hmmm... tak apalah. Kalau macam tu, hari Isnin nanti kita jumpa.” Tengku Najib bersuara.

“Okey, thanks for calling.

“You are welcome. Anne, Irindu you.”

Annessa terpaku seketika tatkala telinganya mendengar ungkapan yang diluahkan Tengku Najib itu. Dia ingin membalasnya, tetapi sebelum sempat dia menjawab, telinganya menangkap bunyi kekecohan yang datangnya dari arah serambi.

KEADAAN di serambi tegang. Dia terkejut melihat kotak kek sudah terbalik dan isinya bertaburan di atas lantai. Sah, Adeela mengamuk. Tapi kenapa?

Dia nampak kotak baldu merah berisi cincin belah rotan yang telah terbuka. Mujur kotak yang berisi cincin itu tidak diapa-apakan oleh Adeela.

“Deela kecewa, sangat-sangat kecewa. Kenapa semua orang perangkap Deela macam ni? Mama, kenapa, ma? Deela ni dah jadi beban pada mama ke?” soal Adeela sambil matanya menujah ke wajah Sofea.

Sofea menggeleng-gelengkan kepalanya. “Deela jangan salah faham. Kenapa Deela cakap kami semua nak perangkap Deela? Id ikhlas terhadap Deela tau. Dia bagi cincin ni sebagai tanda keikhlasan hatinya, kenapa Deela nak tolak pulak? Kami di sini semuanya cukup pasti yang Deela sukakan Id.”

“Deela tau, tapi Deela tak layak untuk Abang Id. Deela ni tak ada apa-apa yang dapat dibanggakan. Dia...” Jari telunjuk Adeela tiba-tiba menuding ke arah Annessa yang masih berdiri di muka pintu. “Annelah orang yang sesuai untuk digandingkan dengan Abang Id, bukannya Deela.”

“Deela, apa yang kau merepek ni?” Annessa membantah.

“Tak betul ke apa yang aku cakap ni, Anne? Kau berpelajaran tinggi, memang cukup sesuai kalau digandingkan dengan Abang Id. Aku ni apa yang ada? Masa depan aku dah hancur, hancur! Aku ni tak ada apa-apa, kau orang semua faham tak?” Adeela semakin menggila. Dia menghentak-hentakkan kakinya di serambi membuatkan semua orang memandangnya dengan bimbang.

“Deela, kenapa kau cakap macam ni? Kau jugak istimewa. Siapa cakap masa depan kau dah hancur, siapa? Kau boleh gapai apa aje yang kau impikan di dunia ni, Deela, kalau kau mahu.” Pujuk Annessa sambil melangkah perlahan-lahan merapati Adeela. “Deela, kalau kau masih belum sedia nak terima hubungan ni, aku faham. Begitu jugak dengan Id, dia tentu faham dan kami semua tak akan sesekali memaksa kau untuk terima cincin ni.”

Adeela teresak. Annessa mengambil kesempatan itu untuk memaut Adeela ke dalam dakapannya untuk menenangkannya.

Di hujung serambi itu, Idris hanya mampu menengkurkan kepalanya. Jelas dia cukup kecewa dek penolakan Adeela. Dan, Annessa hanya mampu menghulur simpati dengan lirikan matanya.

Petang itu juga mereka berangkat pulang ke Shah Alam. Tidak sanggup menumpang barang semalam lagi di rumah keluarga Idris.


Previous: Bab 53

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.