52
DAMAI
menyelubungi persekitaran. Mereka berdua duduk mengongsi sebuah batu besar yang
terletak di tebing sungai yang masih mengalir jernih itu, tapi entah sampai
bila kejernihan sungai itu akan berkekalan. Walaupun mereka sedang mengongsi
batu yang sama, tetapi arus fikiran mereka berdua bergelut dengan isu yang
berbeza.
Annessa
mematung, mendiamkan dirinya. Hanyut dibawa emosi dek visi yang ditayangkan ke
ruang fikirannya terhadap penanggungan adik kembarnya sejurus sebelum nekad
melarikan diri dari banglo lelaki yang telah menculiknya. Begitu berat rupanya
penanggungan Adeela, dia seolah-olah turut merasakannya.
“Awak
dapat apa yang awak cari di sini?” Idris menyoal setelah agak lama mendiamkan
diri.
Annessa
mengangguk. “Terima kasih kerana sudi temankan saya ke sini, Id.”
“Sama-sama.
Saya ada beberapa soalan nak tanya awak ni. Harap awak tak keberatan nak jawab.
Saya bukannya apa, saya cuma nak memahami awak dan jugak Deela.”
Annessa
menoleh jejaka di sisinya. Bibirnya menguntum senyum.
“Apa lagi yang
awak nak tanya? Hah, tanyalah!”
“Tak kisah
kalau soalan tu agak peribadi sikit?”
“Kalau
saya rasa patut menjawabnya, saya akan jawab. Apa yang awak nak tau?”
“Visi yang
awak terima ni, apakah ianya berkaitan dengan Deela aje?”
Annessa
angguk. “Ya, semuanya berkaitan dengan Deela. Agaknya sebab kami ni pasangan
kembar. Kadang-kadang ianya datang dalam bentuk mimpi, khayalan dan imbasan.
Semuanya seolah-olah nak memberi petunjuk pada saya.”
“Kalau
awak ada keistimewaan tu, macam mana pulak dengan Deela?”
“Sepatutnya
awak tanya sendiri soalan ni pada dia.” Komen Annessa.
“Walaupun
saya sukakan adik awak, tapi banyak perkara yang saya takut nak tanya pada
dia.” Idris jungkit bahu. Matanya dilemparkan ke arah sungai. “Entahlah,
mungkin agaknya saya takut kalau-kalau soalan saya bisa melukakan hati Deela.”
“Saya
pernah jugak tanya pada Deela sama ada dia pernah alami pengalaman yang sama
macam saya, tapi dia menafikannya. Entahlah, mungkin TUHAN anugerahkan
keistimewaan ni hanya pada saya. Apapun, saya bersyukur kerana dengan anugerah
yang TUHAN titipkan pada saya ni, saya mampu menjejaki adik kembar saya.”
Annessa bersuara perlahan, namun didengari jelas oleh jejaka di sisinya.
“Subhanallah,
inilah yang dikatakan kebesaran ALLAH. Kunfayakun, sesuatu yang DIA ingin pasti
akan dianugerahkanNYA.” Begitulah reaksi Idris setelah mendengar cerita
Annessa.
“Ya, saya
sangat-sangat bersyukur,” tingkah Annessa sambil meraup mukanya dengan telapak
tangan. “Yaya, hati-hati! Batu tu licin!” Dia sempat menegur Aleya setelah
melihat adiknya itu lincah melompat di atas bonggol-bonggol batu yang terletak
di tepi sungai.
“Yup!”
Kemudian
matanya hinggap semula ke wajah jejaka di sisinya. “Id, saya nak minta maaf
dengan awak.”
“Kenapa
pulak?”
“Selama ni
saya selalu bersangka buruk pada awak. Sorry,
ya.”
Idris
ketawa kecil. “Awak jangan risau. Saya tak ambil hati.”
“Yelah,
sebab hati awak Deela dah ambil kan?”
Gelak
Idris semakin melebat.
“Anne,
saya ada sesuatu nak tunjuk pada awak ni. Saya rasa awak patut tengok sebelum
saya serahkannya pada Deela.”
Keseriusan
nada suara Idris itu membuatkan Annessa segera menoleh ke arahnya. Dia melihat
Idris menyeluk saku vase yang
dipakainya lalu mengeluarkan sebuah kotak kecil rona merah diperbuat daripada
baldu. Hatinya dipagut tanda tanya.
“Cincin?”
Terpantul soalan itu dari mulut Annessa sebaik sahaja matanya tertancap pada sebentuk
cincin belah rotan di dalam kotak baldu itu.
“Ni cincin
merisik yang saya nak bagi Deela. Harganya taklah semahal mana. Tapi
insya-ALLAH, untuk cincin tunang dan cincin kahwin nanti saya mampu belikan
Deela yang lebih mahal harganya daripada yang, ni. Anne, awak rasa okey tak
cincin ni?”
“Err...”
Annessa tidak mampu bersegera memberikan reaksinya. Dia jelas kelihatan
terkejut setelah mendengar luahan isi hati Idris serta sebentuk cincin yang
disuakan ke arahnya itu.
“Anne!”
“Eh, dah
tentulah okey, cantik. Rasanya Deela pasti suka.”
“Nilah
hajat saya sebelum balik ke Mesir. Lagipun tak lama lagi birthday Deela. Cincin nilah hadiah istimewa saya untuk dia.” Wajah
Idris kelihatan bercahaya.
“Err...
awak ni buat saya terkejut ajelah, Id. Semuanya berlaku terlalu pantas. Macam
tak percaya aje rasanya. Deela dah tau ke hajat awak ni?”
Idris
menggelengkan kepalanya. “Saya saja nak surprisekan
dia.”
“Saya tak menghalang.
Cuma satu aje harapan saya, awak jangan kecewakan Deela. Kalau awak berani
guris hati dia, awak perlu berdepan dengan saya dulu.”
“Betul
kata mak, awak ni memang garang.” Komen Idris.
Annessa
menjegilkan matanya. Idris hanya ketawa memandang.
“Deela tu
adik saya!”
“Iye, saya
tau Deela tu adik awak. Sebab tulah awak harus menyayangi dan melindungi dia,
betul tak?” Idris bersuara, lembut nadanya.
“Hmm...
taupun! Bila majlis serah cincin ni nak diadakan?”
“Rasa-rasanya
semasa minum petang nanti. Anne, tolong rahsiakan dulu hal ni, ya.” Pinta
Idris.
Annessa
mengangguk. “Jangan risau, ustaz. Rahsia awak selamat dengan saya.”
Idris
ketawa. Dia semakin selesa berbual dengan gadis di sisinya.
“JIB,
nampaknya kita ada tamu. Harap-harap tamu kita tu perempuan cantik. Bolehlah
kita berdua cuci mata,” ujar Tengku Reza sambil tergelak-gelak. Honda Accord
yang dipandunya diparkir betul-betul di sebelah kereta mewah berwarna biru.
“Yelah tu!
Kalau perempuan tua macam mana?”
“Berdoalah
agar dia ada seorang anak perempuan yang cantik!” sahut Tengku Reza, ceria.
Seolah-olah sudah melupakan persoalan asal usul dirinya yang meragukan. “Jib,
nampaknya doa kita termakbullah. Tu... tengok tu, ada awek!” Dia menudingkan
jari telunjuknya ke satu arah.
Tengku
Najib menghalakan pandangannya mengikut arah tudingan jari Tengku Reza. Kalau
bapa saudaranya jelas amat teruja melihat seorang gadis cantik bertubuh tinggi
lampai sedang duduk termenung di tepi kolam ikan kap milik Tengku Sarah, dia
pula sebaliknya.
“Kalau uncle nak tau, tulah Tasya... ex-girl saya. Marilah saya kenalkan uncle dengan dia.” Tengku Najib segera
bersuara. Tubuhnya terasa lesu, bukan lesu dek aktiviti berjoging, sebaliknya lesu
kerana gagal berlari menjauhkan dirinya daripada Natasya.
Spontan
mata Tengku Reza menikam ke wajah anak saudaranya dengan renungan yang bersinar
dengan api cemburu. Rupa-rupanya Najib ni mengikut perangai Amir yang mempunyai
teman wanita keliling pinggang, desis hatinya.
“Kenapa uncle pandang saya cenggitu?”
“Eh, tak
ada apa-apalah. Kenapa awek tu cari kau sampai ke sini?”
Tengku
Najib jungkit bahu. “Entahlah, mana saya tau. Agaknya dia tak dapat terima
kenyataan yang saya dah putuskan hubungan dengan dia, kut?”
Tengku
Reza menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak baik mainkan perasaan anak dara
orang, Jib. Berdosa! Apa faedahnya meniru sikap don juan si Amir tu?”
“Uncle jangan sesekali samakan saya
dengan Uncle Amir, okey.” Getus
Tengku Najib sambil memicingkan matanya ke arah Tengku Reza. “By the way, apa muslihat unclebagi ceramah agama pada saya ni?”
“Err... ni
bukan ceramah agama, tapi sekadar ceramah... emm... apa-apa ajelah. Jomlah,
kesian pulak aku tengok muka kuyup ex-girl
kau tu.”
“Kalau uncle sukakan dia, bolehlah cuba nasib.
Ada aku kisah?” Tengku Najib sempat mencabarnya sebelum mereka berdua melangkah
keluar dari perut kereta.
Tengku
Reza hanya mendiamkan dirinya. Tidak memberi sebarang reaksi. Dia berjalan
mengekori Tengku Najib menghala ke arah Natasya.
Untuk
seketika, Tengku Najib merasakan yang tubuhnya akan dirangkul oleh bekas
kekasihnya itu. Kemudian dia menarik nafas lega setelah Natasya berhenti
selangkah di depannya. Natasya memakukan renungan ke arahnya.
Dia yang
sudah lama mengenali Natasya, cukup mengerti akan erti renungan yang
dilemparkan ke arahnya oleh gadis itu. Renungan yang penuh dengan api
kerinduan. Untuk beberapa saat, perasaan bersalah kerana pernah mengecewakan
Natasya, berlegar-legar di ruang fikirannya. Cukup untuk beberapa saat sahaja!
“Hai,
Tasya!” tegurnya.
“Hai.”
“Dah lama
sampai?”
“Adalah
dalam 20 minit. Mama I ada kat dalam, tengah berbual dengan mama you.” Lirikan
Natasya hinggap pula ke arah lelaki yang berdiri di sebelah Tengku Najib.
“Tasya,
kenalkan... ni bapa saudara I yang bongsu,
UncleReza.”
“Apa
khabar, uncle?” Natasya melemparkan
senyumannya ke arah Tengku Reza.
“Baik.”
Tengku Reza menjawab. “Emm... okeylah Jib, kau orang berbuallah, ya. Aku masuk
dulu.” Dia meminta diri untuk memberi ruang kepada Tengku Najib dan Natasya
berdua-duaan.
“Kenapa
you datang kemari, Tasya?” Tengku Najib menghentak pertanyaan setelah bapa
saudaranya menjauh.
“Kan I dah
kata tadi, I ikut mama. Walaupun hubungan kita dah putus, tapi takkanlah sampai
I diharamkan memijak rumah you ni. Ke... you dah benci sangat dengan I?”
Natasya yang berkecil hati meninggikan nada suaranya.
“I tak
pernah bencikan you.”
“Habis tu
kalau tak benci, kenapa you sanggup putuskan hubungan kita, Jib? Sepanjang
percintaan kita dulu, kita cukup bahagia. I masih tak dapat terima kenapa you
sanggup putuskan hubungan kita macam tu aje. Seolah-olah I ni tak bermakna
langsung dalam hidup you.” Bagaikan peluru berpandu, Natasya meluahkan isi
hatinya yang dipendam selama ini.
“Tasya,
jangan rumitkan lagi keadaan kita, boleh tak? I dah buat keputusan...”
“Keputusan
untuk bersama dengan budak perempuan yang dah buat uncle you sendiri merengkuk di penjara?”
Tengku
Najib menggawang-gawangkan tangan kanannya.
“Tasya,
tolonglah... jangan sesekali berani menghina Anne. I mengaku, I putuskan
hubungan dengan you sebab hati I ni dah dihuni oleh seorang gadis lain. Hati
dan perasaan ni tak boleh dipaksa-paksa, Tasya. Dulu you kata boleh terima
perpisahan kita ni. Sekarang kenapa nak diungkit-ungkit lagi?”
“I dah
cuba lupakan you, Jib, tapi tak boleh. Semakin I cuba lupakan you, semakin I
rindu.” Suara Natasya bergetar. Wajahnya yang cerah sudah berubah
kemerah-merahan.
Dia tidak
perlu menunggu lama untuk melihat butir-butir jernih melimpah keluar dari
takungan mata gadis itu.
“I miss you, Jib. I tak boleh lupakan
you.” Luah Natasya sambil mencapai lengan kanannya.
Tengku
Najib tidak sampai hati untuk menepisnya.
“NADYA!”
“Ya, kak
engku.”
“Sinilah
kejap.”
Perempuan
yang bernama Nadya itu bingkas bangun. Dia menghampiri Tengku Sarah yang sedang
terintai-intai keluar tingkap.
“Tengoklah
Jib dan Tasya tu. Romantik, kan?” tingkah Tengku Sarah.
“Sayangnya
hubungan mereka dah putus, kak engku. Kempunanlah saya nak berbesan dengan
keluarga ni.” Nadya mengeluh.
“You ni,
Nadya, positiflah sikit. Sebenarnya I sukakan Tasya tu dan berharap sangat agar
hubungan Jib dengan Tasya akan bercantum semula.”
“Tapi Jib
yang putuskan hubungannya dengan Tasya, kak engku.”
“You tak
perlu risau, Nadya. Jib tu anak I. Taulah I macam mana nak pujuk dia supaya
berbalik semula dengan Tasya. Sambil-sambil tu Tasya pun harus memainkan
peranannya untuk menambat semula hati Jib. Kalau kita usaha lebih sikit, I
pasti hajat kita akan tercapai.” Tengku Sarah bersuara, amat yakin sekali
nadanya.