41
MULANYA
dia tidak kisah. Tetapi lama-kelamaan hatinya mula diselubungi bimbang apabila Tengku
Najib terus menyepikan diri, tidak mengganggunya melalui panggilan telefon
ataupun sistem pesanan ringkas sebagaimana biasa.
Argh,
kenapa aku perlu bimbangkan dia sedangkan dia bukannya sesiapapun denganku,
hatinya berbisik cuba mengenyahkan rasa kurang enak yang mula bertapa di
hatinya itu. Tetapi sebaik sahaja dia terpandangkan Johari yang kebetulan
melintasi kelasnya, dia bergegas keluar meninggalkan kelas yang masih belum
bermula untuk bertemu jejaka itu. Johari yang melangkah dengan agak laju
membuatkan Annessa terpaksa berlari-lari anak mengejarnya.
“Jo!
Jo!!!” Dia menjerit memanggil nama Johari. Suaranya yang nyaring itu membuatkan
Johari berpaling memandangnya.
Jelas
jejaka itu agak terkejut tatkala melihatnya. Annessa perasan, renungan Johari
hinggap ke arah lengan baju kanannya yang terkoyak.
“Aku jatuh
skuter sewaktu dalam perjalanan ke kampus pagi tadi.” Dia memberitahu sebelum
Johari sempat bertanya.
“Laa...
kesiannya. Nasib baiklah tak teruk. Macam mana boleh accident?”
“Aku tak
sempat elak dan terlanggar belakang kereta yang tiba-tiba aje masuk ke lorong
tanpa bagi apa-apa signal. Skuter aku rebah ke sebelah kanan dengan aku-aku
sekali.” Annessa mengadu kepada Johari dengan wajah yang cemberut. “Walaupun
sebelah kanan badan aku ni masih lenguh-lenguh tapi aku bersyukur jugak sebab
semasa aku jatuh tu tak ada kenderaan lain di belakang aku. Kalau tak...
hmmm... entahlah.”
“Jib dah
tau ke kau accident ni, Anne?”
Annessa
geleng kepala. “Dia belum telefon aku lagi. SMS pun tak. Kau ada terserempak
dengan dia?”
“Malam
tadi dia menumpang tidur kat rumah aku. Rasanya dia tuang kelas hari ni.”
Annessa
kerut kening. “Kenapa pulak Jib nak tuang kelas?”
“Dia pun
macam kau jugak, accident.”
“Hah? Dia
pun accident jugak?”
“Aah...
Jib accident kat padang ragbi petang
semalam. Anne, kalau kau tengok muka dia, aku rasa kau mesti gelak sakan
punyalah. Mata dia sebijik macam mata beruang panda sekarang ni.”
“Kau ni,
Jo, orang accident takkan aku
tergamak nak gelakkan pulak. Kau ni main-mainkan aku ke apa?” Melengking suara
Annessa membuatkan beberapa orang siswi yang kebetulan lalu berhampiran dengan
mereka berdua, tertoleh-toleh.
“Jib accident pun sebab kau.” Johari
tiba-tiba menuding jari ke arahnya.
“Eh, kenapa
pulak tiba-tiba aje nama aku naik ni? Jib accident,
kenapa pulak aku yang dilibatkan? Yang kau cakap berbelit-belit ni kenapa, Jo? Jangan buat aku blur boleh tak?” sergah Annessa.
Johari
menyengih.
“Kau
tanyalah Jib sendiri.” Johari segera menoleh ke arah jam yang melekap di tangan
kirinya. “Okeylah Anne, aku tak boleh lama ni. Ada kelas.” Selesai berkata
begitu Johari melangkah pantas meninggalkannya.
Annessa
terpaku seketika.
“Rasanya
dia tuang kelas hari ni. Dia pun macam kau jugak, accident.” Kata-kata Johari seketika tadi bertandang semula ke
ruang ingatannya.
Tangannya segera
menyeluk saku seluar lalu mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia mencari-cari
nombor telefon bimbit Tengku Najib. Setelah berjumpa dengan apa yang dicarinya,
punat rona hijau di permukaan telefon ditekannya. Dia menunggu beberapa ketika
untuk panggilannya disambungkan kepada temannya itu.
“Hello.” Satu suara asing kedengaran menjawab di hujung talian.
Annessa
terkaku. Aku ni terdial nombor yang salah ke, hatinya menyoal.
“Hello, boleh saya bercakap dengan Tengku
Najib?”
“Oh, dia
ke tandas kejap. Siapa ni?”
“Saya
kawan dia...”
“Yelah,
saya tahu awak kawan dia, tapi nama awak siapa? Senanglah saya nak sampaikan
pada Jib nanti.”
“Saya
Anne. Yang jawab telefon ni, siapa ye?”
Lelaki di
hujung talian ketawa kecil. “Oh, Annessa! Saya bapa saudara Jib. Tak sabar
rasanya nak jumpa awak Anne.”
“Err...
kenapa?”
Lelaki di
hujung talian ketawa lagi. Suaranya macam familiar,
bisik hati Annessa. Tapi... argh, tak mungkin dia!
“Yelah,
awak sekeluarga cukup popular dalam keluarga kami. Tu yang buat saya teringin
sangat nak jumpa awak.”
Annessa
mendengus. Dia cukup kenal dengan Tengku Amirul, bapa saudara Tengku Najib yang
telah merosakkan kehidupan adik kembarnya. Tetapi bagaimana pula sikap dan
perangai lelaki yang sedang dilayan bual di hujung talian ini? Apakah sikapnya
juga serakus Tengku Amirul?
“Anne,
bila agaknya kita boleh berjumpa?”
“Jumpa?
Untuk apa?”
“Kan saya
dah cakap tadi, awak sekeluarga cukup popular dalam family kami. Lagipun saya nak juga berkenal-kenalan dengan gadis
yang dah berjaya menundukkan anak saudara kesayangan saya.”
Lain macam
aje bunyinya lelaki ni, gerutu hati Annessa. Dia ikhlas ke tak ni? Entah-entah
dia pun sama macam mama dan papa Jib yang bencikan aku serta keluargaku.
“Err...
minta maaf, Tengku, tapi hubungan saya dengan Jib hanya kawan biasa aje. Kami
masih belajar lagi. Perkataan cinta belum dimasukkan lagi dalam kamus hidup
kami.” Annessa menjawab.
Lelaki di
hujung talian ketawa sahaja mendengar kata-katanya.
“Apa
salahnya kalau nak bercinta semasa masih sedang belajar? Lagipun awak dan Jib
bukannya pelajar sekolah lagi, dah bergelar siswa dan siswi pun. Tiada
peraturan di dunia ni yang melarang orang yang masih belajar untuk saling
bercinta mahupun mencintai.”
“Err...”
Annessa tergagap. Sesungguhnya dia kurang selesa membicarakan isu itu dengan
lelaki di hujung talian yang mengaku dia adalah bapa saudara Tengku Najib.
“Saya diberitahu yang Jib terlibat dalam kemalangan, betul ke? Saya telefon ni
sebab nak tahu keadaan dia aje. Serius ke?”
“Kemalangan?”
Lelaki di hujung talian ketawa lagi. “Jangan risau, Anne. Tak serius.”
“Okeylah,
sampaikan pesan saya pada Jib ye. Bye.”
“Bye.”
Selepas
menamatkan perbualannya dengan bapa saudara Tengku Najib, Annessa melangkah
pantas menuju ke kelasnya.
“Hah, ni
pun Cik Annessa kita baru masuk ke kelas!” Suara Doktor Jamaluddin menyapa
telinganya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke kelasnya.
Annessa
terkapa-kapa. Tanpa sepatah kata dia menuju ke tempat duduknya di sisi Zainah.
“Kenapa
dengan tangan awak tu, Cik Annessa?”
“Saya accident dalam perjalanan nak ke kampus
tadi, Doc.”
“Lain kali
hati-hati ye, Cik Annessa. Begitu juga dengan yang lain, saya berharap sangat
agar kamu semua sentiasa berhati-hati di jalanraya. Statistik kemalangan
jalanraya di Malaysia ni antara yang tertinggi di dunia. Agaknya kalau
dicongak-congak, dalam setahun jumlah orang yang mati dalam kemalangan
jalanraya di Malaysia ni lebih tinggi daripada rakyat Palestin yang mati
ditembak atau dibedil Israel. Bezanya, orang kita mati katak di jalanraya, mati
yang tak membawa makna apa-apa. Tapi rakyat Palestin mati akibat jihad
mempertahankan tanah air mereka yang diceroboh Zionis. Jadi, please... sayangi nyawa anda semua.
Kalau nak mati pun biarlah mati membawa makna, faham semua?”
“Faham, Doc. Faham!” Suara para siswa dan siswi
yang dahagakan ilmu itu kedengaran menyahut.
“Cik
Annessa, lain kali jangan lambat lagi ke kelas saya ye.” Doktor Jamaluddin
mengingatkannya.
Annessa
hanya senyum dan angguk.
“TAK
telefon dia dulu ke? Nanti dia tertunggu-tunggu pulak.” Getus Tengku Reza ke
arah anak saudaranya yang sedang menyumbatkan barang-barang peribadinya ke
dalam beg sandang. Ketika dia menerima panggilan telefon daripada Annessa tadi,
mereka berdua sudah pun pulang ke rumah sewa Johari seusai bersarapan di
restoran.
“Nantilah saya
telefon dia. Kalau dia ada kelas nanti, mengganggu pulak.” Tengku Najib
menjawab. Tengku Reza mengangguk.
“Dah
siap?” soalnya. “Jom!” katanya setelah melihat Tengku Najib menganggukkan
kepala.
“FEA, ada
orang nak jumpa you kat bilik tetamu.”
Sebelum
sempat dia bertanya, Zety sudah berlalu meninggalkannya. Terpaksalah dia
menapak ke bilik tetamu. Sebaik sahaja pintu terkuak, alangkah terkejutnya dia
apabila melihat siapa lelaki yang sedang menunggunya di situ.
“Zikri!”
Meluncur nama bekas suaminya itu dari bibirnya.
Melihatkan
Sofea yang masih tercegat di muka pintu, Zikri segera mempersilakannya masuk.
Sofea
berusaha keras untuk menghalau debaran yang membadai hatinya. Walaupun dia
sudah lama memaafkan Zikri, tetapi dia tidak mampu menafikan yang luka di
hatinya masih berdarah dikerjakan lelaki itu. Sesungguhnya perpisahan itu amat
menyakitkan walaupun hakikatnya jodoh mereka telah ditetapkan TUHAN hanya
setakat itu sahaja.
Yang
paling menyakitkan hatinya ialah tatkala Zikri tergamak berkahwin lain di luar
pengetahuannya. Kemudian menyembunyikan pula perkahwinan keduanya itu selama
beberapa bulan sebelum rahsia itu pecah sendiri.
“Aku
peliklah memikirkan perangai orang perempuan ni, cepat sangat percayakan suami
mereka. Ni hah... kau cuba baca ruangan Luahan
Hati ni, seorang isteri tidak menyangka yang dia mempunyai madu sehinggalah
rahsia itu terbongkar setelah si suami meninggal dunia dalam kemalangan jalan
raya. Setelah berbelas-belas tahun hidup serumah, takkan tak perasan perubahan
suaminya?”
“Entahlah,
Fea, agaknya suami Puan Farah tu jenis yang sentiasa sibuk, outstation all the time, kut? Sebab
tulah suaminya berjaya menyembunyikan perkahwinan keduanya itu daripada
pengetahuan isteri pertama.” Suara teman sekerjanya menjawab.
Kemudian
mereka sama-sama geleng kepala. Seolah-olah Puan Farah yang ditemubual wartawan
dalam ruangan Luahan Hati itu adalah
perempuan paling ‘naif’, paling bodoh yang pernah hidup di muka bumi ini.
Setelah
rahsia yang disimpan Zikri selama beberapa bulan itu terbongkar, Sofea langsung
tidak mampu menerimanya. Dia tidak mampu berdepan dengan realiti bahawa dirinya
diperbodoh-bodohkan Zikri.
“I ada
kursus seminggu di Pulau Pinang. Hujung minggu ni I ikut kawan-kawan pergi
memancing di Tasik Kenyir. I ada kursus tiga hari di Melaka. I balik lambat
sikit malam ni, jumpa kawan. You pun balik lambat jugak kan?” Itulah antara
alasan-alasan yang pernah disumbatkan Zikri ke telinganya. Rupa-rupanya itu
adalah penipuannya semata-mata. Dia menipu untuk menghabiskan masa dengan
isteri mudanya.
Dan, dia
pula mempercayai segala penipuan itu bulat-bulat. Langsung dia tidak meragui
Zikri. Sehinggalah pada suatu hari, Zikri yang mungkin sudah penat hendak
menipunya, tampil lalu membocorkan segala rahsia itu.
Dia tidak
mampu menerima hakikat bahawa dia ditipu suaminya selama ini. Dia tidak sanggup
menelan hakikat bahawa malam ini Zikri menidurinya dan pada malam-malam yang
lain pula, Zikri meniduri isteri mudanya. Apakah sewaktu Zikri sedang bermesra
dengannya di kamar tidur, Zikri membayangkan wajah isteri mudanya yang mungkin
lebih hebat sentuhannya?
Argh! Kau
penipu! Penipu!!! Aku sudah tidak sanggup bersamamu lagi.
Kalau
diikutkan hati, mahu sahaja dikuburkan segala kenangannya bersama lelaki itu.
Tetapi, dia tidak mampu berbuat begitu kerana di antara mereka berdua masih ada
anak-anak.
“Zik, you
tak kerja ke hari ni?”
“I... I
saja turun ke Shah Alam. I dah rindukan anak-anak. I harap you tak kisah.”
Sahut Zikri.
Sofea
dapat rasakan renungan nakal lelaki itu hinggap lebih ke dadanya. Dia pula
kebetulan berbaju kebaya ketat hari ini. Apakah yang terlintas di sudut hatimu,
Zikri? Mendambakan ‘sesuatu’ yang pernah menjadi milikmu dahulu? Jangan
haraplah, Zikri! Aku tidak akan kembali semula ke sisimu walaupun kau tampil
dengan anak-anak sebagai alasan.
Aku benci
seorang penipu! Aku benci lelaki yang telah memperbodoh-bodohkan diriku selama
beberapa bulan itu. Aku benci!
Benci!!!
“Anak-anak
sihat. You tak payahlah risaukan mereka.” Sofea menjawab.
“Tapi I
nak jugak jumpa mereka sebelum balik ke Melaka malam ni. I nak bagi duit
belanja pada anak-anak.”
“Kan you
boleh bank in kan aje. Lagi mudah
kan?”
“Iye, I
tahu tu. Tapi I nak jumpa anak-anak I... err... maksud I, anak-anak kita.”
Zikri bertegas. Kemudian dia menoleh jam di lengannya. “Eh, Yaya balik sekolah
pukul berapa ye?”
Barulah
Sofea teringatkan Aleya yang akan melangkah keluar dari pintu pagar sekolahnya
tidak lama lagi. Kemunculan bekas suaminya yang secara tiba-tiba itu
benar-benar mengganggu emosinya sehinggakan dia hampir-hampir sahaja melupai
tanggung jawabnya untuk menjemput anak bongsunya itu pulang dari sekolah. Sejak
mereka sekeluarga pernah ‘kehilangan’ Adeela, dia tidak berani membiarkan Aleya
berlamaan menunggu kedatangannya di luar pagar sekolah. Enggan mengambil
sebarang risiko. Jika ditakdirkan dia ada urusan penting dan tidak dapat
menjemput Aleya, akan dipastikan orang lain ada untuk menggantikan tempatnya.
Selalunya dia mengharap kepada Annessa.
“15 minit
lagi.”
“Fea,
boleh tak kita ambil Yaya kat sekolah sama-sama? Lepas tu kita ambil Deela dan
Anne. Tengah hari ni I nak kita sekeluarga makan sama-sama... macam dulu.”
“Sedapnya
you bercakap, Zik. Hal yang dulu-dulu tu dah tak ada siaran ulangannya lagi
sekarang ni!” Sofea menghentakkan suaranya. Dalam pada itu, hatinya sempat
berkata-kata; “...kedatanganmu ke sini Zik, apakah alasan yang kau berikan pada
isterimu? Apakah kau juga telah menipu isterimu kini sebagaimana kau pernah
menipu aku sewaktu aku masih bergelar isterimu dulu?”
Zikri
merenungnya, lembut.
“Janganlah
cakap macam tu, Fea. Memang betul, kita berdua dah bercerai. Tapi kita masih
ada anak-anak yang kita kongsi bersama. Walaupun hak jagaan anak-anak dapat
pada you, tapi I tetap ayah kandung mereka. Kita lunch bersama ye. Please,
Fea.” Zikri merayu-rayu. Dia memang rindukan anak-anaknya dan kesempatan ke
Shah Alam ini akan dipergunakan sebaik-baiknya.
Sofea
berfikir seketika. Akhirnya dia mengangguk perlahan. Dia nampak segaris senyum
terukir di bibir lelaki yang pernah menjadi suaminya suatu masa dahulu.
“Anak-anak
tentu terkejut tengok I ni!” getus Zikri, teruja amat kelihatannya.