Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 27

27

DENYUT di kepala membuatkan Sofea segera menutup laptop yang sedang dihadapnya sejak petang tadi, tanpa henti. Dia tidak mahu denyut itu kelak berubah menjadi serangan migrain pula. Kalau diikutkan hati, jelak sudah rasanya dia menelan pil kuning yang dipanggil ponstan itu. Tetapi, pil itu adalah antara barang-barang peribadi yang tidak boleh tidak harus ada di dalam tas tangannya. Akan dikelek ke mana-mana sahaja dia pergi termasuklah beberapa vitamin lain seperti bekalan evening primrose oil, spirulina, multivatamin dan juga vitamin C.

Bernafas di dalam bilik berhawa dingin yang kadangkala panas dengan sikap rakan sekerja lain, imej ibu tunggal tiga anak yang sedang dibawanya kini, serta tragedi yang pernah menyinggah dalam keluarganya membuatkan hidupnya sering tertekan. Itu belum lagi ditambah dengan tekanan kerjanya yang tidak menentu masa.

Walaupun kini dia sudah dinaikkan pangkat sebagai editor kanan di syarikat tempat dia mencari rezeki, namun itu bukanlah tiket untuk dia berehat-rehat sahaja. Ada mesyuarat dengan bos yang perlu dihadiri, ada jemputan-jemputan yang perlu diraikan dan banyak lagi titik bengik yang membelit urusan sehariannya. Kerja-kerja anak buahnya juga perlu dipantau sentiasa. Ini supaya tiga buah majalah yang diamanahkan kepada dirinya dapat disiapkan mengikut dateline yang ditetapkan dan seterusnya dihantar ke pihak kilang percetakan tetap pada waktu dan tarikhnya. Kalau garis panduan ini tidak diikuti maka majalah-majalah itu tidak akan sampai ke tangan pembaca tepat pada masanya.

Itulah dunianya selama ini. Dunia yang mementingkan dateline. Etika yang seharusnya diikuti dan disedari oleh semua yang terlibat dalam bidang penerbitan majalah ataupun persuratkhabaran. Kalau dilanggar dateline itu, maka habislah! Dulu, semasa dia masih lagi mentah dan hanya bekerja sebagai wartawan biasa, dia akan disembur oleh ketua pengarangnya kalau dia lalai menyiapkan artikel mengikut datelinenya. Basahlah dia menadah air liur yang tersembur ke mukanya. Kini, gilirannya pula menyembur anak-anak buahnya jika mereka tega melanggar dateline yang ditetapkan. Siap kau!

Namun, itulah dunia kerjayanya. Dan, dia menerima dunia itu seadanya. Cuma dunia itu mula menekan dirinya apabila bekas suaminya mula mengungkit kesibukannya yang tidak bertepi itu. Sedangkan ketika sebelum kahwin, Zikri tidak pernah menghalang dia daripada meneruskan kerjayanya. Amat malang sekali apabila kerjayanya yang tidak menentu masa, ditokok tambah pula dengan segala syak wasangka lelaki itu terhadap kesetiaannya dijadikan alasan oleh Zikri untuk bersikap dingin dengannya. Dingin yang tidak bisa dihangatkan kembali. Akhirnya, ikatan perkahwinan yang telah berbelas tahun dilayari bersama, terputus juga tali pengikatnya.

Kini, dia sendiri untuk membesarkan tiga orang anak gadisnya.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Setiap manusia tidak dapat lari daripada masalah. Tekanan di tempat kerja; itu masalah biasa dan dia dapat menghadapinya. Diceraikan Zikri; memang memeritkan untuk ditelan, namun itu juga masalah biasa dan masih mampu didepani. Namun, kehilangan anak gadisnya sendiri; ya ALLAH... deritanya ketika itu hanya TUHAN sahaja yang tahu.

Masih basah lagi memorinya pada malam Adeela ghaib...

“PERASANLAH Deela ni! Deela tu budak lagi, tau tak? Tak mungkin Tengku Amirul tu angau kat Deela. Hey, Deela, kalau dia nak... mana-mana perempuan yang jauh lebih cantik dari Deela pun dia boleh dapatlah. Takkanlah dia nakkan budak sekolah macam Deela ni.” Dia menghambur kata pada anak gadisnya yang mengadu tentang sikap gatal Tengku Amirul, tanpa bertapis-tapis lagi. Atau, dia telah cuba menapisnya; namun penapisnya pula bocor.

“Ma, kenapa mama langsung tak percayakan cakap Deela?”

“Sebab kata-kata Deela tu semuanya tak lojik! Eh Deela, kau nak ke mana tu, hah?” dia terjerit ketika melihat Adeela melangkah pantas ke pintu lalu keluar dari rumah. “Deela, balik! Balik!!!” laungnya supaya langkah anak itu terhenti dan masuk semua ke rumah.

“Rumah ni panas! Deela benci! Benci!!!” jerit Adeela sambil menonong laju meredah dingin malam.

“Deela!!!” Sofea menjerit. Baliklah Deela, kan dah malam ni! Dia menjerit di dalam hatinya pula. Pening kepalanya yang sudah mula reda tiba-tiba berdenyut semula. Dia menoleh ke jalan raya yang dilimpahi cahaya neon.

Susuk tubuh Adeela sudah tidak kelihatan di matanya. Dia terduduk di sofa dan berharap agar Adeela balik semula ke rumah setelah marah di hatinya reda. Namun, jenuh dia menunggu, Adeela tidak balik-balik juga.

MAAFKAN mama, Deela. Mama menyesal kerana tak pernah percaya pada setiap yang kau adukan tentang Tengku Amirul dulu. Entah apa yang membutakan mata mama ketika itu agaknya. Dia merintih dalam hati.

Mama menyesal, Deela.

Pun begitu, itulah kata-kata penyesalan yang hadirnya sudah agak lewat. Tragedi sudahpun membadai keluarga mereka. Badainya mungkin lebih hebat daripada ombak tsunami yang membadai pantai. Kegadisan Adeela sudah pun dirosakkan Tengku Amirul. Walaupun kini, syaitan yang pernah menyarung topeng sebagai manusia itu, telah merengkuk di sebalik tirai besi tetapi kegadisan yang telah direnggutnya daripada Adeela tidak mungkin dipulangkan semula.

Mengenangkan itu, Sofea sebagai seorang ibu terpaksa meneruskan hidupnya yang masih panjang ini dengan dibeliti rasa bersalah. Walaupun Adeela pernah berkata yang dia telah memberikan kemaafannya tetapi mampukah dia mengorek masuk ke dalam hati anak gadis itu untuk mengintai sama ada Adeela benar-benar ikhlas memaafkannya ataupun tidak? Argh! Sudah tentulah dia tidak mampu melakukannya.

Kadang-kadang dia menjadi takut untuk pulang ke rumah, kerana dia tahu Adeela berada di rumah itu. Dia terasa seolah-olah Adeela menuding jari ke arahnya pada setiap renungan yang dilemparnya.

“Mama yang bersalah. Kenapa mama tak mahu percayakan cakap Deela, kenapa ma? Malah, mama sanggup pulak tuduh Deela yang menggatal dengan binatang tu. Kalau mama percayakan Deela, kejadian malang ni takkan menimpa diri Deela!” Suara Adeela sering mengaum di fikirannya, menuding mempersalahkan dirinya.

“Kak Fea, dah pukul 8.00 malam ni. Tak nak balik ke?” suara Syima yang terjengul di pintu biliknya membuatkan dia mengucap panjang. “Kenapa, Kak Fea?”

“Err... tak ada apa-apa. Tak sedar dah pukul 8.00. Awak dah nak balik ke, Syima?”

Syima mengangguk.

“Nak baliklah ni, Kak Fea. Takkan nak jadi penunggu pejabat ni pulak. Lagipun dateline dah siap kan? Esok bolehlah bermalas-malasan kat pejabat.” Syima tersengih-sengih.

Sofea ketawa kecil. “Suka hatilah tu!”

“Eh, mestilah suka. Sekarang giliran budak-budak grafik pulak sengkang mata.” Syima ketawa besar.

“Tak kesian ke kat Rafi?” usik Sofea yang cukup mengetahui bahawa wartawan muda bernama Syima itu kini sedang asyik bercinta dengan Rafi, salah seorang staf di bahagian grafik. Dengar ceritanya hujung tahun ini mereka bakal bertunang.

“Kesian tu kesian jugak. Tapi nak buat macam mana, kan? Dah tugas masing-masing. Okeylah, Kak Fea, Syima balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Sofea menjawab salam yang dihulurkan.

Sepeninggalan Syima, dia segera berkemas-kemas untuk pulang ke rumah.

“Ehem...”

Deheman itu membuatkan Sofea menoleh ke pintu.

“Dah nak balik ke?”

“Iye, takkan nak jadi penunggu pejabat ni pulak.” Sahutnya meniru kata-kata Syima seketika tadi.

“Emm... apa kata kalau I belanja you makan malam sebelum balik? Boleh save budget you sikit, kan?” Lelaki itu mencuba nasib.

“Tak payahlah Tuan Haji. Alhamdulillah, gaji saya cukup untuk makan minum saya anak beranak.” Sofea menjawab sambil memaniskan wajahnya ke arah Tuan Haji Kamal. Dia tahu niat di hati lelaki itu, tetapi minta maaf sahajalah. Hatinya kini sudah tertutup untuk insan bernama lelaki!

Cukuplah sudah masalah yang membelit diri dan keluarganya kini. Dia tidak mahu menambah masalah kepada himpunan masalah yang sedia ada. Titik!

“Orang dah tak sudi, nak buat macam mana. Takkan nak paksa.”

“Ala, janganlah merajuk. Ramai lagi perempuan lain yang mungkin sudi temankan Tuan Haji dinner malam ni. Okeylah, saya minta diri dulu. Anak-anak saya dah menunggu kat rumah tu. Assalamualaikum.” Dia mencapai tas tangannya lalu melenggang melintasi Tuan Haji Kamal yang masih tersengih-sengih ke arahnya.

“Waalaikumussalam.” Dia dapat mendengar lelaki itu menjawab salam yang dihulurkannya.

Dia melangkah deras keluar dari ruang pejabat untuk menuju ke keretanya.


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.