29
“EEEII... geramnya!” gerutu Tengku
Sarah. Panas hatinya. Serasa mahu dilempar sahaja telefon bimbitnya itu.
“Kenapa ni
along? Marah-marah tak tentu pasal?”
Tengku
Sarah melontar pandang ke arah seorang jejaka yang sedang menghayun langkah menghampirinya.
Tanpa menunggu pelawaannya, jejaka itu mengambil tempat di atas kerusi yang
terletak di depannya.
“Cubalah
kau fikir, Reza, macam mana along tak marah? Anak saudara kau ni sengaja nak
menyakitkan hati along. Sengaja nak naikkan tekanan darah along kau ni hah!”
Dia mula mengadu kepada Reza.
“Jib?”
“Eh, kau
ni! Siapa lagi kalau bukan dia? Kan dia tu anak tunggal along?”
Tengku
Reza terkerisin. Sudah tentulah dia arif benar bahawa anak kakaknya hanya
Tengku Najib seorang. Anak tunggal yang dimanjai keluarga. Dia sebenarnya hanya
bergurau dengan niat untuk meredakan api kemarahan yang sedang membakar hati
Tengku Sarah.
“Heheheh....”
Tengku Reza tergelak kecil. “Reza gurau-gurau aje. Hmm... apa masalah si Jib tu
sampaikan along marah-marah macam ni?” soalnya ingin tahu.
“Nasib
baik kau ada, Reza. Dapat jugak along mengadu untuk redakan perasaan along ni,”
ujar Tengku Sarah perlahan.
Tengku
Reza tersenyum sinis ke arah kakaknya. Namun, sudah tentulah Tengku Sarah tidak
mampu menilai sinis senyuman yang dilemparkannya. Dia yang selama ini hanya
dipandang sebelah mata oleh Tengku Sarah, pernah dianggap sebagai adik yang
tidak berguna dan tidak pernah diambilkira sebarang pendapatnya, tiba-tiba
sahaja menjadi orang yang begitu penting dalam hidup perempuan itu.
Dulu,
kewujudannya dalam keluarga sentiasa tersembunyi di sebalik bayang-bayang abang
ngahnya iaitu Tengku Amirul. Kini, setelah Tengku Amirul merengkok dalam
penjara barulah kehadiran Tengku Reza dalam keluarga itu disedari.
Sebagai
orang yang dipinggirkan, kadang-kadang dia terasa hati juga dengan mereka.
Muncul keinginan untuk pergi jauh dari keluarganya sendiri, membawa diri
ataupun bersembunyi di hujung dunia. Tetapi kini setelah dirinya tiba-tiba
sahaja menjadi penting dalam keluarga itu, dia mengambil keputusan untuk tidak
melangkah pergi. Mungkin bukan sekarang!
Apa-apapun
hanya Tengku Sarah dan Tengku Amirul sahajalah keluarga yang dia ada kini
setelah ayah dan ibu mereka meninggal dunia dalam satu kemalangan trajis ketika
pulang dari bercuti di Cameron Highlands lima tahun lalu. Kecuali dengan arwah
ibunya, dia tidak pernah rapat dengan mana-mana ahli keluarganya hatta dengan
arwah ayahnya sendiri. Mungkin kerana darah yang mengalir di dalam venanya
selama ini diragui oleh arwah ayahnya.
Mungkinkah
kerana tampangnya yang berbeza benar kalau hendak dibandingkan dengan along
serta abang ngahnya? Mungkinkah kerana kulitnya yang lebih gelap daripada
kedua-dua mereka maka arwah ayahnya menganggap bahawa anaknya yang seorang ini
bukanlah benih yang dicambahkan ke rahim ibunya, Tengku Maimunah?
Pedih,
perit rasanya hati apabila dipinggirkan keluarga sendiri. Lebih perit lagi
apabila memikirkan bahawa di dalam dirinya mengalir darah yang asing daripada
along serta abang ngahnya. Disebabkan itulah maka dia dipinggirkan dan juga
sengaja meminggirkan dirinya sendiri.
Hanya
Tengku Maimunah yang tahu jawapan kepada semua persoalan itu. Tetapi masalahnya,
Tengku Maimunah telah lama mati. Dan, persoalan itu akhirnya kekal sebagai
sebuah tanda soal. Lalu dia mengambil keputusan untuk menguburkan segala
persoalan yang bergelung di fikirannya tentang ketulenan asal usulnya,
sebagaimana jasad ibunya yang kini telah dikuburkan di alam yang kekal abadi.
“Along
rasa dia masih teruskan hubungannya dengan budak perempuan tu!” Tengku Sarah
mula bercerita.
Dia
mengambil beberapa saat untuk mengalih perhatiannya daripada memikirkan tentang
asal usul diri yang menjadi tanda tanya, lalu memfokus pula ke arah masalah
yang kini sedang membadai keluarga Tengku Sarah.
Annessa!
Kalau tak silap aku itulah nama ‘budak perempuan’ yang kini mengganggu
ketenteraman jiwa along.
“Mungkin
jugak tu hanya perasaan along aje. Mungkin betul Jib dah tak berkawan lagi
dengan siapa namanya budak tu, long?” Dia buat-buat lupa nama Annessa.
“Ah! Malas
along nak sebut nama dia. Menyampah!” hempuk Tengku Sarah.
Tengku
Reza tersenyum nipis. Dulu pun kau pernah menyampah dengan aku kan, long? Sebabnya
hanya satu - kulit aku yang gelap ni! Yang tak sama rona dengan kulit yang
menyalut daging serta tulang belulang kau dan abang ngah. Sekarang ni, rasa
menyampah kau dah berpindah arah pula ke arah pasangan kembar yang telah
menyebabkan adik kesayangan kau tu merengkok dalam penjara untuk satu tempoh
yang panjang.
Padan muka
kau long! Dulu kau pernah kata aku ni, sampah. Sekarang tahulah kau siapa
sebenarnya yang sampah dalam keluarga kita. Atau, kau masih tak menyedari
hakikat itu, along kusayang?
“Okey...
Reza takkan sebut nama budak perempuan yang dah buat along menyampah tu.
Sekarang ni Reza nak tanya, Jib kenapa tak balik lagi?”
“Isy,
nilah yang buat along marah. Dia kata nak tumpang tidur kat rumah sewa kawan
dia. Entah iye entah tak. Entah-entah dia sibuk dating dengan budak perempuan
tu!”
“Tak baik
tuduh yang bukan-bukan pada perkara yang kita tak nampak, long. Mungkin Jib ada
hal lain agaknya, tulah sebabnya dia terpaksa bermalam di rumah kawannya malam
ni. Tengoklah macam mana, mungkin esok Reza buat spot check kat Shah Alam. Dahlah long, jangan risau. Reza percaya
Jib takkan buat hal yang along tak suka.” Dia merasionalkan fikiran Tengku
Sarah.
Akhirnya,
seulas senyuman nipis tersungging di bibir Tengku Sarah. Ketegangan mula kendur
dari riak wajahnya.
“Lega
sikit hati along dengar kata-kata kau ni, Reza. Terima kasih ajelah sebab sudi
dengar masalah along ye.”
“Sama-sama
kasih, along.”
“Eh, kau
nak ke mana pulak tu?”
“Malam
masih muda, along. Takkan nak memerap kat rumah aje. Reza pinjam kereta along
ye. Dah janji dan jumpa kawan kat luar.” Getusnya sambil melangkah pantas
meninggalkan Tengku Sarah melayan perasaannya.