Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 24

24

SEMENTARA Annessa mandi, Adeela mengambil keputusan untuk menguak beberapa naskhah majalah yang kebanyakannya dibawa pulang oleh Sofea dari tempat kerja. Hobi barunya di masa lapang ialah menggunting keratan-keratan resipi pelbagai kek, kuih-muih, pastry serta muffin lalu kemudian disimpan kemas-kemas di dalam sebuah folder tebal. Ada juga himpunan resipi yang ditampal di dalam sebuah buku khas. Kalau hendak dihitung, sudah beratus juga keratan resipi yang disimpannya.

Entah mengapa dia lebih suka menyimpan resipi-resipi membuat kek dan pastry berbanding resipi lauk-pauk atau masakan lain. Melihatkan minatnya yang mendalam dalam bidang itu, Sofea telah membelikannya satu set lengkap mesin pembancuh adunan, sebuah oven serta peralatan-peralatan lain yang diperlukan untuk membuat kek dan pastry. Tergambar jelas kegembiraan di wajah Adeela ketika menerima hadiah daripada mamanya itu.

“Kalau Deela betul-betul berminat, mama cadangkan Deela ambil kursus jangka pendek dalam bidang membuat kek dan pastry ni.” Sofea pernah melontarkan cadangan itu padanya beberapa bulan lalu.

“Tunggulah dulu, ma. Deela belum bersedia.” Dia menjawab. Dan apabila dia melihat wajah mamanya yang tadi kelihatan bersemangat ketika melontarkan cadangannya berubah menjadi keruh, dia segera bersuara. “Sekarang ni dah bulan Ogos. Empat bulan aje lagi nak ke penghujung tahun. Apa-apa pun tunggulah tahun depan, baru Deela nak fikir secara serius apa yang Deela nak buat untuk masa depan Deela.”

Dia tersenyum nipis apabila melihat mamanya menarik nafas lega.

“Lega hati mama bila Deela cakap macam tu.” Tutur Sofea. Kemudian dia membuka mulutnya seolah-olah ingin menyambung perbualan mereka, tetapi seketika kemudian mulutnya terkatup semula.

Semuanya terasa canggung, kaku dan beku.

Kadangkala situasi yang serba tidak kena itu hanya diselamatkan dengan kemunculan Annessa ataupun Aleya. Selepas itu, perbualan mereka akan segera beralih arah.

MAMA minta ampun. Mama minta maaf pada Deela. Kalaulah mama percayakan segala aduan Deela terhadap Tengku Amirul dulu, tentu semua ni tak terjadi. Mama benar-benar tak sangka yang Amir tu umpama syaitan bertopengkan manusia. Ampunkan mama, Deela.” Begitulah kata-kata penyesalan yang pernah terkeluar dari mulut Sofea. Wajah mamanya yang cengkung menandakan perempuan itu tidak pernah dapat melelapkan mata dengan lena sejak kehilangannya yang secara tiba-tiba, serta tangisan yang tidak henti-henti adalah tanda bahawa Sofea dihimpit rasa bersalah dan penyesalan yang teramat.

Apa gunanya menyesal di kemudian hari? Hatinya berbisik. Masa depan aku sudah hancur musnah dikerjakan oleh lelaki bernama Tengku Amirul. Tetapi sampai bila aku harus menuding jari mempersalahkan mama di atas semua kejadian yang menimpa diriku ini?

Dia belajar untuk berlapang dada. Lebih-lagi lagi setelah dinasihatkan oleh doktor pakar jiwa yang ditugaskan untuk merawatnya selepas kejadian malang itu. Akhirnya, dia mula memaafkan mamanya. Persoalannya, benarkah? Benarkah dia sudah memaafkan mamanya yang tidak pernah mempercayai setiap aduannya terhadap Tengku Amirul? Benarkah dia sudah memaafkan papanya yang tega meninggalkan keluarga untuk bersama dengan perempuan lain?

Ikhlaskah kemaafan yang terlontar dari mulutnya terhadap mereka berdua? Hmmmph... dia menarik nafas panjang-panjang. Ye, aku sudah memaafkan mama. Ye, aku juga sudah memaafkan papa.

“Janganlah sebut-sebut lagi tentang hal tu, ma. Deela pun dalam proses nak melupakannya. Kalau mama asyik minta maaf dan sebut hal yang dah terjadi kemudian asyik mempersalahkan diri sendiri, sampai bila pun Deela takkan mampu melupakan hal tu.”

Selepas itu barulah cerita malang yang pernah menimpa keluarga mereka disumbat ke dalam fail dan jarang-jarang sekali dibongkar semula. Apatah lagi setelah dalang di sebalik cerita itu kini merengkok di sebalik tirai besi dalam tempoh yang amat panjang. Tengku Amirul telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun dengan enam kali sebatan.

Padan muka! Mereputlah kau dalam penjara tu, bisik hati Adeela.

DENDANGAN irama Winter Sonata dari telefon bimbit rona hitam milik Annessa yang diletakkan di atas meja bacaan itu menarik perhatian Adeela. Dia bingkas bangun, meninggalkan naskhah-naskhah majalah yang bersepah-sepah di atas lantai lalu menuju ke meja bacaan. Dia mencapai telefon yang dibeli Annessa dengan harga tidak sampai RM100 di Jalan Petaling . Dia tahu kakak kembarnya telah lama memiliki telefon itu dan enggan menukarnya dengan telefon yang berjenama.

Ketika ditanya keengganan Annessa menukar telefon yang sudah ketinggalan zaman itu kepada telefon pintar yang menjadi rebutan dewasa ini, mudah sahaja dia menjawab. Katanya, “Nak buat apa tukar sedangkan telefon ni elok lagi. Selagi tak rosak, aku takkan tukar.”

“Setia kau ye pada telefon ni!” Dia pernah mengusik kakak kembarnya. Annessa hanya ketawa kecil mendengar usikannya itu.

Adeela mengintai skrin berbentuk empat segi sama di permukaan telefon. Nama Tengku Najib terpapar. Dia terkaku seketika, tidak pasti apakah dia mahu menjawab panggilan itu. Dia membiarkan panggilan itu berlalu begitu sahaja dan akhirnya irama Winter Sonata terhenti dengan sendirinya.

Dia menunggu beberapa ketika kalau-kalau pemuda itu akan cuba nasib sekali lagi. Beberapa minit berlalu tetapi telefon itu senyap sahaja. Ketika dia hendak menghayun langkah ke arah naskhah-naskhah majalah yang bertaburan di lantai, irama Winter Sonata tiba-tiba berdendang semula.

Kali ini tangannya pantas menyambar telefon kecil itu lalu memekapkannya ke telinga.

“Hello.”

Hello, sayang! Tadi you ke mana?”

“Errr... ni Deela lah.” Adeela segera memperkenalkan dirinya. Sahlah Tengku Najib menyangka Annessa yang menjawab panggilannya.

“Alamak! Jib dah salah oranglah. Maafkan Jib ye, Deela. Jib ingatkan Anne tadi.”

“Tak apa.”

“Anne mana?”

“Dia mandi.”

“Oh! Err... Deela sihat?”

“Alhamdulillah. Jib nak sampaikan apa-apa pesan pada Anne?”

“Err... tak apalah. Nanti Deela tolong bagitau Anne yang Jib telefon ye.”

“Okey.”

Bye, Deela.”

“Bye.”

Adeela termenung seketika. “Hello, sayang!” lontaran Tengku Najib lewat panggilan telefonnya kepada Annessa seketika tadi bagaikan terngiang-ngiang lagi di telinga.

Dia membayangkan wajah teman lelaki Annessa. Walaupun Annessa pernah menafikan yang Tengku Najib adalah teman lelaki istimewanya, tetapi sebagai pasangan kembar, Adeela seolah-olah dapat merasai apa yang kini dirasai oleh Annessa.

Jangan sesekali kau tipu aku, Anne. Aku tahu kau sukakan Tengku Najib lebih daripada sekadar seorang teman biasa.

Aku tak kisah dengan siapa kau nak bercinta atau berkawan, Anne. Itu hak kau! Tapi kenapa kau pilih dia, Anne? Kenapa?

Setiap kali aku memandangnya, aku akan terbayangkan wajah itu... wajah syaitan bertopengkan manusia! Kenapa kau tak sensitif terhadap penanggungan aku, Anne? Sedangkan kau kakak kembarku sendiri?

“Deela, aku ada hal sikit nak bincang dengan kau ni.”

“Ada apa, Anne? Cakap ajelah.”

“Kau tau aku... err... kau taukan...”

Dia ketawa melihatkan Annessa tergagap-gagap hendak bersuara.

“Kenapa dengan kau ni?”

“Kau tau persahabatan aku dengan Jib kan?”

Dia terdiam seketika. Kemudian mengangguk perlahan.

“Kalau kau tak suka aku kawan dengan dia... aku...”

Tangannya segera hinggap ke paha Annessa.

“Kau jangan risau ye, Anne. Aku tak berdendam sebesar hama pun dengan buah hati kau tu!”

“Hisy!” Annessa terjerit mendengar ungkapan ‘buah hati’ yang terluah dari mulutnya. Mereka kemudiannya ketawa bersama-sama.

“Bukankah dia buah hati kau?”

“Kami berdua kawan biasa ajelah!”

“Tak kisahlah sama ada dia buah hati ataupun sekadar teman biasa kau. Tapi, bapa saudaranya yang bersalah. Jadi tak adil kalau aku turut libatkan Jib dalam hal ni,” ujarnya dengan penuh berhati-hati.

Dia nampak riak lega terpapar pada wajah Annessa.

“Terima kasih, Deela. Tapi betul... aku dan Jib hanya kawan biasa aje. Syukurlah kau tak kisah aku terus bersahabat dengannya.”

“Kalau sebaliknya macam mana pulak?” luahnya sekadar untuk menguji.

“Maksudnya kalau kau tak suka aku terus berkawan dengan dia?”

Adeela pantas mengangguk. “Iye, kalau aku minta kau putuskan persahabatan kau dengan Jib, macam mana? Kau akan lakukannya demi aku?”

“Kita ni sedarah sedaging, Deela. Kau tu adik kembar aku. Takkan aku sanggup mengguris hati kau. Jib tu orang luar. Dia tak penting pun dalam hidup aku. Tapi kau... kau penting dalam hidup aku, Deela. Kalau kau tak suka aku kawan dengan dia, aku sanggup kehilangan kawan. Tapi aku tak sanggup kehilangan kembar aku sendiri!” luah Annessa dengan tegas.

Suasana bertukar menjadi beremosi. Mereka berdakapan.

“Bukan Jib yang rosakkan hidup aku, Anne, tapi bapa saudara dia. Dahlah tu, kau jangan risau. Kalau kau minta restu aku, ye... aku restu hubungan kau dengan dia.”

“Isy, kau ni!”

Annessa menerkam ke arahnya dan mereka bergumpal di atas katil. Saling menggeletek sesama sendiri.

Adeela menarik nafas dalam-dalam. Ikhlaskah restu yang aku berikan terhadap hubungan mereka berdua? Atau, aku hanya berpura-pura ikhlas sekadar untuk menjaga hati kakak kembarku?

Ah! Kenapa terlalu susah menjadi manusia yang diletakkan di antara dua persimpangan?

“Assalamualaikum! Deela... Deela!”

Teguran Annessa itu mengejutkan Adeela daripada lamunan yang panjang. Dia menoleh ke arah kakak kembarnya yang terpacak di muka pintu bilik dengan hanya berkemban tuala rona biru.

“Termenung aje aku tengok? Kenapa?” Annessa melangkah masuk. Annessa lincah membuka pintu almari untuk mencari pakaian tidur yang akan disarungkan ke tubuhnya.

“Tak ada apa-apalah. Buah hati kau baru aje telefon.”

Annessa meletakkan sepasang pakaian tidur di atas katilnya. “Iye, dia ada pesan apa-apa tak?” soalnya tanpa berpaling memandang Adeela.

“Dia suruh aku bagitau kau yang dia telefon. Tu aje.”

Annessa ketawa kecil.

“Tu aje? Hmm... tak apalah, okay thanks, Deela. Yang kau terpacak lagi kat sini buat apa? Bila nak mandi? Kejap lagi masuk waktu Maghrib.” Annessa mengingatkannya.

“Okeylah, aku pergi bersiram sekarang!” Adeela mencapai tuala rona merah jambu yang sengaja disidai di atas kepala katilnya.

“Baiklah tuan puteri. Err... oh ye, Deela, kau ada nampak tuala Good Morning milik Jib tak? Tiba-tiba lesap macam tu aje.”

Adeela terhenti beberapa langkah sahaja dari muka pintu.

“Kenapa? Kau tuduh aku yang ambil tuala tu?”

“Eh, bila masanya pulak aku menuduh kau? Aku cuma tanya aje kalau-kalau kau nampak kat mana aku letakkan tuala tu.”

Adeela menguntum senyum. “Sorrylah, aku tersilap tafsir. Aku tak nampak pun tuala tu. Kalau tak silap aku bukan kau bawa sama semasa kau nak ke bilik air tadi.”

“Tulah masalahnya. Rasanya memang aku bawa sekali tuala tu semasa aku nak ke bilik air tadi. Lepas tu aku letakkan dalam bakul merah depan bilik air tu. Lepas mandi, aku tengok tuala tu dah tak ada. Naik pelik aku memikirkannya.”

“Untuk masalah macam ni, aku pasti ada dua aje penyebabnya. Yang pertama, kau salah letak. Yang kedua, dalam rumah ni ada toyol yang kerjanya mencuri tuala busuk orang lain. Hehehehe....” Adeela ketawa mengilai sambil berlari deras meninggalkan Annessa yang tercengang-cengang, tidak sempat menonjolkan sebarang reaksi.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.