Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 9

9

KAK Deela, naiklah! Uncle Amir nak bawak kita pergi makan kat restoran. Yaya tak nak makan nasi campur kat gerai Pak Tam lagi, nanti sakit perut.” Aleya menyerunya dari dalam kereta Tengku Amirul apabila melihat Adeela seolah-olah enggan naik ke kereta.

Adeela naik benci melihat sengihan yang tersungging di bibir Tengku Amirul. Kenapalah mama hantar dia ni jemput kami, hatinya berbisik.

“Naiklah, Deela.” Pujuk Tengku Amirul. “Kalau Deela tak percaya, biar saya telefon mama Deela supaya Deela boleh cakap dengan dia.”

Tengku Amirul segera menghubungi Sofea. “Fea, ni Deela nak cakap dengan you.” Katanya sambil menghulurkan telefon bimbitnya ke arah Adeela.

Hello, mama. Kenapa tak datang jemput kami?” sergahnya.

“Mama kat officelagi ni. Pergilah makan dengan Uncle Amir, mama dah izinkan dia bawa Deela dan Yaya. Okeylah, Deela, mama sibuk ni. Jumpa kat rumah malam nanti. Bye.

Wajah Adeela semakin masam mencuka. Serasa ingin saja dia mencampakkan telefon mahal yang digenggamnya itu ke tanah. Dengan wajah cemberut dia membuka pintu kereta lalu duduk di sebelah Tengku Amirul yang memegang stereng.

Eeiii... kenapa dia ni asyik tersengih-sengih pandang aku? Bencilah!

ADEELA rasa langsung tidak berselera hendak makan. Bukan kerana makanan di restoran itu tidak sedap, sedap... tapi kerana dia tidak menyukai lelaki yang sedang duduk di depannya. Dia dapat merasakan renungan tajam yang dilemparkan Tengku Amirul ke arahnya. Dan, apabila mata mereka bertaut, Tengku Amirul akan tersengih-sengih pula.

Cara lelaki itu melayani dirinya dengan Aleya juga berbeza. Adeela perasan, kalau dengan Aleya, dia membahasakan dirinya ‘uncle’, tapi kalau dengannya, cukup ‘saya’ saja.

“Kenapa tak habiskan makanan tu, Deela? Tak baik membazir tau.” Tegur Tengku Amirul apabila melihat Adeela menolak pinggan yang masih belum luak isinya itu, ke tengah meja.

“Tak seleralah!” Kasar sahaja suaranya.

“Tak selera ke, tak sukakan saya?” usik Tengku Amirul.

“Dua-dua!”

“Nasib badan, dah orang tak suka.” Getus Tengku Amirul sambil terus bermain mata dengan Adeela.

Usai makan, mereka melangkah keluar dari perut restoran. Ketika sampai di depan kedai telefon bimbit, langkah Tengku Amirul tiba-tiba terhenti.

“Deela, kalau saya hadiahkan Deela telefon bimbit, nak tak?”

“Tak payahlah membazir. Tak baik!” Adeela membalas. Kata-katanya itu buat Tengku Amirul ketawa kecil.

“Untuk Deela, saya sanggup buat apa aje.” Ungkap Tengku Amirul agak hampir ke telinga Adeela.

“Isy, apa ni? Saya bagitau mama nanti, taulah nasib kau.” Ugut Adeela.

“Kenapa... kenapa Deela bencikan saya? Saya sangat sukakan Deela. Suka yang tersangat-sangat!” Terus-terang dan tanpa bertapis-tapis lagi, Tengku Amirul meluahkan isi hatinya. Langsung tidak dipedulikan wajah Adeela yang masam mencuka.

“Mungkin mama tak tau sikap sebenar kau. Tapi aku tau! Dan, sebab kaulah jugak papa dan mama aku bercerai. Lepas ni kau tak payahlah susah-susahkan diri kau kerana kami lagi. Aku jugak tak sudi tumpang kereta kau lagi.”

Hati Tengku Amirul sakit mendengar luahan Adeela itu, tetapi didiamkan saja. Dia tidak mahu menyiram minyak ke api kelak nanti kebakaran semakin marak. Lebih baik menjadi api dalam sekam, membakar dalam diam.

“Hai, Deela... Yaya!” Satu suara yang menyapa di belakang mereka, membuatkan ketiga-tiganya berpaling.

“Wan! Apa kau buat kat sini?” Wajah yang tadinya merona marah, tiba-tiba saja berubah girang. Sakit mata Tengku Amirul memandangnya.

“Aku keluar beli alatulis. Kau dengan Yaya buat apa kat sini?”

“Pak cik kami yang baik hati ni belanja kami makan malam. Betul tak, Yaya?” luah Adeela dalam nada mengejek sambil matanya melirik sekilas ke arah Tengku Amirul yang masam mencuka.

“Iye, betul... betul! Bila Abang Wan nak belanja kami makan pulak?” Aleya menyampuk.

Zakuan ketawa kecil. “Insya-ALLAH, lepas ni Abang Wan belanja Deela dan Yaya makan ya. Hey Deela, Anne tak ada call kau ke?”

Adeela menggeleng. “Kenapa?”

“Err... tak ada apa-apa. Saja aje tanya.”

“Wan, hujung minggu ni kau belanjalah aku dengan Yaya tengok wayang. Yaya kan Wan, ingin sangat nak tengok chronicles Narnia yang baru main kat panggung sekarang ni.” Adeela sengaja merengek manja dengan Zakuan semata-mata hendak menyakitkan hati Tengku Amirul. Ternyata dia berjaya berbuat begitu setelah melihat wajah Tengku Amirul semakin mencuka.

“Boleh, aku pun belum tengok The Voyage of The Dawn Treader tu lagi. Nanti I give you a call, okay. Aku chiao dulu!”

Adeela tersenyum lebar ke arah anak muda yang hendak melangkah pergi itu. Hanya setelah matanya bersabung tenung dengan Tengku Amirul barulah senyumnya mati.

BUKAN main lagi Deela dengan budak tu tadi? Siapa tu? Boyfriend Deela ke?”

“Eh, yang uncle sibuk-sibuk ni kenapa? Jealous?” balas Adeela. Sengit.

“Yaya!” panggil Tengku Amirul ke arah Aleya yang sedang leka membelek-belek komik berbahasa Inggeris di sebuah booth menjual majalah. Aleya meletak semula komik di tangannya ke rak sebelum menghampiri mereka. “Betul ke Abang Wan tu boyfriend Kak Deela?”

“Tak adalah! Abang Wan tu boyfriend Kak Anne.” Aleya menjawab. Polos.

Tengku Amirul sengih. Sinis. “Baiknya hati. Boyfriend kakak sendiri pun nak rampas?”

“Yelah... bila Anne dah tak ada kat sini, Abang Wan jadi boyfriend Kak Deela pulaklah!” Adeela sengaja mencurah api ke hati Tengku Amirul.

“Gatallah Kak Deela ni. Uncle, dah malam ni... jom kita balik. Yaya ada homework nak buat.” Dan, tanpa sebarang curiga, Aleya yang polos itu memeluk lengan lelaki yang sudah mula mendapat kepercayaan di hatinya. Lelaki yang dirasakan bakal menggantikan tempat papanya yang telah dikosongkan Zikri.

YAYA, Kak Deela tak suka tengok Yaya mesra sangat dengan Tengku Amirul tu!”

“Ala, Kak Deela ni. Uncle Amir tu baiklah. Dia selalu belanja kita makan, tapi Kak Deela langsung tak ucap terima kasih pun.”

Huh, dia baik dengan kita pun sebab ada udang di sebalik batu, Yaya. Hati Adeela memberontak. Bagaikan masih teringat-ingat lagi nada berbaur menggoda yang terkeluar dari mulut Tengku Amirul setiap kali berkesempatan membisikkannya ke telinga Adeela seketika tadi. Dan, Adeela cukup tidak menyenanginya.

Sikap lelaki itu yang cuba menggula-gulakannya dengan sebuah telefon bimbit berjenama dan mahal juga sangat menjengkelkan. Kau ingat aku boleh kau beli dengan telefon bimbit ribuan ringgit tu? Boleh jalanlah Tengku Amirul! Adeela bermonolog.

Argh... Anne, alangkah baiknya kalau kau berada di sini.

Dia bersendirian di ruang tamu, menunggu kepulangan mamanya. Aleya pula telah masuk ke biliknya untuk menyiapkan kerja rumah yang dibekalkan guru. Kebosanan dan tekanan mula menghambat dirinya. Lalu dicapainya telefon bimbit jenama LG yang tergeletak di atas meja kaca. Dia menghubungi siapa lagi kalau bukan kakak kembarnya, Annessa.

“Aku rindukan kau, Anne.” Segera diluahkan isi hatinya.

“Aku pun sama jugak dengan kau, tapi nak buat macam mana. Tak lama lagi cuti sekolah. Nanti kita jumpa, ya. Papa dah benarkan aku habiskan cuti selama dua minggu di Shah Alam.” Annessa di hujung talian bersuara.

“Tapi, aku nak jumpa kau sekarang!” bentaknya.

“Hey, Melaka dengan Shah Alam bukannya dekat tau. Naik kereta makan masa dua jam.”

“Kenapa semuanya tak adil dengan kita, Anne? Kenapa?”

Kedengaran Annessa mengeluh. “Sabarlah, Deela.”

“Gajah sama gajah bergaduh, kita yang tersepit di tengah-tengah.” Luah Adeela. Annessa kedengaran mengeluh lagi. “Aku ni tengah sakit hati dengan mama.”

“Kenapa?”

“Dia langsung tak datang jemput aku dan Yaya balik dari sekolah tambahan, sebaliknya hantar boyfriend dia yang miang tu! Aku dah tak tahan lagi, Anne!”

“Dia cakap yang bukan-bukan lagi dengan kau?”

“Iyelah! Malah, dia siap cemburu dengan Wan.”

“Wan?”

“Zakuan, ex-boyfriend kau dulu. Kebetulan lepas makan tadi, kami terserempak dengan dia. Aku pun berlakonlah... cakap manja-manja dengan Wan. Kalau kau nak tau Anne, muka dia macam nak telan aku dengan Wan.”

“Aku pun risaulah dengar cerita kau ni, Deela. Apa kata kalau kau tunggu mama balik dan luahkan segala-galanya pada mama.”

“Ni aku tengah tunggu mamalah. Tapi, dah nak dekat pukul 9.00 malam, batang hidung mama pun tak nampak lagi.”

“Kejap lagi mama pasti balik. Kau mesti bagitau mama pasal sikap sebenar Tengku Amirul tu.”

“Okeylah, Anne... bye.

“Bye, Deela.”

ADEELA hampir-hampir tertidur ketika telinganya menangkap bunyi kenderaan memasuki laman rumahnya. Mama dah balik, hatinya berbisik. Dia bergegas ke muka pintu dan melihat Sofea keluar dari perut kereta dengan wajah yang lusuh.

“Ma!”

“Mama penat ni. Seharian kepala mama pening. Kadang-kadang mama rasa macam nak tanggalkan aje kepala ni dari badan mama.” Sofea melepaskan emosinya sambil merebahkan badan ke sofa empuk.

“Nanti orang panggil mama ‘hantu penanggal’ pulak.” Adeela cuba berlucu namun Sofea, senyum pun langsung tidak.

“Seronok keluar makan dengan Uncle Amir tadi?” Sofea bertanya.

“Tak seronok langsung! Ma, Deela tak sukalah kawan mama tu jemput kami balik sekolah. Dia tu macam... macam miang aje.”

“Deela yang syak wasangka dengan dia, kut? Sebenarnya memang mama nak jemput Deela dan Yaya dari sekolah tadi, tapi mama dah terlupa. Nasib baik UncleAmir tawarkan jasa baiknya untuk jemput kau orang berdua. Bila orang dah tolong kita, sepatutnya kita ucapkan terima kasih, tapi Deela ni langsung tak tau berterima kasih. Dia bagitau mama yang Deela cakap tengking-tengking aje dengan dia. Dia jugak cakap Deela bermesra dengan seorang budak lelaki betul-betul depan mata dia.”

“Deela cakap tengking-tengking sebab Deela memang tak sukakan dia. Lagi satu, agaknya dia yang jealous bila tengok Deela berbual dengan Wan. Agaknya, dia ada hati dengan Deela!”

“Perasanlah Deela ni! Deela tu budak lagi, tau tak? Tak mungkin Tengku Amirul tu angau kat Deela. Hey, Deela, kalau dia nak... mana-mana perempuan yang jauh lebih cantik dari Deela pun dia boleh dapatlah. Takkanlah dia nakkan budak sekolah macam Deela ni.” Sofea menghambur kata tanpa bertapis-tapis lagi. Atau, dia telah cuba menapisnya; namun penapisnya pula bocor.

“Ma, kenapa mama langsung tak percayakan cakap Deela?”

“Sebab kata-kata Deela tu semuanya tak lojik! Eh Deela, kau nak ke mana tu, hah?” Sofea terjerit ketika melihat Adeela melangkah pantas ke pintu lalu keluar dari rumah. “Deela, balik! Balik!!!”

“Rumah ni panas! Deela benci! Benci!!!” jerit Adeela sambil menonong laju meredah dingin malam.

“Deela, balik! Balik!!!” Sofea menjerit. Pening kepalanya yang sudah mula reda tiba-tiba berdenyut semula. Dia menoleh ke jalan raya yang dilimpahi cahaya neon.

Susuk tubuh Adeela sudah tidak kelihatan di matanya.

“Deela, baliklah. Dah malam ni!” hatinya berbisik.

Dia terduduk di sofa dan berharap agar Adeela balik semula ke rumah setelah marah di hatinya reda.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.