Home Novel Keluarga SENYUM SEINDAH MONALISA
SENYUM SEINDAH MONALISA
SITI ROZILAH
28/9/2013 13:16:20
19,133
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6

6

Kini: “Kau penulis syok sendiri!”

OLEH kerana petang telah larut amat dan khuatir terlepas waktu Maghrib, aku mengambil keputusan untuk singgah menumpang bersolat di rumah Waheeda. Dalam perjalanan ke sana, aku sempat menghantar mesej kepada suamiku untuk memaklumkan kepadanya yang aku serta anak-anak akan singgah di apartmen Waheeda dan hanya akan pulang ke rumah selepas waktu Maghrib. Seketika kemudian aku mendapat balasan daripada suamiku menyatakan yang dia juga akan pulang lewat ke rumah.

Aku mengajukan mesej yang seterusnya kepada Zamarul.

“Okey. Agak-agaknya abang balik pukul berapa?”

Tetapi, sehingga aku selesai mengerjakan solat Maghrib, mesejku itu langsung tidak mendapat balasan daripada Zamarul. Aku menyertai Waheeda dan anak-anakku di ruang tamu. Bukan main seronok lagi Nur Samira dan Muhammad Daniel apabila dijamu kek coklat oleh Waheeda.

“Nah, ni untuk kau.” Kata Waheeda sambil menghulurkan pinggan kecil berisi sekeping kek coklat ke arahku. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya di sisiku.

“Kau beli ke, buat ni?”

“Aku mana ada masa nak bakar kek, ni? Beli ajelah. Zam dah balas mesej kau?”

“Belum.”

“Sibuk benar agaknya laki kau tu!” getus Waheeda. Aku hanya mampu menyeringai. “Susah-susah sangat, kau call aje dia.”

“Ah, malaslah aku. Kalau dia sergah aku nanti, hati siapa yang sakit? Hati aku jugak.” Aku menepuk-nepuk dadaku. “Yang penting aku dah beritahu dia di mana aku dan anak-anak berada sekarang ni.”

Waheeda terangguk-angguk bagaikan burung belatuk. “Sabar ajelah dengan Zam tu, Leya. Eh, macam mana dengan manuskrip baru kau?”

“Belum start walau sebaris ayat pun lagi. Aku pun tak tau nak tulis cerita apa kali ni.”

“Kau ni, Leya, macam kura-kuralah. Kau cangkul, koreklah otak kau tu. Cubalah bersungguh sikit. Aku tengok penulis lain tu empat lima bulan boleh siap satu novel, tapi kau...”

Selaran Waheeda mula memanaskan copeng telingaku.

“Tu orang lain! Kau jangan samakan aku dengan mereka. Aku menulis kerana minat yang mendalam dalam bidang ni.”

“Penulis yang empat lima bulan boleh siap satu novel tu pun cakap lagu tu juga. Mereka pun menulis kerana minat juga. Minat... minat juga, buat duit... buat duit juga. Hey, kalau macam ni memang lambatlah kau kaya, Leya.”

“Eda, aku menulis bukan kerana duit. Aku menulis kerana minat. Aku nak luahkan segala apa yang aku fikir, tengok serta rasa dan adunkan kesemuanya di dalam novel-novel aku. Aku nak pembaca karya aku menyelami dan menilai apa yang hendak aku sampaikan. Kalau mereka dapat kutip pengajaran yang baik-baik dari novel aku, iye... aku cukup bangga.” Aku meluahkan isi hatiku sebagai penulis.

Waheeda tergeleng-geleng. Menyampah aku melihat gelengannya itu.

“Dahlah menulis slow, jualan novel pun slow. Eh, Leya, kalau kau nak novel kau laris macam goreng pisang panas, kau kenalah ubah cara kau menulis. Kau tengoklah sesetengah penulis tersohor tu... ah, tak payahlah aku sebutkan nama mereka di sini, kenapa novel mereka... letak aje di rak, terus diambil orang? Sebabnya, mereka mempersembahkan apa yang pembaca nak baca. Ni tak, kau menulis ikut syok kau seorang aje. Orang baca novel ni sebab nak berhibur... nak relakskan otak, tapi kalau kau hempukkan isu yang berat-berat dalam novel kau sampaikan mereka terpaksa menangis terlalak-lalak dan tak dapat tidur malam, hmmmp...”

Waheeda sengaja membiarkan komennya tergantung di situ. Mimik wajahnya membuatkan aku semakin sakit hati.

“Dah puas mengomen aku?” soalku, selamba. Waheeda menyeringai. “Aku menulis ikut cara aku. Penulis lain mungkin ada cara mereka yang tersendiri. Aku tak nak ikut cara mereka.”

“Iyelah... aku bergurau ajelah. Jangan marah, ye.”

Aku menggetap bibir. “Eh, Eda, ruang tamu kau ni kosong aje. Mana album-album lama kau dulu?” Sengaja aku mencari topik lain.

“Kenapa? Nak intai wajah Ilham? Dah rindu dengan dia?”

Isy, celopar benar mulut Waheeda ni!

“Ilham tu, siapa ma?”

Terkejut badak aku apabila mendapati Nur Samira menelinga perbualan kami.

“Err...” Aku tergagap.

“Kalau Sa nak tau, Ilham tu ex-boyfriend...” Waheeda membulatkan matanya ke arahku. “Cuba Sa teka Ilham tu ex-boyfriend siapa?”

“Isy, auntyEda ni! Manalah Sa tau.”

Ex-boyfriend auntylah. Handsome orangnya tau, Sa. Nak tengok gambar dia?”

“Iye, ke?” Nur Samira semakin berminat. “Nak! Sa nak tengok gambar dia.”

“Eda!” Aku memberikan amaran kepada Waheeda.

“Nanti aunty keluarkan album-album lama aunty, ye. Kau pun nak tengok juga gambar Ilham kan, Leya? Kejap... kejap ye.”

Aku terdiam. Aku tidak mampu menghalang Waheeda yang sudah bangkit dari tempat duduknya. Lagipun, bukankah aku yang membuka pertanyaan tentang album-album lama Waheeda seketika tadi?

“Betul ke Ilham tu ex-boyfriend aunty Eda, mama?” soal Nur Samira.

“Err... iyelah agaknya.” Aku menjawab.

“NAH! Ni album-album lama aunty.” Waheeda melambakkan koleksi albumnya di atas lantai. “Mari aunty tunjukkan gambar ex-boyfriend aunty tu.” Selamba sahaja dia menyelak sebuah album berkulit merah jambu lalu dihulurkannya ke arah Nur Samira.

Aku menjulurkan kepalaku untuk mengintai gambar yang ditunjukkan Waheeda ke arah anakku. Foto itu membuatkan dahiku berkerut, sementara Waheeda tersengih selamba ke arahku.

“Hmm... boleh tahan.” Nur Samira menggumam.

“Ni gambar-gambar aunty dengan mama Sa semasa bergelar student di UiTM dulu.”

Aunty dan mama berkawan baik sejak dari UiTM ye?” Nur Samira bertanya. “Hebat juga mama masa muda-muda dulu.” Nur Samira mengerling ke arahku.

Aku hanya mampu menyengih.

“Kalau Sa nak tau, masa tu mama Sa ni menjadi rebutan ramai jejaka di UiTM tu. Almaklumlah, wanita Melayu terakhirlah katakan.” Waheeda menepuk pahaku sambil berdekah.

“Pandailah kau!” Aku menyergahnya.

“Akhirnya, papa Sa yang dapat dia. Orang lain semuanya gigit jari.”

Aku mengulum senyum. Dalam pada itu tanganku menguak sebuah album besar berkulit biru. Wajah yang aku cari-cari ternyata berada di situ. Gambar-gambar Ilham banyak terakam di dalam album berkulit biru itu. Ada gambar dia bersama aku dan Waheeda. Ada juga gambarnya bersama teman-teman lelakinya. Ada sekeping gambarnya berdua bersama aku. Juga, gambarnya berdua bersama Waheeda.

Memandang semula gambar-gambar lama itu ternyata membangkitkan nostalgia silam. Ketika itu, kami masih terlalu muda dan bersemangat. Masing-masing membawa misi untuk berjaya dengan cemerlang dalam bidang yang kami ambil di menara gading. Begitu juga dengan aku, Ilham dan Waheeda. Di situlah juga kami mula memahami erti persahabatan dan perjuangan dalam menuntut ilmu. Dan, di situlah juga cintaku dengannya mula berputik.

“Dah jumpa apa yang kau cari-cari, Leya?” Waheeda menyoal.

Aku angguk. “Ternyata gambar-gambar dia lebih banyak dalam simpanan kau.”

“Aku simpan semua album lama ni dalam sebuah kotak, jadi senanglah sikit nak cari. Kalau letak bersepah-sepah, memang payah nak jumpa.”

Aku mengangguk, setuju dengan kata-kata Waheeda itu. Aku tidak menceritakan kepada temanku itu bagaimana aku gagal mencari album yang memuatkan gambar-gambar Ilham. Tetapi, dia memang tidak suka bergambar dengan aku. Aku masih ingat lagi kata-katanya; “Leya, kalau ditakdirkan aku bersanding dengan kau nanti, aku tak kisah berapa gulung filem pun yang habis. Yang penting, kau adalah pengantin yang berdiri di sisi aku.”

Mungkin sebab itulah agaknya dia selalu mengelak apabila teman-teman menyuruhnya berposing di depan kamera dengan aku. Kalau bergambar beramai-ramai dia tidak kisah.

Leka juga aku menguak album-album lama itu. Wajah-wajah segar yang dirakamkan oleh lensa kamera membuatkan aku terlupa kepada masa yang berlalu. Sesekali, aku dan Waheeda tergelak melihat telatah teman-teman lama kami yang ada di antara mereka langsung sudah terputus hubungan. Tidak diketahui di manakah mereka berada sekarang.

“Eda, kenapa kau tunjuk gambar Nazim pada Sa tadi?” soalku ke arah Waheeda yang telah berbohong kepada anakku menyatakan Nazim itu sebagai bekas kekasihnya.

“Habis tu, takkan aku nak tunjuk pada Sa gambar Ilham pulak? Dia tu kan ex-boyfriend kau.” Suara Waheeda kedengaran lain macam di telingaku. Marahkah dia?

Aku diam. Ketika itu, diam adalah lebih baik daripada menyelar perasaan Waheeda. Walaupun peristiwa itu telah lama kami tinggalkan dan Waheeda kini sudahpun menjadi tunangan Farid, namun sebagai manusia biasa aku tidak mampu menyelami hati orang lain walaupun orang itu adalah teman baikku sendiri.

Waheeda kata, Ilham telah luput dari hatinya setelah cinta jejaka itu hinggap ke tanganku. Tapi, setakat manakah kebenaran kata-kata Waheeda itu? Atau, Waheeda sengaja berkata begitu untuk menyedapkan hatiku? Untuk menghilangkan rasa bersalah yang bersarang di jiwaku?

“MA, papa nak cakap dengan mama ni.”

Suara Muhammad Daniel benar-benar mengejutkan aku. Kutalakan pandangan padanya yang berdiri di sisiku sambil menghulurkan telefon dalam genggamannya ke arahku.

“Assalamualaikum, abang.”

“Leya kat rumah Eda lagi, ye?”

“A’ah! Abang kat mana ni?”

“Abang baru keluar office ni. Lepas ni nak belanja budak-budak ni makan bubur nasi di Kampung Baru. Leya dan Eda nak join? Kalau nak join, marilah.”

“Tak apalah, bang. Anak-anak dah letih. Dari petang tadi kami keluar.” Aku menjawab.

“Kalau macam tu, okeylah. Kita jumpa kat rumah aje nanti. Sampaikan salam abang pada Eda, ye. Drive carefully.

“Yelah, bang. Assalamualaikum.” Aku menoleh ke arah Waheeda yang terlongo memandangku. “Zam kirim salam pada kau.”

“Waalaikumussalam,” sahutnya pantas.

“Aku dan anak-anak minta diri dululah, Eda. Terima kasih kerana sudi melayan kami. Dan, terima kasih juga kerana sudi mendengar luahan perasaan aku.” Getusku perlahan ke telinganya.

Waheeda ketawa kecil.

“Ah, apa gunanya kawan, Leya. Hari ni mungkin hari kau, esok lusa siapa tahu... mungkin hari aku pulak.” Sahutnya setelah gelaknya reda.

“Kalau kau tak nak berdepan dengan masalah yang lebih kurang sama macam aku, jangan kahwin!” ujiku.

Waheeda membulatkan matanya. “Uik, kau tak bagi aku kahwin? Kau nak aku sandang gelaran andalusia? Hui, orang tua aku kat kampung tu dah berbuih mulut mereka suruh aku kahwin cepat tau. Dan lagi satu kawan, kalau hubungan kau dengan Zam berdepan dengan masalah... tak semestinya pasangan lain mengongsi masalah yang sama dengan yang kau orang berdua hadapi, tau.”

Aku tersenyum kelat. Memang ada benarnya kata-kata yang baru sahaja meluncur keluar dari mulut Waheeda itu. Dan, kata-kata yang terlontar keluar itu bagaikan sebuah nada perli pula di telingaku. Wajarkah aku sebagai seorang isteri menjajakan kecacatan yang berlaku dalam rumah tanggaku kepada orang luar walaupun hakikatnya Waheeda itu adalah temanku baikku sendiri?

Memang tindakanku ini salah. Memang tindakanku ini bagai membuka pekung rumah tanggaku sendiri. Pun begitu, aku enggan membiarkan masalah itu bergulung di dalam dadaku sehingga kelak ianya menjadi sebuah bom jangka yang mungkin akan meletup bila sampai ketikanya. Aku meluahkannya sekadar untuk meredakan sebuah tekanan yang membeban fikiranku.

“Jangan fikirkan sangat masalah kau dengan Zam tu. Insya-ALLAH, adalah jalan penyelesaiannya nanti.” Waheeda merapatkan badannya lalu memeluk tubuhku.

“Terima kasih,” ucapku ke telinganya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.