Home Novel Seram/Misteri PENUNGGU GUA
PENUNGGU GUA
SITI ROZILAH
1/6/2015 01:43:32
19,999
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 16

Kampung Busut Tunggal...

PAK YA meminta diri untuk pulang ke rumahnya seusai mengerjakan solat Maghrib berjemaah dengan Jumali dan tiga orang adiknya yang masih kecil.

“Tak tunggu makan dulu, Pak Ya?” soal Jamaatun, isteri Jumat, yang menghantarnya sehingga ke muka pintu.

“Tak payahlah, Tun. Mak Nah kamu tinggal seorang diri aje kat rumah tu. Lain kalilah ya.” Pak Ya menolak pelawaan itu dengan baik.

“Tun ingat nak buat kenduri doa selamat selepas ayah si Jumali keluar dari hospital nanti. Pak Ya datang ya nanti.” Kata Jamaatun.

“Kalau Jumat ajak, insya-ALLAH aku datang, Tun. Eh, aku gerak dululah Tun. Pesan pada Jumali, sebelum tidur nanti jangan lupa baca 3 kul dan ayat Kursi sebagai pendinding diri daripada sebarang bala bencana serta gangguan makhluk yang tak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.” Pak Ya sempat berpesan sebelum meneruskan langkah menuruni tangga.

“Insya-ALLAH, Pak Ya. Jangan lupa sampaikan salam Tun pada Mak Nah.” Jaamatun menyahut.

Pak Ya menuju ke arah motosikalnya yang diparkir di bawah pokok rambutan. Ketika itu suasana kampung sudah mula diselubungi kegelapan. Namun begitu, Pak Ya tidak perlu khuatir kerana kemudahan bekalan elektrik telahpun sampai di kampung itu walaupun ia terletak jauh di pedalaman. Inilah berkat pembangunan namanya. Jalan utama juga diterangi lampu elektrik.

Jarak di antara rumah Pak Ya dengan Jumat tidaklah jauh sangat, lebih kurang dua kilometer sahaja. Pada mulanya tiada apa-apa yang ganjil berlaku. Pak Ya menunggang motosikalnya seperti biasa. Tetapi saat motosikal Pak Ya melewati kawasan perkuburan lama kampung itu tiba-tiba sahaja Pak Ya rasa motosikalnya menjadi berat, seolah-olah ada satu bebanan besar sedang membonceng di belakangnya.

Kemudian disusuli pula dengan kehadiran bau yang kurang menyenangkan seolah-olah bau daging reput. Menurut orang tua-tua dahulu kalau terbau daging reput atau bau busuk bangkai, itu tandanya ada harimau sedang berkeliaran. Bau busuk itu datangnya daripada mulut harimau.

Pak Ya mula rasa kurang selesa.

Mustahil bau busuk itu yang sedang aku hidu ni datang daripada mulut harimau, bisik hati Pak Ya. Lagipun bau busuk ini terlalu hampir, seolah-olah di belakang aku aje.

Isy, bala apa pulak yang mengekor aku malam-malam gini! Pak Ya merungut-rungut dalam hati.

“Pak Yaaaa...” Tiba-tiba Pak Ya terdengar suara di belakangnya. Alahai, dia dah bercakap pulak dah!

Bukan main terkejut lagi orang tua itu. Mujurlah dia berjaya mengawal motosikalnya daripada tersasar ke tepi jalan. Walaupun sedar dirinya sedang diganggu namun Pak Ya enggan berhenti di tepi jalan untuk berdepan dengan ‘makhluk’ itu seorang diri. Dia meneruskan tunggangannya.

“Apa kau mahu? Aku tak kacau kau. Aku harap kau jugak jangan kacau aku. Nyah kau dari sini!” Pak Ya seperti orang gila yang sedang bercakap-cakap dengan satu entiti yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.

“Pak Yaaa... tolong guaaa... Pak Yaaa...” Makhluk itu berbisik lagi ke telinganya.

“Nyah kau dari sini! Jangan ganggu aku!!!” Pak Ya bertempik.

Serentak itu mulut Pak Ya terkumat-kamit membaca dua potong ayat yang terkandung di dalam surat al-Mukminun yang juga boleh dijadikan doa pendinding diri daripada entiti yang tidak mampu dilihat mata kasar manusia. Ayat itu bermaksud:

“Dan katakanlah: ‘Wahai TUHANku, aku berlindung kepadaMU daripada hasutan syaitan-syaitan’. ‘Dan aku berlindung kepadaMU, wahai TUHANku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku’. – Surah al-Mukminun: 97-98

Seusai membaca doa itu, dia terdengar mahkluk di belakangnya meraung dan melayang pergi. Selepas itu barulah Pak Ya rasa motosikalnya berfungsi seperti biasa dan bau busuk yang tadi dihidunya terus hilang lenyap dibawa hembusan angin malam.

WALAUPUN doktor yang merawatnya berkata Jumat boleh keluar dari hospital itu pagi esok tetapi dia tetap tidak gembira. Dia bernasib baik sebenarnya kerana telah terlepas daripada maut akibat sengatan lebah tualang tempoh hari. Sengatan lebah tualang yang berbisa itu boleh membawa maut kalau mangsanya lambat dibawa ke hospital. Pucuk-pucuk kayu lembut yang dikunyah dan digesekkan ke tempat sengatan adalah penawar awal kepada sengatan yang berbisa itu.

Selain daripada bisa yang masih berdenyut-denyut di tubuhnya, dia turut bimbangkan keselamatan anaknya, Jumali yang berada di rumah. Dia berharap agar Jumali dapat tidur dengan lena dan tidak diekori oleh ‘penghuni’ hutan Busut Tunggal.

Jarum jam sudah menuding ke angka 12 tengah malam tetapi Jumat masih terkebil-kebil di atas katilnya. Dia cuba mengingat-ingat semula bagaimana mulanya lebah tualang itu mengamuk dan mengejarnya. Ketika itu, dia baru sahaja memanjat sigai untuk mengambil lebah asli dari sarang lebah tualang itu. Belumpun sempat dia sampai ke atas tiba-tiba muncul seekor gagak mengacau sarang lebah tualang menyebabkan ribuan ekor lebah itu mengamuk.

Seumur hidupnya dia tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegitu. Kemunculan burung gagak yang misteri benar-benar menghantui fikiran Jumat.

“LEPAS ni tak payahlah kau ikut ayah kau ke hutan lagi, Mal. Nasib baiklah kau tak sesat terus dalam hutan tu. Kalau sesat terus, rugi tau! Kau tu belum kahwin lagi, tak dapatlah kau rasa nikmatnya orang yang dah berumah tangga.” Aiman, teman sekelasnya mula mengusik.

Dua orang lagi teman sekelasnya yang bernama Firdaus dan Syaheed tergelak lantang. Riuh suara gelak ketawa mereka memenuhi serambi rumah papan itu.

“Betul cakap Aiman tu, Mal. Kesian aku tengok makwe kau, si Suriati tu. Sejak kau hilang dalam hutan tu, dia yang paling risau di antara kita orang semua ni.” Syaheed bersuara.

“Sejak bila pulak Ati tu jadi makwe aku? Ada-ada ajelah kau ni, Syaheed!” Jumali pura-pura marah. Matanya sudah mula layu tetapi dia tidak tergamak hendak menghalau pulang rakan-rakannya itu.

“Esok kau sekolah tak?” soal Firdaus pula.

“Pagi esok aku kena jemput ayah aku balik dari hospital,” jawab Jumali.

Ketiga-tiga orang kawannya itu mengangguk. Beberapa minit kemudian mereka meminta diri untuk pulang ke rumah masing-masing. Setelah teman-temannya pulang, Jumali mengunci pintu depan lalu masuk ke bilik tidurnya.

Kalau di serambi tadi matanya terasa layu sahaja tetapi sebaik dia rebahkan kepalanya ke bantal, rasa kantuknya terus hilang. Di dalam kesamaran malam itu dia terkebil-kebil sendirian.

Dia memasang telinga. Suasana sekitar sudah mula sunyi sepi. Sendirian begitu, dia tidak dapat menghalang fikirannya daripada mengembara mengingati semula pengalaman pertamanya tersesat di hutan. Dia akui, dia tidak seberani ayahnya. Hutan Busut Tunggal itu bagaikan tempat permainan ayahnya tetapi bukan bagi dirinya.

Selain daripada menoreh getah tua mereka, punca pendapatan mereka sekeluarga adalah daripada hasil hutan. Ayahnya selalu bercerita yang dia telah dibawa masuk ke hutan oleh arwah atuk sejak berusia 7 tahun lagi. Berbeza dengan dirinya yang hanya mengikut ayahnya masuk ke hutan setelah masuk ke sekolah menengah. Sewaktu di sekolah rendah dahulu ibunya sering membantah niat ayahnya yang ingin membawa dia meneroka ke hutan Busut Tunggal dengan alasan Jumali masih kecil dan perlu menumpukan perhatian kepada pelajarannya.

Walaupun dia rajin menolong ayahnya mengambil upah menebas atau memanjat pokok kelapa serta mencari rotan, madu lebah dan petai di hutan tetapi Jumali rasa dunianya bukanlah di situ. Selepas menamatkan peperiksaan SPMnya nanti, Jumali ingin menyambung pelajarannya ke kolej komuniti. Kalau tidakpun dia mahu masuk ke Tingkatan Enam di sebuah sekolah yang terletak di pekan sana. Dia seperti anak-anak muda lainnya mahu menyertai bidang industri dan enggan terperuk di kampung yang terpencil itu selama-lamanya.

Jumali akui, dia sangat takut ketika tersesat jauh ke dalam Hutan Busut Tunggal. Yang paling menyeramkannya ialah ketika mereka cuba mencari jalan keluar tetapi akhirnya sampai semula di bawah pokok saka yang menjulang tinggi itu.

Sebagai seorang anak yang hidup dan membesar di zaman siber, walaupun di rumahnya sendiri tidak ada komputer mahupun internet, Jumali sukar hendak mempercayai kewujudan dunia bunian. Betulkah ada bunian yang cuba menyembunyikan manusia yang tersesat di hutan sehingga mereka gagal menemui jalan pulang? Tetapi setelah beberapa cubaan mereka untuk mencari jalan keluar gagal, Jumali mula mengandaikan yang dia dan ayahnya kini mungkin tersesat di dunia bunian. Pun begitu, dia tidak berani hendak memaklumkan kepada ayahnya tentang kerisauannya.

Kemudian, malampun tiba...

Jumali semakin resah apabila cahaya matahari tidak lagi sampai ke lantai hutan itu. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaannya terpaksa bermalam di dalam hutan tebal itu. Dia menurut sahaja perintah ayahnya supaya memanjat pokok saka yang menjulang tinggi. Kata ayahnya, itu adalah untuk keselamatan mereka berdua juga kerana mereka tidak tahu haiwan apakah yang akan keluar dan merayau-rayau di lantai hutan itu pada waktu malam nanti.

Mungkin harimau. Mungkin gajah. Mungkin seladang atau babi hutan. Mungkin juga ular sawa. Segala-galanya mungkin!

Jumali tidak menghadapi masalah untuk memanjat pokok saka itu. Dia akui dirinya rasa lega kerana dia sesat bersama-sama dengan ayahnya. Ayahnya telah berjanji yang esok pasti mereka akan menemui jalan keluar dari rimba banat itu.

Mereka mengambil keputusan untuk berehat di dahan yang terletak di tengah-tengah pokok saka yang menjulang tinggi. Dahan yang mereka pilih itu agak besar dan teguh dengan dua dahan lebih kecil yang menegak ke atas yang boleh dijadikan tempat untuk bersandar.

“Jangan lupa baca 3 kul kalau nak tidur,” pesan ayahnya.

Disebabkan letih yang amat sangat, Jumali hanya sempat menghabiskan surah al-ikhlas sahaja sebelum matanya mula layu. Akhirnya, dia terlelap.

Jumali tidak sedar berapa lamakah dia terlelap. Dia tersedar daripada tidurnya tatkala diganggu oleh bunyi nyamuk yang berdengung-dengung di tepi telinganya. Bunyi nyamuk yang mengganggu lena itu betul-betul menjengkelkan.

Dalam keadaan terpisat-pisat, dia menoleh ke arah ayahnya. Namun, dia tidak nampak sama ada ayahnya sudah tidur ataupun belum dek kegelapan malam. Tiba-tiba matanya terlihat satu cahaya berwarna kekuningan mencorong keluar dari kejauhan. Cahaya itu menegak dalam formasi lurus serta berbentuk bulat torak, seolah-olah cahaya lampu yang disuluh melalui silinder.

Cahaya apa pulak tu, bisik hati Jumali yang mula mengagumi kemunculan cahaya asing di tengah-tengah hutan itu.

Mungkin cahaya tu datangnya daripada lampu suruh orang-orang kampung yang sedang mencari kami agaknya. Jumali bermonolog. Dia memakukan matanya ke arah cahaya itu.

Tiba-tiba cahaya kuning yang tadinya bulat torak mula mengubah bentuknya kepada bentuk tengkorak dengan sepasang mata merah menyala mencerlang terus ke arah Jumali. Terkejut, Jumali memekup mukanya dengan tangan. Tidak cukup dengan itu, Jumali terdengar seolah-olah bunyi hembusan nafas di telinga kanannya disusuli oleh bau daging reput. Busuk! Kemudian, dia terdengar satu suara memanggil namanya.

“Jumaliii... tolong guaaa, Jumaliii...”

Jumali menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia cuba membuka mulut untuk meminta pertolongan ayahnya namun suaranya bagaikan tersekat di kerongkong. Dia terkencing-kencing di dalam seluarnya ketika merasa seolah-olah ada tangan dengan kuku-kukunya yang panjang merayap-rayap di tubuhnya, naik ke muka dan bermain-main seketika di situ.

Kalau tidak teringat keadaannya yang sedang bertenggek di atas dahan pokok, sudah tentu Jumali akan terjun dan melarikan dirinya dari situ. Ketakutannya ketika itu berada di tahap maksimum.

“Jumaliii... guaaa... tungguuu... luuu... sampaiii!” bisik suara itu, garau.

Ketika Jumali hampir-hampir hilang akal akibat dirodok ketakutan yang amat sangat, akhirnya dia teringat untuk membaca ayat Kursi. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat itu. Perlahan-lahan gangguan serta bau busuk yang berlegar-legar tadi hilang lenyap dengan sendirinya.

Dia tidak dapat lelap lagi selepas itu. Mulutnya terkumat-kamit membaca segala ayat-ayat lazim yang diketahuinya sehinggalah fajar mula menyinsing di ufuk Timur.

Pengalaman itu memang menakutkan. Taubat, selepas ini dia enggan mengikut ayahnya masuk ke hutan lagi walaupun dipaksa. Oleh kerana rasa egonya yang tinggi, dia tidak menceritakan kepada sesiapapun akan pengalamannya itu. Dia takut kalau-kalau dia akan menjadi bahan ketawa orang-orang kampung sahaja nanti. Biarlah pengalamannya dihantui penunggu hutan Busut Tunggal itu disimpan dalam ingatannya sahaja.

Hmm... kenapa tak boleh lelap lagi ni? Hatinya mula merungut-rungut. Puas menelentang, dia mengiring dengan memeluk bantal guling. Namun matanya masih juga enggan lelap.

Tiba-tiba, telinga Jumali menangkap bunyi ‘sesuatu’ sedang mencakar-cakar di dinding, seolah-olah sedang cuba masuk ke bilik tidurnya.

“Jumaliii...”

Suara itu muncul dan menghantuinya lagi. Jumali ketakutan. Spontan dia menarik selimutnya lalu berselubung. Bunyi cakaran di dinding pula semakin kuat dan menakutkan.

“Jumaliii...” Bunyi suara itu semakin dekat.

Serentak itu, Jumali terasa ‘sesuatu’ sedang merangkak-rangkak di atas badannya yang berselubung. Dihantui ketakutan yang amat sangat, dia langsung tidak mampu mengingati apa-apa lagi hatta sepotong ayat al-Quran pun dia lupa.

“Jumaliii...”

Jumali tidak tertahan lagi. Dia mencampakkan selimutnya lalu menghambur keluar dari bilik tidur, lari ke pintu depan dan terus memecut laju meninggalkan rumahnya dalam kepekatan malam.

Jumali hilang. Dan, Kampung Busut Tunggal gempar lagi!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.