49
DIHANTUI
memori silam yang kurang enak membuatkan Tengku Reza tidak dapat melelapkan
matanya dengan aman. Awal pagi lagi dia telah termenung mengadap tingkap yang
sengaja dibiarkan sedikit terbuka. Angin sejuk yang menyapa wajahnya nyata
bukan gangguan. Begitu juga dengan gigitan seekor nyamuk sesat yang gilakan
darahnya. Dia langsung tidak terganggu. Yang mengganggu adalah memori yang
secebis itu.
Bondanya
tidak pernah membuka cerita yang sebenar tentang asal usulnya. Kalaulah dia
tidak terdengar pertengkaran yang berlaku di antara bonda dan ayahandanya pada
malam itu, sudah tentu dia tidak akan menaruh sebarang rasa curiga pada bondanya.
Sudah pasti dia akan menyangka bahawa Tengku Salehudin adalah bapa kandungnya
walaupun dirinya tidak pernah disayangi lelaki itu.
Selepas
kejadian itu, tahulah dia kenapa dirinya dibenci Tengku Salehudin. Rupa-rupanya
ada rahsia yang tersembunyi. Rahsia yang jijik lagi kotor. Dia cukup pasti
pertengkaran malam itu sengaja dicetuskan oleh Tengku Salehudin dengan niat
supaya dia mendengarnya.
Yang
peliknya, dia tidak pernah meminta bondanya untuk berterus-terang dan
merungkaikan segala persoalan yang berlegar-legar di fikirannya. Pernah
beberapa kali dia cuba memberanikan diri untuk bertanya tentang hal itu tetapi
kemudian melupakan hasratnya. Entah kenapa?
Akhirnya,
dia rasa semua itu tidak penting lagi dalam hidupnya. Selagi makan pakainya cukup
dan orang sekeliling tidak mencampuri urusannya, tiada apa yang perlu
dirisaukan.
Dia
menarik nafas dalam-dalam. Sampai bila kau nak terus hidup dalam penafian,
Reza? Bertahun-tahun lamanya kau memendam keinginan untuk mengetahui siapakah
diri kau yang sebenarnya. Siapakah ayahanda kandung kau? Apakah dia masih hidup
ataupun sudah mati seperti Tengku Salehudin yang cuma bergelar ayahanda
kepadamu kerana telah meminjamkan namanya untuk diisi di belakang namamu?
Dia
terdengar suara kakaknya sedang bercakap-cakap dengan pembantu rumah di dapur. Mungkin
mereka sedang sibuk menyediakan sarapan pagi. Perlukah aku bertanya kepada
Tengku Sarah kalau-kalau dia mengetahui siapakah sebenarnya ayahanda kandungku?
Dia
melangkah keluar dari biliknya lalu menuju ke dapur. Aroma kopi menerpa ke
lubang hidungnya.
“Eh, awal
bangun pagi ni, Reza?” Itulah soalan pertama daripada Tengku Sarah yang
menyinggah di telinganya.
Dia
menyengih. “Dah janji dengan Jib nak keluar joging pagi ni,” katanya sambil
menuang kopi pekat ke dalam cawan. Menghidu aroma kopi di pagi hari ternyata
begitu menyegarkan.
“Dah
bangun ke si Jib tu?” getus Tengku Sarah. Bukannya dia tidak tahu kebiasaan
anak tunggalnya itu. Pantang jumpa cuti, pasti dia akan bangun lewat.
“Biar saya
pekena secawan kopi ni dulu. Lepas ni nanti saya akan naik ke bilik dan
kejutkan dia.”
“Jangan
sarapan di luar tau. Lepas berjoging nanti mesti balik ke rumah. Kalau tak
nanti, siapa yang nak makan semua mi goreng ni.” Tengku Sarah mengingatkannya.
Dia hanya
mengangguk.
“Long,
marilah minum sama.”
Tengku
Sarah yang sedang menolong Markonah menyediakan rencah mi goreng menalakan
renungannya ke arah Tengku Reza tatkala mendengar suara yang agak berlainan
nadanya itu. Dia menuju ke sinki, membasuh tangannya sebelum melangkah
menyertai adik bongsunya di meja makan.
“Saya ada
beberapa hal nak tanya dengan long ni,” kata Tengku Reza sambil menuang kopi
pekat ke dalam cawan lain lalu dihulurkannya ke arah Tengku Sarah.
“Apa dia?
Kalau pasal nak jual banglo yang ditinggalkan Amir tu, along tak boleh
memandai-mandai buat keputusan. Lot tanah dan banglo tu masih milik Amir.
Malah, dia dah amanahkan pada kami untuk tengok-tengokkan banglo tu sementara
dia menjalani hukuman penjara.” Tengku Sarah menjawab, menyatakan ketegasan
pendiriannya.
Tengku
Reza telan air liur. Ternyata status ‘banduan’ yang kini disandang oleh Tengku
Amirul tidak memudarkan kasih sayang Tengku Sarah terhadapnya. Argh, apa nak
dihairankan? Bukankah Tengku Sarah dan Tengku Amirul adik-beradik sedarah
sedaging? Sedangkan aku...
“Err...
hal yang saya nak tanya ni bukan pasal lot tanah dan banglo milik Amir tu,
tapi...” Dia terdiam seketika.
Tengku
Sarah merenungnya rakus.
“Arwah ayahanda
tak pernah sayangkan saya sebagaimana dia sayangkan long dan Amir. Apa yang
membuatkan seorang ayah sanggup membeza-bezakan kasih di antara anak-anaknya?”
Akhirnya terluah juga pertanyaan itu dari mulutnya.
“Sebab kau
nakal, suka memberontak.”
“Itu aje
ke sebabnya? Sebab saya nakal dan suka memberontak?”
Tengku
Sarah tersenyum nipis sambil menganggukkan kepalanya.
“Nasib
baik aku dikurniakan dengan seorang anak aje. Kalau ada dua tiga orang anak,
pasti anak yang degil dan keras kepala seperti Jib tu menerima nasib yang sama
seperti kau.” Agak semberono kata-kata yang meluncur keluar dari mulut
perempuan itu.
“Ke ada
sebab lain kenapa ayahanda bencikan aku?”
“Sebab
lain apanya? Kau ni suka fikir yang bukan-bukanlah, Reza!”
“Mungkinkah
saya ni bukan anak kandung ayahanda?”
Tengku
Sarah membeliakkan matanya. “Apa yang kau cakap ni?”
“Memang
ada kemungkinan kan, yang saya ni bukan anak kandung ayahanda? Tulah sebabnya ayahanda
tak pernah sayangkan saya. Saya luahkan perasaan saya pada long ni bukan sebab nak
cari kesalahan sesiapa tapi saya mahu tahu kebenarannya. Kalau memang betul
yang saya ni bukan anak kandung ayahanda, siapakah agaknya lelaki yang
bertanggung jawab menyebabkan saya lahir ke dunia ni?”
“Kenapa
kau tanya aku semua soalan ni? Kenapa tak tanya terus pada bonda dan ayahanda
semasa mereka masih hidup dulu?” Tengku Sarah menghentak soal.
“Tolonglah,
long! Kalau long tahu siapakah sebenarnya ayah kandung saya, tolonglah
beritahu.” Dia merayu.
Tengku
Sarah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Maaf, aku tak tahu.” Jawabnya.
“Hello, good morning everybody!” Suara
Tengku Najib terus menghentikan perbualan kedua-dua beradik itu. “Uncle Reza, I am ready. Jom kita keluar
joging.”
Tengku
Reza berpaling. Dilihatnya Tengku Najib sudah siap berpakaian sukan.
“Jom!”
katanya sambil melangkah pantas meninggalkan ruang dapur.
“Bye, mama!” Tengku Najib terjerit
sedikit sebelum memboloskan dirinya keluar dari rumah.
KALAU
boleh Tengku Sarah mahu melupakan segala peristiwa silam itu. Untuk apa ianya
diingat-ingat semula? Apa faedahnya? Bukankah pelakunya sudahpun tiada di bumi
yang nyata ini, sudah meninggal dunia? Baginya membongkar kembali kenangan
silam itu seumpama menggali semula pusara bonda dan ayahanda mereka.
Pun
begitu, dia mengerti mengapa persoalan yang tidak pernah terluah itu menghantui
hidup Tengku Reza. Selagi tidak mendapat jawapannya, pasti hati adiknya itu
tidak akan berjumpa tenang. Suatu ketika dahulu, dia juga pernah menyisihkan
adiknya itu. Pernah juga membenci Tengku Reza. Barulah kini dia insaf. Itupun
setelah dia tidak mempunyai siapa-siapa lagi setelah adik kesayangannya, Tengku
Amirul, disumbatkan ke dalam penjara. Dia akhirnya belajar untuk menerima
Tengku Reza seadanya walaupun mereka hanya dihubungkan oleh darah arwah bonda.
Dia tidak
tahu sampai bila dia dapat mengelakkan dirinya daripada memburaikan segala
rahsia itu kepada Tengku Reza. Pastinya Tengku Reza tidak akan berhenti
bertanya tentang asal usulnya.
“Ibu, mi
gorengnya udah siap.” Markonah memberitahu. Semangkuk mi goreng yang masih
berasap diletakkan di depannya.
Dia tidak
menjawab. Tangannya mencapai mangkuk kecil berisi daun bawang dan sup yang
sudah diricih halus lalu ditaburkannya ke atas mi goreng tersebut.