Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 30

30

JAM besar yang melekap di dinding ruang tamu telah menuding ke angka 8.30 malam. Pun begitu, Sofea masih juga belum sampai ke rumah. Annessa berada di ruang tamu, menonton rancangan Buletin Utama yang sedang bersiaran di TV3 sambil menemani Aleya yang sedang menyiapkan kerja rumahnya. Sementara, Adeela pula sudah sibuk menguli adunan di dapur untuk menyiapkan kek cawannya.

“Tadi Kak Anne kata nak siapkan assignment?” Aleya bertanya. Dia yang sudah menyiapkan kerja rumahnya, kini sibuk pula menyusun jadual buku-buku yang akan dibawa ke sekolah esok.

“Kejap lagilah.” Annessa beralasan. Entah mengapa setelah perutnya kenyang dengan nuget dan mi segera, tiba-tiba sahaja menjalar rasa malas ke tubuhnya. Lalu dia bersenang-senang dahulu di depan peti televisyen.

“Ke manalah agaknya mama ni! Dah lama Yaya tunggu tapi tak sampai-sampai lagi.” Aleya merungut.

“Agaknya mama singgah makan dulu sebelum balik ke rumah. Ataupun mama ada kerja urgent, tulah sebabnya tak dapat balik awal. Kenapa Yaya tunggu mama?”

“Yaya nak pakai duit sikit esok. Nak beli kamus dan buku rujukan.”

“Ala, kejap lagi mama sampailah tu.” Pujuk Annessa.

“Kak Anne...” Panggil Aleya sambil mencuit paha kanan Annessa. “Kak Anne rasa menjadi tak cup cake Kak Deela tu?” sambungnya sebaik sahaja Annessa menghunjam pandang ke arahnya.

“Dia kan pakar buat kek sekarang ni. Harap-harap menjadilah, nanti perut kita jugak yang kenyang dapat makan cup cake free.” Sahut Annessa sambil tergelak kecil.

“Ye, betul... betul... betul!” Aleya meniru gaya percakapan Upin dan Ipin dari siri kartun tempatan yang popular sekarang ini.

“Tuala yang Kak Anne cari tadi macam mana? Dah jumpa ke?” soal Aleya beberapa ketika kemudian.

Annessa yang sebenarnya sudah lupa akan tuala Good Morning rona putih milik Tengku Najib yang tiba-tiba sahaja ghaib entah ke mana, menjadi tidak menentu hatinya. Kenapalah aku ni lalai sangat sampai tuala tu boleh hilang? Entah ke mana agaknya aku campakkan tuala tu tadi? Mati-mati aku sangka tuala tu aku campakkan ke dalam bakul pakaian kotor yang terletak di luar bilik air, gerutu hatinya.

Ah, kalau tak jumpa juga, esok aku singgahlah ke kedai, gantikan tuala yang sudah masam dengan peluh Jib tu dengan tuala yang baru, dia merencana dalam hati.

“Belum jumpa lagilah, Yaya. Entah kat mana agaknya Kak Anne letak tuala tu.” Tingkah Annessa.

“Dah tanya Kak Deela? Entah-entah ada pada Kak Deela agaknya.”

“Kenapa Yaya cakap macam tu? Apa dia nak buat dengan tuala buruk tu?” Annessa terkekeh-kekeh ketawa.

“Manalah tau kot Kak Deela berkenan dengan tuala tu!”

“Mengarut ajelah Yaya ni! Entah-entah Yaya yang ambil!”

“Isy, Yaya nak buat apa dengan tuala murah tu?” Aleya membidas.

Walaupun murah tapi kalau ianya dimiliki oleh seseorang yang istimewa di sudut hati, tuala yang murah menjadi mahal harganya adikku, bisik hati Annessa sambil menguntum senyum ke arah Aleya.

Ingatan terhadap si dia membuatkan Annessa spontan merenung telefon rona hitam miliknya yang tergeletak di atas meja sisi lalu mengharapkan agar Winter Sonata berdendang dan nama Tengku Najib akan terpapar di skrin telefonnya.

“Telefonlah aku, Jib. Telefonlah,” bisik hatinya. Seorang pakar motivasi yang terkenal pernah mengungkap begini: Kalau kita teringatkan seseorang, kemungkinan besar orang yang kita ingati itu juga sedang teringatkan kita.

Macam akulah sekarang ni, aku sedang teringatkan Najib dan aku pasti dia juga sedang teringatkan aku. Kalau betul kau sedang teringatkan aku, Jib, maka telefonlah aku. Cepatlah Jib, telefon aku... cepatlah!

Dia berharap agar apa yang diungkapkan pakar motivasi itu terbukti kebenarannya dan Tengku Najib pasti akan menelefonnya sekali lagi. Namun, sebaliknya pula berlaku. Irama Secret Gardendari telefon bimbit Adeela pula yang hinggap ke gegendang telinganya. Dia cukup pasti siapakah yang menelefon adik kembarnya itu. Tentulah yang menelefon itu ustaz bernama Idris yang konon-kononnya mengaji agama nun jauh di Mesir sana, tetapi tega mengaku rindu-rinduan kepada Adeela. Ustaz tahi kucing!

“Anne, abang Id rindukan Anne. Emak pun. Semua kat kampung ni rindukan Anne kalau Anne nak tau. Tompok pun agaknya sedang rindukan Anne sebab abang tengok dia asyik termenung aje setiap petang macam sedang rindukan seseorang.”

Begitulah pengakuan yang didengarnya dari mulut Idris lewat panggilan telefonnya kepada Adeela. Kebetulan dia pula yang menjawab panggilan tersebut ketika Adeela sedang berada di bilik mandi. Hemmph! Sudahlah kau silap orang, aku pula yang terpaksa mendengar ungkapan rindu-rinduan kau tu.

Naik menanah telinga aku ni mendengarnya, kalau kau nak tau! Dia mencemuh tatkala rasa cemburu dan iri hati membadai hatinya. Dan, hatinya semakin diamuk cemburu apabila mersik ketawa Adeela di dapur hinggap ke pendengarannya.

“Kak Anne, siapa agaknya yang telefon Kak Deela tu ye? Asyik ha ha ha... he he he, bukan main seronok lagi bunyinya?”

Annessa diam, enggan menjawab.

KALAU Annessa sedang mengingatinya, Tengku Najib juga begitu. Hatinya mendesak agar dia menghubungi gadis itu, tidak dapat berjumpa sekadar dapat dengar suara pun jadilah. Pun begitu dia tidak berdaya melakukannya.

Panggilan daripada mamanya seketika tadi yang menjadi penghalang. Belum pun apa-apa lagi sudah muncul konflik yang mencacatkan keharmonian hubungannya dengan Annessa. Dan, konflik itu pula bukanlah kecil, sebaliknya terlalu besar.

Dia mengeluh panjang, berat. Sarat!

Kadangkala dia rasa seolah-olah Annessa hanya memperalatkan dirinya supaya dapat menghampiri bapa saudaranya seterusnya dibawa ke banglo Tengku Amirul yang terletak di Kuala Selangor dalam usaha untuk menjejaki adik kembarnya yang hilang dahulu.

“You perempuan pertama yang I bawa kemari untuk diperkenalkan dengan Uncle Amir. Walaupun I kenal Tasya lebih lama daripada I kenal dengan you, tapi dia pun tak pernah I bawa kemari apatah lagi untuk diperkenalkan dengan uncle I.” Tengku Najib masih ingat lagi bagaimana terujanya dia meluahkan kata-kata itu ketika kereta yang dipandunya melintasi tembok tinggi yang memisahkan ladang persendirian milik Tengku Amirul dengan dunia luar.

Kalaulah dia tidak pernah berkenalan dengan Annessa, pasti perbuatan bapa saudaranya yang telah menculik Adeela tidak akan terbongkar, pasti Tengku Amirul tidak merengkok di penjara. Argh! Kenapa aku harus berperasaan begini? Bukankah perbuatan Uncle Amir tu salah? Dan, setiap jenayah yang dilakukan pasti akan menerima pembalasannya?

“Tak habis-habis termenung. Lepas tu mengeluh sana sini,” tegur Johari yang melihat telatahnya.

Ah, kau ni pun satu, Jo! Selagi aku tak kacau kau, kan elok kalau kau biarkan aku sendirian melayan perasaanku? Hatinya memprotes.

“Jib, kalau kau rasa banyak sangat halangan dalam hubungan kau dengan Anne, baik kau undur diri sekarang.” Terluah kata-kata itu dari mulut Johari.

Sepanjang persahabatan mereka, Tengku Najib pada pandangan peribadinya adalah seorang jejaka yang periang, happy go lucky. Malangnya, sejak menjalinkan hubungan yang penuh berliku dengan Annessa, Johari perhatikan yang Tengku Najib tidak lagi seriang dahulu.

Jika putus cinta dengan Annessa sekalipun, Johari pasti tidak sukar untuk temannya mencari pengganti kerana Tengku Najib yang dikenalinya mempunyai ramai peminat dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

“Jo, ni aku nak bagitau kau sikit...”

“Ha, apa dia?”

Mind your own business, boleh?” Dia meninggikan suaranya.

Sorry, aku sekadar memberi pendapat aje. Takpelah kalau kau tak nak terima,” getus Johari sambil memfokuskan pandangannya ke peti televisyen.


Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.