Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 26

26

SELEPAS perbualannya dengan Idris tamat, Annessa meletakkan semula telefon selebar telapak jari itu ke tempat asalnya. Suara azan yang berkumandang dari televisyen yang terpasang di ruang tamu, mencuri-curi masuk ke biliknya melalui daun pintu yang tidak ditutup rapat menandakan sudah sampai masanya untuk umat Islam setempat mengerjakan solat Maghrib.

Sementara menunggu suara azan berhenti, dia melangkah ke meja tulisnya. Sempat dia membayangkan wajah jejaka bernama Idris yang baru sahaja menelefon adik kembarnya seketika tadi. Walaupun mereka belum pernah bersua muka secara peribadi, tetapi Adeela ada menyimpan sebuah album penuh berisi gambar kenang-kenangan bersama keluarga Mak Miah termasuklah gambar-gambarnya bersama Idris. Wajah anak muda itu ada iras-iras pelakon Asyraf Muslim.

Walaupun berkali-kali Mak Miah dan suaminya menerangkan bahawa mereka berniat baik sewaktu menumpangkan Adeela di rumah itu dahulu, tetapi entah mengapa sampai kini Annessa tidak dapat menerimanya. “Kita di sini semuanya tidur tak lena mengenangkan di manakah Deela menghilang selama ni. Rupa-rupanya Deela ada di rumah mereka.” Dia sering menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada mamanya setiap kali nama keluarga Idris disebut-sebut.

Mungkin sebab itulah, suaranya kasar sahaja apabila berbual dengan Idris di telefon tadi. Hatinya semakin sakit apabila mendengar pemuda itu dengan berani meluahkan rindunya kepada adik kembarnya.

“Hah!”

“Apocot! Kus semangat!!!”

Disebabkan fikirannya ketika itu yang terlalu fokus ke arah lain maka dia langsung tidak sedar bahawa Adeela sudah berada betul-betul di belakangnya. Adeela ketawa kuat melihat Annessa melatah.

Annessa lantas berpaling. “Kau ni!” Kasar nada suara yang melantun dari mulutnya.

Adeela tergelak nakal. Bersahaja dia mengeringkan rambut melepasi bahunya dengan sehelai tuala kecil berwarna coklat.

“Apa yang kau angankan, hah, Anne? Sampaikan aku masuk pun kau langsung tak sedar? Nasib baiklah aku yang masuk ke bilik ni tadi tau, kalau pencuri atau perompak yang masuk, macam mana? Hmm... kau tengah berangankan Najib, ye?” Adeela mengusik.

“Tak adalah! Siapa kata aku berangankan dia? Tadi masa kau sedang bersiram, ada orang telefon. Aku tolong jawabkan.”

“Siapa?” Adeela ingin tahu.

“Idris. Aku suruh dia telefon kau balik lepas waktu Maghrib nanti.” Annessa memberitahu.

Dia nampak seulas senyuman nipis tersungging di bibir adik kembarnya. Entah mengapa, hatinya jadi semakin sakit melihat senyuman manis Adeela itu.

Ya ALLAH ya TUHANku, kenapa aku berperasaan begini? Dia menarik nafas panjang-panjang. Baik aku ambil air sembahyang dan menunaikan segera solat Maghrib. Moga-moga Syaitan yang mengacau hatiku ini akan musnah setelah wajahku dilumuri air sembahyang, bisik hatinya lalu segera menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Ketika dia masuk semula ke bilik beberapa minit kemudian, dilihatnya Adeela sudah khusyuk mengadap Ilahi. Sejuk matanya memandang panorama sebegitu.

Dia mencapai kerusi lalu duduk menunggu sehingga Adeela selesai menunaikan solat Maghrib.

“Semasa di kampung dulu, aku selalu bersembahyang jemaah bersama-sama dengan mereka sekeluarga. Lepas tu Abang Id ajar aku mengaji. Seronok tau, Anne! Abang Id dahlah pandai mengaji, lengkap dengan tarannumnya. Suaranya merdu sekali dan jiwa aku tenang aje setiap kali dengar dia mengaji.” Begitulah puji-pujian yang pernah terkeluar dari mulut Adeela ketika mengimbau semula kenangannya sewaktu tinggal bersama-sama dengan keluarga Idris.

“Hidup Pak Ilmin dan Mak Miah tu sederhana aje. Tak kacau bilau macam hidup papa dengan mama kita sewaktu mereka masih bersama dulu.”

“Tak baik bandingkan kehidupan papa dan mama kita dengan kehidupan orang lain, Deela.” Dia mengingatkan Adeela.

“Hmm... kau anak yang baik kan, Anne? Anak yang baik memang patut sentiasa membela papa dan mama, walaupun mereka pernah buat salah pada kita!” hentak Adeela dengan suara yag sudah berubah nada. Kasar.

Mengenangkan kondisi Adeela yang masih belum stabil emosinya, dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja. Tahulah dia bahawa Adeela masih menyalahkan papa dan mama yang tega memutuskan ikatan perkahwinan mereka dahulu. Perceraian yang menyaksikan dia dan Adeela hidup terpisah.

Dia mengeluh dalam hati. Anak mana yang sanggup melihat papa dan mama mereka bercerai-berai, Deela? Tapi, manusia mana yang mampu menolak takdir?

Lembut renungannya menjunam lagi ke wajah adik kembarnya yang sudah selesai berdoa. Adeela menoleh ke arahnya. Mereka berbalas senyum. Rasa sayang pada Adeela yang tubuhnya masih berselubung dengan telekung itu terasa menyerap ke jiwa dan mengalir di setiap urat darahnya. Dia pasti Adeela juga menyimpan perasaan yang sama seperti apa yang sedang dirasainya kini. Cukup pasti!

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.