Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 20

20

“ANNE...”

“Hmmm?”

“Kau rasa malam ni mama balik pukul berapa?”

“Manalah aku tau. Macam biasa agaknyalah tu, dalam pukul 8.30 ke 9.00. Kenapa? Kau takut? Apa yang nak ditakutkan, Deela? Aku dan Yaya ada. Kami akan jaga kau. Takkan ada lagi perkara buruk yang akan menimpa keluarga kita ni. Kau jangan bimbang ye.” Annessa memujuk lembut, memberikan jaminan kepadanya. Sambil itu tangannya memeluk bahu Adeela. Penuh kasih sayang.

“Percayalah pada aku, Deela. Kau kini selamat.”

Adeela mengangguk. “Ye, TUHAN masih sayangkan aku. DIA masih sayangkan kita kan, Anne? Dulu aku pernah putus asa dan beranggapan yang kita takkan mampu bersua kembali.”

Annessa mengurut-ngurut belakang Adeela. Spontan Adeela merebahkan kepala ke bahu kakak kembarnya.

“Hush... jangan sebut lagi semua tu, Deela. Yang penting sekarang ni kita dapat bersama semula. Takkan ada apa yang mampu memisahkan kita lagi.” Dia menjarakkan sedikit kedudukannya lalu kemudian memegang kedua-dua belah pipi Adeela dengan tangannya. “Sekarang, aku nak tengok kau senyum!” getusnya sambil merenung ke dalam mata si adik.

Adeela menggelengkan kepalanya.

“Apa ni, Anne?” dia memprotes.

“Cepat senyum! Hati aku takkan puas sampailah aku tengok senyuman kau.” Annessa terus-terusan menggesa.

“Kalau aku tak nak senyum jugak, macam mana?”

“Tandanya nak kenalah tu!”

“Kena apa?”

“Inilah!” Annessa terus menggeletek ketiak Adeela.

“Anne, apa ni? Eeeiii... gelilah. Stop! Stop!

Adeela yang tidak tahan digeletek berlari meninggalkan meja makan lalu terus menghambur keluar rumah melalui pintu depan yang terbuka luas. Annessa memburunya dari belakang. Mereka kemudiannya duduk di atas bangku batu sambil terkekeh-kekeh ketawa.

Setelah melihat adiknya ketawa, barulah puas hati Annessa.

“Kan makin manis wajah tu bila ketawa.” Pujinya. Mereka melepak sebentar di atas bangku batu.

Thanks. Eh, bukan bunyi handphone kau ke tu?”

Annessa memasang telinga. “Eh, iyelah.”

Dia melangkah masuk ke rumah untuk menjawab panggilan telefon yang entah daripada siapa. Adeela mengekori langkahnya rapat-rapat dari belakang.

“Waalaikumussalam. Jib, I ingatkan siapalah yang telefon tadi. You rupanya! Hmm... macam mana training? Semuanya okey?” soal Annessa ke arah pemuda yang menelefonnya.

Training okey aje.” Sahut pemuda di hujung talian.

“Eh, nape suara tu? Lemah aje bunyinya? You penat ye? Minumlah energy drink yang I belikan untuk you tadi tu,” getus Annessa.

“Minum energy drink pun tak guna.”

“Reason?”

“Sebabnya sayang oi, energy I hanya tercas bila berada di sisi you aje. Bila you tak ada, letih litak rasa tubuh I ni, adoi...” Tutur pemuda di hujung talian, manja dan mengada-ngada.

“Eeiii... gelilah dengar statement tu. Hmm... kata nak telefon malam?” soal Annessa tatkala teringatkan kata-kata yang diucapkan oleh Tengku Najib kepadanya sebelum dia melangkah pulang tadi.

“Dah tak sabar tunggu malam. Penyakit rindu dah menyerang.” Sahut Tengku Najib sambil tergelak-gelak miang.

“Hisy! Menyampah dengar.”

“You menyampah, tapi I suka.”

Perbualan yang tiada kesudahannya. Annessa arif benar. Perbualan yang hanya akan terhenti setelah salah seorang daripada mereka kehabisan bateri ataupun kredit.

“I rasa nak jumpa you malam nilah, Anne?”

“Untuk apa?”

“Saja.”

“Ummph, tak bolehlah. Mama I belum balik lagi ni. I tak boleh tinggalkan adik-adik I aje kat rumah. Kalau mama dah balik nanti, dan I nak keluar pulak... mesti dia bising.”

Terdengar sebuah keluhan berat meluncur dari bibir Tengku Najib. Jejaka itu tidak pernah begini.

“Jib, you okey ke?”

“Hmm... tak apalah. Kalau orang tak sudi jumpa, takkan nak paksa pulak kan? Deela apa khabar?” Tengku Najib mengalih topik perbualan mereka.

Annessa mengerling sekilas ke arah Adeela yang duduk tidak jauh darinya. Dia sedar yang adiknya sedang menelinga perbualan mereka.

“Deela ada kat sini. Dia sihat-sihat aje.”

“Sampaikan salam I pada dia ye.”

“Jap...” Annessa menoleh ke arah Adeela. “Deela, Jib kirim salam.”

“Waalaikumussalam.”

“Dengar tak tu? Deela dah jawab pun salam yang you kirim tu.”

“Alhamdulillah. Jangan lupa basuh tuala I tu, ye.”

“Tuala masam you tu? Hampir-hampir aje I lupa. Nasib baik you ingatkan.”

“Tak baik tau, you cakap macam tu. Masam-masam pun I punya jugak.” Suara di hujung talian kedengaran semakin manja.

“Eeeiii... okeylah! Jangan bimbang ye, Tengku. Patik takkan ingkar arahan Tengku tu.”

Terhambur gelak Tengku Najib. “Okey, Anne... jumpa you esok. Bye.

“Kita jumpa esok. You belanja I breakfast, ye. Bye, Tengku.” Annessa tersenyum mengulum tatkala menamatkan perbualan telefonnya dengan Tengku Najib.

“Wah, seronoknya... buah hati telefon.”

“Jangan risaulah, Deela. Kita orang berkawan aje.”

“Kalau dah asyik telefon nak berjumpa aje tu, tentu lebih daripada sekadar kawan biasa kan? Kan...?” Adeela menerbak.

Annessa tersenyum.

“Masih jauh perjalanan yang harus kami berdua tempuh, Deela. Tak tahu lagi apa yang bakal kami hadapi pada masa depan. Tapi buat masa ni memang kami enjoy dengan hubungan ni.” Akui Annessa.

Sememangnya Annessa menyukai Tengku Najib. Itu tidak dapat dinafikan sama sekali. Tetapi dia hanyalah manusia biasa yang tidak mungkin menerbak masa hadapannya. Bukankah persoalan jodoh itu sentiasa kekal sebagai sebuah rahsia sehingga sampai waktu yang sesuai?

Dia amat menyenangi Tengku Najib. Pada kemesraan yang ditonjolkan. Pada kemanjaan yang dipersembahkan. Dan, pada tutur katanya yang menghiburkan. Dia cukup pasti, Tengku Najib juga menyimpan suatu perasaan yang sama terhadap dirinya. Kalau Tengku Najib tidak menyukainya, masakan sering mengekorinya ke mana sahaja dia pergi? Kalau jejaka itu tidak menyenanginya, masakan mungkin menelefonnya saban hari? Memanggilnya ‘sayang’ dan kadangkala ‘darling’? Atau, menuturkan kata-kata berupa usikan yang lebih ditujukan oleh seorang lelaki terhadap perempuan yang disukainya?

Masakan mungkin Tengku Najib menunjukkan reaksi sebegitu kalau dia tidak menyenanginya!

Tetapi, mereka manusia yang hanya mampu merancang. Sedangkan ketetapan masa hadapan hanya ditentukan oleh-NYA sahaja. Dalam soal ini, Annessa tidak mahu meramalkan apa yang masih belum pasti di antara mereka berdua. Lebih-lebih lagi mereka bertiga – dia, Adeela dan Tengku Najib, pernah berdepan dengan peristiwa yang negatif lagi trajis.

Dia melontarkan pandangannya ke arah Adeela. Kalaulah dia mampu menyiasat isi hati adiknya lebih-lebih lagi terhadap hubungannya dengan Tengku Najib, alangkah bagus. Dia tahu, mama tidak pernah setuju dia meneruskan hubungannya dengan anak muda itu setelah kejadian yang menimpa diri Adeela terbongkar. Sehingga sekarang dia masih menyembunyikan ‘persahabatannya’ dengan Tengku Najib daripada pengetahuan mama.

“Anne, mama tak suka tengok kau rapat dengan si Najib tu lagi. Kau lupakan ajelah dia. Mama tak boleh tengok muka dia. Setiap kali mama tengok muka dia, mama teringatkan...” Tiba-tiba sahaja wajah mama menjadi keruh. Dan, air mata dengan begitu mudah pula melimpah keluar dari takungannya.

Begitulah yang pernah terluah dari mulut mamanya ketika mereka sekeluarga terpaksa turun naik mahkamah dalam usaha untuk menyumbatkan Tengku Amirul dan Pak Sudin ke dalam penjara besi atas tuduhan mengurung dan memperkosa Adeela dahulu.

Walaupun Tengku Najib langsung tidak terlibat dalam peristiwa itu, tetapi status dirinya sebagai anak saudara Tengku Amirul membuatkan mama turut membencinya. Dan, mama mempertontonkan kebenciannya terhadap Tengku Najib secara terus terang. Tanpa sembunyi lagi.

“Jangan risau, ma. Anne taulah.” Dia menjawab sekadar untuk menyenangkan hati mamanya. Dia tahu perempuan itu sudah banyak menderita sejak Adeela hilang lesap begitu sahaja. Mama juga sudah banyak mengalirkan air mata mengenangkan nasib malang yang menimpa Adeela. Tidak kurang juga rasa bersalah yang mungkin berlingkar di sudut hatinya kerana tidak pernah mengendahkan aduan yang dibuat Adeela terhadap perangai sebenar Tengku Amirul, iblis bertopengkan manusia itu.

Tetapi, dia masih buntu dalam menilai isi hati adik kembarnya. Adeela tidak pernah menunjukkan reaksi negatif walaupun tahu dia masih meneruskan hubungannya dengan Tengku Najib. Seperti seketika tadi, Adeela tetap menguntum senyum apabila mendengar yang Tengku Najib berkirim salam dengannya.

Kalaulah Annessa mampu menerbak ke sudut hati Adeela, mudahlah dia hendak membuat keputusan. Dia bukanlah seorang kakak yang kejam hingga sanggup menambah gurisan luka di hati adik kembarnya sendiri. Kalaulah Adeela juga seperti mama; tidak senang dia meneruskan hubungannya dengan Tengku Najib, dia dengan rela hati melepaskan jejaka itu pergi jauh dari hidupnya.

 

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.