Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 2

2

APA khabar, Pak Tam?” Adeela menyapa Pak Tam Gerai dengan ramah. Oleh kerana dia selalu berkunjung ke gerai yang terletak di hujung jalan kawasan perumahannya itu untuk membeli nasi bungkus, maka hubungannya telah menjadi mesra dengan Pak Tam serta isterinya yang dipanggil Mak Intan.

“Khabar baik. Anne mana?”

“Anne kat rumah. Kita orang suruh dia buat air.” Adeela menyahut sambil membiarkan adiknya Aleya yang baru berusia 10 tahun untuk memilih lauk pauk yang dirasakan sesuai. Lauk pauk itu kelak akan menjadi santapan mereka bertiga malam itu.

“Mama Deela balik lambat lagi ke malam ni?”

“Biasalah, Pak Tam. Mama sibuk kerja.”

Pak Tam mengangguk. Belas juga dia melihat keadaan tiga beradik yang selalu singgah membeli nasi bungkus di gerainya itu.

“Tak apalah, Deela. Agaknya kerja sebagai wartawan ni memang macam tu, sibuk memanjang. Mama Deela kerja kuat pun sebab nak cari duit untuk Deela tiga beradik. Tiada ayah dan ibu di dunia ni yang nak tengok anak-anaknya hidup susah, betul tak?” Pak Tam memujuk.

“Ye, betul tu Pak Tam. Kalau time cuti mama tak pernah lupa bawa kami jalan-jalan dan makan kat luar.” Adeela menjawab.

Pak Tam mengangguk. Aleya sudah selesai memilih makanan. Pak Tam segera menghampirinya untuk mengira harga makanan yang telah dibelinya.

“Eh, Anne ke... Deela ni?” Suara yang menegur di belakangnya membuatkan Adeela segera berpaling. Matanya bertentangan dengan sepasang mata galak milik Zakuan, yang diketahuinya kini sedang menjalin hubungan yang agak rapat dengan kakak kembarnya, Annessa. “Ooo... Deela rupanya!” Jejaka itu tersengih-sengih pula ke arahnya.

“Kenapa, Wan? Kau kecewa?” sindir Adeela. Anak muda di depannya tergelak kecil. “Kau dah rindukan Anne ke?”

“Rindu jugak. Eh, Anne mana ye? Puas aku SMS dan call tapi dia tak jawab.”

“Dia ada kat rumah.”

“Emm... kirim salam pada Anne, okey.”

“Emm... insya-ALLAH.”

“Okeylah Deela, bye.” Tingkah Zakuan sambil melangkah meninggalkan Adeela.

“Bye!” Adeela menjerit ke arahnya. Jeritannya membuatkan Zakuan berpaling lalu melambai-lambaikan tangan ke arahnya.

“Siapa tu, kak?” soal Aleya yang sedang menghampirinya.

“Ala, kawan satu sekolah. Dah siap kira ke? Kalau dah kira jomlah balik. Anne dah lama tunggu kita kat rumah tu.” Getusnya ke arah Aleya.

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Pak Tam dan isterinya, kedua beradik itu melangkah meninggalkan gerai tersebut di senja yang semakin menubir.

ANNESSA masih duduk termenung di ruang tamu ketika Adeela dan Aleya melangkah masuk. Dia dibawa oleh perasaan hingga tidak sedar pada masa yang berlalu. Pertengkaran di antara papa dan mamanya yang terjadi di ruang tamu lewat petang tadi benar-benar menghantui dirinya.

“Anne, kenapa kau duduk dalam gelap ni?” soal Adeela sambil segera memasang semua lampu di rumah itu. Rumah yang tadinya gelap dan suram tiba-tiba sahaja terang-benderang.

Adeela memang begitu, sangat penakut pada kegelapan. Jikalau tiada orang dewasa di rumah, dia akan memasang kesemua lampu termasuklah lampu di bilik air.

“Kak Anne ni sengaja nak tunjuk berani agaknya!” Aleya, si cilik berusia 10 tahun itu menyampuk.

Annessa tidak menjawab. Sebenarnya dia tidak berdaya hendak menjawab. Dia masih dalam keadaan terkejut. Kenapakah dia yang perlu mendengar segala perbualan di antara papa dan mamanya lewat petang tadi? Kenapa? Kenapa bukan Adeela yang tertinggal di rumah ketika itu?

Matanya melurut ke arah Adeela yang sedang meletakkan tiga bungkus nasi campur di atas meja bulat. Boleh dikatakan itulah santapan mereka setiap malam. Nasi campur yang dibeli di gerai yang terletak di hujung jalan. Hidangan yang semakin hari terasa semakin membosankan. Namun, terpaksa juga ditelan untuk mengelakkan diri daripada tidur dengan perut yang kebulur.

Mama mereka sudah lama tidak memasak. Sejak papa tidak lagi betah makan di rumah, mama bagaikan sudah gantung semua periuk, kuali dan senduk di rumah itu. Mama asyik menyibukkan dirinya dengan kerjaya. Bagaikan bekerja sampai larut malam itu mampu menenggelamkan segala masalahnya dengan papa ke dasar magma yang paling dalam. Agaknya kalau dibenarkan, mama lebih suka berkampung di pejabatnya daripada menapak pulang ke rumah!

“Kenapa dengan kau ni, Anne? Menung aje sejak tadi?” soal Adeela.

Annessa tidak menjawab. Matanya merenung lama ke arah Adeela. Kata-kata papanya menerbak semula ke jiwa. Betulkah papa nak pisahkan kita, Deela?

“Isy, peliklah aku tengok kau ni!” tingkah Adeela sambil mengutil lengannya membuatkan Annessa terjerit kesakitan.

“Yang engkau cubit aku ni, kenapa?” jerkahnya.

Adeela tergelak.

“Padan muka! Sejak aku masuk tadi aku tengok engkau ni macam orang angau aje. Eh, kalau kau nak tau, tadi masa kat gerai Pak Tam aku terserempak dengan boyfriend kau, Wan. Dia kirim salam kat kau. Eh, Anne, ni aku nak tanya sikit... kau dengan Wan dah declare sebagai pasangan kekasih ke?” Adeela menyoal.

Mengarut betul! Ke situ pula perginya. Deela, kalau kau tahu apa yang sedang aku fikirkan ni, entah kau dapat menerimanya ataupun tak.

“Eh, Yaya! Sebelum makan basuhlah tangan tu dulu,” tegur Adeela pada si cilik yang liat hendak ke sinki untuk membasuh tangannya setelah Annessa hanya mematungkan diri. Soalannya seketika tadi terbiar tanpa jawapan. “Kau pulak Anne, sampai bila nak termenung ni? Tak nak makan ke?”

“Agaknya Kak Anne dah bosan makan nasi campur.” Tukas Aleya yang sudah menggaul kuah lemak dan sambal di dalam bekas polisterinnya.

“Habis tu, nak makan apa? Jangan banyak songellah. Mama kan kerja, mana ada masa nak masak lauk sedap-sedap untuk kita. Makan ajelah supaya tak kebulur!” tingkah Adeela. “Kau tak nak makan ke, Anne?”

Annessa geleng kepala. “Aku tak ada seleralah,” jawabnya ringkas lalu segera melangkah masuk ke biliknya.

DI BILIK, Annessa termenung lagi. Jiwanya tidak tenteram. Berkocak hebat.

Memorinya kembali kepada peristiwa lewat petang tadi. Dia tidak memahami tuduhan yang dilemparkan oleh papa kepada mamanya. Tuduhan Zikri terhadap Sofea bagaikan tidak masuk akal. Masakan mungkin mamanya berlaku curang kepada papa?

Namun yang pasti, Zikrilah yang telah berlaku curang. Papalah punca kepada segala kemusnahan yang telah berlaku. Betul kata mama, perempuan mana yang tega jika dirinya dimadukan? Lebih-lebih lagi dimadukan tanpa kerelaan hati.

Papa memang kejam. Tidak cukup menduakan mama, mahu pula memisahkan dia dengan kembarnya, Adeela.

“Hey, Anne! Kenapa dengan kau ni?” Adeela melangkah masuk ke bilik lalu melabuhkan punggung di sisinya. Dia memaut bahu Annessa. “Apa yang dah berlaku ni, Anne? Please Anne, janganlah buat aku risau.”

Dia menoleh ke arah Adeela.

“Kau dah selesai makan ke?” soalnya.

Adeela menggeleng. “Sama macam kau, aku pun tak berselera.”

Annessa menyengih. Sebagai pasangan kembar seiras, dia dan Adeela mengongsi hampir kesemuanya termasuklah emosi, minat, keinginan dan juga kehendak. Kadangkala dia dapat meneropong ke dalam diri Adeela. Begitulah juga sebaliknya.

Di antara dia dan Adeela bagai dipisahkan oleh cermin tembus pandang!

“Deela, macam mana kalau papa dan mama betul-betul nak bercerai?” Annessa meluahkan apa yang terpendam di sudut hatinya.

Wajah Adeela menjadi muram. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Mana kau tahu tentang ni? Anne, jangan bagitau aku yang kau main agak-agak aje?”

Annessa menggeleng. “Aku bukannya agak-agak aje, Deela. Aku dengar sendiri perbualan antara papa dan mama masa kau dan Yaya keluar petang tadi.”

“Kenapa orang tua banyak masalah, Anne? Lepas tu kenapa mereka suka susahkan kita?”

Annessa tidak menjawab. Sesungguhnya dia sendiri tidak ada jawapan yang tepat untuk soalan yang ditujukan itu.

“Kenapa mereka asyik pentingkan diri sendiri? Kenapa mereka tak pernah fikir tentang perasaan kita ni?”

Annessa mengeluh. “Entahlah, Deela. Tapi mungkin masalah ni berpunca daripada gangguan orang ketiga.”

“Apa kata kau, Anne? Orang ketiga? Siapa yang ada orang ketiga? Papa atau mama?”

“Papa. Kalau aku tak silap dengar, papa dah nikah satu lagi tanpa pengetahuan mama.” Annessa berterus-terang.

“What?” Adeela mengerut dahi.

Semudah itu hati manusia berubah. Setelah berpenat lelah menyemai cinta dan kemudian membajanya pula dengan rasa kasih sayang hingga benih cinta tumbuh menjadi pohon yang rendang dan menjadi tempat perteduhan orang yang lalu-lalang, akhirnya dengan mudah dan tanpa belas kasihan pula pohon cinta itu ditebang hingga tumbang.

“Kenapa papa sanggup buat mama macam tu?” soal Adeela dengan wajah yang mendung.

Annessa menggeleng. “Aku tak tahu.”

 

“Aku harap kau salah dengar. Aku harap papa dan mama tak jadi cerai!” Adeela membentak.

“Jangan mimpilah, Deela. Kau tak nampak ke macam mana hubungan mereka selama ni? Papa jarang-jarang balik ke rumah ni. Kalau balik pun, dia tidur kat kusyen panjang tu. Mama pulak...”

“Anne, apa kata kalau kita berdoa sungguh-sungguh supaya mereka tak jadi cerai?” Adeela kelihatan terdesak.

Annessa terpaku. Tidak pernah dia melihat wajah Adeela yang terdesak begitu.

“Anne, kalau mereka berpisah jugak macam mana dengan kita adik-beradik? Kita kena halang mereka. Mereka tak boleh pisahkan kita, Anne. Tak boleh!!!” Adeela yang gelisah berjalan mundar-mandir di depan Annessa.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.