31
“NANTI Abang Id tolong sampaikan salam
rindu dan peluk cium Deela untuk mak, ye.” Adeela terdiam seketika seolah-olah
sedang mendengar sesuatu yang sedang diperkatakan jejaka yang menelefonnya.
Kemudian gadis itu mengekel, manja. “Ha, bolehlah! Sampaikan sekali peluk cium
Deela untuk si Tompok. Jangan lupa ye, Abang Id!”
Mata
Adeela hinggap ke arahnya yang telah melangah ke ruang yang sama. Pandangan
mereka bersatu.
“Okeylah,
Abang Id... abang pun dah nak solat Isyak, kan? Bukan... bukan Deela tak nak
terus berbual dengan abang, tapi sebenarnya Deela tengah sibuk buat cup cake kat dapur ni. Ha ha ha...”
Adeela terus-terusan ketawa. “Kalau abang dekat dengan Deela, siap aje cup cake ni, abanglah orang pertama yang
Deela bagi rasa.”
Heeiii...
menanah telinga aku mendengarnya! Gerutu Annessa dalam hati sambil menjegilkan
matanya ke arah Adeela.
“Sebab
abang tak ada kat sini, of courselah
Anne yang dapat rasa dulu. Jangan risau ye, Anne. Aah... Anne ada dengan Deela
kat dapur ni. Abang Id nak cakap dengan dia ke? Tak nak? Kenapa tak nak?
Takut?” Adeela mengekel. “Apalah yang abang nak takutkan dengan Anne tu. Dia
baik orangnya tau. Okeylah bang, jangan lupa temu janji kita hari Jumaat ni
ye.” Adeela menamatkan perbualan telefonnya dengan Idris dengan seulas senyuman
bahagia melingkar di bibir.
Kemudian,
dia menghunjam pandang ke arah Annessa.
“Apa
istimewanya hari Jumaat ni?” soal Annessa sambil berpura-pura memeriksa adunan
yang sudah pun siap dimasukkan ke dalam cawan kertas, tinggal membakarnya
sahaja lagi. Ruang dapur itu harum dengan aroma vanila.
“Abang Id
nak jumpa aku sebelum dia balik ke Mesir. Nanti kau temankan aku jumpa dia ye,
Anne.”
Annessa
terkejut. Wah, makin advance
nampaknya Ustaz Idris tu. Tak cukup sekadar berbual-bual di telefon, berangan
pulak nak berjumpa dengan adik aku!
“Abang Id
kata dia nak minta izin mama bawa aku pulang ke kampung untuk melawat mak. Mak
dah rindukan aku, Anne. Aku pun rindu sangat kat mak. Dah lama rasanya kami tak
jumpa. Harap-harap mama izinkanlah aku ikut Abang Id pulang ke kampung.”
Annessa
terasa seolah-olah pipinya ditampar. Dan, orang yang menamparnya tidak lain dan
tidak bukan ialah Idris.
“Kau tak
malu ke nak mengekor jantan tu sampai ke kampung dia, Deela? Tak terfikir ke
kau apa yang akan dikatakan oleh orang-orang kampung terhadap kau nanti?”
Terhambur sergahan dari bibirnya. Kasar nadanya.
“Tapi
Abang Id yang dah selamatkan aku, Anne. Dia yang mula-mula jumpa aku tersadai
kat tepi sungai tu, keluarga dia yang berikan tempat berlindung pada aku. Aku
tak mungkin lupakan jasa mereka sekeluarga. Kalau mama tak izinkan pun, aku
tetap akan ikut Abang Id pulang ke kampungnya petang Jumaat tu nanti.” Adeela
menjawab dalam nada yang tidak kurang tingginya.
Ketegasan
dalam nada suara adiknya itu membuatkan Annessa tidak mampu bersuara.
“Assalamualaikum.”
Satu suara menyapa.
“Waalaikumussalam.
Eh, mama dah balik?”
“Dah. Apa
yang dibualkan tu sampaikan mama balik pun tak dengar?” Sofea bertanya sambil
menarik sebuah kerusi lalu duduk melepaskan lelah.
Annessa
merenung Adeela. Dan, pandangan mereka berlaga lagi.
“Mama
mandilah dulu. Nanti kita cerita.” Sahut Adeela, tenang-tenang sahaja wajahnya.
“HEY, aku minta maaf, eh!” getus Annessa
perlahan setelah Sofea berlalu ke biliknya, meninggalkan mereka berdua sahaja
di perut dapur itu.
Aroma kek
cawan yang mengharumkan dapur ternyata tidak mampu menyejukkan bara yang
mungkin sudah mercik di hati adik kembarnya; Annessa dapat rasakan itu. Pelbagai
rasa menyesak perasaannya. Rasa malu, marah pada diri sendiri dan menyesal
bercampur baur. Tidak sepatutnya dia mencemburui Adeela. Lebih tidak patut lagi
kerana dia tega menghambur kata-kata kesat ke arah adiknya itu seketika tadi.
“Kau tak
malu ke nak mengekor jantan tu sampai ke kampung dia, Deela?” Terngiang-ngiang
lagi di telinganya kata-kata yang telah dihamburkan ke arah adik kembarnya yang
pernah mengalami nasib malang itu.
“Deela, please... I am sorry, okay. Maaf... maafkanlah
aku, please... please, Deela,” dia
merayu-rayu sambil cuba mencapai bahu Adeela, membuatkan adik kembarnya itu
terpaksa menyendengkan badannya untuk mengelakkan kulit mereka daripada
bersentuhan.
Rejection! Adeela tidak pernah
menolaknya selama ini. Dan, hati Annessa semakin tidak menentu di atas
penolakan itu.
“Deela...”
Adeela
berpaling memandangnya. Wajahnya masam mencuka.
“Apa hal
dengan kau ni, Anne? Kau cemburukan aku dengan Abang Id ke?” semburnya.
“Err...”
“Anne, apa
hak kau untuk cemburukan hubungan aku dengan Abang Id? Untuk makluman kau, dia
adalah lelaki yang pernah menyelamatkan aku dulu. Kau kena ingat ye, Anne, aku
tak pernah cemburukan kau dengan Najib walaupun aku tahu setiap hari kau jumpa
dengan dia... bermesra dengan dia di kampus tu. Tapi, bila Abang Id yang dah
lama tak jumpa aku tu, tiba-tiba baru sekarang nak jumpa, kau dah mengata kami macam-macam.
Apa semua ni?”
“Emm...
tulah... aku... aku pun tak tahu apa pasal aku, emmm... entahlah, susah aku nak
terangkan! Susah!!!” Annessa menghempaskan punggung di atas kerusi lalu duduk
sambil menengkurkan kepalanya.
Adeela
menghunjam renungan yang agak aneh ke arah kakak kembarnya yang sedang kusut
itu. Katakanlah aje yang kau cemburukan hubungan aku dengan Abang Id, Anne,
sebagaimana aku juga selalu cemburukan hubungan kau dengan Tengku Najib. Dia
bermonolog.
Beberapa
ketika kemudian, Annessa mengangkat wajahnya. Dan, pandangan kedua-duanya
berlaga lagi untuk kesekian kalinya.
“Kau dah
maafkan aku ke tak, ni?” soal Annessa berani.
Adeela
senyum. “Okey, aku maafkan kau, tapi dengan satu syarat...”
“Laa...
nak bersyarat-syarat pulak dah?”
“Mestilah!
Kau mesti temankan aku jumpa Abang Id hari Jumaat ni nanti, okey?”
“Hmmm...
kalau aku cakap dengan dia tengking-tengking, marah-marah, macam mana?”
“Berani kau
nak cakap tengking-tengking dan marah-marah pada my saviour? Silap besarlah kau ni, Anne. Sepatutnya kau ucapkan
terima kasih pada Abang Id sebab dia dan keluarga dialah yang jaga aku
sepanjang aku menumpang di rumah mereka dulu.” Adeela menghentak suaranya.
“Okey...
okey, aku janji aku akan jadi budak baik depan your saviour hari Jumaat ni, nanti.” Annessa segera berjanji yang
belum tentu akan ditepati. “Emmm... by
the way, pukul berapa agaknya your
saviour nak jumpa kita?”
“Abang Id
kata nak solat Jumaat dulu sebelum jumpa kita. Mungkin dia akan jumpa kita
lepas Jumaatlah kot.” Adeela menjawab.
Annessa
menopang dagunya. Hai, Ustaz Idris, rupa-rupanya kau nak ke masjid dulu ye
sebelum bertentang mata dengan adik aku? Hmm... hati-hati, ustaz. Aku tunggu kedatangan
kau!
“Apa yang
kau fikirkan tu, Anne?”
“Err...
tak ada apa-apalah.” Sahutnya pantas. “Cup
cake kau dah masak ke tu, Deela?”
“Aah...
dah masaklah!”
“Hmmm...sedapnya
bau! I like!” Annessa teruja tatkala
melihat Adeela mengeluarkan dulang berisi kek cawan yang sudah elok masaknya
dari dalam oven. “Yaya, cup cake dah
masak ni.” Dia memanggil Aleya yang masih berada di ruang tamu.
“Okey,
kita datang ni! Mana? Mana kek?” soal Aleya sebaik sampai di dapur.
“Cuba bagi
salam dulu,” tegur Annessa tatkala melihat Aleya sampai sambil tercangak-cangak
mencari di manakah gerangannya kek cawan yang harum, wangi.
“Assalamualaikum.
Mana kek? Biar Yaya test dulu sedap
ke tak?”
Adeela dan
Annessa saling ketawa dengan telatah lucu adik bongsu mereka.
“Kalau
sedap macam mana?” soal Annessa sambil matanya dipakukan ke arah kek yang elok
kembangnya, cantik juga rupanya.
“Kalau
sedap nampaknya Kak Deela bolehlah kahwin dengan mamat yang tadi telefon tu!”
Aleya pantas menjawab.
“Isy,
ada-adalah ajelah Yaya ni,” getus
Adeela.
“Assalamualaikum,
tiga dara pingitan. Mana cup cakenya?
Dah masak ke?” suara Sofea kedengaran. Tiga pasang mata segera menoleh ke
arahnya.
“First round dah masak, ma!” Adeela
menjawab.
“Okey,
yang first round tu hantar ke depan
dulu. Mama nak rasa. Anne tolong buat teh O nipis, lepas tu hantar kat depan.
Hai, nilah seronoknya kalau ada anak-anak gadis!” tingkah Sofea lalu melenggang
ke ruang tamu.
“Apa
tunggu lagi, Anne? Cepatlah jerang air, kan mama nak teh O tu!” desak Adeela.
“Yes, madam! Hai, kalau macam ni bilalah
agaknya assignment aku nak siap,”
gerutu Annessa tetapi tidak diendahkan baik oleh Adeela mahupun Aleya.
“Yaya
tolong hantar cup cake ni ke depan.”
Aleya pula diarah menghantar beberapa keping kek cawan yang sudah diatur dengan
kemas di atas pinggan leper rona putih berjalur-jalur kuning dan biru.
“Okay, madam!” Aleya menyahut sambil segera
mencapai pinggan berisi kek cawan itu dari tangan Adeela lalu melangkah pantas
meninggalkan perut dapur menuju ke ruang tamu.
Adeela
tersenyum nipis. Dia meneruskan tugasnya membakar kek cawan sehingga habis
semua adunan.