Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 53

53

“ANNE, jangan lupa janji awak untuk rahsiakan hal tu, ya!” Idris mengingatkannya sebelum sempat dia melangkahkan kakinya keluar dari perut kereta.

Dia menoleh ke arah jejaka itu. “Kan saya dah cakap tadi, rahsia awak selamat dengan saya. Jangan risaulah.”

“Apa yang Abang Id dan Kak Anne rahsiakan?”

“Jangan menyampuk bila orang tua tengah bercakap, boleh tak Yaya.” Annessa menegur membuatkan Aleya menarik muka masam.

“Dah tu, jangan merajuk. Petang nanti Yaya akan tahu jugak. Sementara tu cuba jadi insan penyabar.”

“Kan Kak Anne yang selalu cakap, penantian tu satu penyeksaan. Tak boleh bagitau sekarang ke? Kenapa kena tunggu petang?”

“Sabar! Kan sabar tu sebahagian daripada iman.”

“Masalahnya, adik Kak Anne yang seorang ni tak berapa penyabar orangnya.” Aleya berkeras, langsung tidak mahu mengaku kalah.

“Hmm...” Annessa menggumam, geram. Aleya, kalau dilayan tidak akan ada kesudahannya. Dirinya yang akan kepenatan kelak. Dia menoleh semula ke arah Idris. Jejaka itu hanya melempar senyum ke arah mereka berdua.

“Perut saya ni dah laparlah. Rasa-rasanya semua orang kat rumah ni dah makan ke belum?” tingkah Annessa sambil menepuk-nepuk perutnya yang kempis itu beberapa kali.

“Saya pun baru aje sampai ni, jadi manalah saya tahu.”

“Nampaknya kita terpaksa naik dulu ke rumah untuk dapatkan jawapannya kan?”

Idris mengangguk. “Tapi sebelum tu, jangan lupa tanya dulu tau.”

“Ya, betul tu.” Annessa menjawab sambil tersenyum mengulum.

“Hai, seronok berjalan-jalan di tepi sungai?” Suara Adeela kedengaran menyapa mereka bertiga.

Annessa, Idris dan Aleya menghalakan pandangan ke arah Adeela yang menjengah di muka pintu.

“Seronok sangat! Rugi Kak Deela tak ikut tau. Sungai tu airnya jernih sampaikan Yaya boleh nampak anak-anak ikan berenang-renang di celah-celah batu.” Aleya bersuara.

“Anne pulak macam mana? Seronok?” Adeela menghalakan soalan kepada kakak kembarnya.

“Emmm... bagi akulah, jawapannya dua-dua, ada seronok dan jugak tak seronoknya.”

“Kenapa pulak macam tu?”

“Seronok sebab dapat tengok pemandangan dan ambil angin segar di tepi sungai. Yang tak seronok bila kau tak ada.”

“Tapi Abang Id ada, kan?” terjah Adeela. Nada suaranya agak berlainan pada pendengaran Annessa.

“Lagi best kalau kau ada sama. Hmm... kau dah makan ke, Deela? Aku laparlah.” Annessa segera mencari ruang untuk mengalih topik perbualan mereka.

“Aku dah makan. Kalau kau lapar pergilah ke dapur. Ada gulai ayam kampung.”

“Wah, sedap tu. Jom makan, Yaya.” Annessa berpaling, memanggil Aleya.

“Aik, pelawa Yaya sorang aje ke? Saya macam mana?” Suara Idris kedengaran.

“Awak kan tuan rumah, sepatutnya tuan rumah yang pelawa tetamu makan. Jomlah, Yaya! Kak Anne dah lapar.” Desaknya.

“Okey, Yaya datang ni!”

Annessa melangkah pantas mendaki tangga kayu lalu menghala ke dapur. Hatinya kurang senang dengan renungan aneh yang dilemparkan Adeela ke arahnya seketika tadi. Kenapa? Apakah Deela cemburu aku ditemani Idris?

MELALUI tingkap yang terbuka, Annessa nampak mamanya sedang berbual-bual dengan Mak Miah di atas pangkin yang terletak di bawah sepohon mangga yang rendang. Entah apa yang dibualkan kedua-dua perempuan itu agaknya? Mungkinkah Mak Miah sedang menyampaikan hajat anak lelakinya yang beriya-iya hendak memberi cincin risik pada Adeela, sebagai tanda awal kepada sebuah ikatan yang berpanjangan?

Dia meneruskan tugasnya menyenduk nasi dan mengisi beberapa ketul ayam kampung ke dalam mangkuk sebelum membawanya ke meja. Aleya menyertainya di meja makan tidak lama kemudian.

“Eeeiii... sedapnya, Kak Anne!” Suara Aleya kedengaran.

“Kalau iye pun jangan sampai lupa baca bismillah sebelum makan.” Annessa mengingatkan adiknya.

“Bismillahirrahmanirrahim.” Ucap Aleya. Tidak dilupai doa makan selepas ucapan bismillah.

“Amin!” Suara Idris kedengaran mengaminkan doanya itu.

“Jemput makan.” Annessa mempelawa jejaka itu.

Idris tidak menolak. Dia mencapai pinggan lalu menyertai kedua-dua beradik itu di meja makan. Dek kelaparan, mereka bertiga makan dengan begitu berselera sekali.

“Kalau betul-betul nak merasai suasana kampung, sepatutnya kita duduk makan kat atas tikar mengkuang tu.” Suara Idris tiba-tiba kedengaran lagi ketika Annessa sedang rancak menyuap nasi bersama-sama cebisan daging ayam kampung ke mulutnya.

Ditolehnya seketika jejaka itu. “Hmm... betul jugak kata awak tu. Tapi orang tua-tua kata, tak elok kalau kita asyik beralih tempat duduk semasa sedang makan.”

“Kenapa? Nanti ramai suami?” terjah Idris. Annessa tidak menjawab, sementara Aleya ketawa besar mendengarnya. “Tak sangka saya, budak bandar macam awak pun percaya kata-kata mereka tu.” Ada nada sindir di hujung ungkapan Idris itu membuatkan Annessa hanya mampu menggetap bibir.

Idris melemparkan pandangan ke arahnya, sekilas cuma. Seulas senyuman melingkar di bibir jejaka itu tatkala melihat Annessa membatu.

“ANNE, mama ada hal nak cakap ni.” Suara mamanya menyapa gegendang telinga sebaik dia selesai menunaikan solat Zuhur.

Dia menghalakan pandangannya ke birai katil. Wajah serius Sofea ditatapnya.

“Kenapa, ma?”

“Tadi semasa kau ikut Idris ke sungai, dia ada cakap apa-apa tak dengan kau?”

Sah, mama sudah diberitahu tentang perancangan anak teruna Mak Miah itu yang berhajat hendak menyarungkan cincin risik ke jari manis Adeela. Walau hanya setakat majlis merisik, tetapi segala-galanya terasa bagaikan mimpi sahaja, terlalu pantas dan secara tiba-tiba.

Annessa mengangguk perlahan. “Pasal Id yang nak bagi cincin risik pada Deela tu, kan?”

“Jadi dia dah maklumkan pada kaulah hajatnya tu?”

Annessa mengangguk.

“Apa pandangan kau, Anne?”

“Anne tak kisah, ma. Yang penting tuan punya badan aje sekarang ni. Kalau Deela setuju, Anne pun tumpang gembira.” Tutur Annessa. Terpancar keikhlasan dalam nada suaranya.

Setelah semakin mengenali Idris dan juga keluarganya, hatinya positif menyatakan hanya jejaka itu sahajalah yang mampu membahagiakan adik kembarnya. Dia tidak kisah kalau Adeela terlebih dahulu ‘laku’ daripada dirinya. Di zaman siber ini, melangkah bendul bukanlah masalah yang perlu diperbesar-besarkan.

“Kau rasa Deela setuju tak?” Terlontar soalan itu dari mulut Sofea.

Confirm, Anne pasti dia setuju!” Annessa menjawab, yakin.

“Bila Mak Miah bagitahu tentang hajatnya nak sarung cincin risik bagi pihak Idris ke jari Deela tadi, mama rasa semua ni macam mimpi aje. Yelah, salah seorang anak gadis mama dah laku. Terasa makin tua pulak diri ni.”

“Siapa cakap mama dah tua? Mama tu vogue lagi tau.”

Sofea tergelak kecil mendengar kata-kata bernada pujian yang meluncur dari bibir Annessa itu.

“Anne, kau nanti jangan sibuk nak ikut jejak Deela. Mama nak kau tumpukan perhatian pada pengajian dan jadi seorang wanita berkerjaya dulu sebelum fikir soal kahwin. Faham tu?” Sofea menghentak suara sambil membeliakkan mata ke arah anak gadisnya itu.

“Kalau Deela boleh, kenapa Anne tak boleh?”

“Kes Deela tu mama dah beri pengecualian tapi untuk dia aje, bukan untuk kau. Kau tunggak keluarga kita. Seorang kakak yang bakal dijadikan contoh serta ikutan oleh Yaya. Faham tu?”

Annessa tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia mengakui kebenaran kata-kata mamanya itu. Lagipun perjalanannya masih lagi jauh. Cita-citanya untuk menjadi seorang wartawan yang berkaliber seperti mamanya masih belum tercapai. Dia mahu berdikari dan melihat dunia dahulu sebelum membenarkan seorang lelaki merantainya dengan sebuah ikatan. Dia mahu kumpul duit banyak-banyak dahulu, beli kereta, memiliki sebuah rumah yang selesa dan kemudian barulah dia bersedia untuk menyerahkan kunci kebebasannya kepada seorang lelaki yang dicintainya.

Berkahwin dalam usia yang masih terlalu muda? Mungkin tidak!


Previous: Bab 52
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.