48
TENGKU
REZA pulang ke rumah agak awal malam itu, lebih kurang dalam pukul 11.30.
Sewaktu dia melangkah masuk, abang iparnya, Tengku Mohit, berada di ruang tamu
bersama-sama dengan Tengku Sarah. Kelibat anak saudaranya pula tidak kelihatan.
Mungkin Jib berada di bilik, hatinya berbisik.
Dia sedar
abang iparnya langsung tidak menoleh ke arahnya sewaktu dia melangkah masuk
tadi. Lelaki itu seolah-olah terlalu membencinya sehingga memandang wajahnya
juga dia enggan. Mungkin kalau muka aku ni sehandsome muka pelakon Aaron Aziz atau Remy Ishak barulah Tengku
Mohit terteleng-teleng nak menengok aku, kut? Ah, lantaklah! Tak mati pun kalau
dia tak sudi nak tengok muka aku ni.
“Reza, kau
dah makan ke? Kalau lapar, kat dapur tu ada nasi dan lauk. Kau carilah sendiri
ye.” Tengku Sarah menyapanya ramah.
“Dah pukul
berapa ni, takkanlah dia tak makan lagi!” Kedengaran Tengku Mohit menyampuk
kata-kata isterinya sebelum sempat Tengku Reza menjawab.
“Tak
apalah, saya memang dah makan pun. Kawan belanja.” Sahut Tengku Reza sambil
segera berlalu meninggalkan pasangan itu.
Dia
melangkah ke bilik anak saudaranya. Tanpa mengetuk daun pintu, dia terus
melangkah masuk. Dilihatnya Tengku Najib sedang tekun menaip sesuatu di laptopnya.
“Kau buat
apa tu?” soalnya sebaik sahaja dia melabuhkan punggung ke birai katil.
Terjengah-jengah kepalanya hendak mengintai apa yang sedang ditaip oleh Tengku
Najib.
“Nak
siapkan assignment bodoh nilah. Isnin
ni nak kena hantar kat lecturer jam
8.00 on the dot! Tak boleh lambat barang seminit pun,” Tengku Najib menjawab
tanpa memalingkan wajahnya dari dada laptop.
Perkataan
‘assignment bodoh’ yang terkeluar dari mulut Tengku Najib seketika tadi
membuatkan dia ketawa.
“Kau ni
Jib, siapkan kerja macam tak ikhlas aje? Banyak lagi ke assignmentkau tu?”
“Dua para
lagi siaplah. Kenapa Uncle Reza, nak keluar balik ke? Yuk, saya ikut. Boringlah
kat rumah aje.”
“Papa dan
mama kau bagi ke kau keluar tengah-tengah malam ni, nak mengekor aku pulak tu?
Papa kau tu bukannya sukakan aku pun. Nanti tak pasal-pasal aku dituduh cuba
mempengaruhi kau pulak.”
“Uncle, saya ni bukannya budak kecil lagi
yang tak tau bezakan mana yang baik dengan yang buruk.” Tengku Najib menjawab,
tegas.
“Kau cakap
senanglah. Papa dan mama kau macam mana? Ah, esok ajelah kita keluar. Sementara
tu malam ni kau layan dululah rasa boring kau tu.”
“Hmmmph!”
Tengku Najib mendengus.
Tengku
Reza berdekah.
“Boring-boring
kau pun, kau ada awek. Call ajelah
dia.”
“Malaslah,
entah-entah Anne dah tidur.” Sahut Tengku Najib. Sebenarnya dia seriau hendak
menghubungi gadis itu kerana beberapa panggilan Annessa telahpun diabaikannya.
Mesej daripada Annessa juga terbiar, tidak dibalasnya.
Bukannya
dia bencikan gadis itu, bukan! Malah, rindunya pada Annessa terasa
membuak-buak. Sejak dia rapat dengan Annessa, tidak pernah sehari pun mereka
tidak berhubung. Panggilan telefon dan SMS bagaikan jambatan yang menghubungkan
mereka kalau ditakdirkan faktor jarak menjadi penghalang kepada sebuah
pertemuan.
Cuma,
beberapa kejadian yang menimpa dirinya sejak akhir-akhir ini memaksa dia
menjarakkan sedikit hubungannya dengan Annessa. Bermula daripada pergaduhannya
dengan Hisyam di padang ragbi, kebencian mamanya terhadap Annessa yang bagaikan
tidak berpenghujung serta beberapa perkara lain yang meletakkan dirinya sebagai
seorang pemikir – memikirkan sejauh manakah dia dapat mempertahankan
hubungannya dengan gadis itu.
Tepukan
yang hinggap di bahunya membuatkan dia tersedar daripada lamunan. Wajah Annessa
yang tadi tersenyum manis ke arahnya, menghilang entah ke mana.
“Jangan
fikir panjang-panjang, penatkan otak dan buang masa aje. Pagi-pagi esok kau dan
aku keluar joging, amacam?”
“Alright!” Tengku Najib terus
bersetuju.
“Hmm...
macam tulah anak jantan. Anak jantan kena gagah, jangan cepat leweh semata-mata
sebab perempuan.” Sekali lagi tepukan Tengku Reza hinggap ke bahu anak
saudaranya, kali ini agak kuat daripada tadi.
DIA
meninggalkan bilik anak saudaranya lalu menuju ke bilik sebelah. Dia menekan
punat tv, sengaja membiarkan tv terpasang walaupun tumpuannya tidak kepada apa
yang sedang dipaparkan di dada tv ketika itu.
Dia
melabuhkan punggungnya ke birai katil.
“Uncle, saya ada satu soalan nak tanya uncle ni...”
“Tanya
ajelah.”
“Kenapa
papa dan mama macam tak rapat aje dengan uncle?
Layanan mereka pada uncle tak macam
layanan mereka pada Uncle Amir?”
“Kan aku
dah kata, aku ni tak sehandsomeAmir
sebab tulah mereka tak pandang pun aku ni!” Dia menjawab. Kasar suaranya.
“Err... uncle marah ke?”
Dia
melambakkan tawanya. “Nak buat apa aku marahkan kau, Jib? Dah orang tak suka
kat aku, nak buat macam manakan? Takkan nak paksa orang sukakan kita pulak.
Biarlah, aku tak kisah. Lagipun aku bukannya nak tinggal di sini
selama-lamanya, dah bosan nanti aku tinggalkanlah tempat ni.”
Kata-katanya
itu membuatkan Tengku Najib terdiam.
“Okeylah, assignment kau dah siapkan? Pergilah
tidur. Pagi-pagi esok, aku kejutkan kau. Kita keluar joging.” Dia segera
berlalu meninggalkan Tengku Najib.
Dan kini,
setelah dia bersendirian di biliknya, peristiwa silam itu tertayang kembali di
ruang ingatannya. Ketika itu dia berusia lebih kurang 10 tahun, sedang berada
di ruang tamu mengadap tv yang sengaja dibiarkan terpasang. Pun begitu dia
dapat mendengar dengan jelas pertengkaran yang tercetus di antara ayahanda dan bondanya.
“Kenapa abang
ni suka ungkit kisah yang dah berlalu tu, hah? Kenapa? Dulu saya suruh abang
ceraikan saya, tapi abang yang tak nak. Sekarang ni kenapa asyik ungkit aje
peristiwa silam tu? Abang sengaja nak seksa saya kan?” Dia mendengar suara bondanya.
“Memang
aku takkan ceraikan kau sampai bila-bila pun. Dalam keluarga aku, tak pernah
ada yang bercerai tau.” Dia terdengar ayahandanya menjawab. Kasar.
“Kalau abang
tak nak ceraikan saya, kenapa asyik ungkit-ungkit hal yang dah berlalu tu?”
“Sebab aku
nak hidup kau diselubungi rasa bersalah. Siapa suruh kau curang dengan aku,
hah, di rumah aku sendiri pulak tu? Sepatutnya kau sebagai isteri menjaga
kehormatan diri kau semasa aku tiada di rumah, tapi kau sanggup bawa jantan
lain masuk ke bilik tidur kita. Kau memang sundal! Sundal!!!”
Dia
terdengar bunyi kerusi yang seolah-olah dilemparkan ke dinding. Kemudian dia
terdengar suara bondanya meraung. Dia menutup kedua-dua belah telinganya dengan
tangan, enggan mendengar raungan bondanya dan jerkahan ayahandanya.
“Tu di
luar tu buktinya. Hasil perbuatan sundal kau dengan jantan lain!” Suara ayahandanya
menggegar seluruh isi rumah. Seketika kemudian dia melihat ayahandanya lalu di
depannya, melemparkan renungan penuh kebencian ke arahnya sebelum menonong meninggalkan
rumah.
Dia mengangkat
kedua-dua belah tangannya, lalu merenungnya lama. Benarkah seperti apa yang
ayahanda pernah katakan bahawa aku ini terhasil disebabkan hubungan sulit bonda
dengan lelaki lain? Kalau begitu, darah yang mengalir di setiap urat sarafku
ini berbeza daripada darah yang mengalir dalam diri Tengku Sarah juga Tengku
Amirul. Patutlah mereka juga tidak pernah menyukai aku. Patutlah mereka juga
membenciku.
Semuanya
salah bonda. Ya, bonda yang bersalah.
Seketika
kemudian dia melihat bondanya melangkah ke arahnya.
“Reza...”
Panggil bondanya, lembut.
Dia
menggetap bibir, geram. Kaulah yang menyebabkan ayahanda membenci aku. Aku
sebagai anak lelaki sepatutnya ada seorang ayah untuk dijadikan idola hidupku,
tapi sebab kaulah ayahanda meminggirkan aku.
“Reza, nak
ke mana tu? Reza!”
Dia tidak
menghiraukan panggilan bondanya, sebaliknya berlari keluar menuju ke arah
kegelapan malam.
Kini, baik
ayahanda mahupun bonda... kedua-duanya sudah pun tiada. Yang ditinggalkan
mereka hanyalah sisa-sisa memori yang menyakitkan itu. Dia menarik nafas
dalam-dalam. Kalau benar tuduhan ayahanda bahawa bonda pernah berlaku curang
sehingga tercambahnya benih haram ini di rahimnya, agaknya siapakah gerangannya
lelaki itu – lelaki yang yang sanggup
mencambah benih ke tanah yang bukan menjadi hak miliknya?
Dan, apakah
aku berpeluang bertemu dengannya, kalau benar dia adalah ayah kandungku?
Argh!!!