Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 14

14

ANNE, tolong aku, Anne! Tolong aku!”

Suara yang entah datang dari arah mana bersama haruman jasmine yang menusuk hidung membuat Annessa tidak senang duduk. Lalu tanpa menghiraukan arahan Tengku Najib yang menyuruhnya agak jangan sesekali berani merayau ke mana-mana seorang diri di kawasan banglo itu, dia mengambil keputusan untuk keluar menyiasat.

Dia menuju ke belakang banglo. Di seberang hamparan rumput yang menghijau, kelihatan tasik air tawar yang terbentang. Ada jeti daripada kayu di tepi tasik dengan sebuah sampan tertambat di tepinya. Tebing tasik itu pula diindahkan dengan kehadiran pokok-pokok kiambang yang galak berbunga. Dia mengeluarkan kamera digital dari perut beg tangannya lalu merakamkan keindahan tasik itu.

Setelah beberapa ketika, dia menghayun langkah pulang ke banglo. Mungkin Tengku Najib sedang mencari aku, fikirnya.

“Anne...” Dan, suara itu memanggilnya lagi. Suara yang begitu mirip dengan suara Adeela.

Langkahnya terhenti. Matanya terakam kemas ke belakang banglo milik Tengku Amirul. Dia seolah-olah sedang mencari sesuatu petunjuk yang dia sendiri tidak tahu apa. Dia hanya berpandukan naluri dan gerak hatinya. Ketika dia sedang mengimbas ke sudut kanan banglo itu, tiba-tiba retina matanya terfokus ke arah sebuah pintu kecil berona coklat tua.

Dia tidak tahu apakah yang berada di sebalik pintu itu, tapi hatinya meronta-ronta untuk ke situ. Namun dia hampa apabila mendapati yang pintu itu berkunci rapat. Tentu kuncinya ada pada Tengku Amirul, hatinya berbisik.

“ANNE!” Panggilan Tengku Najib membuatkan Annessa terkejut lalu berpaling. “Apa you buat kat situ?” Anak muda itu nampak jengkel.

“Err...”

Tengku Najib menghampirinya. “Kan I dah ingatkan you supaya tak merayau-rayau sesuka hati di sini. Nanti sesat, siapa yang susah? I jugak.”

“Ala... I bukannya ke mana-mana pun. I ke belakang ni sebab nak tengok pemandangan di tasik tu aje.” Dia segera menudingkan jari telunjuknya ke arah tasik yang terbentang.

“Eeei... tasik tu berhantu, you tak takut ke?” Jejaka itu mengusiknya.

“Di zaman siber ni, you percaya ke dengan cerita-cerita momok, tu?”

“Apa pulak tak percayanya kalau selalu sangat disogokkan dengan cerita momok kat panggung. Hey, Anne, kan sekarang ni semua penerbit filem kat Malaysia berlumba-lumba buat cerita momok sebab nak pecah panggung. Cubalah buat cerita tentang perjuangan Mat Kilau ke... Datuk Bahaman ke... you ingat boleh pecah panggung?”

Annessa terkerisin. Sinis kata-kata Tengku Najib membekas di jiwanya. Memang ada benarnya, ketika ini penerbit filem begitu ghairah menghasilkan kisah cinta ataupun kisah seram untuk mendapatkan kutipan tinggi di pawagam.

Uncle you dah balik ke?” Annessa menyoal.

“Belum. Eh, Anne, kalau you minat, I nak tunjukkan pada you koleksi kereta milik uncle I kat garaj.” Cadang Tengku Najib.

“Boleh jugak.” Dengan segera Annessa menyatakan persetujuannya.

GARAJ tertutup itu membuktikan kekayaan yang dimiliki Tengku Amirul. Tiga buah kereta mewah jenis BMW langsung tidak menarik perhatian Annessa. Sebaliknya, dia lebih teruja apabila terpandang sebuah mini Cooper berwarna hijau berbelang putih yang terletak di tepi dinding. Kereta jenis itu adalah kebanggaan Britain. Walaupun hanya sebuah kereta mini, tetapi harganya mencecah ratusan ribu di sini.

“Mini Cooper ni adalah kereta kesayangan uncle I.” Tengku Najib siap memberikan info kepadanya walau tidak dipinta. Rupa-rupanya kereta mini itu dibiarkan tanpa dikunci. Tengku Najib lalu membuka pintu di tempat duduk pemandu. “Masuklah, Anne,” pelawanya.

Annessa tidak membuang masa lalu terus duduk di sebelah Tengku Najib.

“Malang nasib kita, Anne. Kuncinya tak ada.” Getus anak muda di sisi.

Annessa hanya mendiamkan diri. Dia seolah-olah dapat menghidu haruman jasmine kesukaan Adeela ketika berada di dalam kereta itu.

“Anne... tolong aku...” Suara yang menyeramkan itu muncul lagi. Kini, terlalu hampir dengannya membuatkan bulu tengkuknya meremang.

Dia lalu menoleh ke tempat duduk belakang dan menjerit apabila melihat setompok darah di situ.

“Anne, kenapa ni?” Untuk kesekian kalinya, Tengku Najib dikejutkan jeritan gadis itu.

“Kat belakang... ada darah! Ada darah!!” Annessa memekup mukanya.

Tengku Najib menoleh ke tempat duduk belakang, tapi dia tidak nampak kesan-kesan darah di situ.

“Apa yang you cakap ni, Anne? Mana ada darah?” sergahnya.

Annessa yang sudah melangkah keluar dari Mini Cooper itu menoleh sekali lagi ke arah tempat duduk belakang. Memang betul kata Tengku Najib, tiada kesan-kesan darah di situ.

“Err... tadi I memang nampak ada kesan darah di situ.” Annessa tidak menghabiskan kata-katanya. Dia memekup mulutnya sementara Tengku Najib merenungnya rakus. “Maafkan I, Jib. Agaknya semua tu khayalan I aje.”

“Jom kita keluar. Perut you lapar kut, tu sebab you asyik terbayangkan benda yang bukan-bukan.” Tempelak Tengku Najib dengan nada berhemah.

Annessa senyum dalam terpaksa. “Agaknyalah.”

“Lepas lunch nanti, kalau you nak balik... I boleh hantarkan.”

“Tapi, I nak jumpa uncle you dulu sebelum balik.”

“Betul ni?” soal Tengku Najib. Annessa angguk. “Kalau betul you nak tunggu sampai uncle I balik, make sure you jangan meronda seorang diri macam tadi lagi.”

“Ai... ai... Kapten!” Annessa mengangkat tabik ke arah Tengku Najib membuatkan anak muda itu tergelak kecil.

SEHINGGA lewat petang namun orang yang dinanti masih juga belum pulang. Sofea yang tidak mengetahui bahawa anak gadisnya mahu bersemuka dengan Tengku Amirul, sudah dua kali menghubungi Annessa melalui telefon bimbit bertanya bilakah dia akan pulang.

“Mama jangan risau. Lepas jumpa uncle Jib nanti, Anne baliklah ya.” Dia cuba menyedapkan hati mamanya.

“Jaga diri, Anne. Mama risau kalau apa-apa terjadi pada kau. Sedangkan kehilangan Deela...”

“Mama jangan risau. Insya-ALLAH, taulah Anne jaga diri.” Getus Annessa sebelum menamatkan perbualannya dengan Sofea. Iya, mama jangan risau. Insya-ALLAH, hari ini misteri kehilangan Deela akan terbongkar, getusnya dalam hati.

“Tengku dalam perjalanan balik ke mari.” Mak Tijah memberitahu Tengku Najib yang sudah tersandar keletihan di depan televisyen.

Annessa yang duduk di sisi jejaka itu menelinga. Dia sempat menjeling ke arah Mak Tijah dan ketika mata mereka bersabung, perempuan itu segera menoleh ke arah lain.

“Mak Tijah, saya ada soalan nak tanya. Mak Tijah pernah nampak saya kat sini tak sebelum ni?” soal Annessa dengan berani. Soalannya itu membuatkan Tengku Najib berdekah.

Mak Tijah menggeleng laju. Tapi, Annessa nampak wajah perempuan itu bertambah pucat.

“Kalau Mak Tijah cuba sembunyikan sebuah kebenaran, Mak Tijah boleh dituduh bersubahat, tau tak!” Annessa menghentakkan kata-katanya. Kasar!

Tengku Najib mengilas ke arahnya. “Apa yang you cakap ni, Anne?” Kemudian, dia menoleh pula ke arah Mak Tijah yang sudah menggeletar ketakutan.

Ketika itulah kedengaran bunyi sebuah kenderaan mendekat lalu berhenti di depan banglo.

Uncle I dah balik, tu. You jangan buat hal yang bukan-bukan, ya!” Kasar bunyi suara Tengku Najib.

Annessa menjeling marah ke arahnya. “Kenapa? Apa yang I dah buat?”

“Sikap you tadi dengan Mak Tijah?” hentak Tengku Najib.

“Hey, I tak kurang ajar dengan dia, ya. I cuma nak ingatkan dia aje bahawa yang salah tetap salah.” Balas Annessa. Sengit.

“I tak fahamlah dengan kata-kata you ni, Anne!”

“Kenapa? You menyesal bawa I kemari? You menyesal kenal dengan Anne?”

Tengku Najib menghempas keluh. “Bukan macam tu, Anne. I tak pernah menyesal kenal dengan you. Cuma I pelik tengok you tiba-tiba aje sembur Mak Tijah sedangkan you baru aje kenal dengan dia. Cuba ceritakan pada I, apa sebenarnya cerita di sebalik semua ni?”

“Shhh... uncle you dah sampai tu. Biar I yang buka pintu untuk persilakan dia masuk.” Annessa mengambil keputusan untuk tidak menjawab soalan Tengku Najib itu. Dia menolak tubuh Tengku Najib hingga terduduk semula di kusyen lalu melangkah pantas ke muka pintu.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.