Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 28

28

MACAM mana? Dah lega?”

“BUKAN Anne yang jawab call aku tadi,” getus Tengku Najib dengan suara longlai.

“Adik kembar dia yang jawab?” soal Johari. Tengku Najib angguk. “Habis tu, sedang kecewa lah ni?” sempat sahaja dia mengusik, menyakat.

Tengku Najib membatukan dirinya. Dia terlentang semula di atas kusyen. Matanya terkebil-kebil merenung siling.

“Kembar Anne tu cantik macam dia jugakkan?”

Tengku Najib jeling sekilas wajah Johari. Dilihat temannya itu tersengih-sengih.

“Siapa namanya ye?”

“Nama siapa?”

“Adik kembar Anne tulah, siapa namanya?”

“Entah! Aku pun tak tau nama dia.” Tengku Najib menjawab dengan nada bosan.

“Bohonglah kau tak tau nama dia. Aku tak percaya!” Johari meninggikan suaranya. “Alah, Jib, takkan dua-duanya kau nak rembat. Kenalkanlah adik kembar buah hati kau tu pada aku.”

“Kalau kau nak kenal dengan dia, kau usahalah sendiri. Aku tak nak masuk campur.” Tengku Najib memberi kata putusnya.

Johari terdiam setelah mendengar jawapan yang terluah dari mulut temannya itu. Dia pun bukanlah serius sangat hendak berkenalan dengan kembar Annessa, sekadar mahu menduga Tengku Najib sahaja. Seketika kemudian, kedengaran suara muazzin mengalunkan azan dari arah masjid berhampiran.

“Dah masuk Maghrib tu, marilah kita solat berjemaah.” Ajaknya apabila dilihatnya Tengku Najib masih dalam posisi terlentang di kusyen.

“You go ahead.” Getus Tengku Najib perlahan.

“Kau?”

“Ni... bibir aku yang terkoyak ni kalau kena air pedihlah.” Dia beralasan.

Johari hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.

TENGKU Najib renung sekilas telefon bimbitnya yang tergeletak di atas meja. Kemudian matanya beralih pula ke arah jam bulat yang melekap di dinding. Dah pukul 8.00, agaknya Anne dah selesai solat Maghrib. Dia mencongak-congak sendiri.

Johari yang tadinya telah masuk ke bilik untuk menunaikan solat Maghrib, masih belum nampak batang hidungnya. Mungkin sedang berwirid panjang.

Dia mencapai telefon bimbitnya untuk cuba menghubungi Annessa sekali lagi. Namun, sebelum sempat dia menghubungi gadis itu, telefonnya tiba-tiba sahaja berbunyi. Dia menoleh ke arah skrin di dada telefon bimbitnya. Alamak... macam mana ni? Aku baru aje nak telefon Anne, mama pulak cari akulah, desisnya dalam hati.

Dia teragak-agak seketika.

“Hoi, jawablah telefon tu!” sergah Johari yang baru keluar dari biliknya dengan kopiah putih masih melekap di kepala.

“Hai, ma.” Getusnya ke arah Tengku Sarah yang kini mungkin tertanya-tanya ke manakah anak bujangnya menghilangkan diri, tidak balik-balik ke rumah sejak petang tadi malah gagal menelefon juga.

Johari yang menelinga hanya mampu geleng kepala mendengar bagaimana temannya itu ‘berhai-hai’ sahaja dengan mamanya.

“Jib kat mana ni? Kenapa tak balik lagi ni?”

“Err...”

“Kan mama dah pesan, kalau nak balik lambat calllah bagitau mama ataupun papa. Mama risau tau tak!” kasar sahaja suara Tengku Sarah meleteri anaknya tanpa memberi peluang untuk Tengku Najib menjawab.

“Err...”

“Jib ni degillah! Ke Jib keluar dengan budak tu lagi? Kan mama dah kata, mama tak suka Jib keluar dengan dia, Jib tak faham ke?”

“Ma!” Melantun suara Tengku Najib.

“Hah, jawablah soalan mama!”

“Memanglah Jib nak jawab, tapi Jib tak tau nak jawab soalan yang mana dulu. Soalan mama tu berderet-deret sangat.”

Terluah keluhan dari bibir Tengku Sarah. “Jib kat mana sekarang ni?”

“Kat rumah sewa Johari.”

“Bukan sedang berdating dengan budak perempuan tu?”

“Dengan budak perempuan mana?”

“Jib! Jangan buat-buat tak reti pulak. Jib tau kan mama dan papa tak suka Jib terus berkawan dengan dia.” Hentak Tengku Sarah, garang. Kasar!

“Tapi, apa salah Anne sampaikan Jib tak boleh berkawan dengan dia, ma?”

“Isy! Disebabkan merekalah adik mama alias bapa saudara Jib sendiri, merengkok dalam penjara. Takkan tak faham-faham lagi?” Ada nada kebencian yang terluah. Sarat.

“Mama dah salah faham. Uncle Amir merengkok dalam penjara disebabkan kesalahannya sendiri. Bukannya salah Anne, dan bukan juga salah Deela. Sepatutnya mama simpati dengan orang yang jadi mangsa dalam kes ni, bukannya meletakkan kesalahan ke bahu mereka pula. Yang salah tetap salah, ma!”

“Diam!!!” Tengku Sarah yang memekik di hujung talian membuatkan dia menjarakkan sedikit telefon bimbit itu dari copeng telinganya. Dia tahu hati mamanya kini sedang terbakar. Dia faham perasaan mamanya. Kakak mana yang sanggup melihat adik kandungnya sendiri merengkok di penjara, tetapi yang salah tetap salah. Itulah hakikat yang harus mereka sekeluarga telan walaupun amat pahit.

Dia sendiri pada mulanya agak sukar hendak menerima kenyataan bahawa bapa saudara yang menjadi idolanya selama ini seumpama syaitan bertopengkan manusia. Pedih hatinya menerima kenyataan itu, perit!

Memori pahit di malam jahanam itu masih merah dan basah di hatinya...

TIDURLAH, esokkan Jib kena bangun pagi untuk hantar puteri tu pulang ke istananya di Shah Alam.” Begitulah lelucon yang terluah dari bibir Uncle Amirnya sebelum meninggalkannya terbaring sendirian di ruang bilik yang kelam.

Dia cuba melelapkan matanya. Puas dicuba, puas dipaksa namun tetap gagal. Akhirnya, dia terkebil-kebil merenung siling yang samar-samar dek limpahan cahaya lampu tidur berwarna biru.

Entah mengapa, dia asyik terbayangkan wajah Annessa yang mungkin sudah lama lena di biliknya. Dia terasa seolah-olah gadis itu sedang memanggil-manggilnya. Ah, dah angau ke aku ni? Mungkinkah dek kedekatan mereka maka fikirannya menjadi bercelaru begitu? Ah, payah macam ni! Takkan aku nak tidur sebilik dengannya pulak?

Semakin dia cuba mengenyahkan wajah Annessa, semakin berlumba-lumba pula wajah itu merasuk fikirannya. Akhirnya, dia tidak tertahan lagi. Nalurinya meminta agar dia bangkit dari tempat tidurnya dan mengunjungi Annessa di kamarnya.

Dia mengatur langkah keluar dari biliknya menuju ke kamar tidur Annessa. Dadanya menggerutup dengan debaran semakin hampir langkahnya ke kamar itu.

Kalau Anne tanya, apa yang harus aku jawab nanti? Gerutu hatinya ketika dia berada betul-betul di depan pintu kamar tidur Annessa.

Tok, tok, tok! Dia mengetuk perlahan-lahan daun pintu dengan harapan agar gadis itu masih belum tidur. Tiada jawapan. Tok, tok, tok! Dia mengetuk lagi.

Isy, dah tidur ke dia ni?

“Anne...” dia memanggil pula.

Senyap, tiada jawapan.

“Anne!” dia memanggil lagi. Kali ini dengan suara yang lebih kuat.

Senyap juga. Tiada balasan juga.

Dalam keadaan keliru, dia memulas tombol pintu. Walaupun kamar tidur itu hanya dilimpahi cahaya lampu tidur yang samar-samar tetapi jelas di matanya bahawa Annessa tidak berada di bilik itu. Di manakah dia?

Dia melangkah masuk lalu memasang lampu kalimantang. Semerta kamar itu terang-benderang. Annessa tidak kelihatan di mana-mana. Ketika itu, ingin sahaja dia menjerit, melaung memanggil Annessa. Gadis degil yang tak boleh duduk diam, gerutu hatinya yang tiba-tiba sahaja rasa menyesal kerana telah membawa Annessa ke banglo Uncle Amirnya.

Tetapi, sudah tentulah dia tidak mahu mengejutkan Tengku Amirul. Lelaki itu pasti akan marah menggila kalau dapat tahu Annessa merayau-rayau bagaikan pencuri di banglo miliknya itu. Apakah yang kau cari sebenarnya di banglo ini, Anne? Hatinya tertanya-tanya. Oleh sebab itulah dia mengambil keputusan untuk mencari sendiri Annessa secara diam-diam. Dia menuruni tangga menuju ke tingkat bawah lalu melangkah keluar dari kehangatan banglo itu.

Dia menghalakan kakinya ke belakang banglo. Hatinya menggerutu geram apabila lengannya yang terdedah, perit digetus nyamuk-nyamuk yang dahagakan darah. Sedang dia ligat memikirkan apakah yang patut dilakukannya pada Annessa setelah berjumpa dengannya kelak, tiba-tiba dia nampak kelibat mereka bertiga – Annessa, Uncle Amirnya dan Pak Sudin!

“Tengku rasa apa yang sedang saya cari? Cubalah teka.” Garing suara Annessa. Mencabar sengit.

Ya ALLAH! Kenapa kau ni sengaja cari pasal dengan Uncle Amir aku, Anne? Menyesal betul aku bawa kau ke sini.

“Tengku tahu apa yang saya sedang cari kan? Di manakah dia, Tengku? Mana adik saya, Adeela?”

“Kenapa kau ingat dia ada di sini? Macam yang aku pernah bagitau polis dulu, aku tak tahu apa-apa tentang kehilangan dia. Kenapa kau ingat dia ada di sini?” Dia terdengar Uncle Amirnya menjawab. Kasar. Situasi hangat itu membuatkan dia mematungkan dirinya, hanya mampu menelinga perbualan mereka dari tempat dia berdiri.

“Deela yang bagitau aku segala-galanya. Kau langar dia dengan kereta mini kau dan kau heret dia ke mari kan? Kau kurung dia dalam bilik tu, kan?” Annessa menuding jarinya ke arah bilik berpintu rona coklat yang sentiasa berkunci.

“Apa buktinya? Kau nampak dia di situ? Jasadnya... mayatnya?” Tengku Amirul menyergah.

Dari tempat dia berdiri, dia nampak keadaan Annessa yang semakin tertekan. Badannya menggigil kuat.

“Di mana kau sembunyikan adik aku hah, binatang?”

“Sudin!” Dia terdengar Tengku Amirul memanggil nama Pak Sudin. Annessa pula sudah bersedia hendak melarikan dirinya apabila melihat Pak Sudin bergerak ke arahnya.

“Jangan biarkan dia terlepas, Sudin!” Tengku Amirul melaung ke arah Pak Sudin yang sedang memburu Annessa.

Tengku Amirul berpaling lalu menuju semula ke arah banglo. Mujurlah dia berjaya menyembunyikan dirinya di sebalik tembok. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang baru sahaja terjadi tetapi dia cukup pasti nyawa Annessa sedang terancam.

Seketika kemudian dia terlihat Tengku Amirul bergegas mengikut jejak Annessa dan Pak Sudin dengan membawa selaras senapang patah di tangannya. Setelah lelaki itu menjauh, dia berlari balik ke arah banglo lalu segera menghubungi pihak polis.

Maka, terbongkarlah sebuah rahsia bahawa lelaki yang dianggap sebagai idolanya selama ini bukanlah sebaik yang disangkakannya.

MA, Jib minta maaf. Sorry ye.” Dia memujuk Tengku Sarah. Cuba meredakan api kemarahannya. “Tapi malam ni Jib menumpang tidur kat rumah Jo.”

“Jib bukan dengan budak perempuan tu kan?”

“Taklah, ma! Jib dengan Jo ni. Kalau mama tak percaya Jib bagi mama cakap dengan Jo.”

Tengku Sarah menghempas keluh. “Tak apalah. Mama harap Jib tak tipu mama.”

“Taklah... Jib tak tipu. Betul, Jib kat rumah Jo. Mama dah makan ke?” Dia memujuk Tengku Sarah dengan suara yang sengaja dilunakkan.

“Okey, sekarang mama pergi makan. Bye ma, I love you!” Dia segera menamatkan perbualannya yang penuh emosi dengan Tengku Sarah.

Kemudian, dia menghempas keluh.


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.