8
MASA terus berlalu meninggalkan mereka yang lalai serta alpa. Adeela semakin
tenggelam dalam kelukaannya. Dia tidak dapat menumpukan perhatiannya pada
pelajaran walaupun matanya tertancap kemas ke muka Cikgu Azizah yang sedang
mengajar. Fikirannya bercelaru. Melayang ke ruang kelam dalam hidupnya.
Dia merindui
kakak kembarnya, Annessa. Rindu yang teramat. Kini tempat Annessa di sisinya
telah digantikan oleh Mei Ling; anak taukeh kedai gambar yang lebih suka
mendiamkan diri daripada bercakap. Dalam keadaan dia yang sedang tenggelam
dalam tekanan emosi itu, dia seolah-olah telah berjumpa solace dengan Mei Ling. Sekurang-kurangnya gadis kecil molek yang
bermata agak sepet itu tidak bertanya soalan-soalan statik yang malas hendak
dijawabnya.
Fikirannya
menerawang pula ke peristiwa pagi tadi. Wajah Tengku Amirul menyapa ruang
fikirnya membuatkan hatinya sakit tiba-tiba. Lelaki itu kini sering sahaja
muncul di rumahnya dengan pelbagai alasan. Konon-kononnya hendak menghulurkan
sebarang bantuan yang perlu kepada mama yang kini sudah bergelar ‘ITM’ atau ibu
tunggal muda!
Walaupun
lelaki itu tidak pernah menjejakkan kakinya ke dalam rumah, tetapi Adeela tetap
tidak menyukainya. Malah, Adeela cukup benci melihat cara Tengku Amirul
merenungnya walaupun dia tidak pernah mengadukan kecurigaannya itu kepada
mamanya.
Seketika
kemudian, wajah lelaki yang dibencinya digantikan pula dengan wajah kembar yang
teramat dirinduinya. Ya, dia merindui Annessa yang kini sudah berpindah jauh
dari Kuala Lumpur. Annessa terpaksa mengikut papa yang berpindah ke Melaka.
“Oh, Anne,
aku rindukan kau.” Hatinya berbisik.
TENGKU AMIRUL membayangkan dua wajah – Sofea dan Adeela. Dalam diam dia membandingkan
kedua-dua beranak itu. Ketika usianya kini melewati angka 40, dia masih belum
berkahwin, masih solo atau dalam jolokan kasarnya, bujang terlajak.
Usia mudanya
di luar negara dihabiskan dengan berfoya-foya. Kini, dia mahu mengubah semua
itu. Dia sudah lebih cukup daripada bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan
memiliki anak-anak daripada isterinya yang sah.
Dia boleh
saja memilih Sofea, kerana baginya masih ada sisa-sisa cintanya untuk Sofea.
Tapi, Sofea sudah berusia. Dia kemudian membayangkan pula wajah Adeela yang
menawan, yang baginya masih muda dan fresh.
Kalaupun nak beristeri, pilihlah yang masih dara walaupun aku sudah bukan
teruna lagi, hatinya berbisik. Tak mainlah ibu tunggal macam si Fea tu,
walaupun bodynya masih mengancam
persis si anak dara. Hatinya terus menggatal.
Satu saja
masalahnya, Adeela begitu membencinya.
Tapi... argh...
aku Tengku Amirul! Aku ada banyak cara untuk menjerat Adeela dan menundukkannya
hingga dia akur menjadi isteriku. Usia? Ah, usia yang masih muda bukan
penghalangnya!
Hartaku
dicampurkan dengan harta keluargaku, berkepuk untuk memberikan kesenangan hidup
kepada si kijang liar itu. Hatinya mula merencana. Licik!
ANNESSA lebih senang bersendirian sedangkan teman-teman sekelasnya berpusu-pusu ke
kantin pada waktu rehat. Berbekalkan sandwic sardin yang dititipkan ibu tirinya
sebelum dia melangkah keluar dari rumah pagi tadi, dia memilih untuk duduk di
bangku batu bawah pokok mangga yang merendang sambil merenung padang sekolah
yang luas terbentang. Padang yang di sesetengah kawasan, rumputnya nampak
bercapuk-capuk dan mungkin sudah sampai masanya untuk ditampal dengan rumput
yang baru.
Dia tidak
menghiraukan panorama padang sekolah yang agak cacat pada pandangan mata itu
sebaliknya menadah renungan ke dada langit. Langit bersih membiru. Sesekali
kelihatan kepulan-kepulan awan melintas sambil berlumba-lumba mencipta
bentuk-bentuk yang beraneka corak. Sesekali kelihatan awan bergumpal, agak
tebal. Kemudian gumpalan yang tebal berpecah kepada bentuk-bentuk yang lebih
kecil dan nipis sebelum menghilang laju ditiup angin.
Di bawah
ini, angin yang berhembus galak memberi nyaman ke tubuhnya. Membawa sama desir
tatkala dedaunan mangga yang menghijau saling bertingkah sesama sendiri
mengikut ritma angin.
Dia
mengunyah sandwic sardinnya perlahan-lahan sambil cuba menghadam penderitaan
yang sedang menyengat ruang emosinya ketika itu. Dia amat merinduinya adik kembarnya,
Adeela. Dia cukup pasti Adeela juga seperti dirinya. Sedang menanggung rindu
yang maha hebat. Sampainya hati papa dan mama kerana tega memisahkan kami
berdua.
Sampainya
hati!
“OKEY, Effa! Kalau kau boleh handle sesi fotografi ni, Kak Fea keluar
dulu, ya.”
“Okey, kak!
Jangan lupa telan ubat.” Effa mengingatkannya sebelum dia melangkah keluar dari
studio. Ketika itu Effa sedang menyelaraskan sesi fotografi dengan seorang
model jelita yang sedang meningkat naik namanya.
Kepalanya
berdenyut-denyut. Pun begitu dia menggagahkan juga dirinya untuk ke pejabat
kerana tugasnya sebagai editor majalah yang terikat dengan dateline. Dia mencintai kerjaya kewartawanan yang telah diceburinya
sejak sekian lama. Dunia kewartawanan bagaikan telah bersebati dengan darahnya.
Dunianya
penuh dengan kesibukan. Tidak ada masanya dia tidak sibuk. Dan, kalau sesekali
dia ditakdirkan tidak sibuk, ianya bagaikan suatu kejanggalan pula. Dan, sejak
hubungannya dengan Zikri mula hambar dan menemui jalan buntu, dia bagai mahu
menenggelamkan seluruh ruang kosong dalam dirinya untuk sebuah kesibukan.
Baginya, hanya kesibukan sajalah yang dapat meredakan masalahnya.
Namun,
perbualan ringkasnya dengan Adeela malam tadi buat dia menyedari bahawa dia
telah tidak berlaku adil kepada anak-anaknya selama ini.
“Ma, selama
ni kami sikit pun tak kisah kalau mama dan papa sentiasa sibuk dengan kerja
hingga kita sekeluarga jarang-jarang dapat bersama. Sikit pun tak kisah!
Sebagai anak, kami faham yang mama dan papa terpaksa keluar mencari rezeki bagi
membesar dan menyekolahkan kami. Tapi kami benar-benar terkejut bila mama dan
papa tiba-tiba aje ambil keputusan untuk berpisah. Dan, tiba-tiba aje Anne
dipisahkan dari Deela. Semua ni amat tak adil untuk kami, ma. Tak adil!” Adeela
telus meluahkan isi hatinya.
Setelah beberapa bulan mendiamkan dirinya,
Sofea ingat Adeela sudah dapat menerima kenyataan. Mungkin anak gadisnya itu
tertekan kerana kini kakak kembarnya telah berpindah jauh mengikut papanya ke
Melaka. Perpisahan merentas negeri semakin menyukarkan mereka berdua untuk
bersua muka.
Dan, sebagai
seorang ibu, Sofea juga simpati melihat pasangan kembar itu dipisahkan. Namun,
apalah yang termampu dilakukannya? Sikap Annessa yang tidak mahu berkeras
dengan papanya juga menyakitkan hati Sofea. Dia dapat merasakan Annessa lebih
menyayangi papanya daripada dia yang mengandung dan melahirkannya ke dunia ini
dengan segala susah payah.
Dan, sikap
Adeela yang asyik mengungkit dan memberontak itu juga semakin melemaskannya.
“Habis tu,
mama nak buat macam mana lagi, Deela? Dah Anne pun bersikap macam lembu kena
cucuk hidung aje bila berdepan dengan papa. Dia langsung tak bersuara bila
papanya buat keputusan untuk bawa dia pindah ke Melaka. Apa daya mama?”
“Papa Anne
papa Deela jugak!”
“Yelah...
yelah... papa kau orang berdua! Tolonglah... jangan bebankan mama dengan segala
masalah ni lagi. Tolonglah, Deela! Belajarlah untuk terima kenyataan ni seperti
si Anne tu.” Dia meninggikan suaranya dengan Adeela tanpa mempedulikan langsung
perasaan anak gadisnya itu.
Dia sudah
tidak mampu mempedulikan perasaan Adeela atau sesiapapun lagi. Sedangkan
perasaannya sendiri tiada siapa yang peduli. Dia kini telah mendapat gelaran
‘ibu tunggal’ setelah ditinggal pergi oleh suaminya. Dia juga telah dituduh
Zikri dengan tuduhan yang bukan-bukan.
Dan, segala
masalah apabila dicampurkan dengan bebanan kerja, memang mengundang penyakit migrane untuk singgah dalam
kehidupannya. Dia menuju ke pantry,
menuang air suam ke dalam mug untuk
melalukan ubat tahan sakit yang hendak ditelannya. Kemudian, dia menuju ke
mejanya untuk berehat seketika.
Belumpun
sempat dia menelangkupkan kepalanya ke meja, telefon bimbitnya berbunyi. Dengan
malas dipekapkan juga ke telinga.
“Hai, Fea.
You balik pukul berapa hari ni?”
“Balik?”
Bagaikan baru tersedar, dia segera menoleh jam di lengannya. Jarum jam menuding
ke pukul 5.30 petang. Anak-anaknya, Adeela dan Aleya yang ada kelas tambahan di
sekolah mungkin sedang menunggu dia datang menjemput mereka.
“Iye, takkan
you nak bertapa kat office tu?
Anak-anak you macam mana?” Begitu prihatin bunyinya insan yang sedang bertanya.
“Alamak! I
memang dah terlupa. Amir, boleh tak you tolong jemput Yaya dan Deela kat
sekolah mereka? I masih kat pejabat ni, tak sempat nak rush ke sana.”
“You ni...
kesian dia orang tu!”
“Please, Amir. Please...”
“Okeylah,
sebab you... I sanggup buat apa aje, Fea.” Tengku Amirul kedengaran ketawa.
“Eh, kalau I bawa Deela dan Yaya makan dulu sebelum hantar mereka balik you
izinkan tak? I kesian tengok mereka berdua tu. Hari-hari terpaksa makan nasi
campur yang dia orang beli kat stall
tu sampai sakit-sakit perut sebab makan makanan yang tak bersih.”
Bergetar
hati Sofea mendengar kata-kata lelaki di hujung talian. Dia sedih kerana
sebagai ibu, dia tidak berupaya menyediakan hidangan yang sempurna untuk
anak-anaknya.
“Aku bangun
seawal jam 5.00 pagi setiap hari untuk masak nasi dan lauk-pauk supaya bila
anak-anak aku balik dari sekolah, ada benda yang mereka boleh makan. Nak buat
macam mana, terpaksalah berkorban sikit.” Kata-kata Kak Suri, editor majalah
Mingguan Wanita menerbak ke ruang ingatannya.
Dia juga
boleh meniru tabiat Kak Suri itu, tetapi dek dihambat keletihan kadang-kadang
solat Subuh pun dia boleh terlajak.
“Fea?”
“Err...
okeylah, Amir. I izinkan you bawa mereka berdua pergi makan. Tapi, make sure you tak larikan anak-anak I. Lepas
aje makan, terus hantar ke rumah, okey.”
“Okey,
sayang. You balik pukul berapa hari ni?”
“Emm... tak
tau lagilah. Sekarang ni ada shooting
kat studio. Lepas habis shooting
nanti I baliklah.” Jelas Sofea sebelum menamatkan perbualannya dengan Tengku
Amirul.