25
Andainya
ada rindu menggebu
Serlahkanlah
rindumu
Sebelum
sang perindu berlalu
Pergi
membawa hatimu yang telah dicuri
Meninggalkanmu
sepi sendiri...
“EH, termenung lagi! Apalah nak jadi
dengan kau ni, Deris?” Mak Miah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Cepatlah
telefon dia. Mak dah tak sabar nak dengar suara dia ni.”
“Seganlah
pulak Deris nak telefon dia, mak. Entah dia ingatkan Deris lagi entah tak.”
Berjauh hati bunyinya.
“Cuba
jangan cepat mengalah. Cepatlah, mak nak bagi Si Tompok makan ni.” Mak Miah
mendesak. Dia sendiri mencapai gagang telefon rona hitam itu lalu menyuakannya
ke arah Idris.
Dalam
keadaan teragak-agak, Idris mencapai juga gagang telefon itu dari tangan
ibunya. Dia segera menekan punat-punat angka di dada telefon talian tetap itu lalu
menunggu orang yang dihubunginya menjawab panggilan dengan dada yang
menggerutup dengan debaran.
TOK! Tok! Tok!
Annessa
menoleh ke pintu yang telah sedia terkuak. Wajah Aleya tertangkap dek retina
matanya. Adik bongsunya itu merenung lurus ke arahnya.
“Kenapa
Kak Deela tu? Mengilai macam pontianak dekat-dekat Maghrib ni? Menakutkan orang
aje,” soalnya sambil melangkah masuk ke dalam bilik. Birai katil Annessa
dituju. Dia melabuhkan punggungnya di situ.
“Entah!
Sengaja nak tunjuk emosi agaknya.” Annessa menjawab sambil ketawa kecil. “Ah,
biarkan ajelah dia, Yaya. Janji dia bahagia, sudah. Kalau dia murung balik
macam dulu, kita jugak yang susah.”
Aleya
mengangguk.
“Yaya dah
siapkan homework?”
“Kejap
lagilah. Kak Anne, gorenglah nuget untuk Yaya.”
“Adoyai!
Tadi kata malam ni nak makan roti cicah bubur kacang aje?” getus Annessa.
Ingatkan bolehlah aku rehat daripada rutin di dapur dan tumpukan perhatian pada assignment tapi... hmmm... keluhnya
dalam hati.
“Ala...
bolehlah, Kak Anne. Yaya laparlah!” rengek Aleya dengan nada manja membuatkan
Annessa tersenyum nipis.
“Kau orang
ni kan, tak bolehlah tengok Kak Anne senang sikit.” Gerutunya.
“Habis tu
siapa lagi nak susahkan Kak Anne di dunia ni? Adik-adik Kak Annelah. Kalau dah
kahwin nanti, giliran anak-anak Kak Anne pulak serabaikan hidup Kak Anne.”
Aleya yang petah menjawab itu langsung tidak memberi peluang kepada Annessa.
Kata-katanya meluncur bagaikan peluru berpandu.
“Cik
adikku yang manis ni, bila lagi nak belajar memasak? Orang perempuan kena rajin
ke dapur tau.” Annessa mencuit pipi Aleya yang gebu.
“Nanti
Yaya belajarlah masak. Tapi sekarang ni kan Yaya ada Kak Anne serta Kak Deela.
Yaya nak bagi peluang pada kakak-kakak Yaya ni untuk tonjolkan kehandalan
masing-masing di dapur. Kak Anne anggap ajelah ni ujian kemahiran untuk Kak
Anne sebelum menempuh alam perkahwinan nanti.”
“Amboi!
Ada-ada aje jawabnya.” Gerutu Annessa membuatkan Aleya ketawa kecil. “Okeylah,
nanti lepas solat Maghrib Kak Anne goreng nuget just for you my dear little sister.”
“Thank you very much, sis!”
“Hah, nak
pergi mana tu?” soal Annessa ketika melihat Aleya bangkit.
“Nak
tengok tv sambil tunggu mama balik.”
“Tunggu
mama balik?” Hmm... duhai adikku, tidakkah kau tahu yang mama akan hanya pulang
ke rumah setelah jam menuding ke angka 8.30 malam? Annessa bermonolog. “Okeylah,
doakanlah mama balik awal! By the way,
berseronoklah depan tv tu ye.” Annessa sempat mengusik sebelum kelibat Aleya
hilang dari pandangan matanya.
Ketika
itulah, telefon milik Adeela berbunyi. Sayup-sayup sahaja pada pendengaran
telinga. Berpandu dari mana datangnya bunyi itu, Annessa berjaya menemui
telefon adik kembarnya yang diletakkan di atas laci dalam almari pakaiannya.
Segera
dipekapkan telefon itu ke telinga.
“HELLO!”
Akhirnya...
berjawab jugak panggilan aku.
“Hello, hello!” Gadis itu
terpanggil-panggil.
“Assalamualaikum.
Ni Anne ye?”
“Iye,
saya.”
“Anne,
lama tak dengar suara Anne. Ni abanglah... Abang Id. Abang baru dua hari balik
ke tanah air. Anne sihat?”
“Err...
Anne sihat aje.”
“Anne,
abang Id rindukan Anne. Emak pun. Semua kat kampung ni rindukan Anne kalau Anne
nak tau. Tompok pun agaknya sedang rindukan Anne sebab abang tengok dia asyik
termenung aje setiap petang macam sedang rindukan seseorang,” usai menuturkan
kata-kata itu Idris tergelak kecil. Serlahkanlah rindumu sebelum sang perindu
berlalu; kata-kata teman facebooknya
menyentak ke jiwa mendorong Idris yang tadinya penakut, berubah berani.
“Eh... stop, stop! Ni Idris ye? Hmm, awak nak
bercakap dengan Deela ke? Awak ni dah luahkan perasaan pada orang yang
salahlah. Saya ni kakak Deela... Anne!”
Hamburan
gelak ketawa yang lebat di hujung talian yang menyinggah ke telinganya
membuatkan Idris terkaku. Teramat malu dia kepada gadis yang sedang
mentertawakannya. Hui, kenapalah aku ni gelojoh sangat?
Dia
terbayangkan gadis yang diselamatkannya di tebing sungai dahulu.
“Siapa
nama kau?”
“Nama aku
Anne.” Getus gadis itu memperkenalkan dirinya. Walau setelah mengetahui bahawa
nama sebenar gadis itu adalah Adeela, tapi entah mengapa nama ‘Anne’ juga yang
selalu meluncur keluar dari mulutnya tatkala berbicara.
“Masya-ALLAH,
maafkan kekhilafan saya, Anne. Saya ingatkan Deela yang jawab telefon tadi.” Dia
segera membetulkan keadaan sebaik ketawa Annessa terhenti.
“Lain kali
pastikan dulu dengan siapa awak bercakap. Ni main terjah aje!” tegur Annessa.
“Mana saya
tak keliru? Awak yang jawab telefon Deela. Lepas tu bila saya tanya ni Anne ke,
awak kata awak Anne!”
“Memanglah
saya ni, Anne! Habis tu saya nak jawab apa? Adik saya yang awak selamatkan dulu
tu namanya Adeela. Tolong ye, tempekkan dengan gam UHU kat otak awak tu, ustaz!
Dulu, adik saya kenalkan dirinya sebagai Anne sebab fikirannya kurang stabil
masa tu. Dan, lagi satu ustaz... walaupun awak dah selamatkan adik saya, tapi
tak semudah itu untuk awak ucapkan kata-kata rindu pada dia. Hormatlah sikit
pada saya, kakak dia ni!”
Selaran
demi selaran menerpa ke telinga Idris. Dia menoleh ke arah Mak Miah yang sedari
tadi menunggu gilirannya untuk bercakap dengan Adeela.
“Cik Anne,
saya dah minta maaf tadi kan? Tolonglah maafkan saya. Err... boleh saya
bercakap dengan Deela?”
“Adik saya
sedang mandi. Kalau awak nak cakap dengan dia, boleh telefon dia lepas Maghrib
nanti. Ada apa-apa pesan?”
“Sampaikan
salam saya dan emak pada dia ye. Katakan emak rindukan dia.”
“Emmm...
Mak Miah sorang aje ke yang rindukan dia? Tadi macam ramai lagi yang rindukan
dia termasuk Si Tompok!” Annessa tidak lepas peluang, terus menyembur lagi.
Kemudian gadis itu menyambung tawa sinisnya.
“Assalamualaikum,
Anne.” Serentak itu Idris menghempaskan gagang telefon dengan kasar. Tidak
tahan telinganya menadah tempelak Annessa. Tercabar keegoannya sebagai lelaki
disergah-sergah dan ditertawakan sewenang-wenangnya.
“Kenapa,
Deris? Deela tak nak cakap dengan kita lagi ke?” Mak Miah melontar soalan
membuatkan Idris mengeluh perlahan.
“Bukan
Deela tak nak cakap dengan kita, mak. Tapi dia sedang mandi. Kakaknya yang
jawab telefon tu tadi.”
Mak Miah
tersenyum. Dia segera terbayangkan wajah kembar Adeela yang bernama Annessa
itu. Mereka memang seiras. Bagai pelanduk dua serupa. Yang membezakan pasangan
kembar itu hanyalah gaya rambut yang berbeza, lekuk di dagu Annessa dan tahi
lalat hidup di hujung bibir Adeela. Kalau tidak teliti memandang, memang akan
tersilap orang. Annessa akan disangka sebagai Adeela. Sementara Adeela akan disalahtafsir
sebagai Annessa.
Namun
begitu, Mak Miah dapat merasakan ketegasan yang terzahir pada diri si kakak.
Ketegasan bersalut dengan kasih sayang yang utuh untuk adiknya. Dia melihat bagaimana
Annessa memeluk erat tubuh Adeela pada pertemuan pertama mereka di rumahnya
dahulu dengan suatu pelukan yang bagai enggan dilepaskan lagi.
“Pak cik
dan mak cik tak patut simpan Deela di sini. Sepatutnya pak cik laporkan hal ni
pada polis!” Itulah ungkapan pertama yang diluahkan oleh Annessa terhadap
keluarganya dahulu. Bukan ucapan terima kasih yang mereka terima kerana telah
menyelamatkan Adeela dahulu, tetapi muka mereka pula dituding dengan jari.
“Err...”
Dia
menoleh ke arah suaminya yang tergagap-gagap hendak menjawab.
“Tapi kami
tak tau apa-apa. Kami ingatkan dia lari dari rumah sebab tulah yang
diceritakannya pada kami dulu. Kami jaga dan beri perlindungan pada dia. Kami
anggap dia macam anak kami sendiri. Kami pun dah mesra sangat dengan Anne...
eh... silap pulak, Deela.” Mak Miah segera bersuara untuk membantu suaminya.
Bimbang sekali dia kalau-kalau keluarga gadis yang pernah menumpang di rumahnya
itu akan mendakwa mereka.
“Janganlah
marah mak!” Adeela menjawab, mempertahankan Mak Miah. “Anne sayangkan mak.”
Mak Miah
menyeka air mata yang menitis di pipi tatkala kenangan indah bersama Adeela
hinggap semula ke ruang kenangannya.
“Mak
jangan risau. Deris akan cuba minta kebenaran Aunty Sofea untuk bawa balik Deela ke kampung ni jumpa mak sebelum
Deris pulang ke Mesir.” Janji Idris sambil memeluk tubuh ibunya.
“Entah
mereka benarkan entah tak, Deris. Deela pun entah ingat kita lagi, entah tak.”
Sayu Mak Miah bersuara.
Idris
mengeluh perlahan. Selepas Maghrib nanti aku akan telefon Deela balik, bisik
hatinya. Dan, azan Maghrib pun berkumandang tidak lama kemudian.
Tuai padi
antara masak,
Esok
jangan layu-layuan;
Intai kami
antara nampak,
Esok
jangan rindu-rinduan.