Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 44

44

MENGHADIRI kelas pada sebelah petang setelah perut dipenuhi oleh Sizzling Hot Plate ternyata tidak menerujakan bagi Annessa. Dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada apa yang sedang disampaikan oleh penyarahnya.

Wajah seluruh ahli keluarganya terpapar jelas di ruang mata. Begitu banyak peristiwa dan pahit getir kehidupan yang mereka hadapi bersama. Dia tidak tahu peristiwa mana yang paling menyentuh emosi ahli keluarganya. Mungkin kepada Sofea, perceraiannya dengan Zikri memberikan impak yang paling hebat dalam hidupnya. Tetapi bagi dirinya, kemuncak penderitaannya adalah saat dia kehilangan adik kembarnya, Adeela. Bagi Annessa, beberapa bulan pencarian yang mendebarkan itu adalah titik hitam dalam diari hidupnya.

Ironinya kini, dia pula sedang melakar hubungan dengan Tengku Najib yang juga merupakan anak saudara kepada lelaki yang pernah menculik adik kembarnya itu. Argh!

Mata pensyarah muda yang asyik menikam ke wajahnya membuatkan dia segera mencapai buku nota lalu mencatatkan sesuatu untuk mengaburi mata pensyarahnya itu. Dia tidak mahu mencipta suasana seterusnya dicop sebagai seorang siswi yang kuat berangan di kelas.

DIA membawa diri ke biliknya. Sudah tidak sanggup telinganya menadah bedilan mortar dan peluru berpandu daripada mamanya. Lebih-lebih lagi kalau bedilan itu berupakan kata-kata penghinaan terhadap Annessa. Semua tuduhan itu tidak benar sama sekali, mama! Yang menjadi mangsa di sini adalah mereka mama, mereka! Kita hidup ni tertakluk kepada undang-undang, mama. Yang salah telah bersalah, begitulah sebaliknya.

Dia melemparkan beg sandangnya lalu menghempaskan tubuhnya ke tilam empuk. Terkebil-kebil matanya merenung siling.

Tok! Tok! Tok!!!

Kedengaran pintu biliknya diketuk dari luar. Dia membiarkan sahaja dengan harapan agar orang yang sedang mengetuk pintu biliknya itu berlalu dan membiarkannya bersendirian melayan perasaannya. Namun harapan hanya tinggal sebagai harapan. Beberapa ketika kemudian Tengku Reza melangkah masuk ke biliknya.

“Boleh aku masuk?”

“Masuk ajelah, uncle. Buatlah macam bilik sendiri.”

Tengku Reza berdekah.

“Lain macam aje bunyinya?” getusnya setelah dekahannya terhenti. Dia mencapai kerusi lalu duduk mengadap meja bacaan anak saudaranya itu.

Pertengkaran hebat yang tercetus di ruang tamu sebaik-baik sahaja dia dan Tengku Najib sampai di rumah seketika tadi membuatkan dia teringin benar hendak melihat wajah gadis yang menjadi punca berlakunya pertengkaran tersebut. Dan kenapakah anak saudaranya berkeras mempertahankan gadis bernama Annessa itu?

Berbaloikan Tengku Najib mencipta sengketa yang berpanjangan dengan mamanya sendiri gara-gara Annessa sekeluarga?

“Apa yang uncle cari?” soal Tengku Najib ketika melihat Tengku Reza membuka-tutup laci-laci di meja bacaannya seolah-olah sedang mencari sesuatu.

“Err... kau tak ada simpan album ke? Bagilah aku tengok.” Pintanya.

“Album-album lama adalah. Kenangan masa sekolah dulu. Sekarang ni saya tak simpan album gambar lagi uncle, semua gambar simpan dalam lappy aje.”

Semua gambar Tengku Najib simpan dalam lappy? Dia mencapai beg khas berisi laptop milik anak saudaranya lalu diletakkan di atas meja bacaan. Dan tanpa meminta kebenaran daripada tuan punya laptop, dia terus menekan punat ‘on’ di dada laptop itu untuk menyelongkar gambar-gambar yang disimpan Tengku Najib di dalam folder khas.

Kemudian dia terus melupakan hasratnya untuk mengetahui bagaimanakah rupa sebenar Annessa setelah matanya tertancap ke suatu wajah – wajah yang dikenalinya.

“Eh, awak ni tak tahu guna cermin sisi ke hah? Awak ingat jalanraya ini mak bapak awak punya ke, ikut suka hati awak aje? Nak masuk... nak himpit ke tengah, main masuk dan himpit aje tanpa pedulikan nyawa orang yang bawa motor macam kami ni?” Suara gadis yang sedang marah itu bagaikan terngiang-ngiang semula di telinganya.

Aha! Di sini rupanya kau duhai gadis. Tidak perlulah aku bersusah-payah mencari kau lagi selepas ini. Hatinya terlonjak gembira. Bagaimana kau boleh berada dalam lappy anak buahku ini, duhai gadis? Kau kawan sekelasnyakah?

“Jib... oi, jib!”

“Ye!”

“Budak perempuan ni kawan kau ke, Jib?”

“Mana?” Tengku Najib mengangkat sedikit kepalanya lalu meninjau ke dada laptop.

“Yang ni!” Dia menudingkan jari telunjuknya ke muka gadis yang sedang tersenyum kepadanya itu. Cukup teruja, tidak sabar ingin tahu.

Tengku Najib mengambil masa yang agak lama untuk menjawab.

“Jib!”

“Kalau uncle nak tahu, tulah Anne.” Akhirnya Tengku Najib menjawab sebelum merebahkan semula kepalanya ke bantal.

“Oh!” Itu sahaja perkataan yang terkeluar dari mulut Tengku Reza.

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.