50
SHAH Alam ditinggalkan ketika hujan renyai-renyai turun
membasahi bumi. Mereka meninggalkan rumah dengan dua buah kereta. Annessa dan
Adeela menumpang kereta Proton Saga putih yang dipandu Idris, sementara
mengekori tidak jauh di belakang mereka, Sofea dan Aleya, dengan sebuah kereta
lain.
“Anne, kau
naik dengan aku. Yaya boleh temankan mama. Takkan kau nak biarkan aku
berdua-duaan dengan dia kat dalam kereta tu?” Adeela mendesak ketika menariknya
agar keluar dari kereta mama mereka.
Dia
membeliakkan matanya. “Eh, apa hal pulak ni? Takkan kau takut dengan buah hati
sendiri, kut?”
“Buah
hati?” Adeela turut membeliakkan mata ke arahnya.
“Eh, bukan
buah hati kau ke? Err... abang angkat?”
“Dahlah,
jangan buang masa lagi. Abang Id dah tunggu tu!” tingkah Adeela sambil
mengheretnya masuk ke kereta Proton Saga putih yang sudah sedia menunggu.
“Err...
jangan tuduh saya kacau daun pulak nanti tau.” Getusnya ketika melihat Idris
mengintainya melalui cermin pandang belakang. Kata-katanya itu membuatkan Idris
ketawa kecil.
Begitulah
ceritanya bagaimana dia akhirnya menumpang kereta Proton Saga Idris.
Dia
melontarkan pandangannya ke luar. Hujan renyai-renyai yang turun pada pagi
Sabtu itu nyata berbeza sekali daripada hujan yang turun pada pagi Khamis lalu.
Namun, ia tetap mengingatkannya kepada insiden dia terlanggar belakang sebuah
kereta hitam yang secara tiba-tiba menghimpit ke tengah jalan tanpa memberi
sebarang isyarat.
Wajah
pemuda berkulit hitam manis yang mungkin berusia dalam lingkungan 30an itu tertayang
seketika di ruang ingatannya, namun tidak lama. Ia kemudiannya digantikan pula
oleh wajah Tengku Najib. Dia tertanya-tanya dalam hati kenapakah temannya itu
langsung tidak membalas panggilan mahupun SMS yang dikirimkannya. Apa masalah kau
Jib? Tolonglah, jangan buat aku risau.
“Menung
aje, Anne? Teringkatkan si dia ke?” Suara Adeela kedengaran bertanya.
“Owh, dah
ada si dia? Tentu si dia tu istimewa kan?” Suara Idris pula kedengaran
menyampuk.
Tawa
Adeela dan Idris berderai.
Annessa
tidak menjawab. Dia sekadar mengetap bibirnya, geram kerana dirinya sedang
dijadikan mangsa usikan adiknya dan juga Idris.
Hujan
renyai-renyai tidak mengekori mereka sebaik sahaja roda kereta meninggalkan
bumi Shah Alam. Perjalanan diteruskan ke destinasinya.
BUBUR
pulut hitam, buah durian, secangkir teh-O serta kemesraan Mak Miah dan Pak
Ilmin menyambut ketibaan mereka sekeluarga ke kampung yang dikelilingi oleh
kebun getah serta sawah padi yang sedang galak menguning itu.
Mereka
bertujuh duduk mengelilingi meja yang diletakkan di serambi sambil menikmati
juadah yang terhidang. Angin yang bertiup agak kencang menerobos masuk melalui
jendela dan pintu yang terbuka luas.
“Terima
kasihlah kerana sudi bertandang ke rumah kami ni. Kami sangat berbesar hati.
Kalau boleh, selalu-selalulah datang melawat kami di sini,” kata Pak Ilmin,
ayah Idris.
Sofea
tersenyum senang. “Terima kasihlah, Bang Min. Insya-ALLAH kalau ada masa
terluang sampailah kami kemari nanti,” jawabnya sambil menoleh ke arah Adeela
yang asyik berbual dengan Mak Miah.
Memang
pada permulaannya, niat mereka sekeluarga datang ke kampung itu adalah untuk
menunaikan hasrat Adeela yang merindui keluarga angkatnya, tetapi setelah
melihat kemesraan yang dihulurkan, kemungkinan besar mereka akan lebih kerap
mengunjungi kampung itu di masa-masa akan datang.
“Baguslah
kalau macam tu. Rumah ni sentiasa terbuka menerima kedatangan Sofea sekeluarga.
Isteri saya pun sayangkan Deela macam anaknya sendiri.” Tingkah Pak Ilmin lagi.
“Betul
kata suami akak tu, Sofea. Rumah ni sentiasa terbuka untuk Sofea dan anak-anak.
Kami pun tak ada anak perempuan. Akak seronok sangat dapat bermesra dengan
anak-anak Sofea ni, semuanya cantik-cantik!” Mak Miah menyampuk sambil
membelai-belai rambut Aleya yang duduk di sebelah kanannya.
Aleya
hanya tersengih-sengih ketika rambutnya dibelai-belai begitu.
“Eh,
tambahlah bubur tu, tambah air... jangan malu-malu!” Pak Ilmin bersuara, mesra.
JARUM jam
yang melekap di dinding menuding ke angka 11.30 pagi. Di dapur, riuh suara Mak
Miah dan juga Sofea yang sedang sibuk menyediakan hidangan tengah hari. Mereka
berdua sangat mesra, bagaikan adik dengan kakak.
“Kau buat
apa dalam bilik ni, Deela? Tak nak pergi ke? Id dah tunggu kita kat luar tu?”
Annessa yang terjengol di muka pintu bilik itu mengerutkan dahinya tatkala melihat
Adeela yang enak-enak sahaja terbaring di atas katil. Bilik itu pula semerbak
dengan bau minyak angin cap kapak.
“Kepala
aku ni, tiba-tiba aje pening. Macam nilah, apa kata kalau kau aje yang ikut Abang
Id? Aku tak laratlah nak pergi.”
“Kalau kau
tak nak ikut, aku pun malaslah nak pergi. Lagipun aku seganlah dengan Id tu
kalau kau tak ada, Deela.”
“Laa...
janganlah macam ni, Anne. Kan kau yang beriya-iya nak tengok tempat Abang Id
pertama kali jumpa aku dulu? Lagipun Yaya kan ada.”
Annessa
menarik nafas panjang. Dia termangu seketika seolah-olah sedang berfikir.
Akhirnya, dia mengangguk perlahan.
“Okeylah,
terlanjur dah sampai ke kampung ni aku takkan lepaskan peluang tu. Kau jaga
diri ye. Dah makan ubat?” Akhirnya dia membuat keputusan.
Adeela
tersenyum. “Kau jangan risaukan akulah. Pergilah cepat, Anne, penat Abang Id
tunggu kau di luar tu.”
“Bye.”
“Bye, Anne. Jangan lupa tutup pintu
sebelum keluar,” tingkah Adeela sambil memicit-micit kepalanya.
“DEELA
mana?”
Itulah
soalan yang terlontar dari mulut Idris ketika melihat Annessa melangkah
menghampirinya tanpa Adeela di sisi.
“Kita
pergi bertiga aje... saya, awak dan Yaya. Deela tak nak pergi. Dia pening
kepala.” Annessa terus membuka pintu kereta Proton Saga putih itu lalu duduk di
sebelah pemandu.
Ketika
melihat Idris masih termangu di tempatnya, dia menjengahkan kepalanya.
“Awak,
cepatlah! Deela tak sihat. Takkan kita nak paksa jugak dia ikut kita ke tepi
sungai tu?”
Setelah
mendengar desakan Annessa itu barulah Idris melangkah masuk ke kereta yang
sudah dihidupkan enjin itu. Tanpa banyak bicara, dia menukar ke gear satu supaya kereta boleh bergerak
keluar perlahan-lahan dari halaman rumah.
“Tadi
Deela sihat aje?” Idris melontarkan kegusaran yang melekap di hatinya. Dia cuba
menyembunyikan rasa kecewanya kerana gadis itu tidak turut serta ke tepi
sungai, tempat pertama kali mereka bertentang mata dahulu.
Annessa
tidak menjawab. Matanya dilemparkan keluar, menikmati pemandangan sekitar
kampung. Sebenarnya dia juga pelik memikirkan hal itu. Semasa mula-mula sampai di
rumah Idris tadi, Adeela kelihatan sihat dan gembira. Kenapa tiba-tiba sahaja
jatuh sakit ketika mereka sudah bersiap-siap hendak ke tepi sungai yang
terletak di hujung kampung?
“Betul ke
dia tak sihat?” Sekali lagi Idris menghentakkan soalan.
Annessa
menjeling ke arahnya. “Eh, awak ni... takkan dia nak berbohong dengan kita
pulak? Apa yang Deela dapat kalau dia berbohong?”
Idris
tidak menjawab. Dia fokus dengan pemanduannya.
“Entah-entah
awak tak sudi keluar dengan saya dan Yaya tanpa Deela kut?” Annessa menerbak.
“Eh, tak
adalah! Awak janganlah fikir yang bukan-bukan. Kita dah sampai ni. Saya parking kereta kat sini, lepas tu kita
kena menyusuri denai ni dalam 300 meter untuk sampai ke tepi sungai.” Idris
memberikan taklimat tidak rasmi kepada Annessa dan Aleya sebelum mereka bertiga
melangkah keluar dari perut kereta.
“Ada pacat
tak, Abang Id?” Aleya menyoal.
Idris
ketawa kecil. “Kenapa? Yaya takut pacat ke?”
“Eeeiii...
tak nak, geli!” Aleya menjawab, manja. Annessa terkerisin melihatkan kemanjaan
yang ditonjolkan Aleya terhadap Idris. Mungkin Aleya menganggap Idris seperti
seorang abang yang dia tidak pernah miliki. Atau mungkin juga peluang
bersama-sama Idris buat Aleya merasa kasih-sayang seorang ‘ayah’ yang kini
hanya tinggal cebis-cebisnya sahaja.
“Anne
takut pacat jugak?” Tiba-tiba Idris memakukan mata ke arahnya.
Annessa
mengherotkan bibirnya. Dia tidak pernah melihat pacat kecuali gambarnya sahaja.
Namun, dek kerana egonya dia segera menggelengkan kepala.
“Mana ada
saya takut pacat? Takkan dengan haiwan kecil macam tu pun kita nak takut?” Dia
menjawab sambil menonong meninggalkan Idris dan Aleya. Idris hanya tertawa
mendengar jawapannya itu.
“Eh, Kak
Anne, jaga-jaga! Tu... pacat melompat depan Kak Anne tu!” Tiba-tiba Annessa
dikejutkan oleh suara Aleya yang menjerit nyaring ke arahnya.
“Opp...
pocot... pocot!!!” Annessa yang terkejut terus melatah, tidak tentu arah. Dia
terlompat-lompat dan hampir-hampir sahaja terpijak seekor katak yang melintas
di depan laluannya.
Idris dan
Aleya terbahak-bahak mentertawakannya. Setelah Annessa berjaya menenangkan
dirinya, dia berpaling ke belakang lalu merenung mereka berdua.
“Dah puas
ketawa?” Dia menghentak suara membuatkan gelak Idris dan Aleya terus terhenti. “Yaya
ni nak kena ke? Buat orang terkejut aje!” Marahnya. Merah mukanya menahan malu
kerana telah melatah dan terlompat-lompat pula di hadapan Idris seketika tadi.
Eeeiii malunya... tak pasal-pasal pulak aku buat scene kat depan dia ni, gerutu hatinya sambil menjeling ke arah
jejaka itu.
“Takkan
nampak katak pun terlompat-lompat? Kalau jumpa pacat, entah bagaimana agaknya ye?”
perli Idris ketika memintasnya untuk mendahului perjalanan mereka.
Annessa
mengetap bibirnya, geram.